Terkini

Saturday 27 October 2007

Mengenai Riba

Masyarakat Islam Malaysia umumnya amat mengambil berat soal halal dan haram dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini amat prihatin terhadap makanan yang dimakannya agar tidak terkandung elemen-elemen haram yang boleh menjejaskan keberkatan.
Persoalannya, apakah cukup sekadar memperakui barangan makanan bertanda halal tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan perolehan yang haram? Sejauh manakah keprihatinan mengenai halal dan haram ini turut diterjemahkan dalam kegiatan muamalah yang lebih penting seperti urus niaga harian dan perolehan pendapatan?
Hakikat yang tidak dapat dinafikan, kesedaran umat mengenai halal dan haram dalam aspek perolehan pendapatan masih di takuk yang amat mendukacitakan. Umat lebih memperhitungkan soal barangan berlabel halal berbanding dengan sumber perolehan mahupun pendapatan.
Apa yang pasti, kesedaran mengenai sumber rezeki yang halal amat penting bagi menumbuhkan rasa keterikatan dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah. Rezeki yang diperoleh dengan cara halal tanpa merugikan orang lain pastinya akan membawa barakah atau keberkatan. Sedang yang haram termasuklah perolehan daripada sumber penyelewengan, penipuan, rasuah, pecah amanah dan riba hanya akan membawa padah dan kecelakaan.
Dalam konteks ini, penulis lebih cenderung memfokuskan isu riba dalam penulisan kali ini. Bagi penulis, tahap kefahaman umat mengenai riba masih terlalu rendah. Walaupun kerajaan telah berusaha menyediakan pelbagai insentif galakan dan membangunkan prasarana kewangan berpandukan syarak seperti institusi perbankan Islam, realitinya umat Malaysia masih ramai yang tidak mendukung sistem muamalah Islam yang diperkenalkan.
Laporan Bank Negara 2005 jelas membuktikan senario ini. Penguasaan pasaran sistem perbankan Islam yang bebas riba umpamanya hanya dalam lingkungan 11 ke 12 peratus berbanding jumlah umat Islam di Malaysia hari ini yang melebihi 65 peratus. Ini bermakna masih ramai umat Islam yang kekal mengamalkan urus niaga dengan perbankan konvensional yang berasaskan riba.
Bank Negara Malaysia sendiri secara sederhana meletakkan sasaran bagi tahun berakhir 2010 untuk sistem perbankan Islam meningkatkan penguasaan pasaran perbankan hingga ke tahap 20 peratus.
Ini juga memberi indikasi penting bagi 27 institusi-institusi perbankan dan kewangan Islam yang sedia ada untuk melakukan promosi secara besar-besaran bagi meyakinkan bukan sahaja umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam untuk turut melabur dan menyimpan dalam institusi-institusi yang menawarkan produk-produk yang menepati syarak.
Dalam konteks ini, umat Islam sendiri terutamanya harus disuntik dan dipertingkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan berurus niaga secara halal tanpa melibatkan elemen riba. Umat harus difahamkan betapa besarnya dosa melibatkan diri dalam urus niaga yang mempunyai unsur-unsur riba tidak kira sama ada berbentuk pelaburan, simpanan mahupun pembiayaan.
Ini kerana Islam amat tegas memerangi unsur-unsur riba dalam sistem muamalah manusia. Pernyataan keras di dalam al-Quran bahawa Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap golongan yang mengamalkan riba jelas menggambarkan betapa beratnya dosa riba yang sememangnya boleh mendatangkan penganiayaan dan ketidakadilan dalam hubungan sesama manusia (al-Baqarah: 279).
Malah dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Hakim dinyatakan bahawa: “Riba mempunyai 73 jenis. Yang paling ringan antaranya menyamai kesalahan berzina dengan ibu kandung sendiri”. Terdapat sekurang-kurangnya 12 ayat yang secara khusus membincangkan isu riba dalam al-Quran. Malah terlalu banyak hadis yang memperincikan urus niaga muamalah yang bebas daripada elemen-elemen riba dan penindasan. Pengharaman riba turut ditegaskan sekali lagi dalam khutbah terakhir Nabi dalam peristiwa Haji Wida' sebelum kewafatan baginda.
Berdasarkan dalil-dalil inilah, sesetengah ulama menyatakan bahawa tahap pengharaman riba adalah lebih serius dan berat berbanding bentuk pengharaman lain seperti minum arak, judi mahupun makanan haram seperti babi. Ini kerana, Allah tidaklah sampai menegaskan secara keras seperti pengisytiharan perang terhadap mereka yang minum arak, berjudi mahupun memakan barangan haram seperti babi berbanding pengharaman riba.
Justeru, sudah tiba masanya kerajaan melihat perkara ini secara lebih serius. Kurikulum pendidikan agama di sekolah-sekolah umpamanya harus mulai diperkemaskan bagi membincangkan aspek muamalah Islam dengan lebih luas dan bukan sekadar menitikberatkan aspek ibadah fardu ain semata-mata.
Ini amat menepati aspirasi syarak atau disebut Maqasid as-Syariah yang amat menitikberatkan bukan sahaja pemerkasaan dalam konteks ibadah semata-mata tetapi turut memastikan kehidupan muamalah sesama manusia sentiasa berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan sekali gus menghindari sebarang bentuk penindasan dan penganiayaan.
Hanya dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman umat secara tuntas mengenai prinsip-prinsip muamalah berpandukan syarak sahajalah mampu merealisasikan impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju sistem kewangan Islam pada masa depan.
(DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI-Utusan, 26 Oct 07)

Bukan bumiputera monopoli industri halal


KUALA LUMPUR 26 Okt. – Sejumlah 80 peratus pengusaha industri halal di negara ini dimonopoli oleh bukan bumiputera berikutan potensi besar dalam bidang tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industri Development Corporations Sdn. Bhd. (HDC), Datuk Jamil Bidin berkata, penyertaan kaum bumiputera dalam bidang itu ketika ini masih rendah iaitu sekitar 20 peratus.
“Hasrat HDC adalah untuk menggalakkan penyertaan bumiputera dalam bidang ini supaya seimbang dengan bukan bumiputera.
“Industri halal amat luas, bukan tertumpu pada produk makanan sahaja, malah ia merangkumi perdagangan, produk pengguna, kosmetik, bahan kecantikan, kesihatan, produk herba dan farmaseutikal,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program ‘Juara Halal’ di sini hari ini.
Menurut beliau, sejumlah 90 peratus pengusaha yang terlibat dalam industri ini terdiri daripada industri kecil dan sederhana.
Masalah itu telah menyekat peluasan pasaran, khususnya di luar negara yang pada umumnya memiliki peraturan ketat berhubung kelulusan kemasukan produk-produk terutama produk makanan dan farmaseutikal.
“ Sijil ‘Halal’ kita amat diyakini oleh masyarakat global terutamanya di Asia Barat berbanding sijil halal negara lain seperti Thailand.
“ Namun begitu, produk halal Malaysia kurang ditemui di luar negara,” kata beliau.
Jelasnya, perkara itu berlaku kerana pengusaha-pengusaha tempatan terdiri daripada IKS dan kurang mendapat pendedahan daripada segi pengembangan kewangan serta pemasaran.
“HDC dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengadakan pameran dan bengkel di seluruh negara bagi memberi kesedaran dan pendedahan mengenai potensi industri halal,” kata Jamil.
Sehubungan itu, HDC hari ini melancarkan program ‘Juara Halal 2007’ sebagai usaha untuk mengasah dan merangsang penyertaan dalam industri tersebut.
“ HDC akan memilih dan mengiktiraf jenama dan syarikat produk halal terbaik, justeru menaikkan reputasinya di peringkat global.
“Program ini juga dibuat untuk menghargai syarikat-syarikat halal yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mempromosi produk dan perkhidmatan halal serta mempunyai potensi pengembangan perniagaan di luar negara,” tambahnya.
Syarikat yang terpilih dalam program Juara Halal akan mendapat manfaat dari segi akses kepada pelbagai geran kerajaan, insentif dan pinjaman pengembangan perniagaan, katanya.
Menurut Jamil, HDC juga melaksanakan program padanan perniagaan, di mana syarikat-syarikat akan diperkenalkan dengan rakan kongsi luar negara seperti dari Thailand, China, Bosnia, Uruguay dan Brunei.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday 20 October 2007

Kewangan Islam penghubung antara rantau

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kewangan Islam kini dilihat berpotensi besar menjadi penghubung baru bagi mengukuhkan ekonomi dan rangkaian kewangan bukan sahaja antara rantau Asia dan Timur Tengah, tetapi juga boleh diperluaskan di seluruh dunia.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, kewangan Islam kini berada di ambang dimensi baru yang berupaya mengukuhkan kewangan antarabangsa melalui perhubungan sejagat.
Menurutnya, kewangan Islam memiliki potensi untuk menyumbang kepada kecekapan mobiliti secara langsung dan penyediaan dana merentasi rantau.
Rantau yang mengalami simpanan berlebihan boleh menyalurkan dana mereka kepada rantau yang mengalami simpanan defisit, dan ini berupaya membawa kepada berlaku lebih banyak integrasi kewangan global, katanya ketika menyampaikan ucap tama di persidangan Kewangan Islam di Universiti Georgetown, Washington, anjuran Biro Penyelidikan Asia Nasional.
Beliau menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kewangan Islam di Asia Tenggara: Amalan Setempat, Kesan Global’.
Teks ucapan beliau difakskan ke pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini. Zeti juga berada di Amerika untuk menghadiri mesyuarat Tahunan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Zeti berkata, perhubungan kewangan kini berkembang pesat berikutan aliran kewangan antara rantau yang meningkat begitu ketara.
‘‘Dalam konteks ini, kewangan Islam telah menjadi sayap baru yang menyumbang kepada peningkatan hubungan kewangan antara Asia, sekali gus memudahkan peruntukan modal merentasi sempadan di rantau tersebut,’’ katanya.
Menurut Zeti, kewangan Islam telah mencatatkan pertumbuhan dramatik dalam tempoh lima tahun selepas penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan kini telah wujud di lebih 75 buah negara.
Beliau berkata, jumlah pusat kewangan antarabangsa yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam seperti di London, Singapura dan Hong Kong juga telah bertambah.
‘‘Lebih 300 institusi perbankan Islam dan pusat kewangan antarabangsa telah menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan Islam dan jumlah aset kewangan Islam dianggarkan lebih satu trilion dolar Amerika, peningkatan lima kali ganda dalam masa lima tahun lepas,’’ katanya.
Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata, kewangan Islam adalah antara segmen kewangan yang mengalami pertumbuhan pesat dalam sistem kewangan antarabangsa dengan purata pertumbuhan tahunan antara 15 hingga 20 peratus.
Lebih membanggakan, katanya, pada masa kini terdapat pelbagai produk dan perkhidmatan yang dibangunkan telah ditawarkan di pasaran.

Malaysia sedia jadi pemimpin kewangan Islam

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Malaysia bersedia menjadi pemimpin dalam kewangan Islam berikutan kejayaannya memajukan industri itu secara komprehensif sejak 20 tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sebagai perintis dalam kewangan Islam, Malaysia telah melakar kejayaan dalam membangun dan melaksanakan produk alternatif kepada sistem konvensional.
Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini telah menunjukkan hasil, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia, katanya ketika berucap di persidangan Kewangan Islam di sini, hari ini.
‘‘Perkembangan baik dalam pertumbuhan kewangan Islam ini telah mendorong kebanyakan bank konvensional menawarkan produk perbankan Islam melalui Jendela Perbankan Islam pada awal 1990,’’ katanya.
Awang Adek berkata, dalam aspek liberalisasi pula, kerajaan telah meluluskan operasi bank Islam asing di Malaysia seperti Bank Al Rajhi, Investment Corporation, Asia Finance Bank dan Kuwait Finance House.
Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan empat lesen takaful untuk kerjasama strategik antara pengendali takaful tempatan dan institusi kewangan asing.
‘‘Semua yang dilaksanakan ini merupakan usaha Malaysia untuk mengembangkan pertumbuhan kewangan Islam dan meningkatkan profail Malaysia sebagai hab kewangan Islam di peringkat global,’’ tambah beliau.
Katanya, sehingga Jun lalu, jumlah aset perbankan Islam mencecah RM143 bilion atau 12 peratus daripada jumlah aset perbankan.
Jumlah deposit pula ialah sebanyak RM107.5 bilion, manakala pembiayaan Islam sebanyak RM81.5 bilion termasuk 12.8 peratus bagi jumlah perbankan deposit dan 13.3 peratus bagi pembiayaan.
Aset bagi takaful pula berjumlah RM7.6 juta atau 6.2 peratus daripada jumlah aset bagi industri takaful sehingga pertengahan Jun lalu.
Awang Adek berkata, sebanyak 86 peratus pasaran ekuiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah berasaskan Syariah, yang mewakili 62 peratus daripada jumlah pasaran modal.
‘‘Setakat pertengahan Mei lalu, Malaysia mempunyai 106 dana amanah Islam dengan Nilai Aset Bersih (NAB) sebanyak RM10.9 bilion atau 7.6 peratus daripada NAB dalam industri unit amanah negara,’’ ujar beliau.
Tambahnya, Malaysia juga adalah penerbit terbesar bagi bon Islam (Sukuk) di pasaran modal global, kira-kira dua pertiga daripada terbitan Sukuk.
Malaysia juga memainkan peranan dalam pembangunan modal insan dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), katanya.
Selain itu, bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam, kerajaan juga telah menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Islam Malaysia (MIFC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA), Bursa Malaysia dan peserta industri tersebut.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday 14 October 2007

DRB-Hicom bayar RM1.07b kuasai Bank Muamalat


KUALA LUMPUR 11 Okt. - DRB-Hicom Bhd. dijangka membayar RM1.07 bilion bagi menguasai 70 pegangan ekuiti dalam Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat).
DRB-Hicom dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian tersebut boleh dilaksanakan dengan penerbitan saham biasa baru DRB-Hicom bernilai RM1.00 setiap satu pada harga terbitan RM1.95 sesaham yang dibuat berdasarkan purata harga lima hari seperti pada 9 Oktober 2009.
“Lembaga Pengarah DRB-Hicom semalam (10 Okt.) telah menerima surat tawaran tersebut daripada Bukhary Capital bagi penjualan itu.
“Lembaga Pengarah juga telah mencadangkan supaya DRB-HICOM menerima tawaran itu bergantung kepada kelulusan Menteri Kewangan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Penganalisis Aseambankers Malaysia Bhd., Wong Chew Hann dalam satu laporan penyelidikan sekuriti hari ini berkata, berdasarkan penilaian harga-kepada-aset bersih sebanyak 1.5 kali, pegangan tersebut dijangka bernilai RM760 juta.
“Penilaian dibuat berdasarkan 30 peratus saham Bank Muamalat yang dibeli oleh Bukhary Capital daripada Commerce Asset-Holdings pada 2004 dengan nilai urusniaga sebanyak RM155.1 juta.
“Pada masa itu, nilai Bank Muamalat adalah 1.49 kali harga-kepada-NTA (Aset Ketara Bersih) berdasarkan NTA berjumlah RM347.8 juta seperti pada akhir 2002,” kata Chew Hann.
DRB-Hicom dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan dengan Bukhary Capital bagi membeli 70 peratus dalam Bank Muamalat.
Bukhary Capital adalah syrikat milik tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang juga merupakan pemegang saham utama DRB-HICOM.
Bank Muamalat mula beroperasi pada Oktober 1999, sebagai institusi perbankan Islam sepenuhnya yang ditubuhkan di Malaysia selepas Bank Islam Malaysia Bhd.
Sejak penubuhannya, Khazanah Nasional Bhd. menguasai 70 peratus pegangan dalam bank tersebut, manakala baki 30 peratus dimiliki oleh Commerce Asset-Holdings.
Pada Mac 2004, struktur pemegang saham bank tersebut berubah apabila Bukhary Capital muncul sebagai pemegang saham terbesar dengan 70 pegangan, manakala Khazanah Nasional memegang 30 peratus saham.
Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia semalam, DRB-Hicom juga mengumumkan bahawa pihaknya juga telah mendapat kebenaran BNM untuk memulakan rundingan dengan OSK Holdings Bhd. mengenai cadangan menjual keseluruhan 51 peratus kepentingan ekuitinya dalam Uni.Asia Cap Sdn. Bhd.
DRB-Hicom dan OSK Holdings juga disyaratkan membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran Menteri Kewangan bagi cadangan penjualan itu, kata kenyataan tersebut.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Aset Perbankan Islam Public Bank RM12b

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Aset perbankan Islam Public Bank Bhd. (Public Bank) telah mencecah sehingga RM12.4 bilion pada 30 Jun lalu. Pengurus Besar Kawalan Kredit dan Perbankan Islamnya, Ismail Ibrahim berkata, pertumbuhan purata tahunannya adalah sebanyak 25 peratus sepanjang lima tahun lalu.

Katanya, pembiayaan Islam dan deposit pelanggan Islam bank berkenaan juga masing-masing bernilai RM9.9 bilion dan RM9.5 bilion pada tempoh berkenaan.

‘‘Public Bank sentiasa komited untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang semakin popular di kalangan pelanggan Islam dan bukan Islam di negara ini,’’ katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Keuntungan sebelum cukai operasi perbankan Islam kumpulan adalah sebanyak RM155 juta merupakan 11 peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan Public Bank sebanyak RM1.408 bilion bagi enam bulan pertama tahun 2007.

Bank berkenaan telah memperolehi kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjalankan perniagaan perbankan Islamnya melalui sebuah anak syarikat dan ia akan ditubuhkan pada suku pertama tahun depan.

Menurut Ismail, Public Bank memiliki 240 buah cawangan di seluruh negara yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam.

Antara produk yang akan dipromosikan secara agresifnya ialah pembiayaan kenderaan, perumahan dan peribadi, katanya.

‘‘Melalui kelulusan ini, bank akan terus mengembangkan serta menyediakan lebih banyak produk yang mematuhi kehendak syariah kepada para pelanggan kami,’’ katanya lagi.

Sementara itu, Public Bank telah memperuntukkan zakat pada tahun ini sebanyak RM150,000 berbanding RM131,800 pada tahun lalu.

Majlis penyerahan cek-cek zakat itu telah diadakan baru-baru ini yang mana antara penerimanya adalah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Lembaga Zakat Selangor.

Penerima lain ialah Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Ulu Gadong, Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Darul Aitam, Temoh, Perak.

Pada awal tahun ini, Public Bank juga telah membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di lima buah negeri.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 4 October 2007

Affin Islamic Bank tinjau kembang operasi

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Affin Islamic Bank Bhd. meninjau pengambilalihan sekiranya ‘terdapat peluang’, sejajar dengan objektifnya untuk memperluaskan operasi Islamnya dalam negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kamarul Ariffin Mohd Jamil. “Sejak Bank Negara Malaysia meliberalisasi peraturan ekuiti asing dalam bank-bank Islam sedia ada, kami sentiasa terbuka untuk mana-mana tawaran yang sesuai dan menarik ke arah pemerolehan atau kerjasama,” kata beliau kepada pemberita selepas pemeteraian kemudahan pembiayaan semula bertempoh RM70 juta dengan Media Prima Bhd (MPB) di sini hari ini. “Tetapi buat masa ini, kami belum berbincang dengan mana-mana pihak,” katanya. Kamarul Ariffin berkata, bank berkenaan, yang merupakan anak syarikat Affin Bank Bhd., akan menumpukan kepada usaha untuk mengadakan produk Islam yang inovatif dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pembiayaan yang lebih lengkap kepada pelanggan bermula dengan pembiayaan pengguna dan pembiayaan perusahaan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Abdul Rahman Ahmad berkata, kemudahan pembiayaan semula itu akan melengkapkan inisiatif pengurusan modal syarikat bagi menjana kos dana yang lebih rendah dan penjimatan jangka sederhana. “Jumlah hutang dan proses modal yang kami ambil akan memberikan penjimatan kos kira-kira RM5 juta hingga RM6 juta setahun,” katanya. Buat masa ini syarikat mempunyai jumlah kemudahan hutang sebanyak RM450 juta. Abdul Rahman berkata, syarikat telah memulakan pengambilalihan secara agresif sejak tiga hingga empat tahun lepas, juga meninjau untuk satu lagi peluang pelaburan. “Tetapi pada masa ini, tumpuan kami ialah untuk memastikan pelaburan kami lebih baik,” katanya.
– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 2 October 2007

Agihan dana tabarru dalam takaful diharuskan

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan bahawa pengagihan lebihan dana tabarru dalam skim takaful dan penggunaan konsep wakalah dalam instrumen deposit adalah harus di sisi Syariah. Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM. BNM berkata, MPS membenarkan lebihan akaun tabarru’ bagi pelan takaful keluarga dan pelan takaful am untuk diagihkan kepada peserta serta pengendali takaful adalah berasaskan kontrak takaful itu sendiri. ‘‘Secara umumnya, kontrak takaful secara umumnya terbina atas dasar tabarru’ iaitu sumbangan dan ta’awun iaitu bantu membantu. ‘‘Prinsip tabarru’ merupakan prinsip utama yang mendasari produk takaful, manakala prinsip lain seperti wakalah dan mudharabah digunakan dalam menyokong perlaksanaan operasi takaful,’’ kata BNM. Menurut kenyataan itu, keputusan MPS membenarkan pengagihan tersebut dibuat adalah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful. Jelas BNM, secara umumnya, cara pengagihan seumpama itu turut diamalkan di kalangan pengendali takaful di Timur Tengah. Selain itu, tambah kenyataan itu, MPS juga mengumumkan akaun deposit berasaskan kontrak wakalah bi al-istithmar iaitu perwakilan bagi tujuan pelaburan adalah diharuskan. Namun begitu, katanya, perlaksanaan kontrak tersebut hendaklah dilakukan secara berhati-hati agar ia bebas daripada elemen jaminan oleh wakil terhadap pulangan pelaburan. Kata BNM, wakalah bi al-istithmar merupakan kontrak Syariah yang baru diluluskan oleh BNM untuk digunakan dalam instrumen deposit dan ia diharap dapat menambah bilangan produk institusi kewangan Islam yang kreatif dan berinovasi.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Etika niaga Islam tidak rakus kaut keuntungan

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

PERNIAGAAN merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia. Maka tidak hairan, al-Quran telah memberi banyak perhatian yang meliputi bidang tersebut. Dari sisi lain pula, Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan aktiviti perniagaan dengan misi ‘menyempurnakan akhlak’. Jika demikian, pastilah dapat ditemui etika berniaga dari perspektif al-Quran dan al- sunah. Ini dapat dilihat apabila Rasulullah s.a.w sendiri pada usia mudanya merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kita seringkali menemui istilah-istilah yang dikenali dalam dunia perniagaan seperti ‘jual beli’, ‘untung rugi’, ‘kredit’ dan sebagainya. Demikian juga dalam al-Quran mengungkapkan istilah ini seperti mana firman-Nya yang bermaksud; Siapakah yang ingin memberi ‘qardh’ (kredit) kepada Allah dengan kredit yang baik, maka Allah akan melipat- gandakan (qardh itu) untuknya, dan dia akan memperoleh ganjaran yang banyak. (Surah al-Hadid : 11). Al-Quran sebenarnya tidak meletakkan syarat yang banyak terhadap orang yang melakukan perniagaan kecuali etika yang diajarkan al-Quran bertumpu kepada prinsip mengorbankan kepentingan peribadi demi orang lain. (lihat Surah al-Hasyr : 9). Justeru dalam setiap perkara yang berkaitan dengan dunia perniagaan, apa yang dituntut adalah “tidak menganiayai”. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 279 yang bermaksud: Bagimu modal kamu. Kamu tidak teraniaya dan tidak pula teraniaya. Rasulullah s.a.w juga memberi sebahagian petunjuk bagi mendukung terciptanya etika dalam perniagaan tersebut, iaitu pertama adalah kejujuran. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidak dibenarkan seseorang Muslim menjual satu jualan yang mempunyai aib kecuali dia menjelaskan aibnya. (Riwayat al-Quzwaini). Dalam sabda Rasulullah yang lain: Siapa yang menipu kami bukan dari golongan kami. (Riwayat Muslim, Tarmizi dan Abu Daud.) Selain itu Rasulullah s.a.w juga pernah menasihati seorang ahli perniagaan wanita dengan sabdanya yang bermaksud: Wahai ummu qilat, jika engkau ingin membeli sesuatu, tawarlah dengan harga yang engkau inginkan, diberikan atau tidak. Dan apabila engkau ingin menjual, tawarkanlah dengan harga yang engkau inginkan, diterima atau ditolak. (Riwayat Quzwaimi). Islam tidak pernah menentukan sebarang had atau sekatan tertentu dalam mengambil keuntungan. Menurut Syaikh Qardhawi tidak ada sebarang nas dalam al-Quran atau hadis yang menyatakan keadaan tersebut, malah diserahkannya kepada dhamir (jiwa) dan pertimbangan umat Islam sendiri. Bagaimanapun, Islam telah menggariskan panduannya yang jelas dalam perhubungan muamalat umatnya . Antara panduan tersebut yang perlu diambil kira oleh setiap orang Islam ialah batasan akhlak, ajaran agama, juga adab sopan, atau uruf (etika) masyarakat serta undang-undang pemerintah. Sekiranya terdapat urusan yang dilakukan di luar batasan akhlak dan bertentangan dengan ajaran agama atau bercanggah dengan etika masyarakat atau menyalahi undang-undang, maka tindakan atau pengurusan tersebut dikira haram dan salah. Apa yang disebutkan Allah s.w.t. suatu perniagaan itu hendaklah berjalan secara (taradhin ) persetujuan dan kerelaan bersama antara penjual dan pembeli. Dalam hal ini Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman janganlah kamu makan harta antara kamu secara batil melainkan melalui perniagaan yang berlaku secara rela hati di kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa ayat 29). Jadi sekiranya jual beli tersebut dilakukan tanpa persetujuan atau melalui penipuan maka urusan itu perlu dibatalkan. Apatah lagi jika keuntungan yang diambil secara gelap (tadlis) yang dilarang oleh agama, sekalipun pembelian tersebut telah diluluskan. Allah s.w.t. juga menekankan perlunya mengindahkan peraturan-peraturan yang ditetapkan dan tidak melakukan apa yang diistilahkan dengan Al-Bathil (baca surah An-Nisa ayat 29), iaitu pelanggaran terhadap ketentuan agama atau persyaratan yang disepakati. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, Kaum umat Islam sesuai dengan (harus menepati) syarat-syarat yang mereka sepakati, selama tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Perniagaan adalah satu bentuk muamalat. Oleh kerana itu dalam urusan perniagaan, kita harus melihat hubungan timbal balik agar ia berlangsung secara harmonis. Nabi juga ada menyebut agama adalah muamalah. Ini bermakna semakin baik hubungan timbal balik maka semakin baik pula kualiti keberagamaan seseorang. Bukan sahaja dalam perkara berkaitan urusan perniagaan, malah apa-apa perkara sekalipun jika dilakukan secara berlebihan atau melampaui batas, ia amatlah dilarang oleh Alllah s.w.t. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, Jangan sekali-kali kamu bertindak melampaui batas kerana Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui. (Surah Al-A’raf ayat 31).
* MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com