Terkini

Tuesday 27 August 2013

UIAM meneroka peranan pembekal bakat perbankan Islam

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini meneroka langkah memperluaskan peranan universiti sebagai pembekal bakat bagi membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam sejagat.
Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah menubuhkan sebuah dana bagi mewujudkan program pengajian khas dalam bidang tersebut dengan memfokuskan latihan teori dan praktikal.
"Dana mencukupi diperlukan bagi memberi tajaan biasiswa dan penyelidikan kepada para pelajar dalam usaha melahirkan modal insan yang berbakat bagi membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam sejagat.
"Kita masih berusaha untuk mendapatkan dana daripada mereka yang berminat untuk menjadikan UIAM sebagai institusi induk kepada pengajian perbankan dan kewangan Islam pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis konvokesyen khas penganugerahan Profesor Emeritus kepada bekas Rektor UIAM kedua, Datuk Dr. Abdulhamid Ahmad Sulayman yang diadakan di Kampus UIAM di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac), di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Rektor UIAM, Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin; Timbalan Rektor Akademik dan Perancangan UIAM, Prof. Datuk Dr. Md. Tahir Md. Azhar dan profesor ulung UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.
Mengulas lanjut, Rais berkata, peluang tersebut cukup baik untuk diterokai memandangkan permintaan bakat dalam industri perbankan dan kewangan Islam secara komersial cukup besar di peringkat sejagat.
"Malah tawaran perkhidmatan dan produk bagi industri perbankan dan kewangan Islam kini sudah merentasi dalam ekonomi bukan Islam menyebabkan permintaan bagi bakat baru cukup tinggi," katanya.
Beliau yakin UIAM mempunyai potensi yang baik untuk mengurangkan jurang antara permintaan dan bekalan dengan kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang komited membangunkan pembangunan Islam.
Mengenai pelaksanaan program, Rais berkata, pihaknya akan mengadakan satu majlis khas bagi mengumumkan para penyumbang dana yang berminat menjayakan program pengajian khas perbankan dan kewangan tersebut.
Sementara itu, Abdulhamid dalam sidang akhbar hari ini berterima kasih kepada UIAM atas anugerah itu dan yakin ia akan menjadi satu galakan baginya untuk meneruskan komitmen dengan universiti itu bagi membangunkan modal insan berlandaskan Islam pada masa depan. (Utusan Malaysia/27 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment