Terkini

Showing posts with label Pusat kewangan Islam. Show all posts
Showing posts with label Pusat kewangan Islam. Show all posts

Saturday, 24 May 2014

Almaty Pusat Kewangan Islam

ASTANA (KAZAKHSTAN) 24 Mei- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan membantu Kazakhstan untuk menjadikan Almaty, ibu negara lama di bahagian selatan negara itu, sebagai sebuah pusat perbankan dan kewangan Islam.

Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia akan menghantar pasukannya ke Kazakhstan dalam waktu terdekat untuk membantu merealisasikan hasrat Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev dan Perdana Menteri, Karim Massimov untuk menggunakan kepakaran Malaysia dalam bidang itu.
"Mereka berdua (Nazarbayev dan Massimov) akui bahawa Malaysia merupakan pelopor dan negara utama dalam perbankan Islam dan kita mempunyai kelebihan, kita mempunyai kepakaran dan kita juga mempunyai produk-produk yang begitu meluas.

"Oleh itu, kedua-dua pemimpin ini mencadangkan supaya Malaysia membantu menjadikan Almaty sebagai pusat perbankan dan kewangan Islam di rantau ini,'' katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Kazakhstan.

Najib, yang diiringi isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke sini sejak Khamis dalam usaha meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Sambil menyifatkan lawatannya ke negara ini sebagai berhasil, Perdana Menteri memberitahu, kejayaan itu dilambangkan oleh suasana persahabatan yang amat akrab di antara kedua-dua pihak serta beberapa kesan yang telah dicapai dalam lawatan itu yang akan membuka peluang untuk Malaysia dan Kazakhstan meningkatkan lagi hubungan dua hala.

"Antara perkara yang kita bersetuju ialah potensi perdagangan antara kedua-dua negara, jumlah perdagangan antara dua negara ini perlu dilonjakkan kerana ia tidak mencerminkan potensi ekonomi antara kedua-dua negara kita.

"Tiga MoU yang telah ditandatangani iaitu satu untuk membina sebuah kilang LPG, satu untuk pembinaan sebuah kilang metanol dan satu lagi untuk penternakan lembu daging, yang bernilai kira-kira AS$1.1 bilion akan memberi peluang kepada usahawan-usahawan dari Malaysia untuk meneroka peluang di negara Kazakhstan ini, yang kaya dengan sumber asli yang banyak dan sudah tentu, ini akan dapat memperluaskan lagi peranan Malaysia di Kazakhstan dan di rantau ini," katanya.

Seperkara yang perlu diambil perhatian, kata Najib ialah bahawa pada 29 Mei ini akan termeterai satu `Customs Union' antara Kazakhstan, Belarus dan Russia yang membuka peluang kepada pasaran 170 juta penduduk dan jika usahawan Malaysia melabur di Kazakhstan, mereka akan mendapat peluang untuk mengeksport tanpa tarif ke dua buah negara yang lain.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Kazakhstan juga telah menggambarkan kesediaan untuk memberi peluang kepada syarikat minyak negara, Petronas untuk melabur dalam bidang minyak dan gas dari segi pengeluaran dan pelaburan dalam bidang hiliran termasuk petrokimia.

Najib seterusnya memberitahu, Malaysia turut menggalakkan lebih ramai pelajar dari Kazakhstan untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Malaysia.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 2,000 pelajar Kazakhstan yang sedang menuntut di Malaysia manakala kira-kira 2,000 lagi mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang bahasa.

Malaysia juga turut menjadi antara destinasi percutian yang digemari oleh rakyat Kazakhstan terutamanya di musim sejuk kerana suhu sejuknya yang terlalu ekstrim.

Astana merupakan ibu kota kedua paling sejuk di dunia dengan suhu paling rendah dicatat pada musim sejuk boleh mencapai -40 darjah celsius. Di musim panas suhunya boleh meningkat sehingga lebih 30 darjah celsius.

(Utusan Malaysia / 24 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 15 January 2009

Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia kerana negara itu hanya baru hendak memasarkan produk-produk kewangan Islam.
Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim menjelaskan, Singapura mempunyai perancangan giat untuk menjadikan negara tersebut sebagai pusat kewangan Islam dunia.
''Singapura bukan kuasa dunia yang sedang memonopoli sektor perbankan Islam, sebaliknya menggunakan kaedah pemasaran yang lebih menyeluruh berbanding negara-negara lain termasuk Malaysia sehingga dianggap sebagai pusat kewangan Islam.
''Di Singapura, sistem perbankan mereka menggunakan pengurusan kekayaan yang yang tidak diamalkan di tempat lain menyebabkan sistem pengurusannya lebih baik daripada negara-negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan kertas kerja yang bertajuk 'Kedudukan Semasa Kewangan Umat Islam di Malaysia' pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan dunia luar melihat Singapura sebagai pusat kewangan Islam walaupun negara tersebut hanya menggunakan kaedah tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia, sistem perbankan seharusnya memperkenalkan konsep yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.
''Dengan adanya kaedah tersebut, ia mampu memantau keadaan perbankan Islam di seluruh dunia serta memberi peluang pekerjaan dalam bidang perbankan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar Kementerian Luar Negeri, Nazirah Hussin memberitahu, ASEAN akan menjadi pemangkin untuk menjaga kebajikan umat Islam.
Katanya, di ASEAN terdapat seramai lebih 250 juta orang Islam yang perlu diberi perhatian dan kebajikan dari pelbagai aspek.
''Bagi menjaga kebajikan umat Islam di rantau ini, ASEAN mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat umat Islam sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi masyarakat tersebut," katanya.
Nazirah memberitahu, umat Islam di ASEAN mampu menjana pelbagai industri seperti penubuhan pusat kajian industri halal dunia di Indonesia.

(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 17 November 2008

Kewangan Islam alternatif berdaya maju kepada kewangan konvensional - Raja Nazrin


KUALA LUMPUR 17 Nov. — Krisis kewangan semasa menyediakan peluang untuk kewangan Islam menawarkan akternatif berdaya maju kepada kewangan konvensional dengan menawarkan para pelabur dengan kelas aset lain dan pasaran yang lebih stabil, titah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.
Baginda bertitah banyak yang diperkatakan sejak kebelakangan ini mengenai kewujudan order ekonomi antarabangsa yang berdaya maju.
“Beberapa pemimpin dunia menggesa supaya dilaksanakan Bretton Woods II (pengurusan kewangan yang diperkenalkan selepas Perang Dunia II). Wujud konsesus yang semakin meningkat bahawa kapatilisme yang tidak dikawal atur yang telah menjurus kita menghadapi krisis ini memerlukan penyusunan semula bagi menyediakan pemulihan dan kestabilan terhadap sistem kewangan.
“Kekuatan kewangan Islam berasal daripada perinsip syariah, yang juga merupakan prinsip perniagaan yang kukuh.
“Sistem syariah memerlukan transaksi kewangan yang disertai aktiviti pendasar yang peroduktif yang sekali gus menyediakan hubungan rapat antara kewangan dan aliran produktif,” titah baginda semasa melancarkan “Buku Panduan Pasaran Sukuk Malaysia — Panduan Anda Kepada Pasaran Modal Islam Malaysia,” di sini hari ini.
Raja Nazrin bertitah prinsip-prinsip syariah mencegah aktiviti levaraj dan spekualtif kewangan yang berlebihan yang sekaligus melindungi pihak-pihak yang terlibat daripada terlalu terdedah kepada risiko.
“Adalah baik untuk membuat spekulasi mengenai ke tahap mana krisis kewangan boleh dihindarkan, atau sekurang-kurangnya impaknya dapat dikurangkan, andai prinsip-prinsip kewangan Islam diamalkan secara meluas,” katanya.
Baginda bertitah kini sudah wujud kesedaran dan minat yang lebih mendalam di kalangan komuniti kewangan dunia terhadap merit kewangan Islam.
Raja Nazirn bertitah permintaan terhadap produk kewangan Islam dalam pasaran global juga semakin meningkat, melebihi bekalannya.
Raja Nazrin berkata sejak kebelakangan ini, “kami menyaksikan peluasan pesat industri perkhidmatan kewangan Islam.” “Hari ini, kewangan Islam merupakan komponen yang semakin diterima dalam sistem kewangan global.
“Pembabitan terus Malaysia dalam pembangunan kewangan Islam telah mengubah landskap kewangan secara signifikan di peringkat tempatan dan antarabangsa, menjadikan Malaysia sebagai pemimpin dalam perlumbaan antarabangsa menjadi pusat kewangan Islam,” katanya.
Beliau berkata semangat bertenaga serta dinamisme sistem kewangan Islam Malaysia hari ini dicerminkan menerusi inovasi produk berterusan, kepelbagaian institusi kewangan Islam, kawal aturan komprehensif dan infrastruktur perundangan, selain kesediaan bakat dan kepakaran kewangan Islam.
Raja Nazrin bertitah pasaran modal Islam di Malaysia hari ini menawarkan rangka produk borongan dan runcit yang luas seperti saham yang mematuhi prinsip-prinsip syariah, dana unit amanah Islam, dana dagangan pasaran Islam, pelaburan amanah hartanah yang mematuhi prinsip syariah, produk berstruktur dan derivatif.
“Produk-produk kewangan bertaraf dunia ini tersedia dalam mata wang ringgit dan bukan ringgit,” katanya.
Mengenai sukuk, beliau berkata Malaysia tidak sahaja mencipta produk industri yang “pertama”, malah berjaya membangunkan pasaran yang kukuh dan mudah tunai yang banyak.
“Kita boleh berbangga kerana mempunyai pasaran sukuk terbesar dan paling inovatif di dunia.
“Pada akhir 2007, jumlah sukuk dari Malaysia berjumlah RM213 bilion (AS$62 bilion), menyumbang 68.9 peratus daripada keseluruhan sukuk global” katanya.
Pada tahun yang sama, Raja Nazrin bertitah sukuk terbesar dunia, berjumlah RM15 bilion (AS$5 bilion) dikumpul dalam pasaran sukuk Malaysia.
“Berikutan liberalisasi peraturan pentadbiran tukaran asing, beberapa bank pembangunan luar, agensi kuasi asing dan perbadanan multinasional sudah menyertai perbadanan-perbadan tempatan dalam meneroka pasaran sukuk tempatan untuk mendapatkan dana,” katanya.
Baginda bertitah pertumbuhan pesat pasaran sukuk sungguh menyakinkan.
“Sebagai perintis, Malaysia telah menetapkan standard dan menawarkan kepimpinan menerusi teladan bagi banyak perkara,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah buku panduan oleh RAM Ratings itu berperanan sebagai panduan kepada institusi dan profesional, terutama komuniti antarabangsa yang berminat untuk mengambil peluang sepenuhnya terhadap pasaran modal Malaysia kerana mewujudkan dan melaksanakan transaksi dalam sukuk.
— BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 4 July 2008

MIFC dipilih pusat kewangan Islam terbaik dunia

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) telah dipilih sebagai 'Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Terbaik' di Anugerah Tahunan Kecemerlangan Persidangan Sukuk London Kedua.
Bagaimanapun, anugerah yang paling menyerlah pada petang itu ialah anugerah khas untuk Sumbangan Cemerlang kepada Pembangunan Kewangan Islam Global yang diberikan kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Jaafar Hussein.
Jaafar memegang tampuk gabenor dari Jun 1985 sehingga Mei 1994 dan amat terkenal pada lewat 80-an dengan impiannya untuk melihat sistem perbankan Islam beroperasi seiring dengan sistem konvensional.
Sekretariat Anugerah dalam satu kenyataan berkata Jaafar secara realitinya adalah arkitek kepada sistem kewangan Islam Malaysia moden.
Majlis yang diadakan pada 25 Jun itu adalah untuk mengiktiraf pengawal selia dan tokoh bank yang telah memberi sumbangan hebat kepada perbankan Islam dan perkembangan kewangan sejak tiga dekad lepas.
Sejumlah 14 anugerah telah disampaikan dan ia termasuk satu untuk Adnan A. Al Musallam, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Investment Dar di Kuwait.
Beliau terkenal kerana Kepimpinannya yang Cemerlang dalam Kewangan Islam.
Adnan memulakan kerjayanya dalam perbankan Islam pada tahun 70an di Kuwait Finance House dan dalam tahun-tahun ini, telah melatih beberapa generasi kanan tokoh bank Islam di Kuwait.
- Bernama
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 10 March 2008

BIBD, Brunei - Pusat Kewangan Islam Yang Dinamik


Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) telah pun mencapai beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan dalam masa yang singkat. BIBD terbit daripada gabunggan dua buah bank Islam di negara ini - Bank Islam Brunei Berhad (IBB) dan Bank Pembangunan Islam Brunei Berhad (IDBB). Sejak penggabungannya 3 Julai 2006, BIBD telah berhasil menempa nama yang amat gemilang dalam sektor perbankan di Negara Brunei Darussalam.

Bagi memacu kemajuan dan perkembangan yang lebih progresif dan produktif, beberapa strategi dirancang penuh rapi bagi merealisasikan hala tuju yang hendak dicapai untuk menjadikan BIBD sebagai sebuah bank Islam yang dihormati di arena antarabangsa.

Lebih jauh dari itu, 'target' utama ialah untuk memenuhi aspirasi negara menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam yang dinamik di rantau ini. Dengan reputasinya sebagai bank yang berorientasikan kewangan Islam, kita penuh optimis, BIBD akan bergerak serta melangkah lebih jauh dalam memenuhi cita-cita negara sebagai pusat kewangan Islam yang progresif, berdaya maju dan inovatif. Di samping berupaya untuk bersaing dengan bank-bank Islam bertaraf dunia yang kini melebihi jumlah 50 buah di seluruh dunia.

Sesungguhnya, inilah sebenarnya yang menjadi impian pemimpin kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan BIBD amnya dan negara khasnya sebagai pusat kewangan Islam global.

Ini bertepatan dengan titah baginda di Istiadat Mengadap sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-59 Tahun pada 15 Julai 2005 yang lalu. Antara lain baginda bertitah menegaskan:
"Penggabungan IBB dan IDBB adalah dianggap selaras dengan trend global masa kini di mana beberapa buah bank dapat bergabung untuk mengukuhkan keupayaan dan daya saing, bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat antarabangsa."

Dengan wawasan baginda mewujudkan BIBD, bank berkenaan dalam jangka tempoh masa tujuh bulan telah menempa beberapa kejayaan. Kejayaan yang dilalui oleh BIBD ada hasil daripada objektif perniagaan yang pragmatik serta hala tuju yang dinamik dan mencabar.

Kejayaan mutakhir yang merupakan mercu kemajuan memberangsangkan telah dicapai pada awal Januari 2007 bila mana BIBD telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) bagi pembiayaan pesawat-pesawat baru.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdullah yang juga selaku Pengerusi BIBD semasa berucap merasmikan Cawangan BIBD, Kampong Tanjung Bunut baru-baru ini menekankan bahawa bank tempatan mampu menyediakan pembiayaan kewangan kompetitif dan sekali gus bersaing dengan para bank asing.
BIBD sebelum itu juga berjaya dengan penerbitan Sukuk Al-Ijarah BLNG yang bernilai $100 juta pada 23 Ogos 2006 dalam mana bank berkenaan telah diberikan kepercayaan oleh Syarikat Minyak Gas Cecair Asli (BLNG) untuk menjadi penaja dan 'lead arranger' bagi penerbitan sukuk berkenaan.

Bank berkenaan juga mendapat kepercayaan daripada Kementerian Kewangan untuk menjadi 'lead manager' bagi pengeluaran Sukuk Al-Ijarah kerajaan bagi jangka pendek yang bernilai B$120 juta.

Dengan kerjasama Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) dan Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, BIBD telah melancarkan perkhidmatan kad inden elektronik bagi memberikan kemudahan perbelanjaan pembelian minyak dan produk-produk yang terdapat di stesen-stesen minyak seluruh negara. Kad yang julung-julung kalinya diperkenalkan itu menggantikan sistem pembayaran manual kad inden kerajaan yang konvesional dan menimbulkan banyak masalah serta tidak sesuai dengan peredaran teknologi masa kini.

Berdasarkan strategi perbankan yang pragmatik, bank tersebut telah berhasil mencapai keuntungan yang amat baik sepanjang tahun 2006. Kita merasa yakin, BIBD mampu menjadi pusat kewangan Islam yang bertaraf antarabangsa di masa mendatang. Dalam masa yang sama, kita juga akan berhasil menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat kewangan Islam yang dinamik. Walau bagaimanapun, kejayaan itu tidak akan menjelma sekelip mata serta dibangunkan sehari dua, tetapi memerlukan usaha yang lebih gigih, penuh tekad dan iltizam serta komitmen berterusan dari warga kerja bank berkenaan. --(PelitaBruei)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com