Terkini

Showing posts with label pengurusan hutang. Show all posts
Showing posts with label pengurusan hutang. Show all posts

Monday, 23 September 2013

Hutang mengikut perspektif Islam

Berikut sambungan ucaptama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam seminar Maqasid Syariah, Isu-isu Kepenggunaan: Realiti dan Cabaran yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada 22 September 2013.

ii) Hutang dari perspektif Islam

Perspektif Islam berkenaan hutang dapat difahami dengan jelas jika kita merujuk hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis Rasulullah SAW bermaksud:
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/28)

Di dalam satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, ALLAH akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, ALLAH akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83)

Islam juga melihat hutang sebagai sesuatu yang membahayakan individu dan umat Islam. Ini dapat dilihat dari doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:
“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa tuan sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” (Riwayat al-Bukhari, 1/214)

Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: Ya ALLAH, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya, “Apakah tuan menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?, “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat an-Nasaie, 2/316, Ahmad, 3/38, al-Hakim berkata, sahih dan disepakati oleh az-Zahabi, menurut Albani: Dhaif)

Berhutang dari perspektif Islam adalah perkara yang tidak baik dan perlu dijauhi, kecuali dalam keadaan kesempitan yang amat sangat. Namun, sekarang kita dapati industri perbankan, termasuk sektor perbankan Islam, amat menggalakkan budaya berhutang. Akibat aktiviti mereka yang ingin berkembang, tahap hutang masyarakat menjadi bertambah.

iii) Peningkatan hutang isi rumah di Malaysia
Data menunjukkan tahap dan tren hutang isi rumah di Malaysia sedang meningkat dari setahun ke setahun. Menurut laporan Bank Negara, hutang isi rumah di negara kita telah meningkat selama 10 tahun berturut-turut pada kadar tahunan sebanyak 12.5 peratus pada Disember 2011. Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar negara adalah 76.6 peratus.

Malah, hampir 50 peratus daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membiayai bebanan hutang. Berbanding negara lain, Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan bersih yang tertinggi.

Maka, tidak hairanlah jika fenomena permasalahan hutang akan meningkat dalam kalangan orang Islam walaupun mereka peka berkenaan isu halal dan haram. Meskipun sebenarnya hutang mereka adalah halal, namun ianya tetap hutang dan jika bertambah, bahayanya tidak jauh berbeza dengan keadaan hutang haram.

Jika masyarakat kita mempunyai sikap konsumerisme yang tinggi, ia akan lebih mudah bagi sektor perbankan Islam mencapai strategi perniagaan untuk menambah jumlah masyarakat yang berhutang. Ini sudah tentu bertentangan dengan matlamat dakwah dan tarbiah Islam.

iv) Fenomena kahwin lambat
Perkahwinan adalah antara aspek yang melibatkan kebendaan dan kepenggunaan. Soalnya, fenomena kahwin lambat ini berlaku kerana maqasid syariah yang sewajarnya tidak diutamakan.

Disebabkan terikut-ikut dengan budaya semasa dan sikap bermegah dalam mengatur majlis perkahwinan menyebabkan kos majlis menjadi terlalu mahal dan membebankan.

Ini termasuklah nilai hantaran yang melambung tinggi dan belanja perkahwinan yang melampaui kadar munasabah menyebabkan maqasid syariah untuk mencapai tujuan perkahwinan itu disyariatkan tidak tercapai. Sebagai jalan mudah untuk keluar dari masalah ini ialah dengan berhutang.

Antara faktor utama menyumbang kepada kahwin lambat ialah kestabilan. Selain itu, faktor kepentingan kerjaya yang berkait rapat dengan kebendaan turut mempengaruhi kahwin lewat. Sementara itu, 30 peratus daripada mereka yang belum berkahwin berpendapat kerjaya adalah segala-galanya.

Sedangkan dalam tuntutan perkahwinan, antara maqasid syariah yang dapat dikenal pasti ialah untuk mengelakkan gejala sosial selain membina zuriat Muslim bagi kelangsungan umat. Jika kahwin lambat jadi tren, pasti sukar memenuhi tujuan syarak tentang perkahwinan.

Cabaran mewujudkan halal living menuntut komitmen besar semua pihak dan  perkara penting  yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan halal living:
l    Menyempurnakan misi kehambaan dan kekhalifahan sepanjang aktiviti kepenggunaan.
l    Menjadikan aktiviti kepenggunaan sehari-hari sebagai ibadah.
l    Memanfaatkan sumber kepenggunaan sebaik mungkin.
l    Menjalani gaya hidup sihat berdasarkan tingkat keperluan dan kemampuan.
l    Mengutamakan matlamat kepenggunaan jangka panjang berbanding jangka pendek.
l    Menggiatkan promosi halal living melalui proses bimbingan dan pendidikan.
l    Menggubal undang-undang mesra pengguna.
l    Menguatkuasakan akta dan undang-undang sedia ada.

Rumusan dan Kesimpulan

a.    Di peringkat pengguna: Pengguna berhak diberi perlindungan berikut:-
l    Melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan keselamatan.
l    Melindungi kepentingan ekonomi pengguna.
l    Menyalurkan maklumat dan penerangan yang mencukupi agar pengguna dapat buat keputusan secara bertanggungjawab.
l    Memperoleh ganti rugi yang murah, efektif dan cepat.
l    Mendidik pengguna secara meluas dalam isu kepenggunaan.
l    Memelihara alam sekeliling pengguna
l    Memberi kebebasan dan kesejahteraan kepada pengguna.

b.    Di peringkat agensi:
l    Penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan pemantauan ketat Bank Negara terhadap institusi kewangan dalam soal pemberian pinjaman.
l    Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) harus berperanan lebih agresif dalam meningkatkan khidmat nasihat kewangan dan bantuan penstrukturan semula hutang dalam usaha menggalakkan pengurusan kewangan berhemat dan meningkatkan tahap celik kewangan.
l    AKPK juga perlu meneruskan usaha menganjurkan taklimat dan pameran di seluruh negara bagi pelbagai kumpulan sasar.
l    AKPK perlu lebih dinamik dalam memberikan kaunseling kewangan kepada individu dan membantu penstrukturan bayaran balik hutang melalui Program Pengurusan Hutang.

c.    Lain-lainnya:
l    Usaha perlu digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam, khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.
l    Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan.

Sebagai kesimpulan, kami ingin menyebutkan langkah utama ke arah memperkasakan masyarakat Islam dalam bidang ekonomi tidak seharusnya dilihat semata-mata dengan memperkukuhkan sektor perbankan Islam. Sebaliknya, kita juga harus menekankan aspek untuk merubah nilai masyarakat Islam supaya tidak terlampau mengejar kebendaan tetapi mengejar kejayaan akhirat dengan menambahkan ketakwaan mereka. (Sinar/23 Sep 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 2 June 2013

Gagal rancang kewangan punca berhutang

KUALA LUMPUR - Perancangan kewangan yang lemah dan tabiat berbelanja yang tidak mengikut kemampuan diri merupakan faktor utama penyebab masalah hutang serta ketidakupayaan membayar balik pinjaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Koid Swee Lian.
   
Beliau berkata daripada 90,807 peminjam yang dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) AKPK bagi tempoh 2007 hingga 31 Mei lalu, 20,886 atau 23 peratus merupakan golongan yang memiliki perancangan kewangan lemah.
   
Katanya 18,161 atau 20 peratus lagi berhutang disebabkan perbelanjaan perubatan yang tinggi; lain-lain (17,253/19 peratus); masalah atau kegagalan perniagaan (13,621/15 peratus); gagal mengawal penggunaan kad kredit (9,989/11 peratus); kehilangan pekerjaan (9,081/10 peratus); manakala kematian atau hilang punca pencari nafkah dan kegagalan dalam pelaburan masing-masing (908/satu peratus).
   
"Sepanjang tempoh yang sama iaitu dari 2007 hingga 31 Mei 2013, seramai 222,942 peminjam datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling, tapi daripada jumlah itu hanya 90,807 yang menyertai DMP kami," katanya kepada Bernama.
   
Swee Lian berkata sehingga 31 Mei lepas, 3,591 peminjam berjaya keluar daripada DMP dengan jumlah hutang diselesaikan RM130.05 juta.
 
Menurut Swee Lian, peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk menstruktur pelbagai jenis pinjaman termasuk pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, atau baki tertunggak kad kredit yang diperoleh daripada penyedia kewangan.
   
Bagaimanapun, untuk menyertai DMP yang disediakan AKPK, seseorang peminjam antara lain mestilah tidak berhutang melebihi RM2 juta; tidak diisytihar muflis; tidak mempunyai surat saman atau mahkamah dan memiliki pendapatan boleh guna mencukupi.
   
"Apapun AKPK tetap akan bantu tapi lebih kepada nasihat...misalnya jika peminjam ada lebih daripada sebuah kereta kita mungkin nasihatkan mereka supaya jual sebuah," katanya.
   
Katanya tujuan utama AKPK menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan kewangan yang direka khas ialah untuk membantu setiap individu belajar mengawal semula keadaan kewangan dan memupuk tabit penggunaan kredit secara bijak.
    
"Melalui kesedaran dan pendidikan tentang cara menguruskan hutang secara berkesan, AKPK berharap ia dapat mengurangkan isu-isu berkaitan kewangan yang dihadapi oleh sektor isi rumah Malaysia," katanya.
   
Swee Lian berkata individu yang mempunyai masalah hutang atau kesukaran menyelesaikan pinjaman tidak seharusnya malu untuk datang ke AKPK kerana ia lebih baik daripada diistiharkan muflis atau harta benda dirampas.
   
Selain itu semua perkhidmatan yang ditawarkan AKPK adalah percuma.  - Bernama/2 Julai 2013

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 28 November 2009

Hutang: Keperluan atau pelengkap

BERHUTANG memang seronok dan mudah untuk melakukannya tetapi jika ia tidak dilakukan dengan cara yang betul kesannya boleh membawa derita sepanjang hidup.

Tidak dinafikan ada keadaan tertentu berhutang adalah suatu keperluan, namun yang peliknya ada yang suka berhutang walaupun tidak mempunyai sebarang keperluan.

Tabiat suka berhutang ini barangkali dapat digambarkan menerusi satu laporan www.sabahdaily.com, bahawa perangkaan Bank Negara menunjukkan sebanyak 11 juta kad kredit digunakan di seluruh negara sehingga April 2009 membabitkan had RM105.5 bilion dan dengan purata empat kad seorang, baki tertunggak belum dijelaskan setakat April lalu ialah RM22 bilion.

Maka tidak hairanlah seperti yang dilaporkan bahawa jumlah pemegang kad kredit yang muflis semakin meningkat saban tahun.

Tabiat suka berhutang kerana ingin memenuhi kehendak atau keinginan atau tanpa ada sebarang keperluan adalah satu tabiat yang buruk dalam berhutang dan tabiat ini perlu dibendung.

Berlandaskan dalil-dalil daripada hadis Rasulullah, aktiviti berhutang ini walaupun dibenarkan oleh Islam namun ia adalah suatu aktiviti yang tidak digalakkan. Di antara ayat al-Quran yang paling panjang berkenaan dengan hutang adalah ayat 282 surah al-Baqarah yang menggambarkan amalan hutang ini adalah perkara yang sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.

Hutang jika tidak diurus dengan baik mungkin enaknya sementara tetapi yang pasti akan menjadi malapetaka di akhirat sebagaimana yang boleh kita fahami daripada ingatan-ingatan Rasulullah SAW berikut.

Nabi SAW bersabda ertinya: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim).

Lebih dahsyat lagi apabila ada di kalangan yang berhutang itu awal-awal lagi memasang niat tidak mahu membayar balik hutang berkenaan.

Sabda Nabi SAW, ertinya: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat al-Bukhari).

Rasulullah juga selalu berdoa berlindung daripada tabiat buruk dalam berhutang kerana dari tabiat suka berhutang ini akan membawa kepada sifat-sifat tercela yang lain.

Sabda Baginda ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada perbuatan dosa dan mempunyai bebanan hutang. Apabila ditanya kenapa baginda banyak memohon perlindungan kepada Allah dari mempunyai bebanan hutang, Baginda bersabda: "Sesungguhnya seseorang itu jika mempunyai hutang, maka kalau ia berbicara tentu ia suka berdusta dan jika ia berjanji tentu ia tidak menepatinya". (riwayat Bukhari)

Islam memberi amaran supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada kepada tabiat berhutang ini kerana jika tidak dikawal ia boleh memberi kesan yang buruk sama ada kepada individu berkenaan mahupun kepada masyarakat.

Di antara kesan kepada individu sebagaimana yang disebut Al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jaami' li Ahkaam al-Qur'aan akan menyebabkan seseorang itu merasa terhina, berdusta, mungkir janji dan lebih buruk lagi disekat daripada memasuki syurga.

Kesan kepada masyarakat pula ialah wujudnya keinginan kepada kepuasan segera tanpa memikirkan masa hadapan, menghakis rasa kebertanggungjawaban dan lemahnya pengagihan kekayaan.

Dari sudut hukum, hutang pada asalnya adalah harus. Namun status ini boleh berubah mengikut senario.

Hukum berhutang boleh menjadi wajib apabila niat berhutang tersebut untuk memenuhi keperluan asas yang dharuri yang jika tidak berhutang akan menyebabkan lima perkara asas yang dilindungi dalam Islam akan musnah iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

Walaubagaimanapun, hukum berhutang ini boleh menjadi haram jika tujuan berhutang tersebut untuk perkara yang diharamkan oleh Islam.

Keharusan untuk berhutang dalam Islam bergantung kepada niat. Islam membenarkan berhutang pada keperluan-keperluan hidup yang asasi yang tidak dapat dielakkan. Ini bermakna kalau tiada keperluan maka tidak perlu berhutang.

Bila kita berhutang pada perkara yang tidak perlu dan belum sangat mendesak, sebenarnya kita telah menzalimi diri kita sendiri. (Ustaz Amaluddin Mohd Napiah,www.galeriilmu.com.my)

Berhutang dibenarkan dalam Islam apabila ia menjadi satu keperluan dan bukan kerana keinginan atau kehendak. Untuk menentukan ia suatu keperluan atau kehendak maka memahami aulawiyat (keutamaan) dalam kehidupan adalah sangat penting.

Menurut Al Sheikh Dr. Yusof Al Qardawi memahami aulawiyat itu didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan.

Kehidupan manusia dewasa ini semakin mencabar dan keperluan hidup mereka juga semakin kompleks. Memahami dan menentukan keutamaan dalam kehidupan merupakan satu subjek yang sangat penting.

Bijaksana dalam menguruskan keperluan hidup menjadi asas penting seseorang itu akan dapat menikmati kebahagiaan hakiki. Tingkatan keperluan dalam kehidupan seseorang itu berkisar kepada perkara dharuriyyat (sangat perlu), perkara hajiyyat (memudahkan) dan perkara tahsiniyyat (aksesori).

Perkara dharuriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan dan jika tiada akan menghancurkan kehidupan. Untuk memahami tahap keperluan tersebut ialah dengan melihat jika perkara itu tidak ada maka adakah ia akan merosakkan lima perkara asas yang dijamin oleh Islam iaitu adakah akan merosakkan agama, menghilangkan nyawa, merosakkan akal, mencemarkan maruah (keturunan) atau memusnahkan harta benda.

Jika tidak sampai ke tahap sedemikian maka ia bukanlah suatu perkara yang sangat perlu.

Perkara hajiyyat adalah sekiranya perkara tersebut ada maka akan memudahkan seperti memiliki kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Walaupun tiada kenderaan sendiri masih boleh pergi ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan awam tetapi jika mempunyai kenderaan sendiri maka akan lebih memudahkan.

Perkara tahsiniyyat pula lebih berbentuk perkara-perkara yang menjadi nilai tambah yang jika tidak ada tidak akan menghancurkan kehidupan atau menyusahkan. Seperti memiliki tempat tinggal ada satu keperluan dharuri tetapi kediaman yang dihiasi dengan landskap adalah bersifat tahsiniyat yang hanya menambah kecantikan kediaman itu sahaja.

Dengan membuat analisis terhadap tingkatan keperluan dalam hidup akan membantu seseorang itu membuat perancangan kewangan yang betul seterusnya dapat menentukan apakah keutamaan dalam hidupnya.

Beliau akan dapat menentukan apa yang perlu didahulukan, apa yang boleh ditangguhkan, apa yang lebih penting dan sebagainya.

Tip-tip oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) berikut mungkin dapat membantu lebih memahami apakah prinsip yang perlu dipatuhi apabila hendak membuat pinjaman atau berhutang. (www.akpk.org.my)

Anda hanya perlu meminjam untuk sesuatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya.

Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak dan untuk membeli sebuah kereta (akan bincangkan hal ini kemudian).

Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik. Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa.

Ramai yang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal.

Namun, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan.

Elakkan meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai. Ini mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah orang tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Cuba dapatkan barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli.

Dewasa ini instrumen berhutang terbuka luas dan banyak ditawarkan dalam pasaran sama ada oleh institusi kewangan yang sah seperti bank mahupun oleh institusi yang tidak sah seperti 'ah long'.

Secara umumnya masyarakat hari ini banyak berhutang menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan. Perlu disedari seluruh jenis pinjaman sama ada menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan yang dilakukan secara konvensional adalah diharamkan oleh Islam sebagaimana yang disepakati oleh seluruh ulama.

Oleh itu, jika seseorang perlu berhutang maka hendaklah dia memastikan kaedah berhutang tersebut mengikut cara yang dibenarkan oleh Islam iaitu sama ada secara qard hasan (pinjaman tanpa faedah) atau menerusi fasiliti pembiayaan kewangan secara Islam yang berlandaskan jual beli yang sah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Hutang adalah satu kewajipan yang perlu dilangsaikan. Walaupun tidak dituntut, membayar hutang adalah wajib dan jangan menangguh-nangguhkan pembayaran balik hutang.

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 22 February 2008

Pendekatan Islam Dalam Pengurusan Hutang

Oleh Muhammad Hisyam bin Mohamad


Seorang penulis iaitu Jon Hanson dalam bukunya yang bertajuk Good Debt, Bad Debt telah mengibaratkan hutang sebagai kolesterol. Seperti kolesterol, hutang jika terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada individu, malah ada kalanya ia boleh membunuh. Secara kasarnya apa yang dinyatakan oleh penulis ini ada kebenarannya. Kes-kes jenayah yang berkaitan dengan kegiatan along seperti ugutan, bunuh diri dan sebagainya merupakan antara kesan-kesan buruk yang timbul akibat tabiat suka berhutang. Ini tidak termasuk dengan kes-kes mereka yang diisytiharkan muflis kerana gagal melunaskan hutang di institusi kewangan dan perbankan.


Memang tidak dinafikan, ada kalanya kita perlu berhutang. Kebanyakan kita membeli rumah atau kereta secara pinjaman. Begitu juga untuk pembiayaan pendidikan atau modal perniagaan. Jadi berhutang untuk tujuan yang dinyatakan di atas adalah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita.


Malah penulis berpendapat ia bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana rumah, pendidikan, kenderaan dan peniagaan (pekerjaan) yang berdaya saing merupakan keperluan utama manusia. Akan tetapi apabila kita berhutang untuk perkara yang tidak perlu atau untuk tujuan yang tidak mendatangkan manfaat, maka kita sebenarnya telah menjerumuskan diri ke dalam satu kemelut kehidupan. Kemelut ini ada kaitan dengan masalah kebebasan dan masa. Orang yang dibebani hutang akan hilang kebebasan kerana jika dia bekerja, pendapatan yang diperolehi terpaksa digunakan untuk membayar hutang. Jadi dia hilang kebebasan untuk menggunakan wang tadi bagi melakukan apa yang diingininya. Ibarat seorang banduan yang menjalani program pelepasan-kerja penjara (prison work release program), orang yang berhutang akan merasakan bahawa fikirannya terpenjara akibat bebanan kewangan tadi. Selain hilang kebebasan, orang yang dibelenggu hutang juga hilang nikmat penggunaan masa untuk tujuan rehat, bersama keluarga dan sebagainya. Kebanyakan masanya akan dihabiskan untuk bekerja bagi membayar hutang. Dalam Islam, tidak ada nas yang menyarankan kita supaya berhutang. Walau bagaimanapun ada ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi yang menunjukkan bahawa tidak salah jika kita hendak berhutang. Malah dalam bab-bab berhutang ini Islam lebih dahulu membuat garis panduan dan yang paling jelas ialah tentang keperluan untuk menulis atau merekodkan hutang. Ini jelas melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 282. Walaupun ayat berkenaan berkaitan dengan keperluan merekod hutang piutang tetapi ia secara jelas juga menunjukkan kepada kita bahawa tidak salah jika kita ingin membuat transaksi atau berjual beli secara berhutang.Selain daripada al-Quran, ada hadis-hadis yang menunjukkan tentang perihal hutang daripada kewajipan membayarnya hinggalah kepada adab si pemiutang bila hendak mendapatkan balik hutangnya. Persoalan tentang hutang ini sebenarnya ada kaitan rapat dengan dua persoalan iaitu taraf ekonomi seseorang dan keduanya corak perbelanjaannya. Tidak semua manusia dilahirkan kaya kerana ada di antara kita yang sederhana dan ada yang kurang bernasib baik.Bagi yang kurang bernasib baik dan tiada pilihan yang boleh diambil, mungkin mereka terpaksa menggunakan pendekatan berhutang untuk memenuhi keperluan harian mereka. Dalam hal ini mungkin dia terpaksa berhutang untuk membeli barang-barang yang menjadi keperluan asas harian seperti berhutang untuk membeli makanan, perubatan, tujuan pendidikan dan sebagainya. Di sini ada keharusan baginya untuk berbuat demikian.Seterusnya kita boleh kaitkan keharusan untuk berhutang bagi memenuhi keperluan asas ini dengan tujuan perundangan (maqasid al-syariah) itu sendiri iaitu untuk menjaga maslahah atau kepentingan /kebaikan ummah.Jika matlamat perundangan Islam dikaitkan dengan faham daruriyyat (keperluan asas), hajiyyat (keperluan biasa) dan tahsinat (perhiasan), maka dalam bab yang berkaitan dengan hutang ini (tujuan berhutang), kita boleh kaitkan juga dengan faham ini. Justeru itu jika kita berhutang untuk memenuhi matlamat yang digariskan di bawah keperluan asas, maka penulis merasakan tidak ada sebab untuk kita mengatakannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama. Contohnya seseorang itu berhutang untuk tujuan perubatan atau pendidikan. Sebagaimana yang kita tahu perubatan bertujuan untuk menjaga nyawa. Begitu juga dengan pendidikan yang bertujuan untuk menjaga dan memperkasakan akal. Kedua-dua ini merupakan sesuatu yang dituntut oleh syarak.Apa yang menjadi masalah sekarang yang dikaitkan dengan jenayah along atau kes muflis ialah berhutang untuk tujuan yang kurang baik seperti berjudi, bergaya atau menunjuk-nunjuk. Dengan kata lain, bila kita berhutang tak kena pada tempatnya atau berhutang untuk perkara yang tidak perlu atau mendesak, maka kita sebenarnya telah menempah kesusahan. Kenyataan ini bertepatan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud:"Berhati-hati dengan hutang, sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) di siang hari." Selain daripada taraf ekonomi, tabiat berhutang juga ada hubung kait dengan cara kita berbelanja. Sebab itu kita disarankan agar berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan bukannya mengikut perasaan. Dalam agama Islam amnya, sebarang perbelanjaan perlu menjurus kepada dua matlamat utama iaitu berbelanja di jalan Allah (al-infaq fi sabilillah) seperti mengeluarkan perbelanjaan untuk zakat; dan perbelanjaan untuk diri sendiri dan keluarga seperti perbelanjaan penyediaan makan, minum, tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.Sebaik-baik corak perbelanjaan ialah bersederhana, iaitu tidak terlalu bermewah-mewah dan tidak terlalu kedekut atau bakhil. Inilah yang disarankan oleh Al-Quran menerusi firman Allah taala dalam surah Al-Furqan ayat ke-67.Di samping dua matlamat utama perbelanjaan ini, kita juga boleh menjadikan faham maslahah sebagai panduan kita semasa berbelanja. Faham ini ada kaitan dengan tujuan perundangan dalam Islam iaitu untuk menjaga agama, jiwa, keturunan, harta dan akal. Jadi perbelanjaan yang baik ialah kita berbelanja untuk mencapai kelima-lima matlamat yang digariskan oleh syarak tadi.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com