Terkini

Saturday 11 September 2004

Perbankan, kewangan - Malaysia boleh jadi pusat utama pendidikan

MALAYSIA boleh muncul sebagai pusat pendidikan utama bagi perbankan dan kewangan Islam bertaraf antarabangsa. Ia juga mampu menawarkan perkhidmatan perundingan perbankan Islam dan takaful melalui Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM). IBFIM, sebuah institusi milik industri dijangka berperanan sebagai penggerak aktiviti institusi kewangan Malaysia dan boleh diperkembangkan di peringkat serantau dan global. Ini berikutan pertumbuhan perbankan Islam dijangka meningkat berikutan liberalisasi lebih awal dengan membenarkan sebuah bank asing memulakan perbankan Islam di Malaysia selain pemberian dua lagi lesen baru akan dikeluarkan kepada peserta perbankan Islam asing yang berkelayakan. Selain itu, kelulusan kepada dua institusi perbankan tempatan untuk memulakan perbankan Islam sepenuhnya dijangka menggerakkan lagi perkembangan industri ini. Perkembangan perbankan Islam dalam enam bulan pertama tahun ini telah mengekalkan penguasaan dari segi aset dan deposit pada tahap tahun 2003 dan meningkatkan perkongsian pasaran pembiayaan. Aset perbankan Islam meningkat kepada RM89,077 juta untuk menguasai 9.9 peratus daripada jumlah aset perbankan pada akhir Jun 2004, berbanding pada akhir tahun 2003 berjumlah RM82,182 juta. Pembiayaan Islam juga bertambah 11.3 peratus kepada RM54,108 juta merangkumi sebanyak 11 peratus daripada jumlah pembiayaan sistem perbankan pada akhir tahun 2003 berjumlah RM48,612 juta. Peningkatan pertumbuhan disumbangkan oleh pembiayaan yang lebih tinggi di dalam kereta penumpang dan harta kediaman. Deposit perbankan Islam meningkat kepada RM63,922 juta daripada jumlah deposit perbankan pada akhir tahun 2003 berjumlah RM60,212 juta. Langkah-langkah yang diambil di peringkat domestik untuk memperkukuh dan mempromosi industri perbankan Islam di Malaysia bagi separuh pertama 2004 ialah mengeluarkan garis panduan keperluan kelulusan produk baru bagi institusi perbankan Islam. Turut dikeluarkan ialah garis panduan kad kredit-i bagi membolehkan institusi perbankan Islam menawarkan kad kredit berdasarkan kontrak bai'inah ( perjanjian jual dan beli balik) atau bai'bithaman ajil (jualan dengan bayaran tertangguh). Selain itu pindaan Akta Bank Negara 1958 dibuat bagi menaik taraf Majlis Penasihat Syariah sebagai badan syariah yang tunggal berkaitan perbankan dan institusi kewangan Islam. Di peringkat antarabangsa pula dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (LPKI), kini lebih menonjol dan telah menarik lebih banyak penyertaan agensi luar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, Bank for International Settlements dan Pembangunan Asia sebagai ahli bersekutu. Malaysia juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Pembangunan Islam pada Jun 2004 bagi membuka laluan untuk lebih kerjasama dengan negara-negara Persidangan Pertubuhan Islam (OIC).

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com