Terkini

Friday 29 February 2008

Maybank Islamic Tawar Produk Komoditi Mata Wang

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Maybank Islamic hari ini memperluaskan rangkaian tawaran mata wang asingnya dengan melancarkan dua produk perbendaharaan iaitu deposit dan penempatan mata wang asing, menggunakan prinsip Murabaha Komoditi.

"Foreign Currency Commodity Murabaha Deposit-i (FCMD-i)" adalah produk pengurusan mudah tunai patuh syariah bagi memudahkan pelabur menempatkan lebihan dana mereka dalam pasaran kewangan Islam, kata Maybank Islamic dalam satu kenyataan. FCMD-i disasarkan kepada sektor korporat dan perniagaan dengan pengaliran masuk dana dalam mata wang asing, yang sumbernya meliputi pendapatan eksport atau berkaitan perdagangan dan semua jenis belumterima, katanya.

Inilah segmen pengguna yang mempunyai kedudukan lindung nilai semula jadi, yang mempunyai komitmen dan tanggungan dalam mata wang asing untuk dilunaskan sama ada dalam jangka pendek atau waktu yang singkat, katanya.Maybank Islamic juga mengalu-alukan individu yang berada untuk mengambil bahagian dalam program ini dengan deposit minimum dalam mata wang asing bersamaan dengan RM1 juta bagi tempoh minimum 14 hari.

"Ia akan membantu pelanggan menguruskan mudah tunai mereka dengan lebih baik dari perspektif memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kos melepas," kata pemangku ketua pegawai eksekutif Maybank Islamic Bhd, Ibrahim Hassan. Sementara itu, "Foreign Currency Commodity Murabaha Placement-i (FCMP-i)" adalah produk pengurusan mudah tunai patuh syriah yang boleh digunakan untuk memudahkan transaksi antara bank.Ia merupakan saluran yang melaluinya Maybank Islamic menyediakan dana dalam mata wang asing kepada pelabur dalam pasaran antara bank Islam.

Sebagai permulaan, FCMD-i dan FCMP-i akan ditawarkan dalam empat mata wang iaitu dolar AS, Euro, pound British dan dolar Australia.Ini selaras dengan produk mata wang asing lain yang diperkenalkan Maybank Islamic setakat ini.Kemudahan-kemudahan dalam mata wang asing lain akan dilancarkan secara berperingkat.Kontrak Murabaha biasa(jualan berdasarkan kos +) akan dilaksanakan bagi kedua-dua produk, jelas kenyataan itu.Bagaimanapun, kontrak-kontrak itu mengguna pakai prinsip Islam tawarruq, di mana pelanggan dikehendaki melantik Maybank Islamic sebagai ejen untuk menjalankan transaksi jual beli komoditi bagi pihak mereka dengan pihak ketiga, tegasnya.

Dagangan komoditi distruktur khusus agar kos transaksi dikekalkan pada paras minimum, katanya.Pelancaran kedua-dua produk patuh syariah itu adalah sejajar dengan strategi Maybank Islamic untuk mengembangkan perniagaannya di bawah Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa (ICBU).Januari lepas, ia menjadi bank pertama di Malaysia yang melancarkan Pembiayaan Mata Wang Asing Luar Pesisir, yang merupakan kemudahan pembiayaan perdagangan jangka pendek bagi pengeksport dan pengimport, dan Akaun Mata Wang Asing iaitu akaun deposit Mudarabah.Maybank Islamic menjangka ICBUnya menawarkan rangkaian produk mata wang asing yang lengkap menjelang akhir tahun ini.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment