Terkini

Showing posts with label Takaful semula. Show all posts
Showing posts with label Takaful semula. Show all posts

Saturday, 4 October 2008

AIA Bhd Terima Lesen Pengendali Takaful Antarabangsa Pertama Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- American International Assurance Bhd (AIA Bhd), menerima lesen Pengendali Takaful Antarabangsa (ITO) pertama Malaysia daripada Bank Negara Malaysia.

Lesen itu membolehkan unit milik penuh AIA Bhd, AIA Takaful International Bank (ATIB), menjalankan perniagaan takaful dan takaful semula komposit, keluarga dan am, dalam mata wang antarabangsa.

ATIB beroperasi sejak 15 Sept tahun ini.

"Kini kami boleh menawarkan penyelesaian takaful bagi golongan pertengahan dan berada serta pemastautin dan bukan pemastautin di Malaysia," kata ketua pegawai eksekutif dan pengarah AIA Bhd ATIB, Khor Hock Seng, dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini akan membolehkan kami memanfaatkan pasaran takaful global yang sedang berkembang serta menyumbang kepada peluasan prasarana takaful ATIB. Ia juga akan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan serantau bagi AIA," katanya.

Sebagai satu daripada segelintir peserta di Malaysia yang menawarkan penyelesaian takaful dalam mata wang antarabangsa, ATIB berada pada kedudukan yang sangat baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan kukuh sektor kewangan Islam global dan domestik.

-- BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Industri takaful, takaful semula pamer pertumbuhan pantas

Kuala Lumpur 29 Sept. – Industri takaful dan takaful semula terus mempamerkan pertumbuhan yang pantas dan kini kian mendapat pengiktirafan sebagai satu komponen utama sistem kewangan Islam secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, Datuk Dr. Adnan Alias berkata, perniagaan takaful semula di Malaysia masih terhad daripada segi kapasiti.
Dengan itu, industri itu mempunyai peluang besar untuk berkembang lagi.
“Dari segi takaful, pertumbuhannya sangat menggalakkan manakala takaful semula sedang mengikuti rapat, walaupun industri itu diperkenalkan lewat,” kata Adnan kepada pemberita pada taklimat Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa 2008 keenam di sini baru-baru.
Bagi mengembangkan lagi takaful dan takaful semula, Adnan berkata, ia memerlukan kemahiran dan pengetahuan khusus mengenai risiko yang dikendalikan. Persidangan akan diadakan dari 13 hingga 14 Oktober.
Kini, katanya, sebahagian besar perniagaan takaful semula dihalakan kepada penyedia insurans konvensional kerana syarikat takaful semula tempatan kekurangan kepakaran bagi mengendalikan risiko sedemikian.
Bagi Malaysia, katanya industri takaful mencatatkan rekod prestasi yang boleh dibanggakan sejak pengenalannya lebih dua dekad yang lepas.
Dana takaful dicatatkan RM8.8 bilion pada 2007, kenaikan kira-kira RM2 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Kadar penembusannya ialah kira-kira 7.0 peratus pada 2007 berbanding 5.9 peratus pada 2006. Jumlahnya masih dianggap kecil kerana peluangnya yang besar.
–Bernama
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com