Terkini

Friday 23 January 2009

Mengejar keadilan ekonomi

RANGKA sosial agama Islam memberikan tempat yang istimewa terhadap dimensi ekonomi, menurut Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Nik Mustapha Nik Hassan.
"Islam percaya bahawa kestabilan keseluruhannya bergantung kepada kesejahteraan kebendaan dan kerohanian seseorang. Islam menganggap kedua-dua aspek itu berpadu sebagai satu bentuk integrasi di dalam setiap tindakan dan keperluan manusia dan ini bertentangan dengan konsep dominasi kebendaan di dalam sistem sekular," kata Nik Mustapha dalam artikelnya yang dihantar kepada Bernama.
Nik Mustapha berkata, keraguan terhadap kedua-dua aspek dalam kehidupan manusia menyebabkan orang Islam menjauhi asceticism iaitu tidak mementingkan hal keduniaan dan yang juga bermaksud penafian diri, merasa malu dan sebagainya.
Katanya, umat Islam dituntut supaya aktif, kreatif dan produktif dalam mengejar kemakmuran ekonomi.
Malah, beliau berkata, ada hubung kait yang positif di antara sifat kewarakan dan produktiviti di dalam Islam.
Hapus kemiskinan tegar
Nik Mustapha berkata, dari awal lagi Islam telah menyatakan bahawa perkara yang paling asas dalam prinsip kedudukan sosial di dalam agama adalah keadilan ekonomi.
Keadilan ekonomi bermakna pencapaian beberapa objektif termasuk penghapusan kemiskinan tegar yang merupakan satu matlamat utama.
Setiap individu hendaklah melibatkan diri untuk mencari keadilan ekonomi dan menyumbang bagi keperluan diri serta keperluan tanggungan diri.
Kata Nik Mustapha, peluang ekonomi perlulah tersedia untuk disertai semua individu dan sekiranya seseorang itu diperlukan mempunyai daya kreatif dan imaginasi, masyarakat keseluruhannya harus memberi sokongan.
Sementara itu, keadilan ekonomi menganggap kekayaan seseorang adalah miliknya, yang harus diletak ke dalam pusingan untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi.
Membina lebih banyak peluang serta aktiviti ekonomi adalah selari dengan kehendak keadilan sosial kerana ini memberi peluang kepada individu untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.
Menurut Nik Mustapha lagi, keadilan ekonomi juga bererti merujuk kepada potensi ekonomi yang dioptimumkan sebaik mungkin pada bila-bila masa.
Bila keperluan ekonomi seseorang telah tercapai dan diperbaiki, personaliti individu itu akan bertukar menjadi lebih kreatif, bijaksana serta bermoral.
Bebas buat pilihan
Nik Mustapha juga berkata, kebebasan untuk membuat pilihan dengan melibatkan diri dalam pencapaian ekonomi yang berpandukan prinsip-prinsip agama merupakan pra-syarat bagi keadilan ekonomi.
Menurutnya, kerajaan menyediakan garis panduan secara umum dan membataskan amalan yang tidak sihat untuk membolehkan ekonomi berkembang bebas dan bertindak balas terhadap keperluan masyarakat.
Al-Quran juga memberi fokus yang tinggi terhadap aspek kehidupan ekonomi dan kebendaan.
"Konsep kekayaan dinyatakan secara positif, antaranya ialah 'khayr' (yang baik), fadl Allah (kurniaan Allah) dan rezeki.
"Oleh itu, umat Islam yang terlibat dalam pengeluaran dan penjanaan kekayaan juga boleh dianggap sebagai mengerjakan ibadah kepada Allah," kata Nik Mustapha.
Kerjasama ekonomi
Menurutnya, sistem ekonomi Islam perlu mengusahakan keadilan ekonomi dan membina suasana bagi kerjasama ekonomi yang diwujudkan antara individu.
Dengan tidak mengasingkan kewujudan sekular dan kesucian, Islam meletakkan seluruh usaha manusia dan aktiviti mereka di bawah penelitian kerohanian dan rasional.
Katanya, pembentukan rohani dan moral dalam individu serta aktiviti ekonomi yang kolektif akan menggalakkan keadilan dan kerjasama ekonomi.
Hasilnya, aktiviti ekonomi boleh menyumbang terhadap kecekapan, produktiviti, pertumbuhan dan kestabilan negara. (Berita Harian)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 15 January 2009

Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia kerana negara itu hanya baru hendak memasarkan produk-produk kewangan Islam.
Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim menjelaskan, Singapura mempunyai perancangan giat untuk menjadikan negara tersebut sebagai pusat kewangan Islam dunia.
''Singapura bukan kuasa dunia yang sedang memonopoli sektor perbankan Islam, sebaliknya menggunakan kaedah pemasaran yang lebih menyeluruh berbanding negara-negara lain termasuk Malaysia sehingga dianggap sebagai pusat kewangan Islam.
''Di Singapura, sistem perbankan mereka menggunakan pengurusan kekayaan yang yang tidak diamalkan di tempat lain menyebabkan sistem pengurusannya lebih baik daripada negara-negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan kertas kerja yang bertajuk 'Kedudukan Semasa Kewangan Umat Islam di Malaysia' pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan dunia luar melihat Singapura sebagai pusat kewangan Islam walaupun negara tersebut hanya menggunakan kaedah tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia, sistem perbankan seharusnya memperkenalkan konsep yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.
''Dengan adanya kaedah tersebut, ia mampu memantau keadaan perbankan Islam di seluruh dunia serta memberi peluang pekerjaan dalam bidang perbankan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar Kementerian Luar Negeri, Nazirah Hussin memberitahu, ASEAN akan menjadi pemangkin untuk menjaga kebajikan umat Islam.
Katanya, di ASEAN terdapat seramai lebih 250 juta orang Islam yang perlu diberi perhatian dan kebajikan dari pelbagai aspek.
''Bagi menjaga kebajikan umat Islam di rantau ini, ASEAN mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat umat Islam sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi masyarakat tersebut," katanya.
Nazirah memberitahu, umat Islam di ASEAN mampu menjana pelbagai industri seperti penubuhan pusat kajian industri halal dunia di Indonesia.

(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Kewangan Islam alternatif terbaik

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sistem kewangan Islam perlu mengambil peluang untuk menunjukkan kehebatan, kelebihan dan keberkesanannya ketika sistem kapitalis yang telah wujud selama 300 tahun menjadi ancaman kepada keseluruhan sistem ekonomi dunia.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, sistem kewangan Islam seperti Takaful, Sukuk, Ar Rahnu dan pelbagai instrumen ternyata telah menjadi alternatif terbaik dalam berhadapan dengan krisis semasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan itu menuntut umat Islam secara komited untuk membuat pernilaian dan kajian terhadap pendekatan serta amalan semasa produk kewangan Islam agar prasarananya benar-benar menjadi pilihan terbaik.
''Diharapkan dengan krisis yang sedang hebat melanda ekonomi dunia akan membuka jalan kepada penemuan baru yang lebih universal serta adil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Seramai 350 orang peserta dan 600 orang pemerhati menyertai persidangan empat hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Najib memberitahu, kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan serta memperluaskan program ekonomi dan kewangan berasaskan Islam di negara ini.
Beliau memberitahu, komitmen ini berasaskan keupayaan serta sumbangan besar yang telah ditunjukkan oleh produk-produk ekonomi dan kewangan Islam.
''Kewangan Islam ternyata memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara, umat Islam dan masyarakat Malaysia seluruhnya," katanya.
Menurutnya, memperkukuhkan kewangan Islam merupakan perkara pertama daripada lima perkara yang perlu diberi perhatian oleh kongres bagi menghasilkan resolusi yang realistik serta praktikal sesuai dengan kekuatan yang dimiliki ummah.
Perkara kedua katanya, perhatian utama perlu diberikan kepada sektor Ijtima'i (masyarakat), sebagai satu daripada sektor dalam sistem ekonomi Islam (muamalat), yang sama penting peranannya dengan sektor kerajaan dan swasta.
Beliau berkata, unsur terpenting yang menjadi kekuatan sektor Ijtima'i ialah zakat, wakaf dan sadaqah jariah.
''Sektor ini merujuk kepada wujudnya sistem jaminan sosial yang diperkenalkan Islam sejak lebih 1,400 tahun yang lalu dan apabila kita telah sama-sama mengakui dan mengiktiraf tuntutan dan kepentingan sektor ini.
''Maka saya menyeru supaya prasarana dan institusi berkaitan harus disokong dan diperbaiki supaya lebih berkesan untuk muncul sebagai sumber kekuatan yang baru dan segar demi manfaat umat Islam," katanya.
Najib menambah, perkara ketiga ialah untuk mewujudkan institusi kewangan Islam berkonsepkan mesra usahawan.
Jelas beliau, konsep ini bakal berperanan menggembleng dana dan pada masa yang sama, membela serta memajukan usahawan Muslim seperti instrumen kewangan Islam yang bersesuaian berasaskan prinsip mudharabah dan musyarakah.
Perkara keempat katanya, konsep jaringan Islam (Muslim Net) perlu diperkenalkan kerana ia penting bagi mengukuhkan jaringan perniagaan sesama Muslim di semua peringkat serantau dan antarabangsa.
''Wujudnya jaringan Islam ini akan dapat menyelesaikan isu seperti pergerakan modal negara Islam ke negara Barat dan modal insan di kalangan negara Islam akan dapat diatasi serta ekonomi ummah dapat diperkasakan.
''Malaysia wajar mengambil langkah proaktif untuk mengeksport pakar kewangan Islam dan sekali gus dapat menarik dan mengurus dana dari negara-negara Islam," katanya.
Perkara kelima yang perlu dititik beratkan oleh umat Islam ujar beliau, ialah memperkenalkan konsep 'Peluang Hingga Berjaya' kerana ia membela usahawan yang tulen dan berusaha untuk terus berjaya.
Jelas beliau, prinsip Islam yang murni meletakkan mereka yang menghadapi masalah kewangan kesan dari faktor luar kawalan mungkin dapat dimasukkan di dalam golongan Al-Gharimin (satu daripada asnaf zakat).
Katanya, prinsip itu juga membawa maksud bahawa golongan seperti ini wajar dibantu hingga mereka keluar dari masalah yang dihadapi dan akhirnya akan berupaya menjadi pengeluar zakat.
(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com