Terkini

Tuesday 29 January 2008

Status caj PTPTN


Oleh Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM



LAPORAN akhbar mengenai caj perkhidmatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik perhatian saya. Laporan itu menyatakan Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail akan membawa isu caj ini ke Majlis Fatwa Kebangsaan bagi ‘membersihkan’ salah faham dan kekeliruan mengenainya.Saya amat menghargai hasrat Pengerusi PTPTN itu. Ia adalah tindakan yang amat wajar. Namun, harapan, bayangan dan pendapat awal beliau mungkin boleh menyebabkan disilap tafsirkan, beliau dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata:“Walaupun kami tahu caj itu caj perkhidmatan, tidak bertentangan dengan syarak, namun nama baik PTPTN mesti dipertahankan. Caj itu bukan riba tetapi adalah caj yang dikenakan selepas perkhidmatan diberikan.”


Kos Pentadbiran Yang Bermasalah.


Kita semua mengetahui dengan jelas bahawa PTPTN menggunakan akad pinjaman kepada pelajar. Ia sangat jelas termaktub di dalam laman web PTPTN. (Rujuk http://www.ptptn.gov.my/ web/guest/anjung).
Keputusan persidangan ulama antarabangsa di bawah Badan Kewangan & Perakaunan Islam Antarabangsa (AAOIFI) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan daripada jumlah yang diberi pinjam yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah dilarang sama sekali dan ia adalah RIBA. (Rujuk www.aaoifi.com) Bagaimanapun, dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Syariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah KOS SEBENAR.Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut “It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given).” (Tidak dibenarkan untuk mengaitkan caj kepada jumlah yang diberikan.” (Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338).Ini kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan sistem yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.Resolusi mereka juga menyebut adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih daripada kos sebenar, justeru ulama di persidangan tadi mewasiatkan supaya cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya.Selain itu, keputusan mereka juga menyebut kos tidak langsung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman.Malangnya, cara caj perkhidmatan yang dapat dilihat di PTPTN tidak menepati cara yang digariskan oleh majlis ulama dunia ini. Selain itu, fakta terpenting untuk difahami juga adalah riba tidak mengira sama ada dicaj di awal perkhidmatan atau selepas perkhidmatan diberikan. Ia adalah sama saja selagi mana caj dan kiraan sedemikian diletakkan di dalam akad atau kontrak pinjaman.


Cara Kiraan

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 3 peratus daripada jumlah pinjaman berbaki setiap bulan dengan hujah ia adalah kos pengurusan yang halal dan sebenar sukar untuk diiktiraf oleh mereka yang benar-benar faham isu kewangan dan syariah.Malah, formula kiraan caj perkhidmatan ini juga bersifat ‘reducing balance’ dan ‘monthly rest’. Formulanya kiraan caj perkhidmatan seperti berikut (rujuk http://www.ptptn.gov.my/c/ portal/layout?p_l_id =PUB.1.150)Kos Pentadbiran Bulanan = 3 peratus x baki jumlah semasa x 1/12Cara kiraan ini adalah hampir serupa dengan kiraan pinjaman riba dalam pinjaman perumahan di bank konvensional, bezanya ia lebih murah daripada kadar riba bank konvensional yang bersifat komersial itu.Sebutan mudahnya, setiap bulan sejumlah riba akan diambil daripada peminjam berdasarkan baki ‘outstanding balance’ dalam bulan berkenaan.Untuk menjelaskan cara kiraan, katalah pinjaman saya seperti berikut:Jumlah Pinjaman Pelajaran: RM 19,500 (pinjaman penuh aliran Sastera di IPTA untuk tiga tahun) Tempoh bayaran semula: 120 bulan (sebagaimana ditetapkan)Caj Perkhidmatan: 3 peratus = Jumlah keseluruhan untuk 120 bulan = RM 3821.38Cara kiraan penuhnya, anda boleh masukkan info di capaian halaman berikut: http://www.ptptn.gov.my/web/guest/loan_calc


Alternatif Cara Islamnya Bagaimana?


Mesti ramai yang meminta cara alternatif sejurus saya menyuarakan kritikan ini. Sebenarnya adalah rumit untuk saya menyuarakan di sini kerana ruang yang terhad dan kesukaran menerangkan melalui tulisan.Namun, saya cuba menuliskan semudah dan seringkas mungkin, yang pasti tiada darurat untuk menggunakan sistem kiraan dan akad pinjaman dengan caj perkhidmatan begini. Ini kerana terdapat cara lain yang disepakati menepati cara syariah dan diiktiraf oleh ulama seluruh dunia. Ia adalah seperti berikut:1. PTPTN perlu mendapatkan hak milik ke atas beberapa tempat atau ‘seat’ di IPTA dan IPTS. Sebagai contoh PTPTN mengadakan MOU dengan universiti tempatan untuk menempah dan menyewa 1,000 kelayakan untuk belajar bagi setiap universiti. Akad Ijarah (sewa) akan ditandatangani oleh PTPTN dan universiti berkenaan. Ia dinamakan sewa ‘Intangible Asset’ dan telah disahkan menepati hukum syariah oleh ulama sedunia jika menepati semua syarat Ijarah yang lain.2. Dengan termeterainya akad ini, PTPTN sudah dianggap sebagai pemilik 1,000 tempat belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan lain-lain (ini adalah contoh saja). 3. Setelah itu, apabila ada pelajar mendapat surat tawaran daripada mana-mana universiti yang disebutkan tadi, setiap pelajar yang mendapat surat tawaran ini boleh dan berpeluang untuk menyewa daripada PTPTN salah satu dari 1,000 tempat yang telah ditempah oleh PTPTN dengan kerjasama universiti tadi. Melalui cara ini, bermakna proses ‘sub-lease’ berlaku, iaitu universiti menyewakan tempat kepada PTPTN dan kemudian PTPTN menyewakan kepada pelajar dengan harga sewaan yang ‘fleksible’ mengikut formula tertentu.Jumlah sewaan pula boleh diselesaikan oleh pelajar selepas tamat belajar. Ia tiada sebarang masalah daripada sudut syariah. Banyak lagi perkara teknikal di sini dan sukar untuk saya jelaskan semuanya. Namun, perlu difahami, ia boleh diuruskan menurut syariah melalui Akad Ijarah. 4. Hasilnya, PTPTN akan perlu membayar sewa kepada universiti atas Akad Ijarah. Jumlah ini termasuk jumlah yuran pelajar terbabit.Itulah secara ringkas proses yang boleh dilaksanakan untuk memperkenalkan sistem pembiayaan pendidikan secara Islam. Malah, produk seperti ini telah dilaksanakan di beberapa institusi kewangan Islam di Timur Tengah. Maka bertepatan dengan hasrat Malaysia untuk menjadi pusat kewangan dan perbankan Islam sedunia, langkah kreatif ini wajib diambil.Jika ada pihak berasa sukar untuk dilaksanakan proses ini, cara Akad Bai Tawarruq yang digunakan secara meluas di Timur Tengah juga boleh difikirkan. (Rujuk www.zaharuddin.net)KesimpulanIlmu yang tersedia ada di dalam khazanah Fekah Islam mampu dihidupkan kembali dengan pendekatan baru jika ada yang benar-benar serius menggali dan mengusahakannya. Saya yakin, rakan tenaga pakar kewangan Islam dan syariah di UIAM dan lain-lain IPT berbesar hati untuk membantu PTPTN menstrukturkan kaedah pembiayaan pendidikan baru yang diiktiraf oleh ulama seluruh dunia. Insya-Allah.Apapun, kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan terutama universiti itu sendiri. Tanpa persetujuan universiti untuk bekerjasama melaksanakan struktur Ijarah, kaedah baru ini akan terbengkalai dan masalah riba pasti akan berterusan. Moga Allah menyelamatkan dan menyedarkan kita daripada dosa riba yang tidak berbau itu. Saya juga amat berharap mufti dapat menilai sebaiknya semua isu syariah dan fatwa antarabangsa yang telah dibuat mengenai caj sebegini sebelum mereka membuat sebarang ijtihad kelak.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

MyETF-DJIM25 mantapkan hab kewangan Islam

Oleh AISHAH RAZAK
Utusan Malaysia

ALIRAN negara-negara Islam atau institusi swasta untuk menubuhkan kemudahan produk bank dan dana pelaburan berlandaskan kepada ajaran Islam kian meningkat dan diminati oleh pelabur di Malaysia, begitu juga di Asia Barat dan Eropah.
Pelancaran MyETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25 (MyETF-DJIM25) oleh i-VCAP Management Sdn. Bhd., pada 21 Januari lalu adalah bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri pada Persidangan Invest Malaysia yang diadakan pada 23 Mac 2007.
Dalam ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, beliau mengumumkan penubuhan Dana Dagangan Bursa (Exchange Traded Funds atau ETFs) untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. Kata beliau, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menukarkan pegangan saham dalam sesetengah syarikat pelaburan, terutama sekali dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi melanggan unit ETF.
ETF secara kolektif mempunyai saiz permulaan dana sekurang-kurangnya RM3.5 bilion. Oleh itu, Perdana Menteri yakin ETF akan membantu menambah kecairan dan menggalakkan penyertaan peruncit yang lebih besar dalam pasaran ekuiti.
Hasrat itu terlaksana pada Isnin minggu lalu. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika melancarkan MyETF-DJIM25 berkata, sekarang adalah masa terbaik bagi GLIC untuk berbuat demikian, memandangkan prestasi kebanyakan GLC semakin baik selepas mengikuti program transformasi.
Menurut beliau, Kumpulan G20 yang merupakan 20 syarikat utama GLC telah mencatat peningkatan dalam modal pasaran sebanyak 83 peratus kepada RM276 bilion sehingga 31 Disember lalu, berbanding RM145 bilion pada 14 Mei 2004, ketika program transformasi GLC mula dilancarkan.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Rusinah Siron berpendapat MyETF-DJIM25 memenuhi keperluan pelaburan untuk masyarakat Malaysia yang terdiri pelbagai kaum di mana kini semakin ramai bukan Islam mengguna perkhidmatan kewangan Islam.
PelaksanaanBeliau menambah, dengan pelbagai pelaksanaan ekonomi Islam oleh kerajaan, maka akan meningkatkan kecenderungan rakyat tanpa mengira kaum untuk menyertai skim-skim pelaburan secara syariah.
"Bangsa-bangsa lain tidak takut melabur dalam pelaburan Islam kerana sekuritinya dijamin oleh kerajaan," kata Dr. Rusinah yang merupakan Pensyarah Utama, Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, Universiti Tenaga Nasional.
Dalam aspek peranan GLC dan GLIC dalam MyETF-DJIM25, beliau yakin ia akan menambahkan keyakinan pelabur untuk memasuki pasaran baru ini.
"Reputasi GLC dan GLIC adalah baik dan ini dapat meyakin bukan sahaja kepada pelabur Melayu tetapi juga meningkatkan perpaduan kaum kerana skop pelaburan adalah luas.
"Kalau saya sebagai pelabur, saya tidak ada rasa curiga terhadap ETF yang ditunjangi oleh GLC. Tinggal lagi MyETF-DJIM25 perlu memberi tumpuan pada kepimpinan, kreativiti mempromosikan produk, tingkatkan keyakinan masyarakat dengan dividen dan harga saham yang menarik, keselamatan pelaburan dan komunikasi," komen Dr. Rusinah.
Pelancaran ETF ini menunjukkan satu lagi langkah ke hadapan kerajaan yang tepat masanya sekarang dan melonjakkan lagi pasaran modal negara, kata penganalisis dan pengurus dana.
"Langkah ini sudah tentu baik untuk pasaran modal dan memberi lebih pilihan pelaburan kepada para pelabur. Saya yakin ETF akan menjadi perolehan pelaburan yang baik kepada pelabur tempatan dan juga asing.
"Bagaimanapun penyertaan pelabur kecil mungkin kecil disebabkan kekurangan pemahaman cara ETF diurusniagakan," kata Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan.
Beliau menjangkakan ETF akan menjadi tarikan pelabur terutama dari Asia Barat yang mencari produk pelaburan berlandaskan syariah.
Pakar industri pelaburan juga menjangkakan sudah tiba masa ETF dilancarkan dan perlu mengambil kesempatan keperluan yang meningkat daripada pelabur Asia Barat untuk melabur lebihan dana mereka berikutan peningkatan pendapatan daripada kenaikan harga minyak dunia.
ETF menurut eksekutif firma pelaburan tempatan, suatu yang menarik apabila melihat syarikat yang melabur di bawahnya turut terdiri daripada saham blue chip GLC. Beliau turut menjangkakan ETF akan menerima sambutan yang baik daripada para pelabur Asia Barat.
"Kepelbagaian pilihan dalam pasaran saham akan memberi lebih cita rasa kepada pelabur terutama Asia Barat. Bagi institusi dana tempatan, mereka juga berminat kerana ia memberi nilai kepada pelaburan mereka," tambah beliau.
Dalam konteks ETF, perkembangan ini mendorong i-VCAP yang mengurus MyETF-DJIM25 untuk memperkenalkan Dana Dagangan Bursa ini di pasaran tempatan.
MyETF-DJIM25 yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 31 Januari ini membolehkan pelabur mendapat pendedahan kepada pelaburan dalam 25 syarikat utama di Bursa Malaysia yang mematuhi syariah.
MyETF-DJIM25 akan menjejak prestasi penanda arasnya, iaitu Indeks Pasaran Islam Dow Jones Malaysia Titans 25 yang meliputi 25 syarikat utama di Bursa Malaysia dengan kegiatan merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, telekomunikasi, minyak dan gas, pembinaan, infrastruktur dan pengangkutan.
Sepuluh syarikat utama dalam indeks itu ialah Sime Darby Bhd, IOI Corporation Bhd, DiGi.Com Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd, MISC Bhd, Gamuda Bhd, PPB Group Bhd, KNM Group Bhd, PLUS Expressways Bhd, dan SP Setia Bhd.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Labuan jadi pusat kewangan konvensional, Islam

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Labuan mampu menjadi pusat kewangan konvensional dan kewangan Islam, terbaik di rantau Asia Pasifik hasil berikutan langkah kerajaan membangunkan infrastruktur dan kemudahan awam di pulau itu.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, Labuan menyediakan pakej penyelesaian kewangan yang lengkap dan merupakan antara institusi kewangan terbaik di kalangan 80 negara lain.
Katanya, kerajaan komited menjadikan Labuan sebagai pusat kewangan yang memenuhi ciri-ciri persaingan, keselesaan dan kos yang rendah.
"Dengan kedudukannya sebagai pusat pelabuhan utama dan menjadi entreport antara Brunei, Sabah dan Filipina, Labuan memberikan satu kelebihan.
"Selain itu, sebagai zon bebas cukai, ia telah mendorong kepada pembangunan infrastruktur di pulau itu dan ini membantu menjana aktiviti perniagaan di situ," katanya ketika merasmikan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) di sini hari ini.
Katanya, jumlah pelaburan di Asia Pasifik, yang semakin meningkat setiap tahun turut membuka peluang kepada Labuan untuk menerokai pasaran kewangan yang lebih luas.
Menurut Zeti, pada tahun 2006 Asia Pasifik berjaya menjana pelaburan sebanyak AS$460 bilion (RM1,472 bilion) daripada negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday 25 January 2008

Industri Takaful Dijangka Berkembang Pesat Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Perkembangan industri takaful dijangka sangat pesat pada tahun ini seiring dengan persaingan hebat di kalangan 10 pengendali takaful.Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Tarmidzi Ahmad Nordin menjangkakan jumlah premium di dalam pasaran takaful akan terus meningkat sebanyak RM600 juta kepada RM3.0 bilion tahun ini berbanding RM2.4 bilion pada tahun lalu.Pencapaian yang memberangsangkan ini dijangka dapat mezahirkan matlamat untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kewangan Islam yang terkemuka di rantau ini malahan di peringkat global, katanya."Pemberian lesen baru sejak dua tahun lalu telah meningkatkan lagi penyertaan dan kita jangka pertumbuhannya sangat pesat," katanya Mohd Tarmidzi kepada pemberita di majlis perasmian Kempen Kesedaran Kewangan Islam yang diadakan di Masjid Negara di sini hari ini.Menurutnya perkembangan yang sangat positif dalam industri ini adalah seiring dengan penjualan yang tinggi terhadap produk seperti gadai janji, permotoran, perubatan dan pendidikan di pasaran, katanya."Ekonomi negara yang sangat baik, pendapatan individu yang meningkat di tambah dengan teknik pemasaran bersistematik terutama yang ada rakan kongsi luar negara kita akan berkembang pesat dan boleh bagi pilihan kepada pelanggan," katanya.Selain itu, penghasilan produk yang dapat memenuhi kehendak pelanggan, bilangan rangkaian agensi yang semakin besar dan kadar pertumbuhan syarikat yang kukuh akan terus memantapkan industri ini, katanya.Mohd Tarmidzi berkata para pengendali takaful dijangka menghadapi sedikit kesukaran kerana cara berfikir untuk menyimpan untuk masa susah masih belum menyeluruh di kalangan masyarakat walaupun kesedaran orang ramai mengenai insuran berlandaskan syariah telah meningkat.Mohd Tarmidzi berkata pengendali takaful mesti mempergiatkan lagi usaha untuk mengadakan pelbagai kegiatan seperti kempen kesedaran dari semasa ke semasa.Dalam perkembangan yang lain, perlaksanan Modal Berasaskan Risiko yang bakal dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia memungkinkan berlakunya penggabungan dan pengambilalihan dalam industri takaful."Bagi sesetangah pengendali takaful yang memerlukan suntikan modal, penggabungan adalah salah satu caranya. Apa pun boleh berlaku," katanya.MTA yang kini dianggotai oleh 10 pengendali takaful akan mendapat sebuah lagi pengendali pada minggu hadapan, namun beliau enggan menjelaskan dengan lebih lanjut, katanya.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Hong Kong Manfaatkan Tanah Besar Bagi Pertumbuhan Kewangan Islamnya


HONG KONG, 15 Jan Bernama) -- Akses Hong Kong ke pasaran tanah besar China akan menjadi kunci dalam mencapai cita-citanya untuk membangunkan sebuah hub kewangan Islam, kata Setiausaha Kewangannya, John Tsang, Selasa."Kami bergerak sepantas mungkin," katanya pada seminar mengenai kewangan Islam selama dua hari di sini yang juga dihadiri gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan tokoh-tokoh bank pusat lain dari negara- negara Teluk dan rantau ini.Hong Kong mengumumkan penceburannya dalam perbankan Islam lewat tahun lepas dan Ketua Eksekutifnya, Donald Tsang, berkata semalam beliau akan mengetuai satu misi ke tiga negara Timur Tengah - Kuwait, Arab Saudidan Emiriyah Arab Bersatu - dari 25 Jan hingga 1 Feb.John Tsang menegaskan hasrat Hong Kong untuk mendapatkan sebahagian daripada himpunan mudah tunai janaan minyak yang sangat besar dalam dana Islam yang semakin berkembang bernilai AS$700 bilion hingga AS$1 trilion.Katanya: "Saya percaya Hong Kong boleh memainkan peranan penting dalam menjana peluang-peluang pelaburan yang boleh dipercayai dan menjanjikan pulangan yang lumayan."Hong Kong, menurut beliau, berhasrat nenjadi peserta borong dan dalam menstruktur produk Islam, merebut permintaan global yang kukuh, termasuk permintaan bagi sukuk atau bon Islam."Dan China akan menjadi kuncinya," katanya pada seminar anjuran bersama Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong (HKMA) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) yang berpangkalan di Malaysia."Faedah unik bagi Hong Kong ialah kebenaran bagi kami memasuki pasaran tanah besar China. Hong Kong adalah satu-satunya bidang kuasa di luar tanah besar di mana bank-bank boleh berurus niaga dalam renminbi," katanya.Beliau berkata bank-bank di Hong Kong diberi kebenaran untuk menawarkan perkhidmatan menggunakan mata wang China itu dan tahun lepas, Hong Kong merupakan tempat pertama di luar China yang menawarkan pasaran bon renminbi.Akses ke tanah besar memberikan peluang kepada Hong Kong untuk memajukan instrumen patuh syariah bagi penerbit-penerbit yang berpangkalan di tanah besar dengan Hong Kong sebagai jambatan antara ekonomi yang terpantas perkembangannya di dunia itu dan pasaran kewangan Islam antarabangsa, katanya.Untuk menyokong usaha ini, HKMA akan memohon untuk meningkatkan statusnya dalam IFSB kepada ahli bersekutu daripada status pemerhati sekarang.-- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Kewangan Islam: Daripada Kepercayaan Kepada Industri Global

HONG KONG, 19 Jan (Bernama) -- Enam tahun lepas, Malaysia melancarkan bon AS$600 juta dan menjualnya kepada dunia. Ia terlebih langgan dua kali ganda.Jika tidak kerana perbezaannya, sukuk milik kerajaan atau bon yang diterbitkan mengikut syariah Islam yang pertama di dunia itu, ia mungkin tidak menarik perhatian.Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz masih mengingati sambutan hangat semasa pameran bergerak pertama di Hong Kong, yang akhirnya memikat satu pertiga daripada pelabur dari kawasan berkenaan."Selepas enam tahun, landskap kewangan Islam telah berubah menjadi mekanisme yang cergas, dinamik dan kompetitif di peringkat global yang disokong oleh lebih daripada 300 institusi kewangan Islam di lebih 75 negara," katanya pada seminar kewangan Islam di Hong Kong minggu ini.Hari ini "hebat" ialah perkataan bagi menunjukkan permintaan terhadap sukuk, terbukti apabila produk itu terlebih langgan antara dua hingga 13 kali bagi kedua-dua pelabur konvensional dan Islam.Pembiayaan Islam telah menjadi sektor yang paling pesat berkembang dalam industri perkhidmatan kewangan. Ia dianggap sebagai "Laluan Sutera" baru, hubungan baru antara Asia dan tempat lain di dunia.Tidak sukar untuk memahaminya. Lihat sahaja angkanya dan melihat mengapa pusat kewangan antarabangsa seperti Hong Kong, Singapura dan London kini turut serta.Empayar kewangan Islam global dianggarkan bernilai AS$700 bilion dan dijangkakan meningkat sekali ganda dalam tempoh dua tahun yang akan datang kepada AS$1.4 trilion menjelang 2010.Jumlah nilai aset-aset Islam sudah melepasi AS$250 bilion, lebih daripada 40 kali sejak 1982 dan berkembang 15 peratus setahun. Dana-dana ekutiti Islam sudah berkembang lebih daripada 25 peratus sejak tujuh tahun lepas."Pembiayaan Islam ternyata sudah menjadi sebahagian daripada sistem kewangan global kerana ia menawarkan potensi besar untuk pembangunan dan peningkatan," kata Setiausaha Kewangan Hong Kong, John Tsang.Pertumbuhan pesat produk dan perkhidmatan yang mematuhi prinsip Syariah dipesatkan lagi oleh jumlah dollar yang diperoleh menerusi hasil petroleum di Timur Tengah dengan hasil tahunan kira-kira AS$1 trilion.Dan Asia telah mengatasi Eropah sebagai rantau kedua paling popular untuk pelaburan daripada negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu), selepas Amerika Syarikat.Pengarah Urusan Kuwait Finance House (Malaysia) Salman Younis, berkata kira-kira AS$1.5 trilion dana daripada GCC di seluruh dunia dilaburkan dalam aset berkaitan perbendaharaan, bon korporat, ekuiti dan dana."Trend aktiviti pelaburan sangat ketara, dengan pelaburan projek berjumlah lebih AS$160 bilion yang akan dibiayai oleh negara-negara GCC di Asia yang diumumkan sejak 2005," kata Younis.Pembiayaan Islam diurus mengikut Syariah Islam yang mengharamkan riba atau pelabur seperti di kaunter perjudian atau alkohol."Laluan Sutera" baru itu menjurus kepada Malaysia yang meneroka wilayah perbankan Islam yang belum diteroka, pada 1983 dan kini mengungguli sisten kewangan Islam selari dengan perbankan konvensional.Malaysia kini menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang menyeluruh, daripada perbankan harian dan kehendak keluarga seperti deposit, kad kredit, pajak gadai dan insurans serta modal.Malaysia juga ialah penerbit sukuk terkemuka dengan lebih AS$52 bilion atau 62 peratus jumlah dunia, meningkatkan kedudukannya dengan membuka pasaran bon bagi membolehkan orang luar meningkatkan ringgit atsu dana berdominasi asing.Produk pembiayaan Islam yang lebih canggih diperkenalkan ke pasaran menerusi pembangunan regim pemantauan dan kawal selia di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) yang berpejabat di Malaysia yang diwujudkan pada 2002.Dana lindung nilai Islam dan indeks-indeks penanda aras Islam juga diwujudkan."Terdapat peningkatan dalam penyenaraian instrumen kewangan Islam di burs-bursa antarabangsa. Ini telah meningkatkan kedalaman pasaran kewangan Islam serta menambah tarikannya sebagai aset kelas untuk pelaburan," kata Zeti.Menjelang 2020, penduduk Islam dunia dianggarkan meningkat kepada 2.5 bilion daripada 1.5 bilion sekarang, bagi menggambarkan potensi besar dalam industri itu dan tidak dilupakan, peningkatan jumlah penduduk bukan Islam sebagai contoh di Malaysia, yang beralih kepada kewangan Islam.Hong Kong, yang mempunyai bilangan penduduk Islam yang kecil, juga berminat membangunkan pasaran kewangan Islam, kata Tsang.Bandar raya itu baru-baru ini melancarkan dana runcit Islam pertamanya untuk pelabur jualan dan runcit. Hong Kong juga menaik taraf status pemerhatinya kepada anggota bersekutu IFSB.-- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Fitch Ratings beri penarafan kepada penerbit Takaful Malaysia

HONG KONG 16 Jan. – Fitch Ratings berminat memberi penarafan kepada penerbit takaful Malaysia memandangkan pertumbuhan sektor insurans Islam terus berada dalam aliran meningkat di peringkat global.
Ketua Insurans Fitch Ratings (Asia Pasfik), Jeffrey Liew berkata, Malaysia berada dalam kedudukan di hadapan di rantau ini, dengan lima penyedia takaful selain banyak syarikat baru sedia untuk diberi penarafan.
“Kami sedang meneliti tiga atau empat yang berpotensi, tapi kami tidak boleh menamakan mereka. Walaupun ada perbezaan, prestasi pelaburan risiko berkongsi banyak persamaan dengan insurans konvensional,” katanya sempena seminar kewangan Islam selama dua hari anjuran Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam yang berpejabat di Malaysia.
Penarafan oleh sebuah syarikat penarafan yang diperakui di peringkat antarabangsa akan menjadikan sesebuah syarikat itu lebih menarik kepada pelabur asing.
Liew berkata, takaful berkembang 15 peratus setahun dan pasaran dianggarkan AS$4 bilion bagi keluarga dan am, menyumbang satu peratus daripada premium insurans global.
“Oleh itu terdapat potensi untuk pertumbuhan serta pemindahan dari insurans konvensional ke takaful,” katanya.
– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 24 January 2008

STC terima pembiayaan Al-Rajhi Bank RM1.48 bilion

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Al-Rajhi Banking and Investment Corporation (Al-Rajhi Bank) hari ini memeterai perjanjian untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai AS$450 juta (RM1.48 bilion) kepada Saudi Telecom Company (STC) menerusi kemudahan pembiayaan komoditi berstruktur.
Kemudahan bertempoh selama 10 tahun itu diberikan kepada STC bagi membiayai pelaburannya dalam Junior Sukuk bernilai AS$900 juta (RM2.92 bilion), yang diterbitkan oleh Binariang GSM Sdn. Bhd. (Binariang), syarikat pegangan Maxis Communications Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Rajhi Bank, Ahmed Rehman berkata, transaksi yang dimeterai hari ini merupakan perjanjian korporat terbesar yang disempurnakan oleh bank itu di rantau Asia Tenggara setakat ini.
‘‘Dengan termeterainya urus niaga ini, Al-Rajhi Bank yakin ia telah dapat memenuhi keperluan pasaran bukan sahaja dalam bidang perbankan pengguna tetapi juga dalam segmen korporat, berasaskan kesediaan untuk menjadi sebuah bank Islam sejagat,’’ katanya pada majlis menandatangani perjanjian untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai AS$450 juta kepada STC, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Ahmed mewakili Al-Rajhi Bank, manakala STC diwakili oleh Pengarah STC Malaysia Holding Ltd., Ameen Fahad Al Shidi.
Turut hadir ialah Pengarah STC Malaysia, Khalid Salah Al-Ghurair dan Pengarah Al-Rajhi Bank, Datuk Dr. Nik Norzul Thani.
Semalam, Binariang mengumumkan bahawa syarikat itu berjaya membiayai semula pinjaman jangka pendek bernilai RM20 bilion yang dilakukannya bagi membiayai pembelian, Maxis Communications.
Sementara itu, Ketua Perbankan Korporat dan Pelaburan Al-Rajhi Bank, Asim Basharullah berkata, bank itu akan menjadikan Malaysia sebagai platform untuk mengembangkan perniagaannya di Asia.
‘‘Kami sedang melihat kepada pasaran negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong dan China,’’ katanya.
Tambah beliau, perhatian diberikan di Asia kerana Al-Rajhi Bank menjangkakan pelaburan antara GCC dan rantau ini akan meningkat.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

TM selesai transaksi terbit sukuk RM1b


KUALA LUMPUR 15 Jan. – Telekom Malaysia Bhd. (TM) telah menyelesaikan transaksi jualan dan pajakan membabitkan terbitan bernilai RM1 bilion Islamic Asset Backed Sukuk Ijarah oleh Menara ABS Bhd. (MAB).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Abdul Abdul Wahid Omar dalam satu kenyataan hari ini berkata, transaksi itu diselesaikan melalui penjualan dan pembelian Menara TM, Menara Celcom, kompleks TM Cyberjaya dan Wisma TM di Taman Desa kepada MAB dengan nilai RM1 bilion

