Terkini

Wednesday 9 April 2014

Riba: Definisi dan Jenis-jenis Riba




Isu riba’ merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang Muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian Muslim, tapi tidak dihayati untuk meninggalkannya. Riba’ merupakan suatu larangan yang bersifat mutlak oleh Allah SWT.
Apa itu Riba’?

Apa Jenis-jenis Riba’?

Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba’?

Apa itu Riba’?

Takrifan ringkas riba’ ialah merupakan sebarang tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu (barang ribawi)(1). 

Ia merangkumi merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun)  dan riba melalui pertukaran barangan ribawi (riba al-Buyu’).

Apa pula Riba’ ad-Duyun dan riba al-Buyu’?


A) Riba’ ad-Duyun
Riba jenis ini adalah riba’ yang muncul dari hutang. Ia merupakan lebihan yang terhasil disebabkan tempoh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:


a) Riba al-Qardh: Iaitu sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat pada awal kontrak pinjaman. Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam. 

Sebagai contoh, Ahmad ingin meminjam RM1,000 daripada Mohd. Tetapi Mohd menetapkan syarat bahawa Ahmad wajib membayar semula hutang tersebut sebanyak RM1,200. Lebihan RM200 merupakan riba ad-Duyun jenis al-Qardh.


b) Riba al-Jahiliyyah: Merupakan kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pokok, yang dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam akibat si peminjam gagal membayar pada tempoh yang telah dipersetujui.  

Sebagai contoh, Mohd bersetuju memberi pinjaman kepada Ahmad sebanyak RM500 dan dikehendaki membayar kembali satu bulan dari sekarang. Tetapi sekiranya Ahmad gagal membayar hutang Mohd sebelum atau pada 1 bulan yang telah ditetapkan, maka Ahmad dikehendaki membayar pada Mohd sebanyak RM600. Lebihan sebanyak RM100 merupakan riba’ ad_Duyun jenis al-Jahiliyyah.

B) Riba’ al-Buyu’
Riba’ jenis ini pula muncul daripada jual beli barangan ribawi. Ia merupakan ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran 2 barang ribawi atau pertukaran tersebut dibuat secara tangguh.


a) Riba’ an-Nasa’: Ia merupakan jual beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh (tidak sempurna dalam 1 masa).

Sebagai contoh, Aminah membeli emas seberat 6 gram dengan harga RM1,000 secara tangguh (maknanya, ambil emas hari ini, bayarnya bulan depan). Riba an-Nasa' juga disebut sebagai riba an-Nasiah.

b) Riba al-Fadhl: Merupakan jual beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual dengan timbang) atau kuantiti (jika dijual secara bilangan kuantiti)

Sebagai contoh, Menukar 10 gram emas (jenis 916) dengan 12 gram emas (jenis kualiti 750). Pertukaran jenis ini adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya mesti sama timbangan (contoh: 10 gram atau 12 gram). Perbezaan kualiti tidak memberikan kesan kepada hukum.


Terdapat 2 syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan riba’ an-Nasa’, iaitu:
i) Mesti sama berat atau kuantiti nya (walau berbeza kualiti dan harganya).


ii) Transaksi pertukaran mesti dilakukan dalam satu masa atau satu majlis (maksudnya, pembeli dan penjual tidak boleh beredar sebelum menyerahkan barang pertukaran).

Apa Ancaman Bagi Orang Islam Yang Mengamalkan Riba’?

A) Allah dan RasulNya Mengisytiharkan Peperangan ke atas Pemakan dan Pemberi Riba.

Firman Allah swt:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.  Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279)  


Ini merupakan ancaman keras dari Allah. Bahkan merupakan ayat cabaran dari Allah bagi sesiapa yang degil dan engkar dengan perintahNya. Imam Abu Hanifah pernah berkata;” Ini adalah ayat al-Quran yang paling menakutkan.”

Tinggalkan riba jika kamu benar-benar mengaku sebagai hamba Allah.

B) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.
Firman Allah swt:


“Allah menghancurkan keberkatan kerana riba’ dan menambahkan keberkatan daripada sedekah.” (al-Baqarah: 276)

C) Seperti berzina dengan Ibu Bapa Sendiri.


Nabi saw Bersabda:


“Riba’ mempunyai 72 pintu. Riba’ yang paling ringan dosanya ialah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.”
(Riwayat at-Tabrani, 7/158; al_Hakim, Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)

Mari kita buka mata dan hati, betapa beratnya ancaman Allah terhadap orang yang mengamalkan riba dalam kehidupan seharian.

D) Lebih berat Daripada 36 Kali Berzina.
Nabi saw bersabda:


” Satu dirham riba’ yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.” (Riwayat Ahmad dan Ad-Dar Qutni)

E) Salah Satu Daripada 7 Dosa Besar.
Nabi saw bersabda:


” Jauhilah 7 dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba’, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan(kerana takut), dan menuduh perempuan yang suci berzina(tanpa saksi adil).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Fahami apa itu riba’, jenis-jenisnya dan apa ancaman yang datang dari Allah dan Rasulnya bagi sesiapa yang mangamalkan riba’ dalam kehidupan meraka. Semak semula, dari mana sumber pendapatan kita selama ini. Semoga kehidupan kita bebas riba dan larangan-larangan yang lain.

Nota: (1) Barangan ribawi adalah berkaitan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: “Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus(pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana disukai.” (Riwayat Muslim nombor 4039, nombor hadis, 11/9)

https://kewangan-pelaburan-islam.blogspot.com/2014/04/riba-definisi-dan-jenis-jenis-riba.html

Tuesday 8 April 2014

Menjadikan Malaysia dikenali sebagai hab halal dunia

SEMASA saya menghadiri persidangan akademik untuk membentangkan kertas kerja penyelidikan di Auckland, New Zeland pada 2006, saya berkesempatan berbual dengan beberapa peserta dan pembentang kertas kerja bagi persidangan berkenaan.
Apabila saya menyebut bahawa saya berasal dari Malaysia, salah seorang daripada mereka yang berasal dari Jerman teruja dengan menyatakan bahawa masakan di Malaysia amat sedap terutamanya hidangan ayam berbanding negara-negara lain.
Dia bertanya kepada saya adakah kelazatan hidangan ayam di Malaysia disebabkan ayam disembelih mengikut cara Islam. Soalan yang ditanya olehnya menyebabkan saya semakin teruja berbual dengannya dan sekali gus menerangkan mengenai penyembelihan haiwan mengikut kaedah Islam.
Bagaimanapun, saya tidak dapat menjawab soalan sama ada kelazatan ayam berkenaan ada kaitan secara langsung dengan penyembelihan cara Islam. Cuma saya boleh katakan penyembelihan cara Islam adalah kaedah yang tidak kejam terhadap haiwan dan pada masa sama untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan Allah SWT. Satu kajian akademik perlu dijalankan untuk menjawab persoalan berkenaan.
Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai ingin mendalami mengenai agama Islam terutamanya berkaitan perniagaan, kewangan dan ekonomi Islam. Minat semakin mendalam ini menyebabkan pelbagai persidangan, seminar dan pameran mengenainya.
Misalnya, minggu ini berlangsungnya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2014. Sudah 10 kali pameran diadakan sebelum ini dan kali ini merupakan kali ke-11 ia diadakan. Kalau tiada permintaan tinggi mana mungkin pameran ini diadakan setiap tahun bermula 2004. Ini menggambarkan kejayaan mengadakan pameran ini dalam tahun-tahun terdahulu.
Mihas diketahui umum merupakan pameran produk halal peringkat antarabangsa yang terbesar di dunia. Di sinilah, pertemuan di antara peniaga tempatan dan pembeli asing diatur untuk meningkatkan dagangan produk-produk halal. Produk-produk halal tempatan dapat diperluaskan ke seluruh dunia dengan mengadakan pameran sebegini.
Satu perkara yang cukup menarik mengenai Mihas, berkenaan permintaan yang amat tinggi ke atas produk makanan dan minuman halal. Mengikut rekod, produk ini merupakan sumbangan terbesar produk halal ke negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga negara-negara ASEAN.
Permintaan ke atas produk halal makanan dan minuman menggambarkan bahawa produk halal ini mampu menarik minat dan memperluaskan eksport ke negara-negara bukan Islam dan bukan setakat negara-negara Islam. Ini kerana halal merupakan jenama piawaian antarabangsa yang sewajarnya digunapakai di seluruh dunia. Sebagaimana piawaian-piawaian antarabangsa yang lain, piawaian halal ini meliputi banyak aspek termasuklah tahap kebersihan sesuatu produk terutamanya makanan dan minuman.
Jadi, jenama halal amat sesuai untuk semua bangsa dan agama di seluruh dunia. Malangnya di negara kita sendiri masih ada pihak yang menipu jenama halal untuk mengaut keuntungan melalui urusan jual beli dengan orang Islam. Ada yang sanggup menipu umat Islam semasa bulan Ramadan dengan menguar-uarkan hidangan berbuka puasa yang ditawarkan adalah halal sedangkan peniaga berkenaan menyajikan hidangan yang tidak halal.
Mereka yang menipu ini berfikiran cetek sedangkan sesuatu produk yang benar-benar halal memberi banyak manfaat kepada manusia. Jenama ini sewajarnya dijadikan amalan untuk seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama kerana tiada siapa yang boleh memberi fakta bahawa halal boleh memudaratkan manusia.
Sebaliknya, halal itu bukan setakat memberi manfaat kepada manusia tetapi juga mendekatkan manusia kepada Yang Maha Esa, Allah SWT. Bahkan, keadaan ekonomi semasa menunjukkan bahawa jenama halal atau produk yang mematuhi syariah Islam seperti ekonomi dan kewangan Islam semakin digemari oleh bukan Islam di seluruh dunia. Kelebihan-kelebihan seperti tiada riba, spekulasi, penindasan dan penipuan menjadikan produk kewangan Islam tidak ternilai baiknya berbanding produk kewangan konvensional berteraskan sistem kapitalis.
Produk-produk tempatan tidak kiralah sama ada melibatkan barangan mahupun perkhidmatan patut dijenamakan identiti sebagai produk yang berteraskan syariah dan halal pada setiap masa. Ini dapat membezakan produk-produk Malaysia dengan produk-produk lain di dunia. Misalnya, dalam industri pelancongan, jenama halal sewajarnya diamalkan dalam keseluruhan sub-sektor pelancongan.
Kalau ini dapat dilakukan, insya-Allah industri pelancongan negara akan semakin rancak dan seterusnya meningkatkan lagi pendapatan negara kerana insya-Allah pendapatan yang diperoleh akan mendapat keberkatan Allah. Lagipun, kalau mahukan produk-produk pelancongan yang tidak halal, boleh dikatakan kebanyakan negara di dunia mampu menawarkan.
Namun, untuk menawarkan produk pelancongan yang halal sepenuhnya hanya sebilangan kecil negara di dunia yang mampu untuk menawarkan produk sebegini. Salah satu daripadanya negara kita sendiri.
Dengan kata lain, Malaysia perlu mempunyai identiti mengikut acuan perniagaan, ekonomi dan kewangan sendiri berteraskan agama Islam. Tidak mustahil sampai satu peringkat, jenama halal ini dikenali sehinggakan apabila disebut sahaja Malaysia, yang terlintas di kepala setiap manusia di dunia, produk-produk Malaysia adalah halal, bersih, suci dan selamat.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA),
Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.
- Utusan Malaysia
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday 6 April 2014

Malaysia perlukan 35,000 pakar perbankan Islam

Kuala Lumpur 6 April 2014 - Malaysia memerlukan lagi 35,000 profesional perbankan Islam yang bertauliah menjelang 2020 supaya sektor perbankan Islam lebih berdaya saing.
Penasihat Kanan Pengurusan Bisnes Syariah, Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IBFIM), Razli Ramli berkata, setakat ini hanya terdapat kira-kira 30,000 sahaja profesional perbankan Islam daripada keseluruhan 130,000 pekerja di lebih 50 buah bank di negara ini.
Beliau berkata, jumlah itu masih tidak mampu menampung keperluan bagi tenaga mahir dalam bidang tersebut memandangkan terdapat sebahagian daripada mereka turut bertugas di luar negara seperti negara-negara Asia Barat dan Singapura.
"Ramai daripada jumlah itu berkhidmat di 16 buah bank yang menawarkan produk dan perkhidmatan yang patuh syariah di negara ini dan bilangan permintaan untuk mereka kian bertambah selari dengan perkembangan pesat sektor kewangan Islam," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sebagai salah satu institusi yang melatih tenaga mahir dalam perbankan Islam, IBFIM memyasarkan untuk menarik lebih ramai golongan siswazah dan pekerja dalam sektor perbankan menerokai kelebihan dalam sektor perbankan Islam.
"Peluang ini harus direbut oleh golongan muda di negara ini terutama yang masih tercari-cari kerjaya mencabar tetapi bersesuaian dengan minat dan kelayakan.
"Apa yang kita hadapi hari ini, apabila negara kekurangan tenaga mahir dalam bidang ini, sudah tentu kita kekurangan idea baharu dalam menawarkan produk-produk yang lebih inovatif dan kompetetif,"katanya.
Ketika ditanya tentang kesedaran masyarat ini terhadap perbankan Islam, beliau menyifatkan berlaku peningkatan yang baik tetapi masih belum mencukupi.
Sehubungan itu, katanya, IBFIM akan terlibat dalam Bulan Dakwah Kebangsaan yang dijangka diadakan pada 28 Mei hingga 1 Jun depan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Menerusi program itu, beliau berharap dapat membuka minda masyarakat terhadap kelebihan perbankan Islam dan menarik golongan mahasiswa tentang peluang-peluang kerjaya dalam sektor perbankan.
- Utusan Malaysia
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Kewangan Islam Diunjur Berkembang Kukuh Pada 15 Peratus Tahun Ini, Kata IBFIM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Industri kewangan Islam akan terus berkembang kukuh tahun ini, dan dijangka merekodkan purata pertumbuhan 15 peratus, kata Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Datuk Dr Adnan Alias berkata pertumbuhan itu sebahagian besarnya dirangsang oleh peningkatan dalam pembangunan bakat dalam negara, selain kadar penyertaan dalam Pensijilan Kelayakan dalam Kewangan Islam (CQIF), kelayakan utama dalam kewangan Islam.

