Terkini

Wednesday 18 March 2009

Asas dan Prinsip Pengurusan Islam

Tajuk album: ASAS DAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM.
Penceramah: DR. SIDEK BABA.
Penerbit: TELAGA BIRU SDN. BHD.
PADA hakikatnya, pengurusan berkait rapat dengan sikap amanah yang menjadi teras dalam pertimbangan setiap individu terlibat.
Namun, pengurusan pada perspektif barat berbeza dengan perspektif Islam.
Album ini merupakan panduan atau tatacara pengurusan yang sempurna berlandaskan tuntutan syarak.
Ia menjelaskan prinsip-prinsip pengurusan Islam yang perlu ada di dalam sesebuah organisasi bagi mempastikan kesinambungan keberkatan perjalanannya.
Selain itu dijelaskan faktor-faktor yang dapat menyokong dan mengukuhkan sesebuah institusi berdasarkan asas ihsan dan insan, hubungan menegak dengan Pencipta dan hubungan melintang dengan manusia.
Keharmonian dalam menggabungkan kedua-dua hubungan ini dapat membentuk sistem pengurusan yang jitu.
Langkah pertama adalah dengan memastikan corak kepimpinan bertunjangkan sikap yang bertanggungjawab, ihsan serta amanah kerana keadaan ini sekali gus dapat memelihara hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.
Usaha ke arah membina peningkatan kualiti dan produktiviti juga perlu dilakukan secara berterusan (istiqamah).
Ia hanya dapat dijalankan melalui peningkatan ilmu pengetahuan dan mutu kerja setiap unit dalam organisasi.
Selain itu, prinsip ini juga dapat dipraktikkan melalui pengaplikasian konsep ibadah dalam pengurusan.
Pengaplikasian ini dapat memastikan segala urusan bertentangan dengan syariat Islamiah dan konsep keikhlasan dalam berkerja.
Konsep atau budaya syura yang diamalkan dalam sistem pentadbiran Islam pada zaman Khulafa Rashidin, boleh dijadikan sebagai landasan dalam sistem pengurusan yang bersepadu.
Kesepakatan dan kerja sama dalam membuat keputusan dapat menghasilkan sesuatu yang lebih baik dan berkualiti.
Di samping itu, konsep tawakal selepas menjalankan sesuatu kerja perlu diamalkan kerana ia dapat membina keyakinan dan motivasi diri yang tinggi.
Menjauhi segala bentuk penindasan juga dapat membentuk satu sistem pengurusan yang baik.
Selain itu, akhlak yang mulia perlu ditanam dan diamalkan dalam proses pengurusan supaya sikap saling menghormati dapat dilaksanakan.
Sifat adil iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya juga perlu diterapkan bagi menjamin kerja sama yang padu dari setiap unit yang terdapat di dalam organisasi.
Sifat ketakwaan perlu diamalkan dalam sistem ini, bertujuan mencari keredhaan Allah dalam setiap urusan yang dijalankan.
Sifat ini akan dapat memastikan prinsip pengurusan Islam sentiasa dijadikan asas dalam pengurusan.
Sifat ketakwaan ini dapat dipupuk melalui kemantapan akidah dan juga kesempurnaan ibadah yang mantap.
Satu sikap yang perlu dipraktikkan ialah dengan membina daya saing yang tinggi secara sihat.
Latihan atau tarbiyah juga perlu dijalankan dari masa ke masa bagi membantu proses pembinaan kemahiran dan penampilan yang berkeyakinan tinggi.
Muhasabah diri dengan tujuan mencari kelemahan diri untuk diperbaiki merupakan satu langkah ke arah kemantapan peribadi.
Kesimpulannya, album Asas Dan Prinsip Pengurusan Islam merupakan satu panduan ke arah sistem pengurusan yang jitu berlandaskan konsep ibadah, bertujuan membentuk satu organisasi yang bersifat Islam.
Penceramahnya. Dr. Sidek Baba pernah menjadi Dekan dan Timbalan Rektor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 17 March 2009

Modal Insan Kaum Nabi Musa AS



pengajaran pengurusan modal insan dari Nabi Musa AS

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Pengurusan Tauhidik



Kesedaran Tauhid dalam pengurusan adalah teras gerakkerja Islam.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday 16 March 2009

Krisis Finansial Global, Tanda Nyata Runtuhnya Kapitalisme?

  Pelajari Mengenai Kewangan, Bisnes dan Pengurusan Islam ---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com  Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Keseimbangan ekonomi Islam atasi krisis dunia

Oleh Rohami Shafie

Unsur riba, spekulatif ikut sistem kapitalis hanya memporak-perandakan masyarakat

SELURUH dunia berdepan krisis ekonomi global yang asalnya berpunca daripada krisis subprima di Amerika Syarikat (AS). Krisis global ini bermula sejak awal 2007, bagaimanapun banyak negara memandang mudah perkara itu sehingga syarikat kewangan utama AS mengalami masalah kewangan yang ketara.

Lehman Brothers, Merril Lynch jatuh bankrap. Merril Lynch diambil alih oleh Bank of America, beberapa syarikat kewangan dan insurans pula diselamatkan Kerajaan AS termasuk syarikat insurans terbesar, American International Group (AIG).

Punca krisis ini berkait dengan hutang. Ia umpama krisis kewangan Asia yang melanda Malaysia pada 1997/1998 yang membezakannya ialah krisis ini berkaitan hutang hartanah, manakala krisis ekonomi Asia berkaitan mata wang.

Permintaan terhadap hutang di AS amat tinggi pada 2002-2005 disebabkan dasar liberalisasi sektor kewangan dan hartanah yang dipelopori bekas Presiden AS, George W Bush dan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan.

Bagaimanapun pada penghujung 2006 dan awal 2007, ramai peminjam (subprima) tidak mampu membayar hutang kepada bank kerana faedah naik mendadak, manakala harga hartanah menurun.
Dasar fiskal dan kewangan di AS setakat ini tidak langsung memberi tanda ekonomi dunia akan pulih. Presiden Obama masih tercari-cari formula untuk memulihkan kembali ekonomi negaranya.

Pakej rangsangan yang diumumkan beliau setakat ini masih tidak menampakkan tanda ekonomi AS akan pulih dalam tempoh terdekat. Ini menunjukkan kecelaruan ekonomi pasaran bebas atau kapitalis yang dilaungkan Barat sebagai sistem terbaik dunia. Dikatakan krisis ini terburuk pernah melanda AS sejak 1930. Sehingga kini tiada yang mengetahui bila krisis akan berakhir walaupun Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Dr Ben S Bernanke memberi jaminan ia berakhir hujung tahun ini. Namun, itu hanya ramalan kerana krisis sudah merebak ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kapitalis adalah sistem ekonomi yang mempunyai pelbagai kelemahan dan terbukti bukan sistem ekonomi terbaik boleh dilaksanakan di seluruh dunia. Kelemahan utama, sistem itu mementingkan keuntungan dan mengabaikan kesejahteraan masyarakat. Sistem ini mencipta masyarakat tamak haloba sehingga sanggup menipu dan mendapat keuntungan dengan cara menindas golongan miskin. Inilah asas sistem kapitalis iaitu materialistik semata-mata.

Islam secara jelas melarang memperoleh harta dengan cara penipuan, rasuah dan haram. Firman Allah bermaksud: "Dan jangan sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (jangan) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Islam juga mementingkan keseimbangan dalam perniagaan tanpa unsur penindasan dan dijalankan secara sukarela tanpa perasaan tidak puas hati antara satu sama lain bagi memastikan perniagaan dijalankan dengan adil dan saksama.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang beriman, jangan kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah an-Nisa, ayat 9)

Kita harus waspada dengan ideologi lama dan baru diperkenalkan AS serta sekutunya untuk mempengaruhi dunia menerima sistem kapitalis. Antara yang dilaungkan mereka ialah konsep globalisasi melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Sudah diketahui ramai, konsep ini cuba diterapkan negara maju di negara membangun dan Negara Dunia Ketiga bertujuan meraih keuntungan tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat negara itu.

Sistem kapitalis juga banyak berasaskan spekulatif dan ini dilarang dalam Islam. Minyak, hartanah, mata wang, hak milik terbitan adalah instrumen berasaskan spekulatif atau ramalan semata-mata tanpa asas kukuh. Contohnya, wang kertas langsung tiada asas nilai apabila dikoyak. Bahkan, wang juga boleh diniagakan untuk mengaut keuntungan tanpa batas. Wang sepatutnya hanya medium penukaran dan bukan diniagakan.

Riba atau kadar faedah satu lagi aspek yang diharamkan dalam kewangan Islam dan dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 175)

Kadar faedah dicipta kapitalis bertujuan menindas golongan miskin; yang kaya bertambah kaya, yang miskin jadi fakir. Bahkan, bukan saja individu boleh fakir, negara juga boleh muflis kerana dasar kapitalis.

Apa yang berlaku dalam ekonomi dunia kini mempunyai hikmah kepada dunia Islam, amnya dan Malaysia, khususnya. Forum Ekonomi Islam Dunia Kelima (WIFE) pada 2 hingga 3 Mac lalu di Jakarta antara langkah permulaan supaya sistem kewangan Islam dapat dilaksanakan di Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Ini sejajar usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia.

Tsunami ekonomi yang melanda seluruh dunia memberi peluang negara kita mempergiatkan lagi usaha sedia ada untuk menjadikan pasaran kewangan, ekuiti kukuh dan ampuh berlandaskan sistem Islam. Tidak keterlaluan dikatakan, sudah sampai masanya usaha yang sedang dan bakal digiatkan harus membuahkan hasil bagi membolehkan sistem kewangan Islam bertapak kukuh sebagai peneraju utama sistem ekonomi Malaysia bagi menggantikan kapitalis.

Malaysia mempunyai banyak kelebihan berbanding negara lain untuk menjadi peneraju sistem kewangan Islam sedunia kerana sistem kewangan Islam bukan sistem ekonomi yang baru di Malaysia. Ia bermula sejak awal penubuhan Bank Islam pada 1 Julai 1983. Negara kita juga mempunyai kelebihan prasarana. Bahkan, sistem kewangan Islam diterima pakai oleh rakyat berbilang agama. Contohnya, dana amanah saham Islam menjadi tarikan belian bukan Islam apabila setiap kali dana itu dilancarkan institusi kewangan berkenaan.

Malaysia juga mempunyai kelebihan melaksanakan sistem kewangan Islam sepenuhnya dengan membawa pelabur dari Asia Barat. Malaysia mempunyai reputasi baik di kalangan negara Islam, oleh itu usaha membawa pelabur bertepatan pada masanya.

Di samping itu, pasaran di kalangan negara Islam amat besar sekali dan kepelbagaian perniagaan berlandaskan Islam perlu digiatkan supaya negara tidak hanya bergantung dagangan dengan AS dan Eropah. Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko kebergantungan ekonomi kepada AS dan Eropah. Jelas, sistem kewangan Islam ialah jawapan kepada krisis ekonomi global yang melanda kini. Usaha menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia perlu digiatkan bukan saja oleh kerajaan, bahkan membabitkan sektor swasta, cendekiawan kewangan Islam dan setiap individu.

Ini bagi memastikan suatu sistem kewangan lebih baik dengan mempelbagaikan produk kewangan inovatif berlandaskan syariah, adil dan saksama serta mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. Akhirnya, dapat mencapai matlamat untuk memperoleh keberkatan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat nanti.

Penulis ialah Pensyarah Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia
(Berita Harian)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 5 March 2009

Tukar sistem kewangan dunia

Pada awal tahun lalu, dunia dikejutkan dengan suasana krisis makanan dan tenaga. Tiba-tiba dunia khususnya di rantau Asia didapati mengalami kenaikan harga makanan, khususnya bijirin yang menjadi bahan ruji bagi para penduduk.
Dalam suasana kenaikan harga makanan dan minyak mendadak naik, maka tidak menghairankan para penganjur Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) meletakkan soal keselamatan makanan dan tenaga untuk dijadikan tema perbincangan bagi tahun ini.
Tetapi keadaan berubah dengan begitu cepat sekali hingga apabila WIEF Kelima yang berlangsung di Jakarta Isnin dan Selasa lalu sudah tidak wajar memberikan perhatian terhadap soal makanan dan tenaga kerana dunia hari ini menghadapi krisis lebih besar, iaitu berkaitan dengan kewangan yang mengakibatkan jutaan orang kehilangan pekerjaan di banyak negara.
Bukanlah bermakna kekurangan makanan dan tenaga sudah tidak menjadi isu. Harga minyak memang turun tetapi bekalan makanan tetap terancam, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang membimbangkan. Tetapi krisis kewangan global hari ini adalah lebih perlu segera dihadapi.
Maka benar apabila Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam ketika berucap dalam majlis pembukaan forum menyatakan bahawa tumpuan wajar diberikan kepada menghadapi krisis kewangan global dengan pemahaman bahawa sistem yang ada sekarang telah gagal dan runtuh.
Buat masa ini, tindakan segera yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia ialah mencurahkan dana ke pasaran melalui apa yang disebut sebagai rangsangan.
Stimuli dan mini bajet sudah menjadi istilah yang diharapkan akan dapat menyelamatkan keadaan. Tetapi di sudut hati mereka yang mengikut perkembangan ini, akan terdetik rasa bahawa apa yang berlaku tidak dapat dipastikan. Perasaan optimis yang muncul mungkin untuk menyedapkan hati dan mengelak masyarakat panik.
Sememangnya berperasaan panik tidak akan menyelesaikan masalah dalam apa jua situasi darurat. Otak yang dingin adalah kaedah mujarab, tetapi pada waktu yang sama kedinginan otak tidaklah sampai menjadi beku hingga tidak mampu untuk berfikir.
Maka serentak dengan rangsangan dana untuk menggerakkan ekonomi, apa yang diperlukan ialah rangsangan otak untuk berfikir, bertukar fikiran, berhujah mencari jalan supaya optimisme yang ada itu benar-benar mempunyai isi, dan bukan hanya retorik.
Di sinilah peranan pertemuan seperti WIEF. Pakar-pakar ekonomi dari negara-negara Islam wajar bertemu dan mengambil peluang platform seperti ini untuk mencari idea baru bagi menghadapi cabaran.
Maka umat Islam umumnya yang sudah lama memendam perasaan dengan mencurigai keampuhan sistem kewangan dunia pimpinan Amerika Syarikat seolah-olah ramai-ramai menyatakan "itulah, padan muka." Sistem berdasarkan riba di atas ekonomi yang tidak nyata akhirnya akan tumbang.
Masalahnya apabila sistem kewangan dunia pimpinan Amerika yang intinya daripada kalangan Yahudi itu runtuh, ia akan mengheret sama seluruh dunia Islam. Dan apabila majoriti golongan miskin itu berada di negara-negara Islam, maka merekalah yang paling teruk menghadapi kesusahan dan penderitaan.
Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia, dari segi bilangan penduduk, keluasan dan pengaruh politiknya akan sentiasa menerima tamparan paling hebat, baik apabila menghadapi krisis makanan, tenaga mahupun kewangan seperti yang ada sekarang.
Tetapi apabila Indonesia selesema, negara-negara jirannya juga akan terheret sama, khususnya Singapura dan Malaysia. Ketiga-tiga negara ini, Indonesia, Malaysia dan Singapura tinggal sekampung yang menuntut kerjasama yang maha erat khususnya dalam bidang ekonomi.
Jadi sebagai tetangga, sensitiviti meliputi pelbagai sudut bukan saja ekonomi, politik, bahkan sosial dan budaya.
Tetapi hubungan paling kuat antara Malaysia dan Indonesia adalah dari sudut tradisi keagamaan, yang kedua-dua bangsa ini sentiasa melihat Asia Barat sebagai sumber kiblatnya.
Justeru dunia Islam boleh dilihat memiliki paksi Asia Barat dan Asia Tenggara. Maka apabila aktiviti yang melibatkan dunia Islam, ia tidak akan terlepas daripada paksi ini. Inilah juga yang berlaku dalam forum seperti WIEF.
Maka suasana dewan di Ritz-Carlton, Jakarta yang didominasi oleh paksi ini seolah-olah sepakat tanpa ragu lagi bahawa sistem kewangan global pimpinan Barat sudah gagal dan ia seharusnya digantikan dengan alternatif Islam.
Maknanya dalam keadaan krisis kewangan ini, dunia mendapati bahawa sistem Islam lebih kukuh daripada turut terheret ke dalam kancah keruntuhan. Maka sudah tentu ada istimewanya terhadap sistem Islam.
Bagi umat Islam, soal melaksanakan sistem kewangan Islam tidak perlu didebatkan. Tentu ia mempunyai kebaikan kerana landasannya adalah Islam. Tetapi bagi mereka yang tentunya tidak ada keimanan dari sudut agama, maka akan diteliti ciri-ciri mengapa sistem ini lebih perkasa.
Maka akan muncul tiga aliran dalam melihat persepsi ini. Aliran pertama melihat sistem Barat tetap relevan dan krisis yang ada hari ini adalah sementara kerana peraturan yang longgar serta amalan keterlaluan dalam soal memberi pinjaman. Jika diperketatkan dan diperbaiki, maka sistem Barat akan sekali lagi dapat bangkit.
Aliran kedua pula melihat bahawa perlunya kedua-dua sistem, iaitu Islam dan Barat, yang dinamakan sebagai konvensional itu hidup seiringan dan saling lengkap-melengkapi dalam memperkayakan kegiatan ekonomi dunia.
Maka jika sistem konvensional bermasalah, dunia boleh memilih cara Islam tetapi jika kewangan syariah tidak cukup maju, maka digunakan pula cara Barat.
Sementara aliran ketiga pula mahu hanya sistem kewangan Islam digunakan kerana ia ternyata paling rasional dan beretika. Kalau istilah Islam itu menakutkan orang bukan Islam, maka gugurkan nama-nama berbau Arab dan digantikan dengan istilah neutral.
Apa yang disebut sebagai sistem kewangan Islam pula sebenarnya berasaskan pada asas mudah iaitu keadilan dalam menanggung risiko dan berniaga atas produk nyata, sesuatu yang dapat diterima oleh banyak pihak walaupun di kalangan bukan Islam. Cuma mereka tidak diberi peluang untuk memanfaatkan sistem sedemikian.
Namun begitu, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di WIEF, sistem kewangan Islam mesti menyeragamkan piawainya untuk benar-benar memperoleh wibawa untuk bergerak dalam dunia moden. Selain daripada kreatif menawarkan produk baru.
Akhirnya yang menjadi pesaing bagi sistem kewangan Islam bukanlah dari pihak konvensional atau Barat tetapi daripada kelemahan kepakaran serta kreativiti profesional yang akan mengendalikan infrastruktur dan mekanisme sistem kewangan Islam ini.
Memang benar krisis kewangan global ini membuka peluang bagi sistem Islam tetapi masa berlalu dengan cepat dan jika laluan ini tidak dimanfaatkan segera maka boleh jadi ia terlepas begitu saja.
Lompong yang wujud ini akan diisi oleh sistem yang lebih sesuai daripada konvensional, dan ia tidak semestinya datang dari dunia Islam. Kelewatan mengaut peluang akan pastinya diisi oleh pihak lain.
Sebab itu, pendidikan bagi menghasilkan profesional kewangan Islam amat penting dan perlu segera dilakukan. Malah tidak keterlaluan untuk menyebut bahawa memperjuangkan sistem kewangan Islam merupakan gerakan penting bagi menyelamatkan dunia.
(Utusan)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Kaedah melupus wang syubhah

Dewasa ini, umat Islam di negara kita dan juga di serata dunia berhadapan dengan satu masalah yang amat sukar untuk dielakkan, iaitu keterlibatan (sama ada secara langsung ataupun tidak) dengan wang atau harta yang diperoleh melalui sumber yang syubhah atau haram.
Perkara ini antaranya berpunca daripada berleluasanya transaksi-transaksi yang tidak patuhi syariah dalam kebanyakan institusi-institusi kewangan konvensional pada hari ini.
Didapati bahawa sebahagian daripada masyarakat Islam pada hari ini menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaian kepada saki baki wang syubhah yang dimiliki dalam simpanan mereka. Contohnya seperti wang faedah hasil daripada simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba.
Ada di kalangan masyarakat Islam yang mengambil mudah dalam hal ini dengan menggunakannya tanpa rasa bersalah. Tidak kurang juga ada yang membiarkannya begitu sahaja atas anggapan ia tidak boleh dimanfaatkan secara mutlak. Mana satukah cara yang benar?
Pengenalan
Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinisikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal terang dan haram yang jelas yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar sama ada ia halal ataupun haram.
Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.
Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud: Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah). (riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Kaedah pelupusan wang syubhah dalam Islam
Terdapat khilaf di kalangan ulama berkenaan kaedah pelupusan wang syubhah atau haram mengikut syarak. Sesetengah ulama salaf yang berpendapat ia tidak boleh disucikan dan hendaklah dimusnahkan atau dibinasakan begitu sahaja.
Ada ulama yang berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan maslahat umum termasuk diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Ada pula yang berpandangan hanya untuk maslahat umum seperti membuat jambatan dan tandas awam sahaja tetapi tidak wajar diberikan kepada fakir miskin kerana ia berasal dari sumber yang haram dan tidak baik.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah menjelaskan bahawa wang-wang faedah ini selain ia haram untuk dimanfaatkan oleh umat Islam, ia juga haram untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.
Perbuatan tersebut akan memperkuatkan lagi bank-bank tersebut dan sama seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syarak.
Tindakan ini tergolong dalam membantu perkara-perkara maksiat, sedangkan membantu dalam perkara yang haram hukumnya adalah haram! Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (al-Ma'idah: 2)
Dr. Yusuf berpandangan, apa yang disyariatkan adalah supaya wang-wang faedah tersebut begitu juga dengan harta-harta lain dari sumber yang haram dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan. Ini seperti membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah, membantu perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.
Dalam hal ini juga, Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 menetapkan: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".
Wang bercampur aduk antara halal dan haram
Timbul satu persoalan di sini, iaitu apabila wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimana ia hendak dijernihkan?
Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: "Apabila berkumpul perkara yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram".
Menurut kaedah ini, apabila perkara yang halal dan haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram. Ini adalah pandangan yang lebih utama berdasarkan justifikasi bahawa meninggalkan perkara yang harus bagi tujuan menjauhi perkara yang haram adalah lebih baik daripada sebaliknya.
Dalam hal ini, iaitu apabila berlaku campur aduk antara perkara yang halal dengan yang haram dan tidak dapat dibezakan, maka penyelesaiannya adalah dengan mengasingkan nilai atau kadar sebenar yang halal dengan yang haram dengan niat dibahagikan antara kedua-duanya.
Apa yang jelas halal boleh digunakan manakala yang haram itu hendaklah dilupuskan seperti dengan menyedekahkannya kepada fakir miskin atau menyerahkan kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahat ummah.
Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.
Kesimpulan
Sehubungan itu, menjadi tanggung jawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhah demi menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram.
Dengan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, syarikat-syarikat pajak gadai Islam (al-rahnu), syarikat-syarikat insurans Islam (takaful) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang ada ini sewajarnya.
Namun demikian, sekiranya keterlibatan dengan wang syubhah atau haram ini tidak dapat dielakkan, maka hasil-hasil daripada aktiviti syubhah atau haram tersebut hendaklah dilupuskan sewajarnya berlandaskan syarak.
Penyerahan kepada Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta dapat menyumbang kepada kemaslahatan sosio-ekonomi umat Islam.
E-mel: mfadzli@jawhar.jpm.my
(Utusan)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Selaras sistem bank Islam – PM

JAKARTA 2 Mac – Piawaian perbankan dan kewangan Islam perlu diselaraskan supaya sistem itu diterima sebagai alternatif dalam keadaan dunia berhadapan dengan krisis ekonomi global, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, selagi pasaran terikat dengan peraturan dan tafsiran piawaian Syariah yang berbeza, adalah sukar bagi kewangan Islam untuk berkembang di luar negara-negara Islam.
“Justeru, adalah penting bagi setiap pembuat keputusan dalam dunia perbankan dan kewangan Islam bekerja keras mewujudkan piawaian seragam supaya ia diterima dan dipatuhi oleh komuniti perbankan Islam secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelima di sini.
Abdullah turut menggariskan cabaran kedua kewangan Islam iaitu kegagalan memperkenalkan produk baru yang berdaya saing supaya menjadi lebih istimewa daripada aliran konvensional.
Sehubungan itu, katanya, adalah perlu bagi sektor itu meneroka kaedah mewujudkan pakej-pakej kewangan yang menarik tanpa terpaksa menggunakan galakan kredit dan pinjaman bebas berisiko.
‘‘Tugas ini sukar tetapi saya yakin dengan berusaha secara kolektif, ia bukan di luar kemampuan kita untuk melaksanakannya,” katanya di hadapan para peserta yang terdiri daripada para pemimpin kerajaan dan masyarakat perniagaan pelbagai negara.
Forum yang bertemakan Keselamatan Makanan dan Tenaga - Membendung Kemaraan Krisis Kewangan global itu dirasmikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Turut berucap Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam dan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Prof. Dr. Ekmeleddin Ihsanoglu. Antara pemimpin negara Islam yang hadir ialah Putera Mahkota Emirat Arab Bersatu, Sheikh Saud Saqr al-Qassimi; Perdana Menteri Maghribi, Abbas El- Fassi; Timbalan Perdana Menteri Yaman, Abdul Kareem Al-Arhabi.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri juga yakin kewangan Islam mempunyai masa depan cerah kerana terdapat tanda-tanda menggalakkan bahawa dunia kian menghargai keperluan peraturan alternatif kepada sistem kewangan antarabangsa sedia ada.
“Kewangan Islam semakin memperoleh wibawa sebagai suatu alternatif. Kewangan Islam pada asasnya berdasarkan pada prinsip tanpa risiko, tanpa ganjaran.
“Hanya mereka yang memutuskan untuk mengambil risiko akan memperoleh manfaat. Ini berbeza daripada kewangan konvensional di mana ganjaran besar masih boleh diperoleh tanpa risiko.
‘‘Sistem sebegitu membuka pintu kepada pinjaman tidak bertanggungjawab di mana ketamakan dibenarkan menguasai. Krisis pajakan subprima adalah suatu kes klasik,” ujarnya.
Menurut Abdullah, adalah jelas bahawa sistem kewangan konvensional telah runtuh dengan implikasi serius terhadap ekonomi global.
Banyak negara, katanya, mengalami kesukaran untuk mengatasi kemelesetan dalaman dengan dana besar dicurahkan untuk menggerakkan semula ekonomi masing-masing.
“Dengan tiada pilihan lain, kita telah mewarisi suatu sistem di mana orang boleh berdagang dengan apa yang bukan dimiliki. Maka akibatnya ialah tekanan inflasi dalam pasaran global yang menyebabkan kerosakan besar terhadap kesejahteraan golongan miskin dunia,’’ katanya.
Abdullah turut menekankan dua peluang yang perlu direbut oleh dunia Islam untuk menampilkan sistem kewangan Islam sebagai alternatif dan meningkatkan segera pelaburan dalam pembangunan pertanian dan industri makanan.
“Krisis kewangan telah menghakiskan lagi kuasa pembeli golongan miskin yang membelanjakan 50 hingga 70 peratus pendapatan mereka kepada makanan.
‘‘Pertumbuhan dalam pengeluaran makanan telah membeku ekoran kekurangan pelaburan dalam teknologi pertanian dan pembangunan luar bandar,’’ katanya.
Perdana Menteri berkata, pengeluaran bijirin global yang mengalami pertumbuhan purata tiga peratus pada tahun 60-an dan 70-an jatuh kepada satu peratus sejak 2000.
Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tugas semua pihak untuk mewujudkan usaha sama sektor awam - swasta yang berkesan sebagai langkah mengatasi krisis makanan. – Utusan
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com