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday 21 January 2008

Malapetaka ekonomi kerana riba


OLEH DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
SEPANJANG minggu lalu, media massa antarabangsa sibuk melaporkan kemungkinan krisis besar ekonomi bakal melanda gergasi ekonomi dunia Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu laporan, Ben Bernanke iaitu bos tertinggi institusi mengawal selia sistem ekonomi dan kewangan AS (Federal Reserve), menjangkakan tahun 2008 bakal menyaksikan tahun terburuk sejarah ekonomi AS.
Kekalutan ekonomi AS yang bermula dengan krisis hutang perumahan subprima yang mencecah kerugian ratusan bilion dolar tampak semakin meruncing hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara itu. Untuk makluman, hutang subprima ialah hutang perumahan yang diberikan pihak bank kepada golongan peminjam yang tidak mempunyai kelayakan kewangan yang baik.
Lazimnya bank hanya memberikan pinjaman berpandukan kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.
Hutang
Hutang-hutang daripada pembiayaan perumahan ini kemudiannya diperdagangkan di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan pulangan lumayan kepada para pelabur. Apatah lagi jika yang menjual sijil-sijil hutang ini adalah dari kalangan bank-bank ternama AS. Penyimpangan persepsi bahawa bank-bank AS tidak mungkin rugi juga meningkatkan kepercayaan pelabur untuk membeli sijil-sijil hutang subprima yang berkualiti rendah ini.
Namun keadaan ini tidak bertahan lama. Peningkatan hutang lapuk lantaran kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian sijil hutang subprima ini tidak terkecuali daripada mengalami kerugian besar.
Natijahnya, kita lihat betapa seriusnya krisis hutang subprima ini sehingga menimbulkan malapetaka yang maha hebat bukan sahaja ke atas ekonomi AS bahkan terhadap ekonomi dunia. Peningkatan harga minyak yang mencecah AS$100 setong kerana kemerosotan mendadak nilai dolar akibat krisis ekonomi ini turut memberi kesan kenaikan harga pasaran komoditi dunia yang lain.
Pengguna seperti kita juga tidak ketinggalan merasai bahang kejatuhan ekonomi AS dengan peningkatan mendadak harga barang kegunaan asas termasuklah kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah.
Tidak sukar menelah punca kepada segala malapetaka ini. Malah bekas Pengerusi tersohor bank pusat AS (Federal Reserve) iaitu Alan Greenspan telahpun menjangkakan malapetaka ini dalam bukunya yang baru diterbitkan bertajuk The Age of Turbulence.
Sesungguhnya malapetaka ekonomi yang sedang melanda ini merupakan suatu natijah daripada kebobrokan sistem kapitalis berasaskan manipulasi kadar faedah atau lebih tepat lagi ekonomi berasaskan riba. Kerakusan manusia mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa termasuklah pelbagai keuntungan atas angin yang diperoleh melalui spekulasi ke atas kadar faedah menambahkan lagi masalah ekonomi yang sedia parah.
Hakikat
Menyedari hakikat inilah, Islam sejak dari awal lagi mengharamkan urus niaga ekonomi berasaskan riba yang amat terkait dengan unsur-unsur ketidakadilan, penindasan dan ekploitasi. Sistem ekonomi kapitalis berorientasikan riba dan manipulasi kadar faedah ini merangsang kegiatan mencari untung atas angin yang kadangkala tidak terkait dengan sektor pengeluaran mahupun perkhidmatan sebenar yang disebut istilah ‘real economy’.
Malah sistem ekonomi sebeginilah yang amat sensitif kepada krisis dan manipulasi hingga boleh memudaratkan seluruh umat manusia. Sebab itulah Allah menegaskan secara khusus bahawa urus niaga berasaskan riba tidak akan sesekali mendapat barakah malah boleh membawa kepada kecelakaan dan kesengsaraan.
Prinsip
Dalam al-Quran disebutkan: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (al-Baqarah: 276)
Apa yang pasti sistem ekonomi Islam menitikberatkan prinsip keadilan dan bebas daripada unsur-unsur penindasan. Keuntungan atas angin tidak dibenarkan dalam Islam. Sebaliknya setiap keuntungan yang dijana mestilah ada unsur ‘iwad atau pertukaran nilai (counter-
values) sama ada dari segi usaha (al-kasb), risiko (al-ghurm) dan tanggungan (al-dhaman).
Sebagai contoh, apabila Allah mengharamkan riba, Dia memberi alternatif jual-beli (al-Baqarah: 275). Keuntungan yang dihalalkan melalui jual-beli (al-bai‘) ialah apabila adanya usaha kerana penjual harus membeli barangan daripada pembekal sebelum menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada kos asal. Penjual juga mesti bersedia menanggung kerugian (al-dhaman) dan risiko (al-ghurm) lain sekiranya barangan yang dijual itu rosak atau tidak terjual. Inilah sebahagian daripada elemen ‘iwad yang membezakan keuntungan dalam jual beli dengan faedah berupa riba dalam kontrak hutang.
Justeru tiba masanya umat kembali kepada sistem ekonomi Islam yang bukan sahaja bebas daripada unsur riba tetapi yang lebih utama menjunjung prinsip keadilan dan kebajikan dalam urus niaga, bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Keuntungan yang diperoleh melalui jalan halal akan menambah keberkatan. Sebaliknya keuntungan atas angin melalui urus niaga riba hanya menjerumus umat manusia kepada kecelakaan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Biaya beli motor berlandas syariah


AZMI & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd (ANNHSB), pemilik cop dagangan Putrabikes melangkah setapak lagi ke depan dengan menjadi perintis kepada pembiayaan pembelian motosikal berlandaskan prinsip syariah melalui skim Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ (Aitab).ANNHSB yang 100 peratus milik Bumiputera menjadi satu-satunya syarikat penjual pelbagai jenis motosikal baru dan terpakai selain penyedia khidmat baik pulih lepas jualan yang menggunakan pembiayaan Islam dalam jual beli.Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata pengenalan pembiayaan pembelian motosikal berlandaskan syariah oleh ANNHSB adalah satu perkembangan membanggakan dalam industri motosikal negara.“Penawaran produk kewangan berlandaskan syariah seperti Aitab ini selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa.
“Apa yang diperkenalkan ANNHSB satu perkara baru dalam industri motosikal dan diharap sebagai akan berjaya dan diikuti lebih banyak penjual motosikal seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran pembiayaan motosikal Aitab dan pembukaan bilik pameran serta penjenamaan Putrabikes ANNHSB di Rantau Panjang, Klang, semalam.


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil. Nor Mohamed berkata, kejayaan negara mewujudkan sistem kewangan Islam yang lengkap seiring dengan sistem kewangan konvensional kini menjadi rujukan kepada banyak negara.Sementara itu, Pengarah Urusan ANNHSB, Azmi Ismail, berkata walaupun 70 peratus hingga 80 peratus daripada pembeli motosikal terdiri daripada golongan beragama Islam, pembiayaan berlandaskan prinsip syariah seperti Aitab tidak pernah diperkenalkan wakil pengedar motosikal di pasaran.“Tidak wujud jumlah bayaran pampasan lewat bayar (add on) seperti diamalkan perjanjian konvensional iaitu faedah lewat bayar akan ditambahkan kepada jumlah pinjaman asal dalam pembiayaan berlandaskan syariah.“Skim Aitab yang pertama di negara ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hub kewangan Islam sedunia selain mengelakkan syarikat dan pembeli daripada riba,” katanya.Azmi berkata, pihaknya yakin melalui pelbagai strategi pemasaran dan jualan selain pengenalan Aitab, sasaran menjual sehingga 2,800 unit motosikal tahun ini mampu dicapai.Mereka yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan Aitab sehingga 80 peratus dengan kelulusan segera perlu mengemukakan beberapa dokumen di mana-mana cawangan Putrabikes.“Dokumen diperlukan adalah kad pengenalan, lesen memandu, slip gaji untuk tiga bulan, dokumen sokongan untuk bukti pendapatan, penyata bank, bil telefon, air atau elektrik yang terkini,” katanya. ANNHSB berkecimpung dalam industri motosikal sejak 1996 dengan menjadi wakil pengedar Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) selain jenama Yamaha dan mempunyai beberapa cawangan di Kamunting dan Simpang, Perak dan terbaru di Rantau Panjang, Klang.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Perbahasan agihan zakat

Oleh Idris Musaidris

PERKEMBANGAN ekonomi yang semakin baik menyaksikan ramai umat Islam bergelar usahawan, ahli perniagaan dan tokoh korporat. Ia sekaligus menjana sumber pendapatan negara.Kebanyakan umat Islam juga semakin sedar tanggung jawab berzakat. Ini dibuktikan daripada statistik kutipan zakat setiap tahun.Pada tahun 2000, kutipan zakat harta dan fitrah di seluruh negara berjumlah RM258 juta, meningkat RM320 juta (2001), RM373 juta (2002), RM408 juta (2003), RM473 juta (2004), RM573 juta (2005) dan RM670 juta tahun lalu.Dengan hasil daripada sumbangan zakat itu membolehkan kerajaan menjana kemajuan sosial dan membangunkan lagi ekonomi umat Islam ke arah yang lebih baik, mengikut skim yang diperuntukkan sesuai dengan asnaf (bahagian) ditetapkan.
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 60).
Begitupun, dalam pengagihan zakat timbul perselisihan, malah menjadi perdebatan sesetengah pihak kerana berbezanya dalam menterjemahkan asnaf terbabit, lebih-lebih lagi untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.Antara yang menjadi perbincangan ialah asnaf muallaf, iaitu mereka yang dijinakkan hati mereka. Sesetengah mendakwa asnaf itu adalah untuk orang Islam saja, tidak termasuk langsung orang bukan Islam.Tetapi ada pula mengatakan ia termasuk orang bukan Islam. Ini menimbulkan sedikit kekeliruan terutama di kalangan umat Islam yang masih hijau jiwa mereka mengenai agama suci itu.Ada mempersoalkan isu agihan seperti bagaimana diagihkan dan keberkesanan sistem agihan. Bagaimana dengan umat Islam sedangkan ramai daripada mereka masih daif? Prof Madya Dr Abdul Basir Mohamad dari Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata muallaf itu sendiri mempunyai dua pengertian. “Muallaf yang dijinakkan hati ada dua pengertian, orang Islam dan bukan Islam, tetapi diharapkan kebaikannya dan dikhuatiri keburukannya,” katanya.Beliau menegaskan, Imam Hanbali dan Maliki menyatakan tidak ada masalah memberikan zakat kepada orang bukan Islam, cuma mazhab Hanafi dan Syafie melarang berbuat demikian kepada bukan Islam.Walaupun masyarakat di negara ini berpegang kepada mazhab Syafie, katanya tiada masalah keluar daripada mazhab dalam kes tertentu, sama ada ketika mengeluarkan zakat fitrah dengan wang.Menurutnya, ulama moden, Wahbah Zuhaili juga cenderung mengatakan zakat boleh diberikan kepada orang bukan Islam.“Memberikan zakat kepada orang bukan Islam boleh digunakan sebagai bahan dakwah malah Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Perselisihan umatku satu rahmat.”Katanya, kaedah fiqh dalam kes tertentu ada menyatakan boleh berubah mengikut zaman.“Kita memberi zakat kepada orang bukan Islam lebih kepada tujuan positif supaya mereka tertarik dengan Islam.”“Memang dia tidak masuk Islam lagi, tetapi dengan kita beri bantuan (lebih awal) mungkin hatinya menjadi lembut dan mungkin masuk Islam.“Jika dia menentang Islam pun, tetapi jika dia boleh dipujuk, mungkin anak dia sakit diberi sedikit bantuan kepadanya, tidak ada masalah.“Rasulullah s.a.w dan khalifah juga pernah memberikan bantuan zakat kepada golongan terbabit tetapi bukan berterusan,” katanya, sambil mencadangkan kerajaan memperincikan skim agihan supaya meluas kepada bentuk lain, termasuk kursus kemahiran dan teknikal.Beliau berkata, keutamaan zakat tetap kepada umat Islam, tetapi jangan terlalu taksub hingga mendakwa orang bukan Islam tidak boleh menerima zakat.Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), berkata isu ini bukan masalah besar hingga boleh menimbulkan kekeliruan, cuma bagi masyarakat umum yang tidak mendapat pendedahan mengenainya, mereka menganggap ia janggal.Menurutnya, pada zaman Rasulullah s.a.w ada berlaku pemberian zakat kepada golongan bukan Islam.“Jika hendak kembali kepada hadis 100 peratus, memang boleh diberikan kepada orang bukan Islam, sebab pada zaman Nabi diberikan zakat kepada golongan terbabit.“Tetapi pada zaman Saidina Umar, beliau tidak meneruskan tradisi Rasulullah s.a.w kerana orang bukan Islam sudah oportunis, iaitu mengambil kesempatan, mahu habuan saja, tetapi kerja tidak mahu,” katanya.Menurutnya, walaupun ada keharusan diberikan zakat kepada golongan bukan Islam, ia tidak boleh dilakukan secara peribadi atau sewenang-wenangnya, sebaliknya memerlukan kepada polisi kerajaan. “Dalam perkara ini kerajaan mempunyai kuasa menentukan sama ada dibolehkan atau tidak. Situasi pada zaman Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar juga menggambarkan polisi sebuah kerajaan.“Di negara ini, kebanyakan orang bukan Islam lebih berkemampuan daripada orang Islam, jadi mengapa harus diberikan kepada bukan Islam?” katanya. --(Harian Metro)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 16 January 2008

Persidangan Kewangan Islam Global (PKiG2008) akan dianjurkan di Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR: Persidangan Kewangan Islam Global (PKiG2008) akan dianjurkan di Kuala Lumpur pada 1-2 April 2008 bertempat di Hotel Istana (bertaraf 5-bintang). Persidangan akan dilangsungkan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Untuk maklumat lanjut sila lungsuri laman sensawang (web site) penganjur: www.globalpro.com.my.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

CGC lancar Enhancer-i

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) melancarkan skim jaminan kredit terbarunya, Enhancer-i untuk membolehkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) mendapat pembiayaan berlandaskan Islam.
Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pelancaran skim baru itu bertepatan dengan masanya memandangkan permintaan terhadap pembiayaan berasaskan syariah daripada usahawan IKS semakin meningkat.
Katanya, produk pembiayaan itu juga adalah versi terbaru Skim Jaminan Perbankan Islam IKS yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2003.
‘‘Memandangkan skim konvensional Enhancer telah diperkenalkan pada bulan Ogos tahun lalu, maka Enhance-i pula adalah skim jaminan yang mana yuran jaminan yang dikenakan dikira berasaskan kepada profail risiko peminjam,’’ katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau yakin melalui Enhancer-i, usahawan IKS akan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka peluang perniagaan baru atau mengembangkan perniagaan sedia ada mereka.
Wan Azhar berkata, sejak skim jaminan kredit Islam diperkenalkan lima tahun lalu, CGC telah memberi jaminan sehingga RM492 juta di bawah dua skim Islam.
Mereka yang berminat bolehlah menghubungi institusi kewangan yang terbabit yang menawarkan kemudahan pembiayaan Islam seperti Maybank, Affin Islamic Bank Bhd., AmIslamic Bank Bhd., Bank Islam Malaysia Bhd., Bank Muamalat Malaysia Bhd., CIMB Islamic Bank Bhd., EONCAP Islamic Bank Bhd., Hong Leong Islamic Bank Bhd. and RHB Islamic Bank Bhd.
Selain itu, ia juga boleh dimohon di Bank Rakyat, Bank Pertanian dan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF).

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Melahirkan kesyukuran atas pemilikan harta

Oleh: Azrul Azlan Iskandar Mirza

ISLAM tidak pernah menghalang umatnya memiliki kekayaan. Bahkan kekayaan itu amatlah digalakkan agar umat Islam tidak menjadikan alasan kekangan kewangan sebagai alasan untuk mundur.
Perolehan kekayaan juga adalah digalakkan melalui jalan perniagaan. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis riwayat Bazaar dan al-Hakim yang bermaksud:
“Rasulullah bertanya mengenai usaha yang paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki. Baginda menjawab: Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal’’.
Realitinya, kekayaan yang diperoleh oleh kita adalah merupakan amanah daripada Allah. Allah telah mengurniakan kekayaan untuk disyukuri oleh umat. Proses kesyukuran ini bertumpu kepada beberapa aspek iaitu.
Pertama, hendaklah beriman kepada Allah yang telah memberikan rezeki. Allah dengan kuasa-Nya telah mengurniakan kita ruang untuk menjadi seorang yang berharta. Harus diingat bahawa semuanya datang daripada Allah, dalam sekelip mata Allah boleh menarik balik harta tersebut. Justeru, sewajarnya kekayaan ini meningkatkan iman dan takwa kepada Allah, bukan menghilangkan sifat-sifat iman tersebut.
Kedua, hendaklah menggunakan harta tersebut bagi tujuan kebajikan. Perkara penting bagi menghayati kesyukuran ialah membelanjakan kekayaan yang dimiliki kepada jalan kebajikan. Manusia lazimnya mudah lupa kepada diri sendiri dan asal-usul. Kekayaan menyebabkan mereka terus membazir dan tidak menggunakan harta tersebut ke jalan yang sepatutnya. Sedangkan membazir itu adalah amalan syaitan. Firman Allah ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Israa: 27)
Justeru, fokus utama perbelanjaan adalah ke arah tanggungjawab dan kebajikan. Tanggungjawab kepada ahli keluarga dan tanggungan serta kebajikan kepada individu atau kumpulan yang memerlukan. Ini adalah bentuk penghayatan ke arah mensyukuri nikmat Allah.
Ketiga, perbelanjaan harta tersebut hendaklah bersifat jangka pendek dan panjang. Perancangan kewangan perlu dilakukan agar menjadikan kita terus mensyukuri nikmat Allah. Ada yang sering lupa diri apabila dikurniakan harta yang banyak sehingga akhirnya papa hasil daripada kelalaian sendiri. Perancangan ini hendaklah ditimbang mengikut konsep darurat (keperluan asasi), seperti kediaman dan makanan, dan juga keperluan hajiyat (diperlukan) dan tahsiniyat (kemewahan) seperti perhiasan rumah.
Proses menimbang tara keperluan-
keperluan ini hendaklah mengikut kemampuan individu. Tanpa perancangan kewangan yang baik, kita tidak boleh dan berupaya menghayati konsep kesyukuran atas kurniaan harta.
Selain itu, keperluan-keperluan wajib juga hendaklah diutamakan di dalam perancangan kewangan. Bagi umat Islam, kita perlu memikirkan tanggungjawab agama seperti peruntukan atau simpanan khas bagi menunaikan fardu haji berbanding pelancongan mewah di Eropah. Ia juga satu tanggungan yang tidak boleh diabaikan sebagai bukti kesyukuran terhadap harta yang diperoleh.
Keempat, bersyukur dengan menunaikan zakat. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah, malah di Malaysia, setiap janaan pendapatan hendaklah dibayar zakat apabila cukup syaratnya. Biarlah kesyukuran itu dizahirkan dengan pembayaran zakat, bukan sekadar melepas batuk di tangga akibat undang-undang, tetapi melalui penghayatan terhadap penyucian harta.
Ada di kalangan kita yang berniaga, mungkin melalui beberapa kesilapan yang bukan melibatkan harta kita. Mungkin usaha kita tidak setimpal dengan upah yang kita peroleh, atau berlaku sedikit penindasan walaupun kecil. Ada juga di kalangan kita yang makan gaji, tetapi ada culasan-culasan yang kita pernah lakukan. Biarlah pembayaran zakat ini menyucikan kesilapan-kesilapan kecil yang pernah kita lakukan. Ia juga melibatkan pembersihan harta agar setiap sen yang kita peroleh itu benar-benar diterima oleh Allah.
Kita sering melenting apabila barang berharga yang kita miliki hilang. Namun, kita tidak pernah melenting apabila tidak membayar zakat. Ia adalah satu unsur yang melibatkan materialisme, yang perlu untuk dijauhkan di dalam membina tamadun yang gemilang.
Kelima, hendaklah mensyukuri harta dengan memberikan sumbangan kepada alam. Pernahkah kita terfikir bahawa setiap perbelanjaan harta kita boleh membawa kepada pencemaran atau kekurangan sumber alam. Sebagai contoh, pembinaan kediaman yang mewah di pinggir bukit memang melambangkan kemewahan, namun ia juga boleh merosakkan sistem alam.
Hakikatnya, kesyukuran itu sangat besar untuk dihayati, namun kehadiran tahun baru mampu memberikan kita sejenak ruang bagi memikirkan sejauh mana kesyukuran kita terhadap harta.
- PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi & Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Perikatan strategik pemangkin kewangan Islam global

HONG KONG 15 Jan. – Tokoh bank terkemuka Malaysia berkata Selasa, perikatan strategik di kalangan peserta industri kewangan Islam akan membantu menyerlahkan potensi industri itu di peringkat global, berikutan minat yang semakin meningkat di kalangan beberapa pusat kewangan, termasuk Hong Kong, terhadap kewangan Islam.

Semasa berucap pada seminar kewangan Islam yang berlangsung selama dua hari di sini, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ini akan mendorong kewujudan sebuah sistem kewangan Islam antarabangsa yang lebih bersepadu dan lebih memanfaatkan pasaran masyarakat Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, institusi kewangan konvensional boleh bekerjasama dengan institusi kewangan Islam untuk mengumpul sukuk atau bon Islam atau menstruktur produk Islam patuh Syariah yang lain.

“Ketersediaan aset yang pelbagai itu dan keperluan pembiayaan yang besar oleh kawasan-kawasan pertumbuhan baru di rantau ini seperti di China, Indonesia dan Vietnam akan menarik dana daripada ekonomi lebihan seperti dari negara-negara Teluk,” katanya dalam ucaptamanya bertajuk “Ke Arah Memanfaatkan Potensi Pertumbuhan Kewangan Islam Global.”

Beliau menegaskan bahawa penubuhan Dana Sukuk Asia boleh diteroka sebagai lanjutan Dana Bon Asia.

Katanya: “Bakal penerbit mungkin memanfaatkan platform sukuk Malaysia dan kekuatannya sebagai pusat terbitan sukuk terbesar di dunia dengan lebih AS$56 bilion atau 62 peratus terbitan sukuk dunia.”

Pasaran sukuk adalah bentuk kemunculan kewangan Islam yang terpantas. Ia meningkat pada kadar purata tahunan 40 peratus dengan dipacu oleh tahap rezab dan penabungan lebihan yang tinggi di Asia dan Asia Barat.

Di Malaysia, bon sukuk telah mengatasi bon konvensional selama tiga tahun berturut-turut dengan perolehan tahunan sebanyak RM135 bilion.

Zeti berkata, Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam kewangan Islam selama tiga dekad, sedang memasuki fasa baru dalam membangunkan negara sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa dan menjadi lebih bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa.

“Ini bertujuan memperkukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan kita, sekali gus menggalakkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan rentas sempadan,” katanya.

Beliau yakin kewangan Islam dalam 2008 dan selepas itu akan kekal positif walaupun dalam persekitaran global yang mencabar kerana kewangan Islam mempunyai keupayaan untuk menampung permintaan ekonomi yang berubah-ubah.

– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 10 January 2008

Muamalat, PKB usahasama pajak gadai Ar-Rahn

KOTA BHARU 28 Dis. – Muamalat Venture Capital Sdn. Bhd. dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) telah menandatangani perjanjian untuk berkerjasama mengikut konsep Syirkah Mutanaqisah bagi menguruskan perniagaan pajak gadai Ar-Rahn.
Perjanjian berkenaan antara anak syarikat milik penuh Bank Muamalat Malaysia Bhd. itu dengan PKB, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan dimeterai di sini semalam.
Perjanjian itu bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menjalankan perniagaan pajak gadai Ar-Rahn di pekan Jelawat, Bachok dalam usaha PKB memperluaskan rangkaian pajak gadai Islam itu di dalam dan di luar Kelantan.
Ia melibatkan dana berjumlah RM5 juta dengan RM4.5 juta disumbangkan oleh Bank Muamalat, manakala baki RM500,000 merupakan sumbangan modal PKB, berdasarkan nisbah 90:10.
Sebuah jawatankuasa bersama pengurusan akan dibentuk bagi menguruskan perniagaan itu yang dijalankan berasaskan perkongsian keuntungan dan kerugian.
Usahasama berkonsepkan Syirkah Mutanaqisah ini bermaksud perkongsian itu akan diakhiri dengan pemilikan penuh oleh salah satu pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut.
Pada perjanjian itu Muamalat Venture Capital diwakili oleh Naib Presiden Kanan Bahagian Perbankan Korporat dan Pelaburan, Syed Abdull Aziz Jailani Syed Kechik, sementara PKB diwakili oleh Pengurus Besarnya, Sabri Abdullah sambil disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Abdul Manaf Abdul Wahab.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Abdul Manaf berkata, usahasama pertama yang diperkenalkan oleh institusi perbankan tempatan itu diharap dapat menarik lebih banyak agensi kerajaan, swasta atau syarikat besar untuk turut serta.
Katanya, skim pembiayaan yang diperkenalkan oleh Muamalat Venture di negara ini adalah selari dengan inisiatif kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai hab pembiayaan Islam global.
Pelbagai pendekatan perlu dilakukan bagi menghadapi persaingan sengit dalam sektor perbankan Islam di negara ini, katanya.
Pada masa ini, terdapat 11 institusi perbankan Islam di negara ini dengan lapan daripadanya merupakan bank tempatan, manakala tiga lagi adalah bank antarabangsa.
Abdul Manaf berkata, penerimaan masyarakat di negara ini terhadap produk- produk yang diperkenalkan oleh Bank Muamalat amat menggalakkan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 8 January 2008

Banyak produk kewangan Islam perlu diperkenal

Oleh Arif Nizam Abdullah

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendahului negara-negara Teluk dalam kewangan Islam kerana kestabilan politik serta kepelbagaian ekonominya, kata seorang pakar mengenai sejarah ekonomi perbandingan.

Pengarah bersama penyelidikan di Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam, Profesor Dr. Murat Cizakca, berkata, Malaysia boleh bergantung kepada sektor-sektor seperti industri dan pertanian, manakala negara-negara Teluk sebahagian besarnya dalam sektor minyak yang pada satu peringkat mungkin habis atau perlu digantikan.
“Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dan lebih sihat dalam jangka masa panjang. Itu sebab Dubai kini cuba memasuki sektor pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan mengenai “The Maqasid al-Shariat, Rule of Law, Democracy and Capitalism” (Maqasid al-Shariat, Peraturan Undang-undang, Demokrasi dan Kapaitalisme), di sini hari ini.
Murat juga menggesa institusi kewangan dan perbankan Islam tempatan supaya menyuntik idea segar bagi memperkenalkan lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan baru yang berlandaskan Syariah sepenuhnya.
Menurutnya, perkembangan pesat yang dialami oleh sektor itu memerlukan satu lonjakan bagi mengemas kini dan meningkatkan rangkaian produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang sedia ada di pasaran.
“Kejayaan Malaysia dalam bidang perbankan Islam adalah bukti keyakinan tinggi negara-negara luar terhadap kemampuan negara ini sebagai peneraju global perbankan Islam.
“Bagi memastikan momentum perkembangan dalam bidang ini berterusan, perancangan rapi wajar dilaksanakan bagi memperbanyakkan instrumen, produk dan perkhidmatan perbankan Islam baru di pasaran,” katanya.
Murat berkata, beliau sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan empat instrumen baru perbankan Islam dan salah satunya melibatkan waqaf.
Katanya, waqaf merupakan satu instrumen yang akan digabungkan dengan satu lagi instrumen Islam iaitu sukuk.
“Saya telah menghantar cadangan ini kepada Bank Negara Malaysia dan yakin ia mampu diterjemahkan dalam realiti pasaran pada hari ini,” ujarnya.
Katanya, pelbagai cabaran perlu dihadapi bagi memastikan instrumen baru perbankan Islam mampu bersaing dengan instrumen konvensional dan lebih baik daripada instrumen Islam yang sedia ada di pasaran.
“Namun cabaran paling hebat adalah bagaimana untuk memperkenalkan satu instrumen Islam baru yang berlandaskan Syariah sepenuhnya dan bukannya sekadar dinamakan instrumen Islam,” tegasnya.
Tambah beliau, kini terdapat kecenderungan dari negara Barat yang bercadang menampilkan instrumen baru mereka mengikut konsep instrumen Islam.
Katanya, negara-negara Barat sedang membuat kajian secara menyeluruh untuk mengetahui bagaimana mengoptimumkan keuntungan menerusi instrumen Islam.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


Thursday 3 January 2008

Maybank Singapura lancar deposit Islam kedua


SINGAPURA 3 Jan. – Maybank Singapura telah melancarkan deposit Islam kedua yang distrukturkan, Prestige Structured Deposit, yang tidak mempunyai had bagi pemberian pulangan.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, bank itu menyatakan pulangan itu yang berasaskan ujian kebelakangan ditetapkan antara empat hingga 17 peratus.
“Dengan ciri-ciri seperti jaminan prinsipal 100 peratus jika disimpan sehingga matang, pelaburan yang serendah S$10,000 (S$1=RM2.30), tanpa had, produk itu mempunyai pelbagai risiko yang menarik kepada selera pelbagai pelanggan.
“Ia menyediakan pelabur dengan akses terhadap satu opsyen indeks yang terdiri daripada 30 ekuiti global yang mematuhi syariah, dengan pelaburan dalam dua sektor yang berkembang tinggi – minyak dan gas dan bahan asas,” katanya.
Opsyen indeks itu, SGAM Al Baraka Commodity Index, diuruskan oleh Societe Generale Asset Management (SGAM), merupakan cabang pelaburan global Societe Generale, katanya.
Bank itu berkata deposit berkenaan mempunyai tempoh matang tiga tahun dan pendasar indeksnya akan diuruskan secara aktif dan diimbangkan semula dengan memaksimumkan prestasinya mengikut potensi.
Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Rosli Mohd Yusof berkata, deposit itu akan membuka ruang bagi pelabur runcit untuk mengakses sektor yang mengalami pertumbuhan.
– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com