Terkini

Friday 6 September 2013

Badan akreditasi kewangan ditubuhkan


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti memperkenalkan Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) dalam usaha menetapkan piawaian pembangunan serta pembelajaran profesional dalam sektor kewangan tempatan.
Badan itu bakal mengadakan kerjasama dengan institut tempatan dan antarabangsa untuk menentukan keperluan dan mengiktiraf program-program pembangunan sektor Kewangan Islam dan konvensional, pasaran modal serta insurans.
Tujuannya adalah untuk melahirkan tenaga pakar di dalam sektor-sektor tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif FAA, Dr. Amat Taap Manshor berkata, pihaknya mahu menganjurkan 100 program khusus bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemain industri tentang keperluan bakat serta piawaiannya.
Sebagai contoh beliau berkata, walaupun sektor Kewangan Islam tidak mempunyai masalah dari segi kuantiti tenaga kerja, namun kepakaran dalam bidang-bidang khusus masih kurang.
"Kami akan mengadakan hubungan dengan institut pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan kerja semasa," katanya selepas pelancaran rasmi FAA di sini hari ini.
Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi FAA merangkap Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.
FAA ditubuhkan sejak 2012 dan setakat ini telah menjalankan lebih 70 program berkaitan penetapan piawaian pembelajaran profesional sektor kewangan.

(Utusan Malaysia/6 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment