Terkini

Sunday, 27 July 2008

Bank konvensional ciptaan kapitalis

Oleh Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM

SAMBUNGAN MINGGU LALU

ADA yang berhujah dengan saya kononnya riba di institusi kewangan Islam atau konvensional tidak mahal. Ada pula mengatakan riba sekadar tiga peratus bagi pinjaman rumah dan pelajaran tidak sewajarnya diharamkan kerana ia memberi manfaat kepada peminjam. Justeru, ia tidak riba kerana tidak zalim dan memperoleh reda kedua-dua pihak.

“Yang riba dan zalim adalah institusi kewangan Islam yang mencekik darah dan mahal,” demikian kata-kata mereka yang terkeliru akibat ilmu yang kosong di dada.

Sebenarnya mereka silap. Dalam mengenal pasti dan menentukan riba, ‘illahnya jelas daripada nas hadis iaitu:

1) Lebih: Sebarang akses atau lebihan dalam:

a.
Pemberian pinjaman wang atau manfaat aset (beri pinjam kereta sebagai contoh) yang disyaratkan pulangan berserta lebihan manfaat. Sebarang lebihan, sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia riba yang haram.

b. Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. Sama ada bezanya satu gram atau 30 gram, ia sama saja haramnya. Sebagai contoh, menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai baru seberat 23 gram. Ia riba sama ada reda atau tidak, sikit atau banyak.



2) Tangguh: sebarang bentuk tangguh dalam:

a.
Pertukaran mata wang dengan mata wang lain.

b. Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.



Itulah ‘illah yang disepakati oleh majoriti ulama, ia bersifat standard dalam semua keadaan bagi semua orang, semua benua dan negara. Tidak terkesan dengan nafsu seseorang.

Saya akui, sukar untuk saya memudahkan penerangan ini dalam bentuk tulisan ringkas ini. Penerangan secara lisan mungkin lebih mudah. Namun, saya masih berharap pembaca yang tiada latar belakang ilmu usul fiqh mampu memahaminya.



Reda dalam riba yang murah, boleh atau tidak?

“Mengapa reda dalam hal riba tidak terpakai?” Berkerut dahi pelajar saya ketika bertanya di luar kelas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Saya membalas: “Kerana riba adalah satu dosa yang tergolong dalam hak Allah semata-mata. Justeru, manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan reda dan rela hati mereka.”

“Sama seperti zina, adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan reda dan rela. Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia hak Allah dan ujian yang Allah beri kepada manusia bagi menilai siapa yang taat dan siapa yang derhaka,” jawab saya.



Asal hukum transaksi kewangan di bank adalah haram

Ada pihak cuba bermudah-mudah dengan mengambil kaedah fiqh yang menyebut: “Asal semuanya adalah harus selagi tidak dibuktikan haram.”

Namun, perlu difahami secara halus kaedah itu. Yang paling tepat, kaedah ini tanpa syak lagi sememangnya terpakai buat semua perkara ciptaan Allah SWT.

Seperti hukum makan tupai, apakah hukumnya? Justeru selagi tiada nas yang haram, dan tidak pula memudaratkan. Ia kekal sebagai hukum harus dan halal. Demikian aplikasinya.

Namun, dalam instrumen kewangan moden di bank khususnya, ulama kontemporari ada pendapat lain. Dr Md Daud Bakar (Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia) pernah menyebut dalam bengkel Muzakarah Cendikiawan Syariah Nusantara, asal hukum semua transaksi kewangan di bank adalah haram selagi belum dibuktikan halal.

Saya bersetuju 100 peratus dengan pandangan beliau. Ini kerana instrumen kewangan moden di bank dan pelaburan lain kebanyakannya hasil ciptaan Yahudi dan puak kapitalis yang sentiasa menjadikan riba, gharar dan judi sebagai tapak ciptaan instrumen kewangan moden ini.

Matlamat utama mereka bagaimana ingin mencipta lebih banyak wang untuk mereka tanpa mengira kesan kepada orang lain. Pasaranlah yang akan menentukan kesannya kelak.

Hasilnya, wajar dan tepat bagi ulama menganggapnya haram selagi belum dibuktikan harus dan halal.

Pengalaman meneliti produk kewangan moden yang wujud hari ini sangat tepat bagi membuat kesimpulan, sukar untuk disahkan halal sesuatu skim dan produk kewangan itu.

Jika ingin menjadikannya halal, mesti akan perlukan banyak atau sedikit modifikasi. Selepas modifikasi, baru ia mampu menjadi harus dan halal.

Akhirnya, kerana itu umat Islam wajib menggunakan perkhidmatan bank Islam dan Takaful. Mereka ada pakar syariah yang ditugas memantaunya serta mengambil tanggungjawab di dunia dan akhirat.

Tanpa pakar syariah yang menelitinya, setiap individu bertanggungjawab sendiri di akhirat untuk menjawab berkenaan pembabitannya dengan sebarang skim pelaburan dan bank.

Tiada alasan boleh diberi. Hidup hanya sebentar, jangan leka dengan sebarang skim riba yang memukau nafsu cintakan harta.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment