Terkini

Showing posts with label Suruhanjaya Sekuriti (SC). Show all posts
Showing posts with label Suruhanjaya Sekuriti (SC). Show all posts

Friday, 6 September 2013

Badan akreditasi kewangan ditubuhkan


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti memperkenalkan Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) dalam usaha menetapkan piawaian pembangunan serta pembelajaran profesional dalam sektor kewangan tempatan.
Badan itu bakal mengadakan kerjasama dengan institut tempatan dan antarabangsa untuk menentukan keperluan dan mengiktiraf program-program pembangunan sektor Kewangan Islam dan konvensional, pasaran modal serta insurans.
Tujuannya adalah untuk melahirkan tenaga pakar di dalam sektor-sektor tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif FAA, Dr. Amat Taap Manshor berkata, pihaknya mahu menganjurkan 100 program khusus bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemain industri tentang keperluan bakat serta piawaiannya.
Sebagai contoh beliau berkata, walaupun sektor Kewangan Islam tidak mempunyai masalah dari segi kuantiti tenaga kerja, namun kepakaran dalam bidang-bidang khusus masih kurang.
"Kami akan mengadakan hubungan dengan institut pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan kerja semasa," katanya selepas pelancaran rasmi FAA di sini hari ini.
Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi FAA merangkap Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.
FAA ditubuhkan sejak 2012 dan setakat ini telah menjalankan lebih 70 program berkaitan penetapan piawaian pembelajaran profesional sektor kewangan.

(Utusan Malaysia/6 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 14 August 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan meluluskan lebih banyak lesen syarikat pengurusan dana Islam

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan meluluskan lebih banyak lesen syarikat pengurusan dana Islam pada tahun ini dan tahun depan dalam usaha menjadikannya sebuah industri bertaraf global.
Pengerusi SC, Datuk Zarinah Anwar berkata, setakat ini, pihaknya telah memberi kelulusan kepada tiga syarikat asing dan sedang meneliti beberapa lagi permohonan dari negara-negara luar termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Asia Pasifik dan Asia Barat.
''Kita kini berusaha mempercepatkan proses permohonan yang akan dilakukan berperingkat-peringkat,'' kata beliau selepas menyampaikan ucaptama di Forum Kewangan Islam Malaysia 2008 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedah jumlah syarikat yang sedang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu.
Menurut beliau, kebanyakan syarikat yang membuat permohonan itu berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengurusan dana Islam masing-masing.
Zarinah juga berkata, SC tidak menetapkan sebarang jumlah kelulusan syarikat pengurusan dana Islam sebaliknya sedang bekerja keras untuk menarik lebih banyak syarikat berkenaan, khususnya syarikat-syarikat besar bagi beroperasi di negara ini.
''Saya percaya dengan adanya penyertaan di kalangan syarikat-syarikat pengurusan dana Islam antarabangsa bersama lima syarikat pengurusan dana global dan tempatan akan meningkatkan pertumbuhan industri ini di Malaysia,'' ujar beliau,
Ini secara tidak langsung akan menawarkan lebih banyak pilihan produk dan perkhidmatan kepada pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan dana Islam antarabangsa.
Terdahulu dalam ucapannya, Zarinah berkata, industri pengurusan pelaburan merupakan segmen pertumbuhan paling pantas dalam pasaran modal dengan kadar pertumbuhan kumulatif sebanyak 24 peratus setahun.
Katanya, pertumbuhan dalam industri itu dijangka terus mengukuh berikutan langkah kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bagi kelulusan produk pelaburan, melonggarkan syarat-syarat bagi pelaburan asing dan meliberalisasi undang-undang bagi syarikat pengurusan dana asing.
''SC juga menyediakan pelbagai cukai dan insentif-insentif lain bagi syarikat pengurusan dana Islam yang beroperasi di Malaysia dan langkah ini telah meningkatkan minat kukuh daripada syarikat-syarikat peneraju pengurusan dana dan firma antarabangsa,'' katanya.
Beliau menambah, industri itu sedang mengalami pertumbuhan lancar dan permintaan untuk produk unit amanah terus kukuh.
Tambahnya, jumlah jualan bagi unit dana amanah berasaskan syariah meningkat 84 peratus kepada RM2.96 bilion tahun ini berbanding RM1.61 bilion pada tahun 2007.
''Pertumbuhan memberangsangkan dalam segmen pasaran ini sungguh signifikan berbanding pertumbuhan jualan bersih sebanyak 11 peratus bagi produk konvensional pada tempoh yang sama,'' jelasnya.
Zarinah berkata, pertumbuhan kukuh itu didorong oleh peningkatan keupayaan dalam industri Malaysia dengan menawarkan perlindungan modal dalam produk berstruktur seperti pertukaran, opsyen dan instrumen lindung nilai yang bersandarkan aset termasuk mata wang dan komoditi.
Selain itu, SC juga meluluskan produk-produk yang ditawarkan pada pasaran rantau lain, satu lagi pertumbuhan baru bagi meningkatkan penguasaan pasaran.
(Sumber: Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 1 June 2008

Majlis Penasihat Syariah (SAC) Suruhanjaya Sekuriti luluskan 843 sekuriti halal

KUALA LUMPUR 30 Mei – Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini menerbitkan senarai terkini sekuriti berasaskan syariah di Bursa Malaysia yang berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan SC di sini hari ini, sekuriti yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC) itu berjumlah 843 sekuriti mewakili 85 peratus sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Senarai itu termasuk 23 sekuriti yang baru berasaskan syariah tetapi tidak termasuk 12 sekuriti yang disenaraikan sebelum ini pada November tahun lalu.
Senarai itu juga menyatakan bahawa sekuriti berasaskan syariah digambarkan dalam semua industri sektor.
Bagi mengklasifikasikan sekuriti yang disenaraikan, SAC telah menggunakan kriteria standard dalam menumpukan aktiviti syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia
Pendekatan dan kriteria yang digunakan serta nasihat dan panduan pelupusan sekuriti tidak berasaskan syariah dinyatakan dalam senarai itu.
Senarai penuh yang dikemas kini dua kali setahun boleh diperoleh melalui laman web SC di www.sc.com.my. Ia juga akan diterbitkan sebagai buku kecil dan boleh didapati di SC hujung Jun ini.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 28 March 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) luluskan sukuk RM121.3 bilion tahun 2007


KUALA LUMPUR 27 Mac – Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan sukuk bernilai RM121.3 bilion pada tahun lalu.


Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Zarinah Anwar berkata, jumlah tersebut merupakan 76 peratus daripada permohonan terbitan bon yang telah diluluskan dalam tempoh berkenaan.
‘‘Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, Malaysia terus menjadi peneraju sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia yang menguasai lebih daripada 60 peratus pasaran sukuk di dunia pada akhir tahun lalu,’’ katanya semasa berucap pada Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa, di sini hari ini.


Pada majlis tersebut juga, SC telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) masing-masing dengan Universiti Malaysia (UM) dan Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan SC, Datuk Dr. Nik Ramlah Mahmood dan Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim dan Pemangku Pengarah Institut Kajian Pengurusan Fatwa Dunia USIM, Profesor Dr. Abdul Samat Musa.


MoU itu adalah untuk SC dan UM bekerjasama bagi melaksanakan Program Lawatan Cendekiawan Pasaran Modal Islam dan MoU keduanya dengan USIM pula untuk menjalankan usaha kompilasi fatwa pertama di dunia.


Menurutnya, nilai sukuk korporat terbesar di dunia yang telah diterbitkan di negara ini adalah bernilai RM15.4 bilion (AS$4.8 bilion).


Selain itu, beliau berkata, industri saham amanah Islam juga turut berkembang dengan pesat melibatkan sebanyak 128 produk pada akhir tahun lalu berbanding hanya tiga pada tahun 1993.
‘‘Nilai aset bersih pasaran saham amanah Islam kini adalah berjumlah RM16.9 bilion,’’ jelasnya.
Ketika ditanya mengenai usaha melaksanakan kompilasi fatwa pertama di dunia itu, Zarinah berkata, ia merupakan salah satu langkah yang diambil SC untuk merancakkan lagi pembangunan pasaran modal Islam di negara ini.


Katanya, edisi pertama kompilasi yang dijangka diterbitkan menjelang awal tahun 2009 dan dibantu oleh pihak lain daripada pelbagai bidang serta perunding luar itu akan diterbitkan dalam beberapa edisi dalam tempoh tiga tahun.


Inisiatif seterusnya ialah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) yang akan dianggotai oleh Cendekiawan Syariah Arab Saudi, Dr. Mohamed Ali Elgari, Pengasas Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Fajr Capital, United Kingdom, Iqbal Khan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 3 March 2008

Hasil sukuk ringgit IDB habis digunakan dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR 2 Mac - Bank Pembangunan Islam (IDB) yang beribu pejabat di Jeddah yakin pendapatan daripada bon Islam, sukuk dalam mata wang tempatan pertama bernilai RM500 juta yang bakal ditawarkannya, akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh tidak sampai dua tahun.


"Insyallah, kurang daripada itu," kata Presidennya, Dr Ahmed Mohamed Ali, apabila ditanya sama ada pendapatan daripada bon Islam setengah bilion ringgit itu boleh digunakan sepenuhnya untuk membiayai projek-projek dalam tempoh dua hingga lima tahun.
Institusi pembiayaan pembangunan pelbagai hala itu menjangka dapat menerbitkan sukuk berkenaan di Malaysia dalam dua hingga tiga bulan lagi.


"Kebanyakan daripada jumlah itu akan dilaburkan di Malaysia dan jika ada lebihan, ia mungkin digunakan di luar negara ini," katanya, baru-baru ini.
Dr Mohamed Ali berkata, IDB telah mengenal pasti beberapa projek di Malaysia yang boleh dibiayai dengan menggunakan pendapatan daripada hasil jualan sukuk itu, dan ia sedang mempertimbangkan untuk menerbitkan lebih banyak sukuk di Malaysia.


Pengarah pejabat serantau IDB di Kuala Lumpur, Ahmed S. Hariri berkata sebahagian besar daripada sukuk bernilai RM500 juta itu akan digunakan bagi membiayai projek berharga kurang daripada AS$100 juta hingga AS$150 juta (RM320 juta hingga RM480 juta) yang diperuntukkan bagi Malaysia tahun ini.


Kebanyakan daripada peruntukan itu adalah bagi dua koridor ekonomi, iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
"Kami berhubungan dengan Khazanah Nasional dan Petronas, peneraju koridor-koridor itu.
"Tumpuan kami ialah pendidikan, kesihatan dan prasarana asas," katanya.
Sekiranya hasil sukuk itu digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, IDB tidak akan teragak-agak untuk menerbitkan sukuk baru yang lebih besar dalam nilai ringgit, kata Hariri.
"Sudah tentu. Kenapa tidak," tegasnya.
Bagaimanapun, katanya, itu bergantung kepada keperluan dan kewujudan projek-projek yang memerlukan pembiayaan ketika itu.
Bercerita lebih lanjut, Hariri berkata, IDB tertarik untuk menerbitkan sukuk dalam nilai ringgit di Malaysia disebabkan kejayaan dan pengalaman negara ini dalam menerbitkan bon Islam bagi syarikat dan juga organisasi antarabangsa.
"Sistem dan prosedur yang ada melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia sangat baik dan sempurna, membuatkan kami percaya dan yakin," tegas beliau.
Beliau berkata, sukuk RM500 juta itu merupakan terbitan bon Islam keempat bank itu kerana sebelum ini ia telah menerbitkan tiga sukuk dalam pasaran antarabangsa.
- Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


Wednesday, 27 February 2008

Malaysia - Pusat global bagi pasaran modal Islam dengan keupayaan menerbitkan sukuk korporat terbesar di dunia

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Saiz pasaran modal Malaysia telah merekodkan peningkatan lapan kali ganda kepada RM1.7 trilion dalam tempoh 18 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Zarinah Omar hari ini.
Beliau berkata, pencapaian memberangsang itu dicapai hasil inisiatif kerajaan melaksanakan reformasi pembangunan pasaran serta penguatkuasaan pasaran bagi meningkatkan kecekapannya.
“Kerancakan pasaran sekunder yang dikendalikan oleh Bursa Malaysia Bhd. telah merangsang peningkatan halaju jumlah dagangan daripada sebanyak 36 peratus pada tahun 2006 kepada 58 peratus pada tahun 2007.
“Jumlah modal pusingan bagi pasaran derivatif pula meningkat sebanyak 49 peratus pada tahun 2007,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pasaran Modal Serantau Tahunan Kedua, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.
Menurut Zarinah, tahun lalu juga telah menyaksikan perkembangan memberangsangkan di pasaran bon tempatan.
“Pasaran bon Malaysia merupakan pasaran keempat terbesar di Asia.
“Tahun lalu sahaja, SC telah meluluskan sejumlah RM160.3 bilion terbitan bon berasaskan Ringgit, meningkat kira-kira dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” tambah beliau.
Katanya, Malaysia juga telah berjaya menjadi pusat global bagi pasaran modal Islam dengan keupayaan menerbitkan sukuk korporat terbesar di dunia.
“Kedudukan Malaysia sebagai pusat pasaran modal Islam dibuktikan dengan kejayaan menerbitkan sukuk terbesar iaitu sebanyak RM15.4 bilion oleh Binariang dan pelancaran Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam terbesar oleh i-Valuecap Management.
“Pasaran saham amanah tempatan juga muncul sebagai pasaran saham amanah terbesar di kalangan negara ASEAN dengan pertumbuhan sebanyak 39 peratus pada tahun 2007 dan kini terdapat lebih daripada 500 dana saham amanah dengan nilai aset bersih (NAB) mencecah RM169 bilion,” katanya.
Menurut Zarinah, sebagai penguatkuasa pasaran modal, SC akan sentiasa memastikan hak pelabur sentiasa dilindungi dan menangani masalah salah laku korporat serta penyalahgunaan pasaran.
“Malaysia kini semakin mendapat pengiktirafan atas usaha-usahanya membendung pelanggaran undang-undang sekuriti dan penguatkuasaan rejim perlindungan pelabur di peringkat global.
“Kita boleh berbangga apabila Malaysia telah disenaraikan di tangga keempat daripada segi perlindungan pelabur di peringkat global selama dua tahun berturut oleh Bank Dunia,” katanya.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 26 February 2008

SC pinda garis panduan unit dana amanah

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan meminda beberapa garis panduan unit dana amanah mulai 2 Mac ini.
Pindaan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pasaran berdaya saing di peringkat global.
Pengerusinya, Datuk Zarinah Anwar berkata, pindaan panduan yang sedia ada telah digariskan agar memenuhi keperluan standard antarabangsa.
"Antaranya ialah melibatkan pemindahan halangan peraturan pelaburan seperti had pelaburan dalam pilihan dan masa depan kepada had berhati-berhati untuk pelaburan dalam derivatif.
"Ia turut melibatkan kelonggaran dan garis panduan keperluan dengan Bursa Malaysia dari segi pinjaman sekuriti," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Dana Malaysia The Edge-Lipper 2008 di sini hari ini.
Pada majlis itu, Public Mutual Bhd. dipilih untuk menerima Anugerah Dana Malaysia The Edge- Lipper 2008 untuk kategori Kumpulan Dana Ekuiti Terbaik.
Zarinah menambah, turut dipinda ialah pemindahan untuk pasaran luar yang memerlukan kelulusan SC .
Katanya lagi, sekatan terhadap pinjaman tunai juga akan diubah bagi memenuhi permintaan penebusan selain membenarkan penyebaran laporan interim yang singkat kepada pelabur.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan kelonggaran yang melibatkan peraturan Dana Secara Borong.
Jelasnya, pinjaman tunai untuk tujuan pelaburan akan dibenarkan dan kekerapan penilaian dan pembelian semula unit akan dilonggarkan.
Zarina berkata, kelayakan pelabur untuk dana tersebut akan diperluaskan bagi menarik pelaburan secara borong.
Tambahnya, satu kenyataan rasmi akan diumumkan oleh SC berkaitan pindaan peraturan itu dalam masa terdekat ini.
Menyentuh mengenai prestasi industri dana amanah di negara ini, beliau berkata, satu fenomena baru telah tercetus sepanjang lima tahun lalu.
Menurutnya, bagi tahun 2007, jumlah dana yang beroperasi telah berkembang sebanyak 26 peratus kepada 495 unit, yang mana 128 merupakan dana Islam.
Dari segi jumlah pelabur katanya, peningkatan ketara telah berlaku apabila nilai aset bersih (NAV) mencatatkan rekod tertinggi apabila naik sebanyak 39 peratus kepada RM169.4 bilion.
"Pretasi dana Islam cukup memberangsangkan apabila NAV berkembang sebanyak 84 peratus kepada RM16.86 bilion," katanya.
Zarinah berkata, jumlah pelaburan luar pada tahun lalu turut mengalami peningkatan sebanyak 79 peratus kepada RM15.16 bilion, mewakili hampir 10 peratus daripada pengurusan bawah aset.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 2 December 2007

SC pengawal selia dana Islam terbaik

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah dianugerahkan sebagai Pengawal Selia Dana Islam Terbaik pada majlis penganugerahan tertinggi dana Islam di Dubai, hari ini.
Pengerusinya, Datuk Zarinah Anwar berkata, anugerah julung- julung kali diadakan itu diterimanya bagi mengiktiraf segala usaha badan tersebut membangunkan industri pengurusan pelaburan Islam dan pasaran kewangan Islam Malaysia.
‘‘Kami bangga menerima anugerah ini,’’ katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pasaran Modal kali ke 12, di sini hari ini.
Jelasnya, antara pencapaian Malaysia yang mengagumkan itu ialah apabila namanya tersenarai sebagai negara pertama menerbitkan sukuk kedaulatan di peringkat global berjumlah AS$600 juta (RM2 bilion).
Penarafan
Sekuriti sandaran gadai janji kediaman Islam yang pertama kali juga diberi penarafan dan sukuk boleh tukar yang pertama berjumlah AS$750 juta (RM2.6 bilion) dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Islam juga yang pertama tersenarai.
Tambah beliau, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, separuh daripada sukuk di dunia berjumlah AS$5.9 bilion (RM20 bilion) juga diterbitkan dari Malaysia.
Zarinah berkata, pasaran modal Islam di Malaysia adalah besar yang mana 86 peratus daripada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mematuhi Syariah.
‘‘Tambahan pula, industri unit amanah Islam Malaysia adalah yang terbesar di dunia dengan nilai aset bersih bernilai AS$3.8 bilion (RM12.92 bilion),’’ katanya lagi.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com