Penyedia pengurusan pelaburan, i-VCAP Management Sdn. Bhd. (i-VCAP), hari ini melancarkan prospektus bagi ETF patuh Syariah itu, yang akan dikenali sebagai MyETF MSCI SEA Islamic Dividend (MyETF-MSEAD).
Ketua Pegawai Eksekutif i-VCAP, Mahdzir Othman berkata, MyETF MSEAD adalah ETF patuh syariah pertama di Asia Tenggara dengan saiz dana yang diluluskan sebanyak 500 juta unit.
“Pelabur boleh melanggan unit dana sehingga 22 April ini pada harga RM1 seunit dengan saiz langganan minimum sebanyak 100 unit,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran prospektus dana patuh syariah MyETF MSCI SEA Islamic Dividend (MyETF MSEAD) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Pengerusi i-VCAP, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Mahdzir berkata, pihaknya juga telah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi melancarkan satu lagi dana dagangan bursa (ETF) menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, i-VCAP sedang menyiapkan beberapa perkara sebelum mengumumkan perkara tersebut.
“ETF merupakan satu produk yang terbukti mendapat sambutan baik di pasaran kewangan antarabangsa dan ini adalah masanya untuk Malaysia mengikut arus perkembangan pelaburan semasa,” katanya.

Beliau berkata, pasaran ETF global kini bernilai lebih daripada AS$2.9 trilion (RM10.56 trilion) dan kini semakin berkembang.

“Antara sebab pertumbuhan yang memberangsangkan bagi pasaran ETF ini adalah kerana pelabur di seluruh dunia menyedari akan nilainya, bagaimanapun di Malaysia kita kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai ETF jadi kita perlu melakukan usaha-usaha untuk memberi mereka maklumat bagi membangunkan ekosistem ETF,” ujarnya.

(Utusan Online / 08 April 2015)