Terkini

Showing posts with label OIC. Show all posts
Showing posts with label OIC. Show all posts

Wednesday, 25 September 2013

Pelabur OIC Disaran Pertimbang Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Para pelabur dari negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka di Asia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata memandangkan Program Transformasi Ekonomi kini menjangkau tahun ketiganya, kerajaan menjangkakan peningkatan ketara bilangan sektor utama, termasuk minyak dan gas, teknologi tinggi, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan industri halal.

"Semua ini boleh dicapai kerana ekonomi disokong oleh asas-asas yang baik, antara lain, tenaga kerja yang produktif, perkhidmatan kewangan yang teguh, dasar-dasar yang telus dan kerajaan mesra perniagaan," katanya dalam ucaptamanya pada perasmian Forum OIC World Biz Keempat dan Forum Perdagangan dan Ekonomi 2013 OIC Asia kedua di sini Rabu.

Beliau berkata perdagangan Malaysia dengan negara-negara OIC mencecah US$47.38 bilion tahun lepas.

"Bagi tempoh Januari-Julai 2013, jumlah perdagangan antara Malaysia dan OIC turun 4.1 peratus kepada US$27.75 bilion daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, kata Mustapa, Malaysia mencapai prestasi yang baik dari segi pelaburan langsung asing (FDI), dengan mengatasi pengaliran masuk berjumlah US$11.26 bilion tahun lepas, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan.

"Kita menjangka prestasi tahun ini sama menggalakkan, dengan ramalan FDI terbaru sebanyak US$15 bilion," kata beliau. -- BERNAMA

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 8 March 2008

Ucap Utama Gabenor pada Forum Ekonomi Islam Sedunia ASLI yang bertajuk "Metamorfosis Menjadi Pusat Perbankan dan Kewangan Islam Antarabangsa"

Pengucap : Governor Tan Sri Dato' Dr. Zeti Akhtar Aziz
Tempat : Sunway Lagoon Resort Hotel
Tarikh : 1 October 2005
Bahasa : Bahasa Melayu
Saya berasa amat bertuah kerana diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan makan tengah hari ini sempena Forum Ekonomi lslam Sedunia sulung anjuran lnstitut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI). Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan anda pengalaman Malaysia mengembangkan sistem kewangan lslam domestik yang komprehensif. Kini, sistem tersebut menjadi lebih bersepadu dengan sistem antarabangsa dan telah memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan negara ini dengan dunia luar.
Dalam mengembangkan sistem kewangan Islam, pertimbangan penting yang diambil kira termasuklah pembangunan satu sistem yang berupaya untuk memenuhi keperluan pelanggan dan komuniti perniagaan yang berubah-ubah, serta sistem yang efisien dan kompetitif, yang selamat dan kukuh, yang teguh dan berdaya tahan dan yang boleh menghadapi persekitaran dunia yang lebih mencabar dan tidak menentu. Pertimbangan ini penting bagi memastikan kemapanan sistem bukan sahaja sebagai pengantara kewangan dalam ekonomi domestik bahkan juga sebagai satu komponen sistem kewangan antarabangsa yang penting.
Mengembangkan Sistem Kewangan Islam yang Teguh
Malaysia telah menerima pakai satu pendekatan yang holistik dalam membangunkan sistem kewangan Islamnya. Fokus permulaan kami adalah untuk membangunkan satu sistem kewangan lslam domestik yang komprehensif. Strateginya adalah dengan mewujudkan rantaian untuk keseluruhan sistem kewangan bagi memastikan kelancaran fungsinya dan dengan itu menyumbang kepada agihan sumber kewangan dan ekonomi yang seimbang dalam ekonomi, dan lebih kepelbagaian risiko dalam sistem. Ini seterusnya akan membawa kepada pencapaian kestabilan keseluruhan sistem kewangan Islam. lnisiatif yang diambil termasuklah membina institusi kewangan yang diperlukan, rangka kerja pengawalseliaan yang teguh, rangka kerja perundangan dan Syariah yang efektif, pasaran kewangan, sistem pembayaran dan penyelesaian yang efektif serta diperkuat oleh pembangunan bakat kemahiran dan mewujudkan mekanisme bagi operasi Bank Negara Malaysia. Pembangunan rantaian sistem ini telah menggalakkan hubungan dan integrasi yang lebih kukuh dalam sistem kewangan Islam domestik.
Oleh itu, tumpuan telah diberi kepada pembangunan komponen struktural utama sistem, yang terdiri daripada industri perbankan Islam, industri takaful, institusi bukan perbankan serta pasaran antara bank dan pasaran modal Islam. Komponen-komponen sistem kewangan lslam tersebut kini menjadi sangat bersepadu dan saling bergantung. lnfrastruktur kewangan yang lebih pelbagai ini telah juga meningkatkan kecekapan dalam perjalanan sistem kewangan keseluruhannya.
Pembangunan sistem kewangan lslam di Malaysia bermula dengan penubuhan Tabung Haji pada tahun 1969 sebagai institusi tabungan lslam yang pertama. Ini diikuti oleh penubuhan institusi perbankan dan bukan perbankan lslam sepenuhnya. Setahun selepas penubuhan Bank lslam yang pertama pada tahun 1983, sebuah pengendali takaful atau syarikat insurans lslam telah ditubuhkan di bawah Akta Takaful. Perkembangan ini kemudiannya diperluas dengan pengenalan jendela lslam (Islamic window) oleh institusi perbankan konvensional yang membolehkan institusi perbankan tersebut menawarkan produk dan perkhidmatan Islam. Pada masa yang sama, dinding pemisah (firewalls) yang mencukupi telah diwujudkan untuk memastikan pengasingan sepenuhnya operasi perbankan. Ini adalah untuk mengelakkan percampuran antara dana perbankan lslam dengan dana perbankan konvensional supaya integriti operasi perbankan lslam dapat dipastikan.
Baru-baru ini, struktur ini telah diperkukuh. lnstitusi perbankan konvensional yang telah mencapai jumlah yang besar (critical mass) dalam operasi kewangan lslam mempunyai pilihan untuk menukar operasi mereka kepada subsidiari lslam yang khusus. Dalam rangka kerja ini, kewangan lslam di Malaysia terbukti berdaya tahan dan boleh berfungsi secara efektif dan efisien seiring dengan sistem kewangan konvensional. Kemampuan institusi perbankan lslam untuk menyediakan dan menawarkan produk yang mempunyai ciri yang menarik dan inovatif pada harga yang kompetitif telah menarik minat pelanggan lslam dan bukan Islam. Ini mencerminkan daya saing kewangan lslam sebagai satu bentuk pengantara kewangan. Sejak tahun 2000, industri perbankan lslam domestik berkembang pada kadar purata 18% setahun dari segi aset, manakala pertumbuhan industri takaful adalah pada purata 28% setahun, dengan peranan dalam menyokong proses pertumbuhan dan pembangunan negara menjadi semakin penting.
Tumpuan juga telah diberi untuk membangunkan pasaran wang dan pasaran modal lslam di Malaysia. Satu rangkaian instrumen yang besar telah dibangunkan untuk memudahkan pengurusan mudah tunai dan pendanaan yang efektif oleh institusi kewangan Islam. Ini telah membantu kelancaran aliran dana dalam sistem kewangan Islam. Berikutan pembangunan pasaran bon di Malaysia yang kini mencakupi 81% daripada KDNK, sekuriti hutang swasta lslam mencakupi kira-kira 44% daripada jumlah sekuriti hutang swasta terkumpul dalam pasaran, manakala jumlah yang didagangkan dalam pasaran wang lslam kini kira-kira RM30 hingga RM40 bilion sebulan. Pasaran wang ini juga berfungsi sebagai satu saluran efektif bagi operasi mudah tunai Bank Negara Malaysia sebagai sebahagian daripada dasar monetarinya.
Perkembangan yang pesat dalam industri perkhidmatan kewangan lslam di Malaysia turut disokong oleh rangka kerja perundangan dan Syariah yang kondusif. Dari segi infrastruktur perundangan, Akta Bank lslam 1983 dan Akta Takaful 1984 masing-masing mengawal pengendalian operasi oleh institusi perbankan lslam dan pengendali takaful. Terdapat juga Akta Pendanaan Kerajaan yang mengawal terbitan instrumen lslam kerajaan. Seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang khas juga dilantik untuk mengadili kes-kes yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam. Terdapat juga sebuah pusat pengimbang tara untuk mengendalikan pertikaian. Akta Bank Negara Malaysia juga dipinda untuk membolehkan penubuhan Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia untuk bertindak sebagai pihak berkuasa dan rujukan tunggal berhubung dengan semua perkara yang berkaitan dengan Syariah. Layanan cukai yang neutral juga telah diberi kepada transaksi kewangan Islam.
Bagi memastikan kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan Islam, rangka kerja pengawalseliaan institusi kewangan lslam telah juga diperbaiki, dengan memasukkan standard yang lebih kukuh bagi tadbir urus korporat, ketelusan, pendedahan, akauntabiliti, disiplin pasaran, pengurusan risiko dan perlindungan pengguna. Selain itu, sistem pembayaran juga telah dipertingkat secara berterusan untuk memastikan penjelasan dan penyelesaian pembayaran yang efisien dan efektif. Sistem itu kini lebih berautomasi dengan keupayaan untuk mengendalikan dagangan sekuriti hutang tanpa skrip, pemprosesan dan penyelesaian pembayaran. Dengan menyediakan satu sistem penyelesaian masa benar bagi pindahan dana antara bank, risiko kredit dan penyelesaian dalam sistem kewangan lslam telah dikurangkan.
Tumpuan juga diberi kepada pengurusan bakat insan untuk melahirkan sekumpulan jurubank yang kompeten yang perlu ada bagi menerajui inovasi dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Bagi memenuhi keperluan sumber tenaga yang meningkat, institusi pengajian tinggi dan institut perbankan dan kewangan lslam juga telah memulakan program baru mengenai kewangan Islam.
Menerajui lnisiatif dalam lntegrasi Global
Kewangan lslam di Malaysia kini berubah kepada dimensi baru untuk menjadi lebih bersepadu dengan sistem antarabangsa. Ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat kewangan lslam antarabangsa yang bersepadu yang akan memainkan peranan yang lebih besar dalam memudahkan aliran ekonomi dan kewangan antarabangsa.
Liberalisasi sistem kewangan lslam di Malaysia bermula pada tahun 2004 dengan pengeluaran tiga lesen bank lslam baru kepada institusi kewangan lslam asing. lnstitusi yang baru masuk ini dengan keupayaan dan kekuatan yang terserlah bukan sahaja akan terlibat dalam industri perbankan lslam domestik yang sedang berkembang, tetapi juga mampu meneroka pasaran baru di rantau ini. lnisiatif ini juga akan menggalakkan persaingan yang sihat, yang seterusnya menyumbang kepada peninggian industri domestik ke tahap dinamisme yang baru. Di samping inisiatif ini, kepentingan asing sehingga 49% dibenarkan dalam subsidiari lslam institusi perbankan konvensional dan dalam pengendali takaful. Peningkatan dalam integrasi antarabangsa juga diperkukuh oleh institusi kita sendiri yang meneroka melangkaui sempadan kita, khususnya di rantau Asia dan ke Timur Tengah. lntegrasi antarabangsa ini akan menyumbang ke arah memudahkan aliran antara sempadan yang lebih pesat dari segi transaksi perdagangan dan pelaburan yang meningkat, seterusnya memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan global.
Selain perbankan, Malaysia juga memulakan usaha untuk menggalakkan takaful di peringkat antarabangsa. Ini dilakukan dengan kerjasama yang rapat bersama Bank Pembangunan Islam, dengan pasukan petugas diwujudkan untuk menerajui antara lain, pembangunan dan penggalakan perdagangan, pelaburan dan perbankan lslam serta industri takaful dan takaful semula di kalangan negara anggota OIC. Antara inisiatif utama yang akan diambil di bawah Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Malaysia dengan Bank Pembangunan lslam adalah khususnya untuk menggalakkan dan mengembangkan perniagaan takaful dan takaful semula di kalangan negara anggota.
Satu lagi inisiatif Malaysia adalah untuk mengakses pasaran modal antarabangsa dengan menerbitkan instrumen kewangan lslam global. Terbitan sulung sukuk Islam berdaulat yang diterima secara global ini telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2002. Sejak itu, beberapa lagi terbitan telah dibuat oleh negara-negara lain. Sehingga kini, jumlah terbitan empat sukuk berdaulat global melebihi USD3.5 bilion. Sukuk telah meluaskan asas pelabur dengan mewujudkan kelas aset baru bagi pelabur lslam dan konvensional. Perkembangan ini juga diikuti oleh terbitan sukuk korporat global yang kini berjumlah USD12 bilion. Beberapa produk ini telah disenaraikan di bursa kewangan antarabangsa Labuan.
Pada tahun 2004, Malaysia meliberalisasikan peraturan pentadbiran pertukaran asingnya bagi membolehkan Bank Pembangunan Pelbagai Hala dan syarikat multinasional menerbitkan instrumen dalam denominasi ringgit dalam pasaran modal Malaysia. Untuk tujuan ini, dua institusi, iaitu International Finance Corporation dan Bank Dunia telah menerbitkan instrumen dalam denominasi ringgit berasaskan prinsip lslam dalam pasaran kita. la menyumbang ke arah memperdalam pasaran.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia juga terlibat secara aktif dalam inisiatif membangunkan arkitektur kewangan lslam antarabangsa sokongan. Pembentukan Lembaga Perkhidmatan Kewangan lslam (IFSB) pada tahun 2002 ialah satu pencapaian terpenting dalam pembangunan ini bagi menetapkan standard kehematan antarabangsa untuk kewangan Islam. Sehingga kini, IFSB telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan, dan ini termasuk pengeluaran dua draf pendedahan mengenai kecukupan modal dan pengurusan risiko. Usaha sedang dijalankan untuk tiga lagi standard yang berkaitan dengan tadbir urus korporat, ketelusan dan disiplin pasaran, dan proses kajian semula penyeliaan. IFSB juga memainkan peranan sebagai pemangkin dalam mengembangkan anggota dan jangkauannya, dengan itu menyumbang lagi kepada pengiktirafan dunia terhadap sistem kewangan Islam. Pada masa ini, IFSB mempunyai 78 anggota dari seluruh pelusuk dunia. Ini akan menyumbang ke arah penstandardan peraturan kehematan dan yang lebih penting menyumbang kepada sistem kewangan lslam yang kukuh dan stabil.
Pasaran Kewangan lslam Antarabangsa (IIFM), yang merupakan satu lagi inisiatif antarabangsa yang utama, juga akan menyumbang ke arah menggalakkan pembangunan pasaran kewangan lslam antarabangsa yang utama dan sekunder. IlFM menyediakan persekitaran yang menghubungkan semua pusat kewangan di dunia yang menyertai kewangan Islam, dan seterusnya menggalakkan penyertaan aktif institusi kewangan lslam dan bukan lslam di pasaran sekunder untuk instrumen kewangan Islam. Dengan peningkatan jumlah urus niaga, ia akan mengukuhkan hubungan dan integrasi di kalangan pusat kewangan Islam.
Dalam bidang Syariah, Bank Negara Malaysia pada masa ini sedang menggalakkan wacana intelektual mengenai isu Syariah. Ahli Syariah kita sendiri telah menyumbang ke arah pertumbuhan pesat produk kewangan Islam. Sempena Mesyuarat Agung Tahunan IDB yang diadakan di Putrajaya pada awal tahun ini, peluang telah diambil untuk membawa ahli-ahli Syariah antarabangsa untuk bertemu dan bersama-sama mempertimbangkan isu dan memupuk kefahaman yang lebih luas serta mencapai penyatuan amalan Syariah. Bank Negara Malaysia telah menubuhkan dana pembiayaan khas RM200 juta untuk memudahkan dialog tetap di kalangan ahli Syariah, untuk membiayai penyelidikan dan biasiswa, dan untuk membantu meningkatkan interaksi antara ahli Syariah dengan pengamal industri. Malaysia akan meneruskan usaha di peringkat antarabangsa dan bekerjasama rapat dengan komuniti kewangan lslam untuk membangunkan sistem kewangan lslam global dengan menyediakan peruntukan sumber berserta komitmen.
Cabaran Utama Masa Hadapan
Salah satu cabaran utama dalam menggalakkan hubungan yang lebih luas dalam sistem kewangan lslam domestik dan integrasi dengan sistem kewangan antarabangsa ialah mempunyai kumpulan bakat dan kemahiran profesional. Bakat merupakan prasyarat penting bagi pembangunan sistem kewangan lslam di peringkat nasional dan global. Mereka merupakan aset penting yang akan mendorong inovasi dalam perniagaan kewangan lslam dan dapat mengekalkan kekuatan daya saingnya.
Dengan industri terus berkembang, keperluan untuk membangunkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan termasuk produk yang boleh mengurangkan risiko, menjadi bertambah penting. Produk-produk ini merupakan satu keperluan bagi industri kewangan Islam, bukan hanya untuk memenuhi keperluan ekonomi domestik dan antarabangsa yang baru dan berubah-ubah, tetapi juga untuk membolehkan perlindungan nilai terhadap peristiwa buruk yang mungkin berlaku dan ketidakpastian. Ini penting untuk memperkukuh daya tahan dan rangka kerja pengurusan risiko industri kewangan lslam dalam keadaan persekitaran kewangan global yang semakin mencabar dan berdaya saing.
Bagi mempercepat pembentukan kumpulan bakat dan kemahiran-kemahiran yang ditentukan bagi memenuhi keperluan tenaga manusia yang semakin meningkat, kini Malaysia sedang mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian kewangan Islam antarabangsa. Pusat ini akan dijadikan sebagai sebuah badan pensijilan profesional dan institut latihan untuk lepasan ijazah. Selain itu, Malaysia telah menubuhkan Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa (ICLIF) pada tahun 2003 yang turut menyediakan pembangunan kepimpinan dan latihan pengurusan untuk institusi kewangan Islam.
Berkait rapat dengan mempunyai bakat ialah keperluan untuk mempunyai institusi kewangan lslam yang kukuh dan mantap. Ini merupakan satu lagi cabaran kepada industri kewangan lslam kerana kini tidak terdapat banyak institusi kewangan lslam yang besar. Kebanyakan institusi kewangan lslam tidak cukup besar di peringkat global untuk membiayai projek pembangunan yang besar, terutamanya di negara-negara lslam dan tidak cukup kukuh untuk menaja jamin keperluan komuniti kewangan lslam pada skala besar. Kini, beberapa pembiayaan projek di negara-negara lslam dilakukan oleh bank konvensional yang besar kerana permodalan institusi kewangan lslam rendah. Oleh itu, kita perlu memiliki institusi kewangan lslam yang kukuh dan mempunyai modal besar, yang mampu menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan lslam yang komprehensif dan lengkap.
Di samping mempunyai institusi kewangan lslam yang besar dengan kumpulan kepakaran yang diperlukan, integrasi sistem kewangan lslam dengan sistem kewangan antarabangsa perlu disokong oleh pembangunan kewangan lslam sepenuhnya di peringkat nasional, lantas meningkatkan potensi penyertaan yang efektif dalam persekitaran yang lebih liberal dan global.
Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia bersama-sama negara OIC yang lain sedang bekerjasama dengan IDB dan IFSB untuk merumuskan pelan induk 10 tahun bagi pembangunan industri perkhidmatan kewangan lslam global masa hadapan. Pelan lnduk itu akan menyediakan satu hala tuju untuk menuju ke arah visi yang sama di kalangan negara dalam membangunkan sistem kewangan Islam.
Kesimpulan
Dalam membangunkan dan memperkukuh sistem perbankan dan kewangan lslam kita supaya menjadi lebih bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa, Malaysia sedang meletakkan dirinya sebagai gerbang kewangan Islam ke rantau Asia Timur. Bagi menarik perhatian pelabur antarabangsa, Malaysia menawarkan potensi peluang seterusnya bagi pembiayaan dan pelaburan dalam aktiviti yang produktif bukan hanya kepada komuniti kewangan yang mahu menjalankan transaksi kewangan Islam, malah juga kepada komuniti pelaburan antarabangsa umum.
Sebagai kesimpulan, saya ingin menyatakan bahawa misi kita adalah untuk membangunkan sebuah sistem kewangan lslam yang semakin bersepadu dengan sistem antarabangsa. Saya yakin dengan pendekatan ini ia boleh menyumbang ke arah mempermudah transaksi perdagangan serta pelaburan yang bertambah, memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan global, lantas meningkatkan prospek bagi mencapai pertumbuhan global yang lebih seimbang dan kemakmuran yang dikongsi bersama di kalangan ummah, Insya-Allah.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 20 February 2008

Nilai Masa Wang Dalam Skim Perbankan Islam

Oleh Muhammad Hisyam Bin Mohamad

Dr. Schacht di dalam satu syarahan beliau yang dibuat di Syria pada 1953 telah dilaporkan berkata "Adalah amat jelas sekali walau dengan apa cara perkiraan hisab sekalipun, semua kekayaan akan pergi ke tangan pengamal riba. Ini kerana dalam apa keadaan, dia akan memperolehi keuntungan sedangkan peminjam adalah tertakluk kepada keuntungan dan kerugian."
Malah Paus John Paul II pernah menyatakan bahawa disebabkan amalan riba (oleh negara kaya), modal yang sepatutnya diperlukan oleh negara miskin untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat terpaksa digunakan untuk membayar faedah pinjaman yang dibuat.
Ini merupakan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh dua individu bukan Islam yang bukan calang-calang ketokohan mereka di mata masyarakat dunia. Dr. Schacht sebagai contoh, merupakan bekas Presiden Bank Jerman yang juga merupakan bekas Menteri Ekonomi Jerman semasa zaman pemerintahan Nazi. Manakala Paus John Paul II merupakan bekas pemimpin agama tertinggi masyarakat dunia Katholik.
Kenyataan yang dibuat oleh mereka ini tentang kesan riba bukanlah sesuatu yang baru bagi kita sebagai masyarakat Islam. Ini kerana agama Islam sejak dari peringkat awal lagi telah mengharamkan kewujudan sebarang unsur riba di dalam muamalat harian. Bagi agama Islam, riba merupakan satu bentuk penindasan dan kezaliman yang boleh mencetus ketidakharmornian dan ketidakmakmuran di dalam amalan harian manusia.
Walaupun agama Islam dan sesetengah tokoh bukan beragama Islam memperakui kesan buruk akibat riba ini ke atas sosio ekonomi manusia, namun amalan riba masih lagi berleluasa. Malah umum mengetahui bahawa amalan riba merupakan teras utama dalam urusan perniagaan sektor perbankan di serata pelusuk dunia. Alasan utama yang menyebabkan industri perbankan mengambil pendekatan mengenakan riba ada kaitan dengan faham nilai masa wang (time value of money).
Teras utama konsep nilai masa wang ialah nilai wang yang kita miliki sekarang tidak akan sama dengan nilainya pada masa hadapan. Nilai masa hadapan wang tadi mungkin bertambah jika ia dilaburkan dan memperolehi keuntungan. Ia juga mungkin berkurangan atas sebab tekanan inflasi atau risiko lain seperti penghutang tidak membayar balik wang yang dipinjam.
Berdasarkan kepada unsur kos melepas dan risiko inilah, maka pihak perbankan konvensional mengenakan kadar faedah ke atas pinjaman yang diberikan kepada pengguna sebagai timbal balik kepada nilai masa wang yang sepatutnya ada pada mereka.
Bagaimanapun faham nilai masa wang ini bukan hanya diamalkan di dalam sistem perbankan konvensional. Ia turut digunapakai dalam skim perbankan Islam. Cuma cara penggunaan faham ini adalah berlainan daripada pendekatan yang diambil oleh perbankan konvensional.
Jika di dalam perbankan konvensional, kadar faedah ke atas pinjaman menjadi galang ganti kepada nilai masa yang hilang, akan tetapi di dalam perbankan Islam, galang gantinya ialah keuntungan daripada akad jualan. Hal ini adalah disebabkan kerana faham pinjaman tidak atau jarang digunapakai di dalam perbankan Islam. Sebaliknya, semua adalah berasaskan akad jualan walaupun secara kasarnya pelanggan seolah-olah meminjam daripada pihak bank untuk membuat pembelian rumah rumah, pembelian kereta mahupun untuk keperluan peribadi. Sebagai contoh, untuk pembiayaan aset tetap seperti bangunan atau rumah, skim perbankan Islam menggunakan konsep Istis'na dan Ijarah Muntahiya bi al-Tamlik atau Musharakah Muntaniqisah. Manakala untuk pembiayaan peralatan atau mesin faham-faham ijarah thumma al-bai' digunapakai. Bagi pembiayaan peribadi pula digunakan akad bay' al-inah.
Jadi adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa skim perbankan Islam sama dengan perbankan konvesional dari segi amalannya kerana semua urusan di dalam perbankan Islam menggunakan akad-akad perniagaan yang diharuskan agama Islam seperti kontrak jual beli manakala perbankan konvensional adalah berasaskan riba semata-mata atas sebab wujud penangguhan pembayaran (riba al-nasiah).
