Terkini

Thursday 29 August 2013

RHB Islamic lantik Ibrahim Hassan Pengarah Urusan Kumpulan

KUALA LUMPUR 29 Ogos - RHB Islamic Bank Bhd melantik Ibrahim Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusannya berkuat kuasa 2 Sept 2013.
Pengarah Urusan RHB Banking Group, Kellee Kam berkata, Ibrahim akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi dan perniagaan perbankan Islam kumpulan termasuk memacu pertumbuhan perolehan, memperluaskan produk dan portfolio pelanggan di dalam dan luar negara.
"Kami mengalu-alukan sumbangan dan keupayaan beliau dalam menerajui perniagaan perbankan Islam kumpulan kepada penyedia perkhidmatan kewangan berasaskan syariah utama dunia," katanya.
Sebelum pelantikan itu, Ibrahim adalah Pengarah Presiden PT Bank Maybank Syariah Indonesia.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam. - BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 27 August 2013

UIAM meneroka peranan pembekal bakat perbankan Islam

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini meneroka langkah memperluaskan peranan universiti sebagai pembekal bakat bagi membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam sejagat.
Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah menubuhkan sebuah dana bagi mewujudkan program pengajian khas dalam bidang tersebut dengan memfokuskan latihan teori dan praktikal.
"Dana mencukupi diperlukan bagi memberi tajaan biasiswa dan penyelidikan kepada para pelajar dalam usaha melahirkan modal insan yang berbakat bagi membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam sejagat.
"Kita masih berusaha untuk mendapatkan dana daripada mereka yang berminat untuk menjadikan UIAM sebagai institusi induk kepada pengajian perbankan dan kewangan Islam pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis konvokesyen khas penganugerahan Profesor Emeritus kepada bekas Rektor UIAM kedua, Datuk Dr. Abdulhamid Ahmad Sulayman yang diadakan di Kampus UIAM di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac), di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Rektor UIAM, Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin; Timbalan Rektor Akademik dan Perancangan UIAM, Prof. Datuk Dr. Md. Tahir Md. Azhar dan profesor ulung UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.
Mengulas lanjut, Rais berkata, peluang tersebut cukup baik untuk diterokai memandangkan permintaan bakat dalam industri perbankan dan kewangan Islam secara komersial cukup besar di peringkat sejagat.
"Malah tawaran perkhidmatan dan produk bagi industri perbankan dan kewangan Islam kini sudah merentasi dalam ekonomi bukan Islam menyebabkan permintaan bagi bakat baru cukup tinggi," katanya.
Beliau yakin UIAM mempunyai potensi yang baik untuk mengurangkan jurang antara permintaan dan bekalan dengan kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang komited membangunkan pembangunan Islam.
Mengenai pelaksanaan program, Rais berkata, pihaknya akan mengadakan satu majlis khas bagi mengumumkan para penyumbang dana yang berminat menjayakan program pengajian khas perbankan dan kewangan tersebut.
Sementara itu, Abdulhamid dalam sidang akhbar hari ini berterima kasih kepada UIAM atas anugerah itu dan yakin ia akan menjadi satu galakan baginya untuk meneruskan komitmen dengan universiti itu bagi membangunkan modal insan berlandaskan Islam pada masa depan. (Utusan Malaysia/27 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday 24 August 2013

Bandar raya Islamik di UIAM Gombak


Kuala Lumpur: Sebuah bandar raya Islamik bernilai RM800 juta berasaskan model Madinah al-Munawarah di Arab Saudi akan dibina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak. 

Apabila siap nanti, ia akan meletakkan UIAM setaraf universiti unggul lain abad ke-21, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan projek itu. 


“Bandar raya Islamik yang dibina melalui sumbangan pelbagai pihak akan menjadi hab komersial UIAM dan saya harap universiti awam lain akan meneladani usaha murni UIAM ini. Apabila siap nanti ia akan membuktikan Malaysia sebagai negara moden yang menerapkan nilai Islam yang sederhana,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan universiti itu di Pusat Kebudayaan UIAM kampus Gombak, dekat sini, semalam. 


Pada majlis itu, Najib melancarkan projek bandar raya Islamik UIAM dan Kongres Sedunia Integrasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan (FWCII) 2013. 

Bandar raya Islamik UIAM akan dibina di kawasan seluas tujuh hektar berkonsepkan pembangunan bandar atas air dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun. 

Pembangunan bercampur 
Projek itu membabitkan pembangunan bercampur merangkumi pusat Islam, pusat perubatan, pusat persidangan, pangsapuri, hotel, pusat beli-belah dan medan selera. 

Projek usaha sama UIAM dan Gunung Land Sdn Bhd itu terletak di antara Stadium Sayyidina Hamzah dan Jalan Sungai Pusu, kampus Gombak. 

Turut hadir Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim; Rektor UIAM, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi FWCII, Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. 

Sempena ulang tahun UIAM, Najib mengisytiharkan institusi pengajian tinggi awam itu sebagai Universiti Islam Antarabangsa Premier dengan harapan ia terus melahirkan graduan dalam bidang agama, ekonomi dan politik. 

“Sasaran strategik UIAM adalah untuk mengubah statusnya sebagai universiti Islamik premier dengan pengiktirafan global dalam kegiatan penyelidikan,” katanya. 

Najib turut berharap UIAM akan menjadikan landasan untuk menyatukan kepemimpinan Islam dunia bagi menyelesaikan masalah umat Islam menerusi dialog ilmiah. 

“Ketika negara Islam berhadapan dengan pergolakan, sebaiknya UIAM mengambil langkah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi ummah,” katanya. (Berita Harian/24 Ogos 2013)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday 23 August 2013

Sukuk RM1b terbitan Syarikat Prasarana Negara Bhd terima langganan lebih 3 kali ganda


Sukuk terbitan Syarikat Prasarana Negara Bhd bernilai RM1 bilion mendapat sambutan memberangsangkan dengan menerima lebihan langganan lebih tiga kali ganda. 

Ia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan ekonomi negara meskipun agensi penarafan global, Fitch Ratings, baru-baru ini menurunkan tinjauan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif. 

Kejayaan terbitan sukuk yang dijamin kerajaan itu juga mencerminkan permintaan kukuh pelabur ke atas jenis pembiayaan sekuriti Islam berkenaan dan mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai peneraju industri kewangan Islam. 



Sukuk yang ditawarkan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu dibuat di bawah program nota jangka sederhana (MTN) dan diterbitkan dalam dua bahagian menerusi proses bidaan. 

Permintaan tinggi 

Bahagian pertama bernilai RM500 juta dengan tempoh matang 10 tahun mencatatkan tempahan RM1.635 bilion atau lebihan langganan sebanyak 3.27 kali, sementara bahagian kedua juga bernilai RM500 juta dengan tempoh matang 15 tahun mencatatkan lebihan langganan 3.1 kali. 

Berikutan permintaan tinggi itu, kadar hasil bagi kedua-dua bahagian itu ditetapkan masing-masing pada 4.26 peratus setahun dan 4.58 peratus. 
Pengarah Kumpulan Bahagian Kewangan Prasarana, Mohd Zahir Zahur Hussain, berkata penetapan kadar hasil yang rendah rendah bagi sukuk berkenaan berbanding harga panduan akhirnya menunjukkan minat kukuh pelabur terhadap sekuriti tempatan.


(Berita Hatian/23 ogos 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 1 August 2013

Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pasaran Kewangan Islam Malaysia memperkenalkan identiti jenama ikonik baharunya iaitu 'Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia' yang diyakini mampu meletakkan negara ini sebagai satu daripada peneraju dalam komuniti kewangan global.
Selaras dengan pelancaran ikonik baharu itu, kerajaan berharap lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di negara ini memandangkan Malaysia memiliki pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan menunjukkan peningkatan sejak 30 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan pelancaran tersebut berkata, tahap kecanggihan yang terdapat dalam Pasaran Kewangan Islam Malaysia hasil pencapaian dan usaha gigih semua komuniti industri kewangan Islam kini tersedia untuk seluruh dunia.
"Saya ingin mengambil peluang untuk mempelawa komuniti kewangan global datang ke Malaysia untuk memanfaatkan pasaran kewangan Islam kami. Hasrat kami adalah agar lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di sini.
"Kini terpulang kepada peserta dan peneraju pasaran untuk membangun dan memacu industri ini selain meningkatkan saling hubungan demi kemajuan pasaran kewangan Islam global," katanya semasa merasmikan pelancaran tersebut di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan diberi taklimat hampir dua jam oleh Lembaga Pengarah Bank Negara diketuai Zeti Akhtar mengenai perkembangan terkini ekonomi, kewangan serta prospek masa hadapan.
Mengulas lanjut Najib berkata, bakal pengguna kewangan Islam global yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia akan menikmati persekitaran yang cukup kondusif hasil rangka kerja pengawal seliaan, syariah serta undang-undang mantap di negara ini.
"Pasaran Kewangan Islam di Malaysia menyediakan kepakaran, produk inovatif dan aktiviti pelaburan yang aktif. Platform kewangan Islam juga amat luas untuk dimanfaatkan oleh para peserta sejagat meliputi antaranya bidang perbankan, sukuk, ekuiti dan takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/1 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Pelabur institusi minat sukuk

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pasaran sukuk di negara ini masih mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan banyak pelabur institusi.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, sukuk itu sendiri tercipta kerana wujudnya permintaan yang tinggi.
Katanya, salah satu contoh permintaan pasaran sukuk yang tinggi adalah dalam kalangan sistem domestik itu sendiri, terutamanya daripada industri insurans, dana pencen sehingga kepada dana-dana pelaburan yang lain.
"Mereka (pelabur) yang berada dalam sistem domestik ini merupakan sumber terbesar permintaan pasaran sukuk pada waktu ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran identiti jenama ikonik baharu 'Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia' di sini hari ini.
Tambah Zeti Akhtar, pasaran sukuk pada waktu ini telah dikuasai pelabur asing kerana kadar pulangan yang menggalakkan.
"Pasaran bon dan sukuk telah dibangunkan secukupnya bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan yang akan berlaku," ujarnya.
Pasaran sukuk Malaysia dijangka kekal tinggi tahun ini meskipun pasaran global turun naik, terutama di Amerika Syarikat (AS).
Malah, Pasaran sukuk Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan sihat seperti tahun lalu bersandarkan asasnya yang kukuh, infrastruktur yang baik, rangka kerja kawal aturan selain sistem Syariah.
Pelabur telah melihat Malaysia sebagai sebuah pasaran yang baik untuk diteroka.

(Utusan Malaysia/1 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com