Bercakap kepada Bernama, beliau juga berkata 'IBFIM Online', pembelajaran dalam talian (e-Pembelajaran) pertama di Malaysia bagi pensijilan industri kewangan Islam, juga akan membantu meningkatkan pertumbuhan itu, katanya.

"Dalam sesetengah kes, pensijilan diwajibkan sebelum seseorang boleh melibatkan diri dalam industri itu (profesional industri). Ia adalah standard yang ditetapkan bagi memastikan kecekapan dan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

"e-Pembelajran merupakan kaedah baharu pembelajaran yang memudahkan, fleksibel dan memberi akses pembelajaran kepada bakat dalam industri berkenaan, sekali gus meningkatkan bilangan penyertaan dalam program pensijilan.

"Apabila semakin ramai yang mengguna pakai amalan kewangan Islam, ia pastinya akan memudahkan pertumbuhan industri serta perdagangan dan pembangunan ekonomi dalam negara secara menyeluruh," katanya selepas melancarkan 'IBFIM Online' di sini pada Sabtu.

e-Pembelajaran dibangunkan bersama oleh IBFIM, Bank Negara Malaysia dan penggiat industri itu yang disediakan untuk merangsang inisiatif pembangunan bakat menerusi platform yang menarik.

IBFIM ialah institut yang mengawal atur industri itu dengan matlamat memenuhi keperluan pemegang kepentingan industri kewangan Islam dalam pembangunan bakat dan perniagaan.

Antara institusi kewangan yang mempunyai keyakinan dalam pembangunan bakat masing-masing dalam kewangan Islam termasuk Public Bank, MBSB, Maybank, Standard Chartered, Takaful Ikhlas, CIMB, Etiqa, dan Bank Islam.

Bagi meningkatkan kehadirannya di peringkat serantau dan dunia, IBFIM turut menjalin kerjasama akademik dengan universiti dan institusi pendidikan tinggi swasta dalam dan luar negara.

Antaranya Jabatan Pengajian Politeknik, Universiti Utara Malaysia, Universiti Tun Abdul Razak, Bayero University of Nigeria, dan dijangka menandatangani memorandom persefahaman dengan Emirates Institute for Banking and Financial Studies, Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 3 April 2014

Perbankan Islam jadi fokus - Peter Sands

KUALA LUMPUR 3 April 2014 - Bank global, Standard Chartered PLC berpendapat segmen perbankan Islam bakal menjadi fokus pada masa hadapan kerana kedudukannya kini telah mengatasi segmen perbankan konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Peter Sands berkata, perkembangan itu sesuatu yang positif kerana cawangannya di Malaysia merupakan hab perbankan Islam yang menawarkan produk bertaraf global memandangkan permintaan terhadap segmen itu telah mula diterima di seluruh dunia.
Beliau berkata, sehubungan itu syarikat perbankan global tersebut akan meneruskan pelaburannya di Malaysia dari segi keupayaan sumber manusia, infrastruktur, teknologi, produk dan sebagainya.
“Kami melihat perbankan Islam mempunyai peluang yang besar dan kita mempunyai hab kewangan Islam yang bertaraf global di Malaysia," katanya pada sidang akhbar sempana lawatannya ke Malaysia, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Osman Tarique Morad.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, Malaysia merupakan pasaran yang penting dan satu daripada pasaran yang terbesar di dunia dengan menghasilkan pertumbuhan memberangsangkan.
Semua segmen produk perbankan di Malaysia katanya, tetap menjadi fokus tetapi pada masa yang sama tidak boleh menafikan tentang kepentingan segmen perbankan Islam.
Kata beliau, terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih rendah sumbangannya selain perniagaan peruncitan perbankan.
“Banyak syarikat Malaysia yang melabur merentas ASEAN serta dunia, dan kami mempunyai jaringan kerja yang baik dan luas dengan mempunyai cawangan yang banyak di ASEAN," kata beliau.
Berhubung dengan pertumbuhan ekonomi serantau, Sands berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Asia dan Asia Barat dijangka lebih kukuh berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit ketidaktentuan pada awal tahun disebabkan faktor seperti pilihan raya di India dan Indonesia.
China pula begitu agresif dalam agenda reformasi ekonominya dan kekal positif, tetapi proses peralihan itu kelihatan mencabar, jelas beliau lagi.
Pada sidang akhbar itu juga, beliau melahirkan rasa sedih dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
“Walaupun terdapat teknologi yang canggih, namun dalam sesetengah keadaan, adalah sukar untuk memberi penjelasan yang boleh difahami," kata Sands.
- Utusan Malaysia
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com