Terkini

Thursday 26 June 2008

Kekosongan Jawatan di Alfalaho Consulting - Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Alfalah Consulting (www.alfalahconsulting.com), firma perundingan dan latihan dalam bidang kewangan Islam, bisnes dan pengurusan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur mempunyai kekosongan jawatan yang perlu diisi segera.

Kekosongan jawatan adalah seperti berikut:


1) Pengurus Pembangunan Perniagaan (Business Development Manager)

2) Pegawai Pembangunan Perniagaan (Business Development Executive)

3) Pengurus Pemasaran (Marketing Manager)

4) Pegawai Pemasaran (Marketing Executive)

5) Perunding (Consultant)


Gaji dan manfaat adalah berdasarkan kelulusan dan/atau pengalaman kerja. Kulusan dari sebarang bidang boleh dipertimbangkan asalkan mempunyai minat dan iltizam ke arah kecemerlangan. Fasih berbahasa Inggeris memberikan kelebihan kepada calon.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com



Wednesday 18 June 2008

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pahang - Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional dan Seumpamanya

Tarikh Keputusan: 
 18 Jun, 2008
Huraian Tajuk/Isu: 
Keputusan: 
Setelah dibincangkan Mesyuarat bersetuju memutuskan hukum pelaburan di dalam Amanah Saham Nasional dan seumpamanya adalah haram sehingga pelaburan Amanah Saham Nasional didalam aktiviti perbankkan menepati kehendak dan syarat pelaburan menurut syariah seperti yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Allah perangi pemakan riba

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad AlBakri
Syeikh Sya’rawi berkata: Ayat ini merupakan permasalahan alam yang dilupai serta lalai oleh kebanyakan manusia justeru datang peraturan untuk memelihara satu golongan daripada golongan yang lain. Peraturan ini tidak datang kecuali selepas adanya golongan ahli riba yang menzalimi golongan fakir miskin yang lemah. Justeru golongan miskin dan lemah ini sentiasa diambil kesempatan oleh golongan pemakan riba. Lantas Allah menurunkan ayat ini.
Firman Allah: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu.
An-Nasafi berkata: Allah izinkan peperangan dan tidak menyebut dengan peperangan Allah dan Rasul-Nya tetapi dengan peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya kerana ini lebih kuat maknanya. Ini kerana makna izin merupakan merupakan jenis daripada perang lebih besar di sisi Allah dan Rasul-Nya dengan sebab itulah kabilah thaqif berkata kami tiada apa untuk berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.
Al-Maghaghi berkata: Ayat ini menunjukkan sebagai suatu isyarat kepada tiadanya kepatuhan terhadap perintah-perintah syarak keluar daripadanya dan menghina dengan hukum-hukumnya. Justeru layaklah Allah murka dan memeranginya dengan sebab memakan riba dan beliau menyatakan penyaksian yang jelas menunjukkan sebesar-besar dalil atas kebenaran ini maka banyaklah mereka yang memakan riba pada permulaan yang kaya berkesudahan dengan meminta-minta kepada manusia.
Sayyid Qutub berkata: “Alangkah dahsyatnya perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya, iaitu satu peperangan yang harus dihadapi jiwa manusia, satu peperangan yang ngeri memang diketahui akibatnya. Sedangkan manusia yang lemah itu dapat bertahan di hadapan kekuatan Ilahi yang Maha Gagah yang membawa kebinasaan dan kemusnahan itu”.
Rasulullah SAW itu memerintahkan gabenornya di Mekah selepas turunnya ayat-ayat ini di masa kebelakangan supaya memerangi keluarga al-Mughirah di sana jika mereka tidak berhenti menjalankan muamalah dengan riba.
Sebelum ini beliau memerintahkan di dalam pidatonya pada hari penaklukan Mekah supaya dihapuskan semua hutang riba di dalam jahiliah, terutamanya hutang riba bapa saudaranya al-Abbas, daripada tanggungan orang yang berhutang yang masih dipikul oleh mereka dalam satu tempoh yang lama selepas Islam.
Sehingga masyarakat Islam menjadi matang dan kukuh segala asasnya dan di waktu ini tibalah masanya bagi sistem ekonominya berubah seluruhnya dari asas riba itu. Rasulullah SAW telah bersabda dalam pidatonya ini: Seluruh (hutang) riba di dalam jahiliah adalah diletakkan di bawah dua tapak kakiku ini (dihapuskan) dan awal-awal (hutang) riba yang aku letakkan kakiku (hapuskan) ialah (hutang) riba al-Abbas.
Al-Imam atau pemerintah Islam - apabila dilantik adalah berkewajipan memerangi golongan yang masih berdegil mengamalkan sistem riba dan menyalahi perintah Allah walaupun mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai orang Islam sebagaimana Abu Bakar r.a memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadah serta mendirikan solat. Sebabnya, seseorang yang enggan mematuhi syariat Allah dan enggan melaksanakannya dalam realiti hidupnya bukanlah seorang muslim yang sebenar.
Namun, perisytiharan perang oleh Allah SWT dan Rasul itu membawa pengertian lebih luas daripada pengertian perang dengan mata pedang dan meriam dari pihak pemerintah. Malah peperangan ini - sebagaimana diumumkan oleh Allah SWT yang paling benar perkataan-Nya - adalah diisytiharkan ke atas setiap masyarakat yang menjadikan riba sebagai asas ekonomi dan sosialnya.
Peperangan ini dilancarkan dalam bentuknya yang syumul dan merangkumi segala-galanya, iaitu peperangan yang menyerang saraf dan hati manusia, peperangan yang menyerang keberkatan dan kemewahan, peperangan yang menyerang kebahagiaan dan ketenteraman.
Peperangan yang dilancarkan Allah SWT yang membuat penderhaka undang-undang dan peraturannya itu berperang satu sama lain, peperangan, pengusiran dan pergaduhan serta kezaliman dan akhir sekali peperangan bersenjata di antara bangsa-bangsa, di antara tentera-tentera dan negara iaitu peperangan yang membawa kemusnahan akibat daripada sistem riba yang terkutuk.
Bernyala membakar
Pemakan-pemakan riba dari kaum kapitalis dunia inilah yang menyalakan api peperangan itu sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Itulah peperangan yang tidak kunjung padam yang diisytiharkan Allah ke atas golongan manusia yang bermuamalah dengan riba. Kini peperangan itu sedang bernyala membakar segala yang hijau dan segala yang hijau dan segala yang kering di dalam kehidupan manusia yang sesat, tetapi mereka tidak sedar, malah mereka fikir mereka sedang mengaut keuntungan dan maju ke depan setiap kali mereka melihat bukti-bukti barangan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang mereka.
Barangan yang dikeluarkan itu sepatutnya memberi manfaat dan kebahagiaan kepada manusia andainya ia dihasilkan daripada sumber yang bersih. Namun barangan tersebut terhasil daripada sumber riba yang kotor yang hanya melambangkan timbunan sampah saraf yang mencekik pernafasan manusia dan menghempapnya oleh para pemakan riba dunia yang tidak pernah merasa kesakitan manusia yang terhempap di bawah timbunan barangan riba yang terkutuk itu.
Firman Allah: Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.
Ibn Kathir berkata: Dengan meletakkan nilai modal yang asal menyebabkan tidak berlaku zalim menzalimi inilah penyelesaian Islam berhubung dengan taubat daripada riba. Sedangkan An-Nasafi berpendapat mereka yang berhutang tidak dikenakan bayaran lebih daripada hutangnya di samping tidak dikurangkan hak pembeli hutang.
(utusan malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


Friday 13 June 2008

RHB Islamic edar produk perancangan harta Islam (IEP)

KUALA LUMPUR 26 Mei - RHB Islamic Bank Bhd. (RHB Islamic) akan mengedar produk dan perkhidmatan Perancangan Harta Islam (IEP) menerusi perjanjian yang dijalinkan dengan as-Salihin Trustee Bhd. (as-Salihin).
Menerusi perjanjian itu, bank tersebut menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.1 juta untuk pengedaran produk dan perkhidmatan IEP itu pada tahun ini.
Pengarah Urusannya, Jamelah Jamaluddin berkata, pakatan strategik itu merupakan satu kejayaan besar kerana bank itu masih belum menembusi pasaran Islam sepenuhnya.
''Sebanyak RM440,000 daripada sasaran itu dijangka menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai.
''Dengan adanya pakatan ini, kami mampu meluaskan skop pasaran dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran umat Islam tentang keperluan menyumbang kepada IEP," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara RHB Islamic dan as-Salihin bagi pengedaran produk IEP di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Jamelah mewakili RHB Islamic manakala as-Salihin diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Peru Mohamed.
Hadir pada majlis ialah Pengerusi RHB Islamic, Datuk Faisal Ibrahim Siraj dan Pengerusi as-Salihin, Datuk Dr. Mohd Salleh Abas.
Menurut Jamelah, kesedaran mengenai IEP yang tidak mencukupi di kalangan masyarakat Islam di negara ini merupakan faktor utama kadar pengambilan produk IEP yang rendah.
''Produk ini akan diedarkan oleh RHB Islamic menerusi 200 cawangan dan pusat khidmat RHB di seluruh negara serta cawangan sedia ada kita di Singapura, Brunei dan Thailand," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya satu peratus daripada 16 juta masyarakat Islam di Malaysia menulis wasiat.
''Sebanyak RM40 bilion aset yang dimiliki oleh mereka yang meninggal masih dalam pembekuan dan belum dituntut oleh pewaris," jelasnya.
Tambahnya, RHB Islamic juga merancang untuk mengembangkan produk itu di rantau ini sebelum meluaskan pasaran ke luar negara.
''Setakat ini, kami sedang melatih lebih 27 kakitangan yang melibatkan pekerja daripada jabatan jualan RHB Islamic dan RHB Bank tentang perbankan Islam," ujarnya.
Menurut Jamelah, kumpulan itu bercadang untuk meluaskan produk pengurusan aset dalam masa terdekat, selaras dengan aspirasi menjadi kumpulan perbankan ketiga terbesar di Asia Tenggara menjelang tahun 2012.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday 1 June 2008

Zakat simpanan adalah 2.5 peratus

(Bicara Agama - Utusan Malaysia)


SOALAN: Saya ada menyimpan wang di bank, jadi apakah ia wajib dizakatkan? Bagaimanakah mengira zakat wang simpanan?
JAWAPAN:
Maksud wang simpanan ialah wang yang disimpan sama ada dalam akaun simpanan di mana-mana institusi kewangan seperti bank mahu pun institusi lain seperti Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera. Ia meliputi akaun simpanan tetap mahu pun simpanan biasa.
Zakat dikenakan ke atas baki terendah simpanan di dalam tempoh setahun. Contoh, Ahmad mempunyai simpanan pada awal tahun 2007 sebanyak RM10,000 dan sepanjang tahun itu berlaku keluar dan masuk wang simpanan sehinggalah ke akhir tahun 2007 simpanannya berjumlah RM50,000.
Ahmad hendaklah melihat pada tarikh bilakah di dalam tahun itu, wang simpanan beliau berada pada baki terendah.
Katakanlah pada 15 Julai 2007, baki terendah simpanan Ahmad ialah RM7,000 dan nisab pada tahun 2007 ialah RM6,000 (maknanya wang simpanan itu melebihi nisab zakat), maka Ahmad hendaklah menggunakan nilai RM7,000 itu untuk dikirakan zakat.
Maka, RM7,000 X 2.5% > RM175 wajib dizakat sebagai zakat simpanan Ahmad pada tahun 2007.
Nota: Seandainya Ahmad mempunyai lebih dari satu akaun, maka beliau hendaklah mencampurkan semua baki terendah pada setiap akaun simpanan dan mendarabkannya dengan 2.5% bagi mendapatkan jumlah zakat simpanan beliau.
Jika Ahmad menyimpan di simpanan yang berfaedah, maka Ahmad hendaklah terlebih dahulu menolak jumlah faedah tersebut sebelum dikirakan zakat.
(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


Majlis Penasihat Syariah (SAC) Suruhanjaya Sekuriti luluskan 843 sekuriti halal

KUALA LUMPUR 30 Mei – Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini menerbitkan senarai terkini sekuriti berasaskan syariah di Bursa Malaysia yang berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan SC di sini hari ini, sekuriti yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC) itu berjumlah 843 sekuriti mewakili 85 peratus sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Senarai itu termasuk 23 sekuriti yang baru berasaskan syariah tetapi tidak termasuk 12 sekuriti yang disenaraikan sebelum ini pada November tahun lalu.
Senarai itu juga menyatakan bahawa sekuriti berasaskan syariah digambarkan dalam semua industri sektor.
Bagi mengklasifikasikan sekuriti yang disenaraikan, SAC telah menggunakan kriteria standard dalam menumpukan aktiviti syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia
Pendekatan dan kriteria yang digunakan serta nasihat dan panduan pelupusan sekuriti tidak berasaskan syariah dinyatakan dalam senarai itu.
Senarai penuh yang dikemas kini dua kali setahun boleh diperoleh melalui laman web SC di www.sc.com.my. Ia juga akan diterbitkan sebagai buku kecil dan boleh didapati di SC hujung Jun ini.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com