Terkini

Saturday 6 April 2019

Sejarah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad


Sejarah penubuhan Bank Islam bermula sebelum Perang Dunia II lagi di mana umat Islam di negara ini mula mencari sistem kewangan alternatif yang mematuhi kehendak Syariah (perundangan Islam). Sehinggalah pada tahun 1969 Lembaga Urusan dan Tabung Haji (“Tabung Haji”) ditubuhkan sebagai salah satu institusi kewangan Islam yang pertama di negara ini, demi menggalakkan umat Islam membuat simpanan dan pelaburan. Pada masa yang sama, ia juga membantu pendeposit untuk menunaikan Haji.

Di peringkat antarabangsa, cadangan untuk menubuhkan sebuah sistem perbankan Islam kian mendapat sambutan. Ia menjurus kepada penubuhan bank Islam pertama di Dubai pada tahun 1975. Bank tersebut ditubuhkan berdasarkan hasil penyelidikan gigih selama 15 tahun dan usaha bersama oleh pakar ekonomi profesional Islam, pembiaya dan pegawai dari pelbagai organisasi Islam di dunia.

Penubuhan Bank Islam pada tahun 1983 adalah hasil dedikasi yang diilhamkan oleh Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1980, diikuti dengan seminar mengenai Konsep Pembangunan dalam Islam pada tahun 1981. Ia juga merupakan hasil usaha sama Tabung Haji, PERKIM (pertubuhan bukan kerajaan yang komited untuk memelihara kebajikan orang Islam di seluruh negara) dan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk bank Islam (“Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan”).

Bermula dengan 30 orang kakitangan, Bank Islam beroperasi di ibu pejabat sementara di Kompleks Jemaah Haji, Subang pada tahun pertamanya. Pada akhir tahun kewangan pertama, Bank Islam dengan 272 orang kakitangan menjalankan perniagaannya di empat buah cawangan yang beroperasi di Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Alor Setar.

Melalui pengurusan pembangunan tanah Wakaf yang inovatif, hari ini ibu pejabat Bank Islam bertempat di Menara Bank Islam yang terletak di tengah-tengah ‘segitiga emas’ Kuala Lumpur. Pada akhir tahun 2013, Bank Islam mempunyai 133 buah cawangan di seluruh negara dengan tenaga kerja lebih daripada 4,200 orang kakitangan.




No comments:

Post a Comment