Terkini

Showing posts with label Lembaga Tabung Haji. Show all posts
Showing posts with label Lembaga Tabung Haji. Show all posts

Sunday, 8 September 2013

Bank Islam Malaysia Berhad perkenal akaun simpanan tunai haji

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), memperkenalkan Akaun-i Labbaik bercirikan Perlindungan Takaful yang membolehkan pelanggan menyimpan wang simpanan untuk menunaikan ibadat haji.
Bank Islam menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, Akaun-i Labbaik berkonsepkan pelan 2 dalam 1 yang turut memberi perlindungan Takaful sekiranya berlaku kematian atau Keilatan Menyeluruh Kekal (KMK).
Pengarah Pembangunan Perniagaan Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, akaun ini akan memberi pelanggan lebih fleksibiliti dalam merancang keperluan kewangan mereka.
"Pelanggan boleh memilih pakej simpanan bulanan yang bersesuaian dengan keperluan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun atau sehingga maksimum 15 tahun dengan jumlah perlindungan Takaful daripada RM30,000 sehingga RM50,000.
"Akaun-i Labbaik bukan satu alternatif bagi menggantikan simpanan tabung haji tetapi berfungsi sebagai penambahbaikan untuk pelanggan menambah simpanan dan sekali gus mendapat perlindungan Takaful," katanya.
Jelasnya, Akaun baharu itu menawarkan pelbagai ciri unik untuk manfaat pelanggan seperti pelanggan dapat berkongsi keuntungan daripada pelaburan Mudharabah.
Selain itu, badal (ganti) haji juga akan diatur bagi pihak pelanggan sekiranya berlaku kematian atau KMK di samping pelanggan berpeluang memenangi pakej umrah dengan hanya membuat simpanan bulanan secara konsisten.
"Pakej umrah dan badal haji ini disediakan khas oleh pihak Tabung Haji Travel Services (THTS) untuk pendeposit Akaun-i Labbaik.
"Pelanggan hanya perlu mendepositkan simpanan bulanan minimum ke dalam Akaun-i Labbaik dan membayar caruman tunggal untuk pelindungan Takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/8 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 26 July 2012

Tabung Haji beli hartanah RM775 juta di London sebagai pelaburan



Kuala Lumpur: Sebuah bangunan pejabat premium di 10 Queen Street Place, London dikenal pasti sebagai antara hartanah pertama yang akan dibeli Lembaga Tabung Haji di pusat bandar raya berkenaan. 



Difahamkan bangunan itu akan dibeli daripada pemiliknya Jaguar Capital pada harga 155 juta (RM775 juta). 

Sumber berkata, untuk tujuan itu, Tabung Haji akan bekerjasama dengan bank berlandaskan syariah, Gatehouse Bank dan penyedia perkhidmatan hartanah global, Savills plc untuk memuktamadkan pembelian bangunan pejabat yang mempunyai keluasan keseluruhan 221,198 kaki persegi itu. 


Bangunan berkenaan kini menjadi ibu pejabat firma guaman terkemuka, SJ Berwin. 



Menurut laporan firma kaji selidik hartanah, CoStar Group, bangunan itu dipajak kepada SJ Berwin untuk jangka masa panjang iaitu ia akan tamat pada Disember 2025. 

CoStar berkata Jaguar Capital, pengurus dana dari Ireland membeli bangunan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Thames Exchange, daripada Norwich Property Trust Ltd pada harga 146.25 juta pada 2008. 

Rundingan dimuktamad September ini 
Baru-baru ini, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata, pihaknya dijangka memuktamadkan rundingan bagi pembelian hartanah pertamanya di London itu menjelang September ini. 

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan hartanah yang akan dibeli itu. 

Ismee berkata pihaknya bercadang membeli bangunan komersial tetapi bukan hotel atau perumahan yang menawarkan pulangan sewaan munasabah dalam jangka panjang. 

Hartanah di UK sememangnya sudah lama berada dalam perhatian kami, katanya. 


(Berita Harian, 26 Julai 2012)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 18 July 2008

Tabung Haji disaran beri pinjaman mengikut kaedah "Qardhul Hassan" kepada golongan muda tunai haji

KUALA LUMPUR 17 Julai — Seorang senator hari ini menyaran Lembaga Tabung Haji (TH) dan insitusi-institusi kewangan Islam memberikan pinjaman tanpa faedah mengikut kaedah “Qardhul Hasan” kepada golongan muda untuk menunaikan fardhu haji ke tanah suci.
Senator Mumtaz Md Nawi berkata, pinjaman itu wajar diberikan kepada umat Islam yang layak sebagai usaha menggalakkan mereka menunaikan haji atau umrah semasa usia masih muda.
“Sekiranya mereka dibenarkan untuk meminjam 40 peratus daripada pendapatan mereka untuk membiayai kos melancong ke luar negara, membiayai rumah dan kereta mewah, jadi amat wajar agar pihak institusi kewangan Islam dan pihak swasta membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos umrah atau haji ini,” katanya.
Kaedah Qardhul Hasan merupakan satu kaedah di mana peminjam hanya perlu membayar balik wang dipinjamnya tanpa sebarang faedah atau riba.
Beliau mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada persidangan Dewan Negara di sini.
“Masalahnya rakyat kita akan menabung dan mendaftar haji di TH setelah berusia lanjut.
“Ini akan memberikan kesan ketika menunaikan haji kerana ibadah itu memerlukan stamina yang kuat dan akan menyukarkan mereka yang telah berusia berbanding jika menunaikan haji semasa muda,” kata Mumtaz.
Selain itu, katanya bagi pendeposit dan pendaftaran haji pada tahun ini, mereka hanya layak menunaikan haji pada 2021. - Bernama
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 8 February 2008

Strategi pelaburan kukuhkan Tabung Haji

PEMBAYARAN dividen sebanyak tujuh peratus - tertinggi sejak tujuh tahun lalu - melambangkan kejayaan aktiviti pelaburan Tabung Haji, terutama dalam pasaran saham dan sektor perladangan.

Sememangnya prestasi pelaburan Tabung Haji telah mula menunjukkan peningkatan sejak 2002 lagi menerusi catatan pertumbuhan sebanyak dua kali ganda.

Pengumuman kelmarin menguatkan lagi keyakinan para pendeposit terhadap kekukuhan Tabung Haji yang turut memberi dividen khas sebanyak dua peratus berikutan peningkatan pendapatan kasar sebanyak RM1.9 bilion sebelum ditolak zakat perniagaan.

Peningkatan pendapatan kasar itu adalah berikutan prestasi memberangsangkan pasaran saham tempatan serta kenaikan berterusan harga minyak sawit dunia pada tahun lalu.

Tabung Haji juga harus dipuji kerana mampu melihat prospek pelaburan dalam jangka panjang apabila turut membuat pelaburan dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Tabung Haji mendapat manfaat daripada transformasi tersebut apabila turut membuat keuntungan ke atas pelaburannya dalam syarikat-syarikat GLC terbabit.

Selain itu, peningkatan pendapatan Tabung Haji itu turut disumbangkan oleh strategi pengurusannya yang cekap sehingga berjaya mengawal kos pengurusan kepada RM323 juta pada tahun lalu berbanding RM322 pada tahun sebelumnya.

Kenaikan harga minyak sawit yang berterusan sejak tahun lalu sehingga mencatat rekod tertinggi RM3,349 setan, juga dipercayai merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan Tabung Haji.

Dalam konteks ini, Tabung Haji telah mengambil pendekatan yang tepat membuat pelaburan aktif dalam sektor perladangan dengan terus memperluaskan kawasan ladangnya, termasuk di Indonesia. Hakikatnya, pencapaian Tabung Haji jika diamati bukan menjadi kebanggaan Tabung Haji semata-mata tetapi juga kejayaan seluruh umat Islam di negara ini yang mampu menyatukan tabungan mereka.

Ia juga memperlihatkan betapa besarnya tabungan umat Islam di Malaysia pada masa ini hanya dalam sebuah institusi kewangan yang berlandaskan Islam atau patuh syariah.

Sukar hendak membayangkan jika tabungan umat Islam di Malaysia yang kini berjumlah hampir 20 juta orang dapat digembleng secara bersungguh-sungguh dan disalurkan ke dalam institusi kewangan Islam berlandaskan Islam.

Mereka bukan sahaja menyuburkan syariat Islam dengan menghidupkan institusi kewangan Islam sebagai alternatif kepada produk yang berorientasikan riba, tetapi juga dapat membantu menjayakan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam di dunia.

Maka sudah seharusnya Tabung Haji membalas kesetiaan dan keyakinan para pendeposit dengan memberi dividen khas. --(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 6 February 2008

Dividen tujuh peratus -- * Tertinggi sejak 2001 * Bayaran terbesar Tabung Haji


PUTRAJAYA 5 Feb. – Tabung Haji hari ini mengumumkan pemberian dividen sebanyak tujuh peratus kepada kira-kira 4.2 juta pendeposit aktifnya bagi tahun 2007, iaitu dividen yang tertinggi sejak tujuh tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kadar dividen itu meliputi lima peratus dividen tahunan dan dua peratus lagi dividen khas yang pertama kali diberikan kepada pendeposit Tabung Haji.
Menurutnya, kadar dividen tujuh peratus itu membabitkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM1.05 bilion kepada pendeposit Tabung Haji iaitu pembayaran terbesar sejak penubuhan Tabung Haji pada 1963.
Katanya, pembayaran dividen itu akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit pada 10 Februari ini.
‘‘Sejak lima tahun lalu, Tabung Haji telah dapat memberikan dividen kepada para pendepositnya dengan kadar yang amat kompetitif dan munasabah berbanding pelaburan dalam sektor perbankan Islam,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar mengumumkan kadar dividen tersebut di sini.
Turut hadir ialah Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa‘ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.
Menurut Abdullah, dividen khas dua peratus diberikan kepada pendeposit Tabung Haji pada 2007 berasaskan tiga faktor iaitu sebagai penghargaan kepada semua pendeposit yang masih menaruh kepercayaan kepada pengurusan telus Tabung Haji, mengambil kira prestasi cemerlang 2007 dan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50.
Abdullah berkata, kadar dividen tahunan Tabung Haji sebanyak lima peratus merupakan peningkatan sebanyak 0.25 peratus berbanding dividen tahun lalu yang berjumlah 4.75 peratus.
Jumlah keseluruhan pembayaran dividen tahun lalu mencecah RM751 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM634 juta.
Sejak lapan tahun lalu, setiap tahun Tabung Haji mampu meningkatkan kadar dividennya iaitu dari kadar 3.25 peratus pada 2001 kepada 3.5 peratus pada 2002, 4 peratus (2003), 4.3 peratus (2004) dan 4.5 peratus (2005).
Dari segi kewangan, kata Abdullah, pada tahun 2007 Tabung Haji telah merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM1.9 bilion sebelum ditolak zakat perniagaan.
‘‘Ini merupakan jumlah pendapatan tertinggi pernah dicapai sejak penubuhan Tabung Haji pada 1963.
‘‘Pendapatan kasar telah menunjukkan pertumbuhan tahunan yang baik iaitu pertumbuhan berganda sejak 2002 hingga 2007 atau sebanyak 25 peratus,’’ katanya.
Beliau berkata, pendapatan kasar Tabung Haji pada 2007 meningkat sebanyak RM688 juta atau 59 peratus berbanding 2006 yang terhasil daripada strategi pengurusan memperkukuh kedudukan kewangan Tabung Haji di samping suasana pasaran saham yang memberangsangkan.
Abdullah menjelaskan, peningkatan itu berjaya dicapai berikutan prestasi pasaran saham yang menggalakkan dan ia memberikan sumbangan tertinggi kepada keuntungan Tabung Haji sebanyak 67 peratus, diikuti pendapatan dividen (15 peratus), pasaran wang (sembilan peratus), sewa (empat peratus) dan lain-lain (lima peratus).
Katanya, Tabung Haji juga telah dapat mengawal kos pengurusan pada RM323 juta pada tahun lalu berbanding RM322 juta pada 2006.
Beliau berkata, kos pengurusan tersebut turut membabitkan kos tanggungan langsung bagi ibadah haji sebanyak RM35 juta ekoran kenaikan kos tambang kapal terbang serta peningkatan kos perumahan di Mekah.
Bagaimanapun, Abdullah memberitahu, Tabung Haji tidak melupakan tanggungjawabnya memperuntuk sebanyak RM37 juta sebagai zakat perniagaan berbanding RM27 juta pada 2006.
Dari segi statistik deposit, jumlah simpanan terkumpul Tabung Haji pada 31 Disember 2007 terus meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM14.7 bilion pada 31 Disember 2006.
‘‘Kejayaan Tabung Haji meningkatkan prestasinya dari tahun ke tahun adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tinggi daripada Jemaah Lembaga Pengarah, ahli-ahli panel pelaburan, pihak pengurusan dan keseluruhan anggota Tabung Haji dalam memantau dan meningkatkan prestasi kewangan,’’ katanya.
Justeru, Abdullah berkata, Tabung Haji bertekad memastikan pulangan yang kompetitif dan munasabah kepada pendeposit selain sentiasa peka terhadap penambahbaikan dalam pengurusan serta keselesaan jemaah haji.
‘‘Pengurusan Tabung Haji beriltizam untuk terus memantapkan struktur pengurusan, operasi haji, pelaburan, aktiviti simpanan dan pengeluaran wang bagi mencapai tahap amalan terbaik.
‘‘Ia kelak dapat memberi keuntungan jangka panjang yang kompetitif kepada para pendeposit dan ia selari dengan matlamat Tabung Haji,’’ katanya. --(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 7 September 2007

Kewangan Islam Malaysia terus kukuh

MALAYSIA adalah salah sebuah negara Islam yang sentiasa komited bukan saja membangunkan sistem perbankan Islam, malah dalam melaksanakan sistem kewangan Islam secara menyeluruh di dalam struktur kewangan negara. Oleh itu, negara kita, pelaksanaan sistem kewangan Islam dibuat secara selari dengan sistem kewangan konvensional sedia ada. Pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia secara rasmi bermula dengan penubuhan bank Islam yang pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), pada tahun 1983. Walaupun Lembaga Tabung Haji yang termasuk di dalam kategori institusi kewangan Islam diwujudkan pada 1963, peranannya berbeza kerana ia bukan bank. Ia ditubuhkan untuk memenuhi objektif masyarakat Islam di negara ini untuk menyimpan dan melabur bagi tujuan mengerjakan haji di Makkah. Namun, secara tidak langsung, kewujudan institusi Lembaga Tabung Haji ini menunjukkan perkembangan negara ke arah kewangan Islam tanpa riba yang bermula seawal 1963. Seterusnya, kewujudan BIMB sebagai bank Islam yang pertama itu diikuti dengan penubuhan syarikat insurans Islam pertama iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad pada 1984. Kerajaan menerusi Bank Negara juga memperkenalkan konsep Islamic Window iaitu skim perbankan tanpa faedah di bank konvensional sedia ada di Malaysia, bertujuan memperkenalkan produk perbankan Islam kepada pelanggan bank berkenaan. Konsep Islamic Window yang diperkenalkan pada Mac 1993 ini, pada awalnya menawarkan 21 produk kewangan Islam membabitkan tiga bank utama, sudah berkembang dan membabitkan semua institusi kewangan pada Julai, tahun sama. Sehingga akhir tahun 2000, sistem perbankan Islam semakin berkembang dan diwakili dua bank Islam sepenuhnya, 17 bank perdagangan tempatan, lima bank saudagar dan tujuh rumah diskaun serta empat bank cawangan asing yang menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam.Seterusnya pada Jun 2001, jumlah institusi perbankan dan kewangan yang terbabit dengan perbankan Islam bertambah kepada 33 dengan 2,200 cawangan di seluruh negara. Sehingga kini, perkembangan institusi perbankan dan kewangan Islam semakin pesat dengan hampir semua bank dan institusi kewangan yang ada di Malaysia menawarkan produk kewangan dan perbankan Islam. Langkah pembangunan kewangan Islam ini juga turut disusuli dengan perkembangan di dalam pasaran kewangan Islam membabitkan pasaran wang dan pasaran modal. Pasaran wang secara Islam bermula pada Januari 1994 dan satu pasaran wang Islam pertama di dunia pada ketika itu.Pada 2000, nilai dana yang didagangkan di dalam pasaran ini berjumlah RM302. bilion, manakala pasaran modal Islam pula sebenarnya bermula lebih awal daripada pasaran wang Islam apabila kerajaan memperkenal dan mengeluarkan bon Islam yang pertama pada 1983. Seterusnya selepas itu, sekuriti hutang swasta Islam (IPDS) diperkenalkan. Sehingga akhir 2000, daripada RM22,935 billion sekuriti yang dikeluarkan, RM6,278 billion adalah sekuriti hutang swasta Islam dan bon Islam. Dengan penubuhan BIMB Securities pada 1994, iaitu syarikat pembrokeran Islam pertama di Malaysia, maka bermulalah era baru ke arah pembangunan pasaran modal Islam khususnya dalam pasaran ekuiti dengan pengenalan kepada kaunter dan saham patut syariah. Sehingga Julai 1996, didapati 364 saham daripada jumlah 633 saham yang diniagakan di Bursa Malaysia (dulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur) dikategorikan sebagai pematuhan Syariah. Pada 17 April 1999 pula, Bursa Malaysia merasmikan Indeks syariah Bursa Malaysia bagi tujuan memenuhi hasrat pelabur yang ingin melabur dalam instrumen pematuhan syariah. Pasaran IPDS ini turut dikenali dengan nama ‘sukuk’ terus berkembang dan membangunkan dengan pesatnya di Malaysia daripada RM3.1 bilion (9.7 peratus daripada jumlah terbitan bon) pada 1998 kepada RM31 bilion (40.1 peratus) pada 2006. Pertumbuhan yang mantap ini meningkatkan lagi permintaan terhadap sukuk di negara kita dan di pasaran global. Sekitar 2000-an pasaran sukuk yang diterbitkan memberi peluang kepada pelabur seperti penanggung takaful, kumpulan wang pencen, syarikat pengurusan aset dan pelabur institusi lain mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka yang sepadan dengan profil liabiliti dan pulangan atas risiko. Malah, Malaysia adalah negara pertama menerbitkan sukuk global berdaulat dengan nilai nominal AS$600 juta pada 2002. Daripada jumlah itu, 15 peratus dilanggani pelabur Eropah dan Amerika.Landskap operasi yang menggalakkan juga menarik organisasi pelbagai hala yang disegani seperti International Financial Corporation dan International Bank For Reconstruction and Development untuk menerbitkan sukuk dalam Ringgit Malaysia. Pada peringkat domestik pula, sektor swasta memainkan peranan penting dalam menerbitkan sukuk yang menyaksikan peningkatan dalam terbitan sukuk swasta terkumpul, meningkat lebih sekali ganda dari segi peratusan berbanding jumlah bon swasta terkumpul iaitu daripada 22.5 peratus pada akhir 2001 kepada 47.1 peratus pada akhir 2006. Melihat kepada sejarah dari 1945 hingga 1995, Asia sebenarnya sudah beralih daripada kemiskinan kepada kemewahan dan kekayaan. Pada 1990-an, misalnya Asia Timur dilihat sebagai model ekonomi The East Asian Miracle yang sering disebut sebagai contoh kejayaan sistem ekonomi berasaskan kepada campur tangan kerajaan yang tersusun dan dasar ekonomi makro kukuh meningkat taraf hidup rakyat. Malaysia juga tidak terkecuali kerana ketika itu negara ini turut mewakili kelompok negara `harimau Asia' yang dilambangkan sebagai sebuah negara yang begitu kukuh dan terserlah kepada dunia sama ada dari segi kemajuan ekonomi, politik dan budaya sehingga digambarkan seolah-olah berada pada zaman Asia Baru ‘Renaissance Asia’. Namun kegemilangan dan kemegahan itu tidak bertahan lama. Ia lenyap begitu cepat sekali tanpa sebarang petunjuk dan amaran jelas. Tahun 1997 menyaksikan satu peristiwa baru dalam krisis kewangan iaitu krisis kewangan Asia Timur. Serangan spekulasi ke atas Thailand yang bermula pada pertengahan 1997, merebak ke seluruh rantau menyebabkan penyusutan nilai baht, nilai peso dan rupiah berikutan pengapungan tanpa kawalan. Kedudukan nilai ringgit dan dolar Singapura pula menghadapi tekanan jualan mata wang. Tekanan itu terus merebak dan mengancam nilai won Korea, dolar Hong Kong dan dolar Taiwan. Pada ketika itu, mengikut anggaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nilai bersih pengaliran modal ke rantau Asia pada 1997 jatuh kepada AS$34.2 bilion daripada nilai AS$101.2 bilion pada 1996. Malaysia menerima kesan krisis itu, ekoran penurunan nilai baht pada 2 Julai 1997. Ringgit mula diserang tekanan spekulasi menyebabkan pada akhir Ogos 1998, nilai ringgit susut sebanyak 40 peratus berbanding dolar AS secara relatif berasaskan nilai ringgit pada akhir Jun 1997. Berasaskan kepada sumber Bank Negara, indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur pada ketika itu turut jatuh dari nilai tertinggi 1,271.57 mata pada Februari 1997 kepada nilai serendah 262.70 mata pada 1 September 1998, iaitu kejatuhan sebanyak 79.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya sejak 13 tahun sebelum itu. Keadaan menjadi semakin gawat kerana petunjuk ekonomi sedia ada seperti kekukuhan struktur ekonomi domestik tidak mendatangkan sebarang kesan. Malah keadaan juga semakin buruk apabila sistem pemantauan ekonomi yang tidak sistematik dan kegagalan pakar ekonomi menyarankan tindakan segera membawa mudarat begitu besar. Keadaan turun naik ini akhirnya memaksa negara di Asia termasuk Malaysia menjalankan dasar jimat cermat, malah sampai ke satu tahap, rakyat disaran untuk menyumbang sesuatu dalam bentuk emas kepada negara. Selepas sepuluh tahun berlalu sejak krisis 1997-1998, kini ekonomi Malaysia, khususnya peringkat domestik mengalami perkembangan yang begitu rancak dan berkembang maju selaras dengan peningkatan ekonomi di peringkat global. - (BH, 6 Sep 07)
Penulis: Fadillah Mansor (tenaga akademik Universiti Malaya)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com