Terkini

Showing posts with label Kuwait Finance House (M). Show all posts
Showing posts with label Kuwait Finance House (M). Show all posts

Friday, 29 February 2008

KFH Sedang Berunding Untuk Biayai Projek Di Sabah

KUALA LUMPUR, 28 Feb -- Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd (KFH) sedang berunding mengenai perjanjian pembiayaan dengan 10 hingga 12 syarikat yang sedang meninjau beberapa projek di Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kata Pengarah Urusannya, K. Salman Younis."Kami sedang berunding dengan beberapa syarikat tentang peluang pembiayaan yang berbeza. Ia adalah proses yang berterusan, dan sebelum akhir tahun, diharapkan, perjanjian mula dapat dimeterai," katanya pada satu taklimat media di sini.

Syarikat-syarikat berkenaan yang berminat mendapatkan pembiayaan itu sedang meninjau projek-projek dalam koridor ekonomi yang baru dilancarkan, seperti pembalakan, penanaman semula, hartanah dan prasarana.Bulan lepas, KFH berkata ia sedang berunding dengan dua syarikat yang sedang meninjau projek hartanah dan prasarana dalam SDC.Ditanya mengenai perkembangan terkini, Salman berkata KFH telah memeterai memorandum persefahaman dengan satu dari syarikat berkaitan dan menjangkakan membuahkan keputusan bulan depan.

SDC, yang diterajui Yayasan Sabah yang berkaitan kerajaan negeri, dijangkakan menarik pelaburan berjumlah kira-kira RM115 bilion.Sebelum itu, KFH menandatangani perjanjian terma rujukan induk dengan Calyon London untuk memuktamadkan transaksi Pertukaran Sewaan Ijarah-i (IRS-i). IRS-i merupakan alat pengurusan risiko yang membolehkan pelanggannya dalam pasaran modal Islam untuk melindung nilai secara berkesan terhadap risiko pendedahan kadar pasaran.

Salman berkata pelanggan boleh bertukar kepada sama ada komitmen aliran tunai kadar tetap atau terapung terhadap pendedahan kadar bersesuaian lebih terurus selaras dengan selera risiko mereka.Beliau berkata alat itu adalah sesuai bagi mereka yang memiliki portfolio yang terdedah kepada kadar tukaran asing.Sementara produk itu menerima maklum balas yang baik sejak ia dilancarkan satu setengah tahun lalu di Malaysia, syarikat itu telah mula menawarkan alat pengurusan risiko di luar negara. --(Bernama)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 29 May 2007

Kuwait jadikan Malaysia pangkalan perbankan Islam

SHAH ALAM 29 Mei – Kerajaan Kuwait mahu menjadikan Malaysia sebagai pangkalan utamanya bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan perbankan Islam di rantau Asia, kata Menteri Kewangannya, Bader Mishari Al-Humaithi.
Sehubungan itu, katanya, Kuwait Finance House Malaysia Berhad (KFHM) iaitu bank asing pertama yang diberi lesen perbankan Islam di negara ini dilihat mampu memainkan peranan itu selain berfungsi sebagai bank alternatif kepada pelanggan melalui produk inovatif dan perkhidmatannya.
Menurut beliau, antara pendorong utama pertumbuhan KFH di rantau ini adalah sokongan dan komitmen kerajaan Malaysia dalam menjadikan negara ini sebagai pusat perbankan Islam.
‘‘Dalam pada itu, pelaburan Kuwait di Malaysia terutamanya yang datangnya daripada sektor swasta adalah amat baik dan kita juga ingin melihat pelabur, kontraktor dan usahawan di negara ini datang ke Kuwait dan terlibat dengan pembangunan dalam pelbagai sektor di sana,” katanya kepada pemberita semasa majlis pembukaan cawangan kedua KFHM di Wisma sunwaymas, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan KFHM, K. Salman Younis berkata, KFH telah memainkan peranannya dalam membawa pelabur-pelabur dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke Malaysia.
GCC dianggotai oleh Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
‘‘Kami akan teras memainkan peranan dalam membawa pelabur dari GCC ke sini dan Malaysia ke GCC,” katanya.
Beliau juga berkata, KFHM akan membuka lima lagi cawangannya di negara ini pada tahun ini.
“Kita mahu membuka cawangan di Johor, Pulau Pinang dan selebihnya di Lembah Klang,” jelasnya.
Cawangan pertamanya di Malaysia terletak di tingkat bawah bangunan MNI Tower 2, di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
KFH yang diperbadankan di Kuwait pada tahun 1977, telah disenaraikan di Bursa Saham Kuwait.
Ia merupakan peneraju dalam industri perbankan Islam di Kuwait dan terbabit dalam bidang korporat dan pelaburan, perbankan komersial dan peruncitan.
(Utusan)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com