Terkini

Wednesday 16 January 2008

Perikatan strategik pemangkin kewangan Islam global

HONG KONG 15 Jan. – Tokoh bank terkemuka Malaysia berkata Selasa, perikatan strategik di kalangan peserta industri kewangan Islam akan membantu menyerlahkan potensi industri itu di peringkat global, berikutan minat yang semakin meningkat di kalangan beberapa pusat kewangan, termasuk Hong Kong, terhadap kewangan Islam.

Semasa berucap pada seminar kewangan Islam yang berlangsung selama dua hari di sini, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ini akan mendorong kewujudan sebuah sistem kewangan Islam antarabangsa yang lebih bersepadu dan lebih memanfaatkan pasaran masyarakat Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, institusi kewangan konvensional boleh bekerjasama dengan institusi kewangan Islam untuk mengumpul sukuk atau bon Islam atau menstruktur produk Islam patuh Syariah yang lain.

“Ketersediaan aset yang pelbagai itu dan keperluan pembiayaan yang besar oleh kawasan-kawasan pertumbuhan baru di rantau ini seperti di China, Indonesia dan Vietnam akan menarik dana daripada ekonomi lebihan seperti dari negara-negara Teluk,” katanya dalam ucaptamanya bertajuk “Ke Arah Memanfaatkan Potensi Pertumbuhan Kewangan Islam Global.”

Beliau menegaskan bahawa penubuhan Dana Sukuk Asia boleh diteroka sebagai lanjutan Dana Bon Asia.

Katanya: “Bakal penerbit mungkin memanfaatkan platform sukuk Malaysia dan kekuatannya sebagai pusat terbitan sukuk terbesar di dunia dengan lebih AS$56 bilion atau 62 peratus terbitan sukuk dunia.”

Pasaran sukuk adalah bentuk kemunculan kewangan Islam yang terpantas. Ia meningkat pada kadar purata tahunan 40 peratus dengan dipacu oleh tahap rezab dan penabungan lebihan yang tinggi di Asia dan Asia Barat.

Di Malaysia, bon sukuk telah mengatasi bon konvensional selama tiga tahun berturut-turut dengan perolehan tahunan sebanyak RM135 bilion.

Zeti berkata, Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam kewangan Islam selama tiga dekad, sedang memasuki fasa baru dalam membangunkan negara sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa dan menjadi lebih bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa.

“Ini bertujuan memperkukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan kita, sekali gus menggalakkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan rentas sempadan,” katanya.

Beliau yakin kewangan Islam dalam 2008 dan selepas itu akan kekal positif walaupun dalam persekitaran global yang mencabar kerana kewangan Islam mempunyai keupayaan untuk menampung permintaan ekonomi yang berubah-ubah.

– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment