Terkini

Wednesday, 31 December 2008

Peluang kerja banyak dalam perbankan Islam

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Sektor perbankan Islam yang mengalami pertumbuhan pesat menawarkan peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk negara ini berikutan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam.
Ketua Sumber Manusia Standard Chartered Malaysia Bhd. (StanChart), Rahmat Roslan Hashim berkata, menyedari peluang tersebut, bank itu kini menempatkan dirinya di barisan hadapan dalam usaha mengambil dan melatih bakat-bakat sedia ada untuk sayap perbankan Islamnya.
Menurut beliau, pihaknya telah membangunkan Inisiatif Bakat Baru StanChart, iaitu program yang mengenal pasti universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk mendapatkan sumber tenaga yang berpotensi.
Katanya, StanChart juga mengguna pakai pendekatan proaktif dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat-bakat menerusi program pelatih pengurusannya.
''Ini adalah bagi menyokong bilangan tenaga kerja berpengetahuan dan mahir yang terhad dalam industri kewangan dan perbankan pada masa ini serta dijangka berlanjutan ke tahun-tahun mendatang," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Rahmat berkata, StanChart sentiasa mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk diberikan tanggungjawab dan peranan bersesuaian dalam bank.
Misalnya, ujar beliau, di bawah program perantis StanChart, pihaknya sudah melatih 64 orang sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.
Menurutnya lagi, program tersebut memberi latihan selama 12 bulan dan pendedahan semasa bekerja bagi menyediakan pelatihnya dalam bidang-bidang berkaitan.
''Kami meletakkan sasaran untuk mendapatkan 100 orang lulusan program ini untuk mengisi kekosongan dalam perbankan pengguna dan khidmat sokongan," ujarnya.
Rahmat berkata, menerusi program graduan antarabangsa StanChart (IGP) pula, ia akan membangunkan pekerja mahir dan berpengetahuan serta membantu lebih lagi kerjaya mereka dengan bank itu.
Katanya, graduan dari sebarang bidang dan mereka yang memiliki pengalaman kerja selama 24 bulan akan melalui program dua tahun, diikuti lebih banyak peluang kerjaya.
Pada awal tahun ini, kata beliau, StanChart memeterai memorandum persefahaman bagi membangunkan sumber manusia dengan Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
Di bawah perjanjian itu, ujarnya, pihak universiti akan mengenal pasti graduan berpotensi untuk mengikuti program perintis StanChart, sekali gus memastikan jaminan kerjaya kepada para graduan terbabit selain menyediakan tenaga kerja tetap bagi bank tersebut.
(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment