Terkini

Showing posts with label Haram. Show all posts
Showing posts with label Haram. Show all posts

Thursday, 5 March 2009

Kaedah melupus wang syubhah

Dewasa ini, umat Islam di negara kita dan juga di serata dunia berhadapan dengan satu masalah yang amat sukar untuk dielakkan, iaitu keterlibatan (sama ada secara langsung ataupun tidak) dengan wang atau harta yang diperoleh melalui sumber yang syubhah atau haram.
Perkara ini antaranya berpunca daripada berleluasanya transaksi-transaksi yang tidak patuhi syariah dalam kebanyakan institusi-institusi kewangan konvensional pada hari ini.
Didapati bahawa sebahagian daripada masyarakat Islam pada hari ini menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaian kepada saki baki wang syubhah yang dimiliki dalam simpanan mereka. Contohnya seperti wang faedah hasil daripada simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba.
Ada di kalangan masyarakat Islam yang mengambil mudah dalam hal ini dengan menggunakannya tanpa rasa bersalah. Tidak kurang juga ada yang membiarkannya begitu sahaja atas anggapan ia tidak boleh dimanfaatkan secara mutlak. Mana satukah cara yang benar?
Pengenalan
Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinisikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal terang dan haram yang jelas yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar sama ada ia halal ataupun haram.
Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.
Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud: Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah). (riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Kaedah pelupusan wang syubhah dalam Islam
Terdapat khilaf di kalangan ulama berkenaan kaedah pelupusan wang syubhah atau haram mengikut syarak. Sesetengah ulama salaf yang berpendapat ia tidak boleh disucikan dan hendaklah dimusnahkan atau dibinasakan begitu sahaja.
Ada ulama yang berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan maslahat umum termasuk diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Ada pula yang berpandangan hanya untuk maslahat umum seperti membuat jambatan dan tandas awam sahaja tetapi tidak wajar diberikan kepada fakir miskin kerana ia berasal dari sumber yang haram dan tidak baik.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah menjelaskan bahawa wang-wang faedah ini selain ia haram untuk dimanfaatkan oleh umat Islam, ia juga haram untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.
Perbuatan tersebut akan memperkuatkan lagi bank-bank tersebut dan sama seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syarak.
Tindakan ini tergolong dalam membantu perkara-perkara maksiat, sedangkan membantu dalam perkara yang haram hukumnya adalah haram! Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (al-Ma'idah: 2)
Dr. Yusuf berpandangan, apa yang disyariatkan adalah supaya wang-wang faedah tersebut begitu juga dengan harta-harta lain dari sumber yang haram dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan. Ini seperti membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah, membantu perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.
Dalam hal ini juga, Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 menetapkan: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".
Wang bercampur aduk antara halal dan haram
Timbul satu persoalan di sini, iaitu apabila wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimana ia hendak dijernihkan?
Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: "Apabila berkumpul perkara yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram".
Menurut kaedah ini, apabila perkara yang halal dan haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram. Ini adalah pandangan yang lebih utama berdasarkan justifikasi bahawa meninggalkan perkara yang harus bagi tujuan menjauhi perkara yang haram adalah lebih baik daripada sebaliknya.
Dalam hal ini, iaitu apabila berlaku campur aduk antara perkara yang halal dengan yang haram dan tidak dapat dibezakan, maka penyelesaiannya adalah dengan mengasingkan nilai atau kadar sebenar yang halal dengan yang haram dengan niat dibahagikan antara kedua-duanya.
Apa yang jelas halal boleh digunakan manakala yang haram itu hendaklah dilupuskan seperti dengan menyedekahkannya kepada fakir miskin atau menyerahkan kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahat ummah.
Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.
Kesimpulan
Sehubungan itu, menjadi tanggung jawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhah demi menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram.
Dengan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, syarikat-syarikat pajak gadai Islam (al-rahnu), syarikat-syarikat insurans Islam (takaful) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang ada ini sewajarnya.
Namun demikian, sekiranya keterlibatan dengan wang syubhah atau haram ini tidak dapat dielakkan, maka hasil-hasil daripada aktiviti syubhah atau haram tersebut hendaklah dilupuskan sewajarnya berlandaskan syarak.
Penyerahan kepada Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta dapat menyumbang kepada kemaslahatan sosio-ekonomi umat Islam.
E-mel: mfadzli@jawhar.jpm.my
(Utusan)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 3 October 2008

Pendekatan Islam dalam krisis di Wall Street

Oleh Ismail Hashim Yahaya

APA yang berlaku di Wall Street jelas menunjukkan bahawa sistem kewangan dan ekonomi Barat yang tidak berasas nilai dan moral keagamaan telah membawa malapetaka besar kepada manusia.

Sistem kapitalisme yang hanya mementingkan kumpulan kecil dan individu tidak lagi sesuai untuk diamalkan oleh manusia.

Setelah kemeruduman sistem sosialisme Soviet pada awal era 1990-an, dunia menyaksikan satu lagi sistem mengalami kehancuran yang juga berpaksi kepada materialisme melalui ekonomi.

Hari ini sistem pasaran bebas yang berasaskan 'tangan tersembunyi' dalam pasaran permintaan dan penawaran hasil teori Adam Smith telah menemui kegagalan. Sistem perbankan Barat yang berpokokkan riba itu telah membawa kesengsaraan kepada peminjamnya.

Ini masanya Islam (yang kononnya dianggap agama keganasan) menawarkan alternatif iaitu sistem pelaburan berasaskan syariah. Para pelabur itulah yang menjadi pengganas kewangan pasaran bebas Barat.

Sistem pelaburan Islam ini menolak sebarang pelaburan berisiko spekulatif dan ketamakan menggila yang tidak memikirkan masyarakat umum. Ini kerana dalam sistem ini yang kuat sahaja akan hidup dalam persaingan yang sengit itu.

Hakikatnya sekarang ini pelaburan-pelaburan berasaskan syariah Islam di pasaran Barat telah berkembang sehingga mencecah setengah trilion dolar Amerika.

Memandang kemelut sistem kewangan Barat dan krisis di Wall Street, ramai pakar kewangan Barat sedang mengkaji sistem pelaburan Islam.

Malah mereka memikirkan dapatkah sistem kewangan ini mengelakkan daripada berlaku kecairan yang dialami oleh pasaran-pasaran di Amerika yang disebabkan oleh hutang cagaran dan sekuriti-sekuriti yang didukungi cagaran.

Dalam hal ini terdapat dua prinsip asas kewangan Islam yang dapat dijadikan sistem alternatif kepada sistem kewangan Barat.

Pertama merujuk kepada ayat al-Quran mengharamkan al-Maysir atau risiko spekulatif dengan mengingatkan orang beriman mengelakkan kegiatan atau permainan seperti ini.

Allah berfirman: "Mereka bertanya kepada engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah, "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya."

Judi dalam hal ini dikaitkan dengan kegiatan spekulatif kerana kebarangkalian kerugiannya lebih tinggi daripada kebarangkalian keuntungan. Pelaburan berasaskan syariah mengelakkan daripada terlibat dalam spekulasi risiko termasuklah opsyen kadar faedah, derivatif dan pelbagai produk dana perlindungan.

Kebanyakan produk kewangan menarik minat spekulator dengan harapan mengaut keuntungan dengan cepat. Apabila pengarah dana di bawah tekanan institusi terpaksa mempamerkan keuntungannya, maka jalan pintas harus diambil dengan kegiatan spekulasi risiko, pelaburan dana perlindungan yang kini telah bertukar menjadi strategi membunuh diri kerana membawa kepada malapetaka kewangan.

Dalam penujuan ke arah libidonomics (ekonomi keserakahan nafsu yang tanpa batasan) dan ketamakan menggila, kegiatan pelaburan biasa dalam syarikat-syarikat tidak lagi menarik minat pelabur malah sesuatu yang membosankan kepada mereka. Ini kerana jumlah keuntungan yang diperolehi berjangka panjang dan kadar pulangannya adalah rendah.

Islam mementingkan pelaburan yang walaupun berisiko tetapi bersifat projek- projek kemanfaatan sosial kerana ia melarang pelaburan dalam syarikat-syarikat dikaitkan dengan arak, perjudian atau pornografi atau sebarang kegiatan yang membawa kepada keburukan kepada manusia atau menjejaskan keselamatan dan kesihatan manusia.

Keduanya Islam mengharamkan pelaburan dikaitkan dengan riba. Al-Quran mengharamkan pelaburan pasif atau tiada risiko langsung. Pengharaman terhadap riba, faedah yang dikenakan ke atas pinjaman adalah haram dalam Islam.

Hutang dan pinjaman tidak dilarang tetapi pengenaan kadar faedahnya dilarang dalam Islam. Ia bertentangan dengan syariah.

Islam menolak sama sekali sebarang perdebatan dengan hujah bahawa riba adalah bersamaan dengan keuntungan. Al-Quran membenarkan perdagangan tetapi mengharamkan riba atau kadar bunga. Perkara ini dapat dirujuk kepada surah Al-Baqarah ayat 275 (2:275).

Pengharaman riba dikenakan bukan sahaja bagi menyelamatkan golongan miskin daripada peminjam tamak dan yang tidak bertimbang rasa tetapi juga menghalang para pelabur yang mahukan pulangan segera dengan mengambil jalan pintas atau terlibat dalam perdagangan perjudian atau pertaruhan berisiko tinggi contohnya bersandarkan kepada cagaran atau gadaian tetapi enggan melibatkan pelaburan dalam perdagangan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Ini amat bertentangan dengan prinsip Islam. Contohnya amat ketara dalam kes subprima yang membawa kemudaratan kepada pasaran kewangan di AS.

Pertama, bayangkanlah hutang yang dikenakan kadar bunga yang tinggi diberikan kepada peminjam yang sudah tentu tidak dapat membayar balik pinjamannya. Ini adalah riba.

Kedua, cagaran atau gadaian hartanah bukan lagi merupakan keputusan pelaburan yang bijak memandangkan beberapa pelaburan dalam hartanah dinilai pada harga yang dibesar-besarkan atau harga spekulasi sahaja dan bukan harga sebenarnya.

Bank-bank pelaburan dan pakar-pakar kewangan di Wall Street yang menjaminkan hutang-hutang cagaran menjadikannya sekuriti dengan kadar faedah. Sekuriti-sekuriti mula menampakkan kegagalan apabila aset yang mendasarinya dirampas. Hutang itu hangus dan pemegang atau pemiliknya menjadi bankrap.

Oleh itu antara pengharaman maysir (spekulatif risiko) dan riba, undang-undang Islam membenarkan kreativiti dalam pasaran kewangan yang memboleh para pelabur menggerakkan wang tambahan untuk pengeluaran dan pengagihan barangan dan perkhidmatan yang halal untuk kemanfaatan masyarakat.

Pakej penyelamat yang dicanangkan pentadbiran Presiden George W. Bush dengan segala penyelesaian segera kepada segala kesulitan akan memburukkan keadaan terutamanya melibatkan barah hutang berasaskan riba.

Ahli Kongres AS mencapai persetujuan untuk mewujudkan dana bernilai AS$700 bilion (RM2.38 trilion) bagi membeli hutang lapuk daripada bank-bank tenat dalam usaha untuk membendung krisis kekangan kredit yang mengancam ekonomi dunia.

Persoalannya sejauh manakah suntikan wang yang besar jumlahnya itu dapat merefomasikan institusi dan syarikat-syarikat yang dibina di atas lapisan demi lapisan hutang berasaskan riba itu? (Utusan Malaysia)


*******



Friday, 1 August 2008

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang - Permasalahan Mengenai Wang Shubhah / Haram/ ASN

Keputusan: 
 
Mesyuarat memutuskan bahawa:-
 
  1. Semua wang shubhah/haram yang diserahkan kepada Baitul Mal adalah dianggap satu dan bersih. (Rujuk kitab al-Imam Yusuf al- Qaradhawi, m/s 411 & 412)
     
  2. Wang riba/faedah adalah haram bagi diri pengusahanya sahaja.(Rujuk kitab yang sama m/s 410)
     
  3. Keuntungan/Dividen Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah haram kerana pelaburan terbesarnya adalah Bank Ribawi.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 18 June 2008

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pahang - Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional dan Seumpamanya

Tarikh Keputusan: 
 18 Jun, 2008
Huraian Tajuk/Isu: 
Keputusan: 
Setelah dibincangkan Mesyuarat bersetuju memutuskan hukum pelaburan di dalam Amanah Saham Nasional dan seumpamanya adalah haram sehingga pelaburan Amanah Saham Nasional didalam aktiviti perbankkan menepati kehendak dan syarat pelaburan menurut syariah seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com