Terkini

Saturday 16 February 2008

Dana Islam RM19b biaya projek Sarawak


KUALA LUMPUR 6 Feb. - Syarikat utiliti, Sarawak Energy Bhd. bersama tiga buah bank Islam akan bekerjasama menubuhkan dana tenaga Islam berjumlah RM19.3 bilion (AS$6 bilion) bagi membiayai projek-projek di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank, Faisal Alshowaikh memberitahu agensi berita Reuters, keempat-empat pihak itu dijangka akan membuat perbincangan pada minggu depan untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) berkaitan penubuhan dana tersebut.
"Buat permulaan, akan terdapat sehingga RM3.2 bilion (AS$1 bilion) untuk dana ini, dan ia akan dinaikkan secara berperingkat kepada RM19.3 bilion (AS$6 bilion)," katanya.
Menurut Alshowaikh, dua lagi bank yang terbabit dalam pakatan tersebut adalah RHB Islamic Bank Bhd., anak syarikat RHB Capital Bhd. dan Unicorn Investment Bank yang berpangkalan di Bahrain.
Namun begitu, agensi berita tersebut gagal menghubungi Sarawak Engergy bagi mendapatkan komen.
Ketika ini, kerajaan negeri Sarawak bergiat aktif untuk menyiapkan pembinaan loji elektrik terbesar, Bakun yang mampu menjana sehingga 2,400 megawatt elektrik.
Selain itu, Sarawak juga berhasrat untuk membina sebuah lagi empangan hidroelektrik yang boleh menjana 2,000 megawatt elektrik menjelang 2013.
Asian Finance Bank merupakan syarikat kewangan yang dikuasai oleh Qatar Islamic Bank, manakala Unicorn Investment Bank pula ketika ini sedang mencari peluang untuk menyalurkan dana daripada Asia Barat ke negara-negara ASEAN menerusi pelaburan.
Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Reuters melaporkan bahawa Asian Finance Bank dengan kerjasama dana pelaburan kerajaan Amanah Raya Bhd. juga bercadang untuk menubuhkan Dana Marin Islam yang berjumlah RM3.2 bilion (AS$1 bilion) pada akhir bulan depan.
Dana tersebut ditubuhkan bagi membiayai pembelian kapal dan kemudian memajak kepada syarikat-syarikat minyak dan gas.--(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment