Terkini

Saturday 28 November 2009

MNBR bincang jual kepentingan Takaful Ikhlas

KUALA LUMPUR 26 Nov. - MNRB Holdings Bhd. (MNRB) telah berbincang dengan beberapa pihak yang berminat untuk membeli pegangan dalam anak syarikatnya Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) dalam usaha pengembangan perniagaan di luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Anuar Mohd. Hasan berkata, perbincangan telah berlaku tetapi tiada sebarang keputusan kukuh yang telah dicapai.

''Setakat ini beberapa pihak telah bertanya kepada kami tetapi tiada sebarang keputusan muktamad telah dibuat. Sebarang keputusan yang akan dibuat perlu mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) terlebih dahulu,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai laporan berita berkaitan cadangan tersebut pada taklimat keputusan kewangan separuh pertama MNRB yang berakhir 30 September 2009 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pelupusan 70 peratus kepentingan Takaful Ikhlas, Anuar berkata, ia tidak akan berlaku memandangkan pemegang saham utama mereka adalah Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

''Sekiranya MNRB berhasrat menjual kepentingan ekuiti, kami masih mahu menjadi pemegang saham utama,'' jelasnya.

Sementara itu, MNRB telah merekodkan kerugian bersih sebanyak RM25.7 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2009 berbanding RM7.5 juta pada tahun lalu.

''Peningkatan kerugian tersebut adalah disebabkan oleh peruntukkan bersih sebanyak RM41.8 juta terhadap tuntutan rizab oleh subsidiari insurans semula.

''Sejajar dengan keperluan Modal Berasaskan Risiko yang diperkenalkan BNM dan telah dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari lalu,'' katanya.

Namun, MNRB telah merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 18.7 peratus kepada RM681.6 juta berbanding RM574.4 juta sebelumnya.

Ia adalah ekoran pertambahan premium kasar yang dicatatkan oleh subsidiari insurans semula dan peningkatan dalam yuran wakalah yang diperoleh daripada operator takaful.

MNRB merupakan syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuh MNRB adalah Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysia Re), Takaful Ikhlas, MNRB Retakaful Bhd. (MRT).

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment