Terkini

Tuesday 29 January 2008

Status caj PTPTN


Oleh Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM



LAPORAN akhbar mengenai caj perkhidmatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik perhatian saya. Laporan itu menyatakan Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail akan membawa isu caj ini ke Majlis Fatwa Kebangsaan bagi ‘membersihkan’ salah faham dan kekeliruan mengenainya.Saya amat menghargai hasrat Pengerusi PTPTN itu. Ia adalah tindakan yang amat wajar. Namun, harapan, bayangan dan pendapat awal beliau mungkin boleh menyebabkan disilap tafsirkan, beliau dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata:“Walaupun kami tahu caj itu caj perkhidmatan, tidak bertentangan dengan syarak, namun nama baik PTPTN mesti dipertahankan. Caj itu bukan riba tetapi adalah caj yang dikenakan selepas perkhidmatan diberikan.”


Kos Pentadbiran Yang Bermasalah.


Kita semua mengetahui dengan jelas bahawa PTPTN menggunakan akad pinjaman kepada pelajar. Ia sangat jelas termaktub di dalam laman web PTPTN. (Rujuk http://www.ptptn.gov.my/ web/guest/anjung).
Keputusan persidangan ulama antarabangsa di bawah Badan Kewangan & Perakaunan Islam Antarabangsa (AAOIFI) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan daripada jumlah yang diberi pinjam yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah dilarang sama sekali dan ia adalah RIBA. (Rujuk www.aaoifi.com) Bagaimanapun, dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Syariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah KOS SEBENAR.Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut “It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given).” (Tidak dibenarkan untuk mengaitkan caj kepada jumlah yang diberikan.” (Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338).Ini kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan sistem yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.Resolusi mereka juga menyebut adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih daripada kos sebenar, justeru ulama di persidangan tadi mewasiatkan supaya cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya.Selain itu, keputusan mereka juga menyebut kos tidak langsung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman.Malangnya, cara caj perkhidmatan yang dapat dilihat di PTPTN tidak menepati cara yang digariskan oleh majlis ulama dunia ini. Selain itu, fakta terpenting untuk difahami juga adalah riba tidak mengira sama ada dicaj di awal perkhidmatan atau selepas perkhidmatan diberikan. Ia adalah sama saja selagi mana caj dan kiraan sedemikian diletakkan di dalam akad atau kontrak pinjaman.


Cara Kiraan

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 3 peratus daripada jumlah pinjaman berbaki setiap bulan dengan hujah ia adalah kos pengurusan yang halal dan sebenar sukar untuk diiktiraf oleh mereka yang benar-benar faham isu kewangan dan syariah.Malah, formula kiraan caj perkhidmatan ini juga bersifat ‘reducing balance’ dan ‘monthly rest’. Formulanya kiraan caj perkhidmatan seperti berikut (rujuk http://www.ptptn.gov.my/c/ portal/layout?p_l_id =PUB.1.150)Kos Pentadbiran Bulanan = 3 peratus x baki jumlah semasa x 1/12Cara kiraan ini adalah hampir serupa dengan kiraan pinjaman riba dalam pinjaman perumahan di bank konvensional, bezanya ia lebih murah daripada kadar riba bank konvensional yang bersifat komersial itu.Sebutan mudahnya, setiap bulan sejumlah riba akan diambil daripada peminjam berdasarkan baki ‘outstanding balance’ dalam bulan berkenaan.Untuk menjelaskan cara kiraan, katalah pinjaman saya seperti berikut:Jumlah Pinjaman Pelajaran: RM 19,500 (pinjaman penuh aliran Sastera di IPTA untuk tiga tahun) Tempoh bayaran semula: 120 bulan (sebagaimana ditetapkan)Caj Perkhidmatan: 3 peratus = Jumlah keseluruhan untuk 120 bulan = RM 3821.38Cara kiraan penuhnya, anda boleh masukkan info di capaian halaman berikut: http://www.ptptn.gov.my/web/guest/loan_calc


Alternatif Cara Islamnya Bagaimana?


Mesti ramai yang meminta cara alternatif sejurus saya menyuarakan kritikan ini. Sebenarnya adalah rumit untuk saya menyuarakan di sini kerana ruang yang terhad dan kesukaran menerangkan melalui tulisan.Namun, saya cuba menuliskan semudah dan seringkas mungkin, yang pasti tiada darurat untuk menggunakan sistem kiraan dan akad pinjaman dengan caj perkhidmatan begini. Ini kerana terdapat cara lain yang disepakati menepati cara syariah dan diiktiraf oleh ulama seluruh dunia. Ia adalah seperti berikut:1. PTPTN perlu mendapatkan hak milik ke atas beberapa tempat atau ‘seat’ di IPTA dan IPTS. Sebagai contoh PTPTN mengadakan MOU dengan universiti tempatan untuk menempah dan menyewa 1,000 kelayakan untuk belajar bagi setiap universiti. Akad Ijarah (sewa) akan ditandatangani oleh PTPTN dan universiti berkenaan. Ia dinamakan sewa ‘Intangible Asset’ dan telah disahkan menepati hukum syariah oleh ulama sedunia jika menepati semua syarat Ijarah yang lain.2. Dengan termeterainya akad ini, PTPTN sudah dianggap sebagai pemilik 1,000 tempat belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan lain-lain (ini adalah contoh saja). 3. Setelah itu, apabila ada pelajar mendapat surat tawaran daripada mana-mana universiti yang disebutkan tadi, setiap pelajar yang mendapat surat tawaran ini boleh dan berpeluang untuk menyewa daripada PTPTN salah satu dari 1,000 tempat yang telah ditempah oleh PTPTN dengan kerjasama universiti tadi. Melalui cara ini, bermakna proses ‘sub-lease’ berlaku, iaitu universiti menyewakan tempat kepada PTPTN dan kemudian PTPTN menyewakan kepada pelajar dengan harga sewaan yang ‘fleksible’ mengikut formula tertentu.Jumlah sewaan pula boleh diselesaikan oleh pelajar selepas tamat belajar. Ia tiada sebarang masalah daripada sudut syariah. Banyak lagi perkara teknikal di sini dan sukar untuk saya jelaskan semuanya. Namun, perlu difahami, ia boleh diuruskan menurut syariah melalui Akad Ijarah. 4. Hasilnya, PTPTN akan perlu membayar sewa kepada universiti atas Akad Ijarah. Jumlah ini termasuk jumlah yuran pelajar terbabit.Itulah secara ringkas proses yang boleh dilaksanakan untuk memperkenalkan sistem pembiayaan pendidikan secara Islam. Malah, produk seperti ini telah dilaksanakan di beberapa institusi kewangan Islam di Timur Tengah. Maka bertepatan dengan hasrat Malaysia untuk menjadi pusat kewangan dan perbankan Islam sedunia, langkah kreatif ini wajib diambil.Jika ada pihak berasa sukar untuk dilaksanakan proses ini, cara Akad Bai Tawarruq yang digunakan secara meluas di Timur Tengah juga boleh difikirkan. (Rujuk www.zaharuddin.net)KesimpulanIlmu yang tersedia ada di dalam khazanah Fekah Islam mampu dihidupkan kembali dengan pendekatan baru jika ada yang benar-benar serius menggali dan mengusahakannya. Saya yakin, rakan tenaga pakar kewangan Islam dan syariah di UIAM dan lain-lain IPT berbesar hati untuk membantu PTPTN menstrukturkan kaedah pembiayaan pendidikan baru yang diiktiraf oleh ulama seluruh dunia. Insya-Allah.Apapun, kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan terutama universiti itu sendiri. Tanpa persetujuan universiti untuk bekerjasama melaksanakan struktur Ijarah, kaedah baru ini akan terbengkalai dan masalah riba pasti akan berterusan. Moga Allah menyelamatkan dan menyedarkan kita daripada dosa riba yang tidak berbau itu. Saya juga amat berharap mufti dapat menilai sebaiknya semua isu syariah dan fatwa antarabangsa yang telah dibuat mengenai caj sebegini sebelum mereka membuat sebarang ijtihad kelak.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment