Terkini

Friday 7 September 2007

Kewangan Islam Malaysia terus kukuh

MALAYSIA adalah salah sebuah negara Islam yang sentiasa komited bukan saja membangunkan sistem perbankan Islam, malah dalam melaksanakan sistem kewangan Islam secara menyeluruh di dalam struktur kewangan negara. Oleh itu, negara kita, pelaksanaan sistem kewangan Islam dibuat secara selari dengan sistem kewangan konvensional sedia ada. Pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia secara rasmi bermula dengan penubuhan bank Islam yang pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), pada tahun 1983. Walaupun Lembaga Tabung Haji yang termasuk di dalam kategori institusi kewangan Islam diwujudkan pada 1963, peranannya berbeza kerana ia bukan bank. Ia ditubuhkan untuk memenuhi objektif masyarakat Islam di negara ini untuk menyimpan dan melabur bagi tujuan mengerjakan haji di Makkah. Namun, secara tidak langsung, kewujudan institusi Lembaga Tabung Haji ini menunjukkan perkembangan negara ke arah kewangan Islam tanpa riba yang bermula seawal 1963. Seterusnya, kewujudan BIMB sebagai bank Islam yang pertama itu diikuti dengan penubuhan syarikat insurans Islam pertama iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad pada 1984. Kerajaan menerusi Bank Negara juga memperkenalkan konsep Islamic Window iaitu skim perbankan tanpa faedah di bank konvensional sedia ada di Malaysia, bertujuan memperkenalkan produk perbankan Islam kepada pelanggan bank berkenaan. Konsep Islamic Window yang diperkenalkan pada Mac 1993 ini, pada awalnya menawarkan 21 produk kewangan Islam membabitkan tiga bank utama, sudah berkembang dan membabitkan semua institusi kewangan pada Julai, tahun sama. Sehingga akhir tahun 2000, sistem perbankan Islam semakin berkembang dan diwakili dua bank Islam sepenuhnya, 17 bank perdagangan tempatan, lima bank saudagar dan tujuh rumah diskaun serta empat bank cawangan asing yang menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam.Seterusnya pada Jun 2001, jumlah institusi perbankan dan kewangan yang terbabit dengan perbankan Islam bertambah kepada 33 dengan 2,200 cawangan di seluruh negara. Sehingga kini, perkembangan institusi perbankan dan kewangan Islam semakin pesat dengan hampir semua bank dan institusi kewangan yang ada di Malaysia menawarkan produk kewangan dan perbankan Islam. Langkah pembangunan kewangan Islam ini juga turut disusuli dengan perkembangan di dalam pasaran kewangan Islam membabitkan pasaran wang dan pasaran modal. Pasaran wang secara Islam bermula pada Januari 1994 dan satu pasaran wang Islam pertama di dunia pada ketika itu.Pada 2000, nilai dana yang didagangkan di dalam pasaran ini berjumlah RM302. bilion, manakala pasaran modal Islam pula sebenarnya bermula lebih awal daripada pasaran wang Islam apabila kerajaan memperkenal dan mengeluarkan bon Islam yang pertama pada 1983. Seterusnya selepas itu, sekuriti hutang swasta Islam (IPDS) diperkenalkan. Sehingga akhir 2000, daripada RM22,935 billion sekuriti yang dikeluarkan, RM6,278 billion adalah sekuriti hutang swasta Islam dan bon Islam. Dengan penubuhan BIMB Securities pada 1994, iaitu syarikat pembrokeran Islam pertama di Malaysia, maka bermulalah era baru ke arah pembangunan pasaran modal Islam khususnya dalam pasaran ekuiti dengan pengenalan kepada kaunter dan saham patut syariah. Sehingga Julai 1996, didapati 364 saham daripada jumlah 633 saham yang diniagakan di Bursa Malaysia (dulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur) dikategorikan sebagai pematuhan Syariah. Pada 17 April 1999 pula, Bursa Malaysia merasmikan Indeks syariah Bursa Malaysia bagi tujuan memenuhi hasrat pelabur yang ingin melabur dalam instrumen pematuhan syariah. Pasaran IPDS ini turut dikenali dengan nama ‘sukuk’ terus berkembang dan membangunkan dengan pesatnya di Malaysia daripada RM3.1 bilion (9.7 peratus daripada jumlah terbitan bon) pada 1998 kepada RM31 bilion (40.1 peratus) pada 2006. Pertumbuhan yang mantap ini meningkatkan lagi permintaan terhadap sukuk di negara kita dan di pasaran global. Sekitar 2000-an pasaran sukuk yang diterbitkan memberi peluang kepada pelabur seperti penanggung takaful, kumpulan wang pencen, syarikat pengurusan aset dan pelabur institusi lain mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka yang sepadan dengan profil liabiliti dan pulangan atas risiko. Malah, Malaysia adalah negara pertama menerbitkan sukuk global berdaulat dengan nilai nominal AS$600 juta pada 2002. Daripada jumlah itu, 15 peratus dilanggani pelabur Eropah dan Amerika.Landskap operasi yang menggalakkan juga menarik organisasi pelbagai hala yang disegani seperti International Financial Corporation dan International Bank For Reconstruction and Development untuk menerbitkan sukuk dalam Ringgit Malaysia. Pada peringkat domestik pula, sektor swasta memainkan peranan penting dalam menerbitkan sukuk yang menyaksikan peningkatan dalam terbitan sukuk swasta terkumpul, meningkat lebih sekali ganda dari segi peratusan berbanding jumlah bon swasta terkumpul iaitu daripada 22.5 peratus pada akhir 2001 kepada 47.1 peratus pada akhir 2006. Melihat kepada sejarah dari 1945 hingga 1995, Asia sebenarnya sudah beralih daripada kemiskinan kepada kemewahan dan kekayaan. Pada 1990-an, misalnya Asia Timur dilihat sebagai model ekonomi The East Asian Miracle yang sering disebut sebagai contoh kejayaan sistem ekonomi berasaskan kepada campur tangan kerajaan yang tersusun dan dasar ekonomi makro kukuh meningkat taraf hidup rakyat. Malaysia juga tidak terkecuali kerana ketika itu negara ini turut mewakili kelompok negara `harimau Asia' yang dilambangkan sebagai sebuah negara yang begitu kukuh dan terserlah kepada dunia sama ada dari segi kemajuan ekonomi, politik dan budaya sehingga digambarkan seolah-olah berada pada zaman Asia Baru ‘Renaissance Asia’. Namun kegemilangan dan kemegahan itu tidak bertahan lama. Ia lenyap begitu cepat sekali tanpa sebarang petunjuk dan amaran jelas. Tahun 1997 menyaksikan satu peristiwa baru dalam krisis kewangan iaitu krisis kewangan Asia Timur. Serangan spekulasi ke atas Thailand yang bermula pada pertengahan 1997, merebak ke seluruh rantau menyebabkan penyusutan nilai baht, nilai peso dan rupiah berikutan pengapungan tanpa kawalan. Kedudukan nilai ringgit dan dolar Singapura pula menghadapi tekanan jualan mata wang. Tekanan itu terus merebak dan mengancam nilai won Korea, dolar Hong Kong dan dolar Taiwan. Pada ketika itu, mengikut anggaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nilai bersih pengaliran modal ke rantau Asia pada 1997 jatuh kepada AS$34.2 bilion daripada nilai AS$101.2 bilion pada 1996. Malaysia menerima kesan krisis itu, ekoran penurunan nilai baht pada 2 Julai 1997. Ringgit mula diserang tekanan spekulasi menyebabkan pada akhir Ogos 1998, nilai ringgit susut sebanyak 40 peratus berbanding dolar AS secara relatif berasaskan nilai ringgit pada akhir Jun 1997. Berasaskan kepada sumber Bank Negara, indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur pada ketika itu turut jatuh dari nilai tertinggi 1,271.57 mata pada Februari 1997 kepada nilai serendah 262.70 mata pada 1 September 1998, iaitu kejatuhan sebanyak 79.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya sejak 13 tahun sebelum itu. Keadaan menjadi semakin gawat kerana petunjuk ekonomi sedia ada seperti kekukuhan struktur ekonomi domestik tidak mendatangkan sebarang kesan. Malah keadaan juga semakin buruk apabila sistem pemantauan ekonomi yang tidak sistematik dan kegagalan pakar ekonomi menyarankan tindakan segera membawa mudarat begitu besar. Keadaan turun naik ini akhirnya memaksa negara di Asia termasuk Malaysia menjalankan dasar jimat cermat, malah sampai ke satu tahap, rakyat disaran untuk menyumbang sesuatu dalam bentuk emas kepada negara. Selepas sepuluh tahun berlalu sejak krisis 1997-1998, kini ekonomi Malaysia, khususnya peringkat domestik mengalami perkembangan yang begitu rancak dan berkembang maju selaras dengan peningkatan ekonomi di peringkat global. - (BH, 6 Sep 07)
Penulis: Fadillah Mansor (tenaga akademik Universiti Malaya)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment