Terkini

Showing posts with label RHB Islamic Bank. Show all posts
Showing posts with label RHB Islamic Bank. Show all posts

Thursday, 29 August 2013

RHB Islamic lantik Ibrahim Hassan Pengarah Urusan Kumpulan

KUALA LUMPUR 29 Ogos - RHB Islamic Bank Bhd melantik Ibrahim Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusannya berkuat kuasa 2 Sept 2013.
Pengarah Urusan RHB Banking Group, Kellee Kam berkata, Ibrahim akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi dan perniagaan perbankan Islam kumpulan termasuk memacu pertumbuhan perolehan, memperluaskan produk dan portfolio pelanggan di dalam dan luar negara.
"Kami mengalu-alukan sumbangan dan keupayaan beliau dalam menerajui perniagaan perbankan Islam kumpulan kepada penyedia perkhidmatan kewangan berasaskan syariah utama dunia," katanya.
Sebelum pelantikan itu, Ibrahim adalah Pengarah Presiden PT Bank Maybank Syariah Indonesia.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam. - BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 13 June 2008

RHB Islamic edar produk perancangan harta Islam (IEP)

KUALA LUMPUR 26 Mei - RHB Islamic Bank Bhd. (RHB Islamic) akan mengedar produk dan perkhidmatan Perancangan Harta Islam (IEP) menerusi perjanjian yang dijalinkan dengan as-Salihin Trustee Bhd. (as-Salihin).
Menerusi perjanjian itu, bank tersebut menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.1 juta untuk pengedaran produk dan perkhidmatan IEP itu pada tahun ini.
Pengarah Urusannya, Jamelah Jamaluddin berkata, pakatan strategik itu merupakan satu kejayaan besar kerana bank itu masih belum menembusi pasaran Islam sepenuhnya.
''Sebanyak RM440,000 daripada sasaran itu dijangka menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai.
''Dengan adanya pakatan ini, kami mampu meluaskan skop pasaran dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran umat Islam tentang keperluan menyumbang kepada IEP," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara RHB Islamic dan as-Salihin bagi pengedaran produk IEP di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Jamelah mewakili RHB Islamic manakala as-Salihin diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Peru Mohamed.
Hadir pada majlis ialah Pengerusi RHB Islamic, Datuk Faisal Ibrahim Siraj dan Pengerusi as-Salihin, Datuk Dr. Mohd Salleh Abas.
Menurut Jamelah, kesedaran mengenai IEP yang tidak mencukupi di kalangan masyarakat Islam di negara ini merupakan faktor utama kadar pengambilan produk IEP yang rendah.
''Produk ini akan diedarkan oleh RHB Islamic menerusi 200 cawangan dan pusat khidmat RHB di seluruh negara serta cawangan sedia ada kita di Singapura, Brunei dan Thailand," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya satu peratus daripada 16 juta masyarakat Islam di Malaysia menulis wasiat.
''Sebanyak RM40 bilion aset yang dimiliki oleh mereka yang meninggal masih dalam pembekuan dan belum dituntut oleh pewaris," jelasnya.
Tambahnya, RHB Islamic juga merancang untuk mengembangkan produk itu di rantau ini sebelum meluaskan pasaran ke luar negara.
''Setakat ini, kami sedang melatih lebih 27 kakitangan yang melibatkan pekerja daripada jabatan jualan RHB Islamic dan RHB Bank tentang perbankan Islam," ujarnya.
Menurut Jamelah, kumpulan itu bercadang untuk meluaskan produk pengurusan aset dalam masa terdekat, selaras dengan aspirasi menjadi kumpulan perbankan ketiga terbesar di Asia Tenggara menjelang tahun 2012.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 16 February 2008

Dana Islam RM19b biaya projek Sarawak


KUALA LUMPUR 6 Feb. - Syarikat utiliti, Sarawak Energy Bhd. bersama tiga buah bank Islam akan bekerjasama menubuhkan dana tenaga Islam berjumlah RM19.3 bilion (AS$6 bilion) bagi membiayai projek-projek di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank, Faisal Alshowaikh memberitahu agensi berita Reuters, keempat-empat pihak itu dijangka akan membuat perbincangan pada minggu depan untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) berkaitan penubuhan dana tersebut.
"Buat permulaan, akan terdapat sehingga RM3.2 bilion (AS$1 bilion) untuk dana ini, dan ia akan dinaikkan secara berperingkat kepada RM19.3 bilion (AS$6 bilion)," katanya.
Menurut Alshowaikh, dua lagi bank yang terbabit dalam pakatan tersebut adalah RHB Islamic Bank Bhd., anak syarikat RHB Capital Bhd. dan Unicorn Investment Bank yang berpangkalan di Bahrain.
Namun begitu, agensi berita tersebut gagal menghubungi Sarawak Engergy bagi mendapatkan komen.
Ketika ini, kerajaan negeri Sarawak bergiat aktif untuk menyiapkan pembinaan loji elektrik terbesar, Bakun yang mampu menjana sehingga 2,400 megawatt elektrik.
Selain itu, Sarawak juga berhasrat untuk membina sebuah lagi empangan hidroelektrik yang boleh menjana 2,000 megawatt elektrik menjelang 2013.
Asian Finance Bank merupakan syarikat kewangan yang dikuasai oleh Qatar Islamic Bank, manakala Unicorn Investment Bank pula ketika ini sedang mencari peluang untuk menyalurkan dana daripada Asia Barat ke negara-negara ASEAN menerusi pelaburan.
Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Reuters melaporkan bahawa Asian Finance Bank dengan kerjasama dana pelaburan kerajaan Amanah Raya Bhd. juga bercadang untuk menubuhkan Dana Marin Islam yang berjumlah RM3.2 bilion (AS$1 bilion) pada akhir bulan depan.
Dana tersebut ditubuhkan bagi membiayai pembelian kapal dan kemudian memajak kepada syarikat-syarikat minyak dan gas.--(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com