Terkini

Saturday, 28 November 2009

Hukum insurans nyawa dalam Islam


Persoalan insuran telah menarik minat ramai cerdik pandai Islam untuk mengutarakan pandangan mereka mengenai hukumnya. Tidak dapat dinafikan, ulama’ memang berbeza pendapat di dalam hal ini. Ada yang mengatakan haram dan ada juga yang menganngapnya harus di sisi syara’. Untuk melihat persoalan ini, didatangkan pandangan mengenai insuran nyawa konvensional dan syarikat takaful.

Perbahasan Insuran Nyawa Konvensional

Secara am insuran ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli untuk mewujudkan satu tabung atau dana kewangan bersama yang khusus bagi tujuan membantu ahli ketika ditimpa musibah. Amalan seumpama ini selaras dengan tuntutan Islam. Kerjasama, saling bantu membantu dan prihatin kepada golongan yang memerlukan bantuan kerana seperti yang tersirat dalam konsep insuran adalah selari dengan tuntutan Islam, sebagaimana maksud hadis yang berbunyi:

“Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia” (Riwayat Ibnu Majah).

Konsep insuran sudah lama dipraktikkan. Dalam zaman Jahiliyyah ia adalah antara beberapa bentuk amalan kerjasama dikalangan puak atau suku kaum Arab sebagai strategi mambantu sesama mereka apabila ada anggota atau ahli yang menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan, rompakan dan sebagainya. Malahan kini diperakui bahawa insuran telah berkembang daripada amalan Islam. Walaubagaimanapun ulama umumnya sepakat bahawa operasi insuran dalam bentuknya sekarang tidak menepati hukum syarak. Jika konsep insuran diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam pelbagai jenis polisi yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang didiapati bercanggah dengan kehendak syarak.

Walaupun konsep insurans sudah lama dipraktikkan, tetapi para fuqaha’ zaman dahulu tidak membincangkan secara langsung mengenai hukum membabitkan diri dalam sistem ini. Kebanyakan pandangan dan hukum mengenai insuran ini dibahaskan oleh para fuqaha’ mu‘asar (masa kini). Ia juga tidak dikategorikan sebagai sunnah Rasul SAW.

Jawatankuasa Fatwa, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan, dalam mesyuarat pada 15 Jun 1972, memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana dijalankan oleh syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah suatu muamalat yang fasid kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam dari segi aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik; yang mana hukumnya menurut syariat Islam adalah HARAM. Selain itu, Kesatuan Fiqh Islam (Majma’ Fiqh) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama’ dari seluruh dunia Islam termasuk Malaysia dan diasaskan dibawah Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22-28 Disember 1995 memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insurans, bahawa kontrak perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans mengandungi unsur yang membawa kepada fasid.

Jelas, menurut Majma’ Fiqh, ia HARAM di sisi syarak. Daripada kedua-dua keputusan, ini jelas menunjukkan ulama’ sependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Ini kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad jual beli. Di bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insurans yang menjual polisi insurans yang menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri. Jual beli dalam Islam mempunyai rukun tertentu. Sekiranya salah satu rukun itu tidak dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.

Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan ma’qud ‘alaih (apa yang diakadkan). Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah jelas dan tidak mengadungi unsur ‘gharar’. Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka akad jual beli menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah SAW mengikut sabda baginda yang bermaksud:

“Rasulullah SAW melarang jual beli secara baling batu (al-hasah) dan jual beli barang yang tidak pasti (al-gharar) ” (Riwayat Muslim).

Sehubungan itu, ulama’ menjelaskan maksud gharar dalam salah satu daripada tiga keadaan berikut;
1. Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli tanpa barang).
2. Ada barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli, dan
3. Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau lain-lain.

Dalam masalah ini, ulama’ berpendapat perkara ke-3 di atas menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans. Dalam setiap urusan, Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan kebaikan. Unsur gharar menafikan kedua-dua prinsip ini. Mana-mana kontrak jual beli yang mengandugi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya boleh membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalh jual beli gharar. Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian wang tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak memenuhi kewajipan, tempoh atau tanggungjawab tertentu seperti membatalkan atau memecahkan akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual beli seperti ini, tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan kebaikan kepada akid atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi pembeli yang menyumbangkan wang.

Kaedah Takaful

Berbeza dengan insurans, operasi takaful sebagai satu bentuk perniagaan adalah tidak berasas kepada akad jual beli semata-mata. Dalam hubungan ini, peserta takaful tidak membeli produk takaful daripada syarikat takaful dan sebaliknya syarikat takaful tidak menjual produk itu seperti syarikat-syarikat insurans menjual polisi insurans. Apa pun konsep takaful, seperti insurans, tetap mementingkan dan menghayati amalan kerjasama, tolong-menolong, setiakawan atau ringkasnya saling jamin menjamin diantara mereka.

Umumnya, struktur perjalanan takaful tidak banyak berbeza dengan insurans. Disatu pihak ada peserta yang melanggani produk takaful daripada pihak yang menyediakan produk itu, iaitu syarikat takaful. Kedua-dua pihak ini akan memeteraikan akad. Oleh kerana wang sumbangan dibayar oleh peserta dengan tujuan untuk menabung dan mendapat untung sambil berniat untuk membantu rakan peserta yang memerlukan bantuan ketika ditimpa musibah, maka operasi takaful lebih berbentuk satu usaha pelaburan.

Oleh yang demikian wang sumbangan peserta tidak menjadi hak syarikat. Sedangkan di bawah system jual beli insurans, wang premium menjadi hak syarikat insurans sebagai balasan pemegang polisi membeli polisi insurans daripada syarikat berkenaan. Sesuai dengan struktur operasinya, ulama’ memutuskan bahawa akad takaful adalah HARUS berasaskan prinsip al-Mudharabah atau berkongsi untung dalam perniagaan. Peserta akan berhak mendapat untung daripada bahagian tabungan atas pulangan pelaburan yang dijalankan oleh syarikat takaful. Diwaktu yang sama, peserta juga bersetuju menyumbang sebagai tabarru’ (derma) sebahagian daripada sumbangannya dan untung pelaburan keatasnya bagi tujuan membantu rakan peserta yang ditimpa kesusahan.

Wallahu a'alam


---
Perunding & motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Unit amanah Islam: www.unit-amanah-islam.blogspot.com 
Islamic unit trust: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment