Terkini

Thursday 15 January 2009

Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia kerana negara itu hanya baru hendak memasarkan produk-produk kewangan Islam.
Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim menjelaskan, Singapura mempunyai perancangan giat untuk menjadikan negara tersebut sebagai pusat kewangan Islam dunia.
''Singapura bukan kuasa dunia yang sedang memonopoli sektor perbankan Islam, sebaliknya menggunakan kaedah pemasaran yang lebih menyeluruh berbanding negara-negara lain termasuk Malaysia sehingga dianggap sebagai pusat kewangan Islam.
''Di Singapura, sistem perbankan mereka menggunakan pengurusan kekayaan yang yang tidak diamalkan di tempat lain menyebabkan sistem pengurusannya lebih baik daripada negara-negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan kertas kerja yang bertajuk 'Kedudukan Semasa Kewangan Umat Islam di Malaysia' pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan dunia luar melihat Singapura sebagai pusat kewangan Islam walaupun negara tersebut hanya menggunakan kaedah tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia, sistem perbankan seharusnya memperkenalkan konsep yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.
''Dengan adanya kaedah tersebut, ia mampu memantau keadaan perbankan Islam di seluruh dunia serta memberi peluang pekerjaan dalam bidang perbankan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar Kementerian Luar Negeri, Nazirah Hussin memberitahu, ASEAN akan menjadi pemangkin untuk menjaga kebajikan umat Islam.
Katanya, di ASEAN terdapat seramai lebih 250 juta orang Islam yang perlu diberi perhatian dan kebajikan dari pelbagai aspek.
''Bagi menjaga kebajikan umat Islam di rantau ini, ASEAN mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat umat Islam sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi masyarakat tersebut," katanya.
Nazirah memberitahu, umat Islam di ASEAN mampu menjana pelbagai industri seperti penubuhan pusat kajian industri halal dunia di Indonesia.

(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment