Terkini

Friday, 12 April 2019

Dari pegawai bank bertukar jadi penternak kelah


12 April 2019 (BH Online)

GUA MUSANG: Seorang pemuda sanggup berhenti kerja sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur untuk mengambil alih ternakan ikan kelah milik bapanya di Kampung Lepan Jaya di sini itu sejak setahun lalu.

Tindakan berani yang diambil Ibrahim Mat Nawi, 24, nyata membuahkan hasil apabila menjadi anak muda pertama di negeri ini yang berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah.

Kebolehan dimiliki Ibrahim yang memiliki Ijazah Perbankan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menerima pujian banyak pihak, termasuk Jabatan Perikanan Malaysia.

Ibrahim berkata, dia hanya sempat bekerja sebagai pegawai bank dalam tempoh lebih setahun sebelum membuat keputusan berhenti.

Katanya, dia mengakui ramai pihak, terutama rakan tidak setuju dengan tindakannya itu, namun tetap nekad untuk beralih bidang sebagai penternak ikan kelah di kampungnya.

“Biarpun bertugas pegawai bank, gaji yang saya peroleh masih tidak dapat menampung kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur. Selepas dinasihatkan bapa, saya nekad pulang ke kampung menjadi penternak ikan kelah.

“Kemahiran melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah diperoleh selepas mengikuti kursus di Pusat Latihan Jabatan Perikanan Malaysia di Serdang, Selangor.

“Alhamdulillah, kini saya memperoleh pendapatan lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia kini memiliki lapan kolam ikan di kawasan seluas lima hektar di kampung itu.

“Selain memiliki 9,000 ikan kelah, saya turut menternak tilapia (40,000), patin (25,000) dan tongsang (3,000),” katanya.


No comments:

Post a Comment