Apa yang jelas, kebanyakan keuntungan yang dijana oleh skim perbankan Islam adalah dihasilkan melalui urusan jual beli iaitu jual beli bertangguh atau jual beli secara berhutang (kredit). Kaedah jual beli sebegini adalah sesuatu yang dibenarkan.
Dalil yang mengharuskan keuntungan diambil menerusi jual beli secara bertangguh (jual beli secara kredit) ini ialah pertamanya corak jual beli sebegini menggalakkan usaha perdagangan kerana ia memenuhi kehendak biasa masyarakat kerana mereka tidak perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu untuk mendapatkan sesuatu keperluan atau barangan. Sebaliknya harga tadi boleh dibayar kemudian, baik secara ansuran atau sekaligus.
Keduanya, dalam fasal (clause) jual beli secara murabahah umpamanya, wujud keharusan perbezaan di antara harga tunai dan harga tangguh. Ini secara tak langsung membenarkan amalan pengambilan untung melalui jualan secara hutang atau ansuran.
Malah di dalam satu forum perbincangan yang dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru-baru ini, seorang tokoh kewangan Islam terkenal iaitu Sheikh Nizam Yakuby telah mengatakan bahawa semua mazhab utama dalam agama Islam memperakui faham nilai masa wang dalam kontrak-kontrak pertukaran.
Menurut beliau lagi jika kita menghalusi dengan teliti ayat ke-275 di dalam surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa ada golongan yang mengatakan jual beli itu seumpama riba sedangkan Allah mengharamkan riba dan sebaliknya mengharuskan jual beli; ayat ini sebenarnya bukan merujuk kepada jual beli secara tunai. Sebaliknya ia merujuk kepada jual beli secara bertangguh atau secara berhutang di mana harga jualan biasanya lebih tinggi daripada harga tunai.
Ini adalah lebih tepat dalam perbandingan yang dibuat kerana kita membuat perbandingan di antara dua benda yang agak setara iaitu peningkatan yang disebabkan penangguhan pembayaran balik (riba al-nasiah) dan peningkatan yang disebabkan oleh jual beli secara bertangguh atau berhutang.
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah - menurut Sheikh Nizam Yaquby - nilai masa wang adalah diperakui oleh agama Islam. Akan tetapi perakuan ini adalah daripada sudut yang berbeza daripada apa yang diamalkan oleh pandangan Barat. Dalam bidang muamalat, nilai masa wang dalam akad jual beli adalah harus sedangkan nilai masa wang dalam akad pinjaman adalah sesuatu yang ditegah sama sekali.
Walaupun perbankan Islam menggunapakai akad-akad yang diharuskan syarak di dalam urusan perniagaan harian mereka, ini tidak bermaksud mereka seratus peratus menepati apa yang digariskan oleh agama Islam.
Pendedahan yang dibuat oleh Presiden Majlis Am Bagi Bank dan Institusi kewangan Islam, Sheikh Saleh A Kamel baru-baru ini begitu mengejutkan kita sebagai pengguna skim perbankan Islam. Menurut Sheikh Saleh, hasil pemantauan pihak beliau mendapati kira-kira 350 bank yang menawarkan perkidmatan skim perbankan Islam di 75 negara di seluruh dunia menggunakan kaedah kerja (prosedur) yang tidak berlandaskan hukum syarak. Lebih membimbangkan lagi, daripada 350 bank ini, 120 daripadanya beroperasi di negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pada pandangan penulis, dapatan pemantauan Sheikh Saleh tadi mungkin berpunca daripada keghairahan skim perbankan Islam untuk bersaing dengan perbankan konvensional di mana ia mengambil bulat-bulat apa yang diperkenalkan oleh pesaing konvensional termasuklah kaedah kerjanya sekali. Apa yang diubah mungkin dari segi faham (konsep) yang digunapakai dalam produk-produk yang diperkenalkan sedangkan unsur-unsur pendokumentasian ataupun kaedah kerja dalaman syarikat tidak dibuat pindaan yang sewajarnya agar selaras dengan kehendak syariah.
Apa yang jelas di sini, penggunaan akad-akad perniagaan berlandaskan syariah ke atas produk-produk perbankan Islam bukanlah satu-satunya cara bagi menghapuskan unsur riba dan seterusnya menghalalkan urusan perniagaan skim perbankan Islam. Pihak institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam sepatutnya turut menghalusi kaedah kerja-kaedah kerja yang digunapakai kerana ia juga merupakan sebahagian daripada unsur-unsur yang membentuk skim perbankan Islam itu sendiri.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com