Terkini

Thursday, 6 September 2007

Perbankan Islam dunia perlu 150,000 profesional

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Perbankan Islam di serata dunia memerlukan kira-kira 150,000 tenaga kerja profesional dalam tempoh lima tahun akan datang ekoran pertumbuhan pesat yang sedang dialami oleh sektor itu. Ketua Pegawai Akademik dan Dekan Fakulti Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Dr. Malik Muhammed M. Al-Awan berkata, ketika ini tenaga kerja profesional dalam bidang itu di seluruh dunia adalah kurang daripada 1,000 orang sahaja. Menurutnya, statistik semasa itu tidak dapat memenuhi permintaan sektor perbankan Islam memandangkan bank-bank konvensional dan bank asing yang telah membuka sayap perbankan turut memerlukan tenaga kerja tersebut. “Masalah ini bukan sahaja dirasai oleh negara-negara Islam yang sudah sedia ada tetapi juga negara-negara baru yang berminat untuk menjadi pusat perbankan Islam utama seperti Singapura dan London,” katanya di sini baru-baru ini. Kata beliau, Malaysia turut tidak ketinggalan menghadapi kemelut itu meskipun perniagaan perbankan Islam telah mula berkembang di negara ini sejak tahun 1963. ‘‘Tenaga kerja profesional ini bukan boleh diperoleh dalam tempoh satu atau dua hari sahaja tetapi ia mengambil masa yang lama. ‘‘Namun begitu, saya memuji usaha kerajaan negara ini yang mewujudkan INCEIF untuk melahirkan tenaga kerja profesional baru yang terdiri daripada generasi muda untuk menguasai perbankan Islam pada masa depan,’’ jelasnya. Kini bank-bank tempatan menggunakan tenaga kerjanya secara maksimum bagi menyelesaikan masalah kekurangan profesional. Namun apa yang dibimbangkan oleh Dr. Malik ialah kecenderungan penghijrahan pekerja daripada bank-bank Islam tempatan kepada bank asing yang telah membuka sayap perbankan Islam mereka atau bank Islam asing yang telah meluaskan cawangan di Malaysia. Menurutnya, bank-bank asing itu mampu menawarkan gaji dan faedah yang lebih tinggi daripada bank Islam sedia ada dan ini akan menggalakkan lebih banyak penghijrahan tenaga kerja profesional ke cawangan-cawangan bank-bank asing berkenaan pada masa depan. ‘‘Jika ini terus berlarutan, ia akan memberi kesan negatif kepada industri perbankan tempatan dan saya berpendapat bank-bank tempatan perlu memantau perkembangan tersebut dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut itu,’’ ujar beliau lagi. Dr. Malik memberitahu antara strategi yang boleh dilaksanakan untuk mengekalkan tenaga kerja profesional sedia ada ialah dengan mengkaji semula pembayaran gaji bulanan mereka agar setanding dengan pasaran semasa. Selain itu, jelasnya, para majikan juga perlu menyediakan persekitaran kerjaya yang lebih berdaya saing dan pelbagai faedah kerjaya yang lebih baik.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment