SEMASA saya menghadiri persidangan akademik untuk membentangkan kertas kerja penyelidikan di Auckland, New Zeland pada 2006, saya berkesempatan berbual dengan beberapa peserta dan pembentang kertas kerja bagi persidangan berkenaan.
Apabila saya menyebut bahawa saya berasal dari Malaysia, salah seorang daripada mereka yang berasal dari Jerman teruja dengan menyatakan bahawa masakan di Malaysia amat sedap terutamanya hidangan ayam berbanding negara-negara lain.
Dia bertanya kepada saya adakah kelazatan hidangan ayam di Malaysia disebabkan ayam disembelih mengikut cara Islam. Soalan yang ditanya olehnya menyebabkan saya semakin teruja berbual dengannya dan sekali gus menerangkan mengenai penyembelihan haiwan mengikut kaedah Islam.
Bagaimanapun, saya tidak dapat menjawab soalan sama ada kelazatan ayam berkenaan ada kaitan secara langsung dengan penyembelihan cara Islam. Cuma saya boleh katakan penyembelihan cara Islam adalah kaedah yang tidak kejam terhadap haiwan dan pada masa sama untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan Allah SWT. Satu kajian akademik perlu dijalankan untuk menjawab persoalan berkenaan.
Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai ingin mendalami mengenai agama Islam terutamanya berkaitan perniagaan, kewangan dan ekonomi Islam. Minat semakin mendalam ini menyebabkan pelbagai persidangan, seminar dan pameran mengenainya.
Misalnya, minggu ini berlangsungnya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2014. Sudah 10 kali pameran diadakan sebelum ini dan kali ini merupakan kali ke-11 ia diadakan. Kalau tiada permintaan tinggi mana mungkin pameran ini diadakan setiap tahun bermula 2004. Ini menggambarkan kejayaan mengadakan pameran ini dalam tahun-tahun terdahulu.
Mihas diketahui umum merupakan pameran produk halal peringkat antarabangsa yang terbesar di dunia. Di sinilah, pertemuan di antara peniaga tempatan dan pembeli asing diatur untuk meningkatkan dagangan produk-produk halal. Produk-produk halal tempatan dapat diperluaskan ke seluruh dunia dengan mengadakan pameran sebegini.
Satu perkara yang cukup menarik mengenai Mihas, berkenaan permintaan yang amat tinggi ke atas produk makanan dan minuman halal. Mengikut rekod, produk ini merupakan sumbangan terbesar produk halal ke negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga negara-negara ASEAN.
Permintaan ke atas produk halal makanan dan minuman menggambarkan bahawa produk halal ini mampu menarik minat dan memperluaskan eksport ke negara-negara bukan Islam dan bukan setakat negara-negara Islam. Ini kerana halal merupakan jenama piawaian antarabangsa yang sewajarnya digunapakai di seluruh dunia. Sebagaimana piawaian-piawaian antarabangsa yang lain, piawaian halal ini meliputi banyak aspek termasuklah tahap kebersihan sesuatu produk terutamanya makanan dan minuman.
Jadi, jenama halal amat sesuai untuk semua bangsa dan agama di seluruh dunia. Malangnya di negara kita sendiri masih ada pihak yang menipu jenama halal untuk mengaut keuntungan melalui urusan jual beli dengan orang Islam. Ada yang sanggup menipu umat Islam semasa bulan Ramadan dengan menguar-uarkan hidangan berbuka puasa yang ditawarkan adalah halal sedangkan peniaga berkenaan menyajikan hidangan yang tidak halal.
Mereka yang menipu ini berfikiran cetek sedangkan sesuatu produk yang benar-benar halal memberi banyak manfaat kepada manusia. Jenama ini sewajarnya dijadikan amalan untuk seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama kerana tiada siapa yang boleh memberi fakta bahawa halal boleh memudaratkan manusia.
Sebaliknya, halal itu bukan setakat memberi manfaat kepada manusia tetapi juga mendekatkan manusia kepada Yang Maha Esa, Allah SWT. Bahkan, keadaan ekonomi semasa menunjukkan bahawa jenama halal atau produk yang mematuhi syariah Islam seperti ekonomi dan kewangan Islam semakin digemari oleh bukan Islam di seluruh dunia. Kelebihan-kelebihan seperti tiada riba, spekulasi, penindasan dan penipuan menjadikan produk kewangan Islam tidak ternilai baiknya berbanding produk kewangan konvensional berteraskan sistem kapitalis.
Produk-produk tempatan tidak kiralah sama ada melibatkan barangan mahupun perkhidmatan patut dijenamakan identiti sebagai produk yang berteraskan syariah dan halal pada setiap masa. Ini dapat membezakan produk-produk Malaysia dengan produk-produk lain di dunia. Misalnya, dalam industri pelancongan, jenama halal sewajarnya diamalkan dalam keseluruhan sub-sektor pelancongan.
Kalau ini dapat dilakukan, insya-Allah industri pelancongan negara akan semakin rancak dan seterusnya meningkatkan lagi pendapatan negara kerana insya-Allah pendapatan yang diperoleh akan mendapat keberkatan Allah. Lagipun, kalau mahukan produk-produk pelancongan yang tidak halal, boleh dikatakan kebanyakan negara di dunia mampu menawarkan.
Namun, untuk menawarkan produk pelancongan yang halal sepenuhnya hanya sebilangan kecil negara di dunia yang mampu untuk menawarkan produk sebegini. Salah satu daripadanya negara kita sendiri.
Dengan kata lain, Malaysia perlu mempunyai identiti mengikut acuan perniagaan, ekonomi dan kewangan sendiri berteraskan agama Islam. Tidak mustahil sampai satu peringkat, jenama halal ini dikenali sehinggakan apabila disebut sahaja Malaysia, yang terlintas di kepala setiap manusia di dunia, produk-produk Malaysia adalah halal, bersih, suci dan selamat.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA),
Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.
- Utusan Malaysia
---
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment