Terkini

Saturday 29 September 2007

Soal-Jawap Kewangan Islam - Siri 1

SIRI 1:
KAMI mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang mengikuti ruangan kewangan Islam ini dan juga kepada yang menghantar soalan-soalan melalui e-mel kepada kami. Isu yang ditimbulkan serta artikel jawapan kami akan diketengahkan mulai minggu ini untuk dikongsi bersama. Kami berharap melalui isu dan jawapan yang disediakan dapat membantu para pembaca sekalian memahami lagi industri ini. Yang sempat dimuatkan minggu ini adalah seperti berikut: Soalan: Saya dan rakan-rakan masih musykil tentang struktur dan arah-tuju industri insurans Takaful di Malaysia. Mohon penjelasan, termasuk perkembangannya yang terkini. Jawapan: Tadbir Urus Syariah sebagai Komponen Teras Sistem Takaful. Perkembangan industri takaful di Malaysia pada awal tahun 1980-an ialah hasil daripada keperluan umat Islam pada ketika itu untuk mempunyai alternatif kepada insurans konvensional yang memenuhi kehendak Syariah serta bagi melengkapkan operasi bank Islam yang ditubuhkan pada tahun 1983. Kewujudan industri takaful dipengaruhi sebahagian besarnya oleh keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia yang memutuskan bahawa insurans hayat dalam bentuk yang ada ialah suatu kontrak yang tidak sah kerana mempunyai unsur-unsur Gharar (ketidaktentuan), Riba’ dan Maisir (perjudian). Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan oleh Kerajaan pada tahun 1982 untuk mengkaji daya maju penubuhan syarikat insurans secara Islam. Berikutan syor Pasukan Petugas ini, Akta Takaful telah dikuatkuasakan pada tahun 1984 dan pengendali takaful yang pertama telah diperbadankan di Malaysia pada bulan November 1984. Secara umum, takaful ialah satu skim perlindungan yang menyediakan perlindungan bersama di kalangan para peserta skim takaful tertentu. Konsep sumbang-menyumbang dan lindungmelindungi berkenaan dalam kalangan peserta takaful adalah unik berbanding dengan kebanyakan skim insurans konvensional kerana kontrak takaful adalah di kalangan para peserta sesama mereka sahaja. Syarikat pengendali takaful sebenarnya bukanlah pihak yang memberikan perlindungan tetapi pihak peserta takaful sesama mereka, masing-masing merupakan pihak yang dilindungi dan pihak yang memberikan perlindungan. Pihak syarikat pengendali takaful sebenarnya hanya bertindak sebagai pengurus yang aktif berkenaan skim perlindungan yang tersebut. Kontrak utama dalam takaful ialah kontrak tabarru‘at iaitu derma di mana segala sumbangan merupakan sumbangan derma para peserta kepada dana takaful untuk digunakan bagi tujuan perlindungan bersama apabila peserta menghadapi risiko yang telah dinyatakan di dalam aqad perjanjian takaful. Kontrak-kontrak sokongan yang mempertautkan antara para peserta, dana takaful dan pengendali takaful biasanya akan melibatkan kontrak mudharabah ataupun wakalah. Akta Takaful 1984, Seksyen 2 menjelaskan konsep takaful sebagai: “Suatu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta yang memerlukan di mana peserta sama-sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu.” (“A scheme based on brotherhood, solidarity and mutual assistance which provides for mutual financial aid and assistance to the participants in case of need whereby the participants mutually agree to contribute for that purpose”). Seksyen 2 ini juga menegaskan ruang lingkup perniagaan takaful iaitu perniagaan berkaitan takaful yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh Syariah (“business of takaful whose aims and operations do not involve any element which is not approved by the Syariah”). Definisi sedemikian lebih berbentuk “regulatory” dan bukannya menjurus kepada penjelasan substantif tentang bagaimana secara operasionalnya pengurusan dan pengendalian perniagaan takaful harus dilakukan. Pola pendefinisian perniagaan takaful hampir menyerupai pola pendefinisian perniagaan Bank Islam oleh Akta Bank Islam iaitu perniagaan bank yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh agama Islam - Seksyen 2 Akta Bank Islam 1983 (Akta 276)). Bagi memastikan perniagaan takaful dari segi tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh Syariah, suatu kerangka tadbir urus Syariah yang melibatkan pihak pengawal selia industri takaful iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak pengendali takaful diperkenalkan dan diterima pakai oleh industri takaful di negara ini. Tadbir Urus Syariah: Rangka kerja Syariah yang kukuh meningkatkan keyakinan pengguna dan memberikan fleksibiliti yang lebih luas kepada pengendali takaful untuk berinovasi dalam ruang lingkup Syariah. Struktur rangka kerja Syariah dua-peringkat yang sedia ada yang diperkenalkan oleh BNM adalah seperti yang berikut: Majlis Penasihat Syariah BNM: Majlis Penasihat Syariah BNM ditubuhkan pada bulan Mei 1997 dengan objektif untuk menentukan keputusan Syariah mengenai urus niaga perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful yang dijalankan oleh institusi kewangan di bawah kawal selia BNM. Majlis ini mempunyai kuasa mengharmonikan apa-apa perbezaan pentafsiran Syariah bagi perkara-perkara di bawah bidang kuasanya. Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan Akta Takaful 1984 telah dipinda pada tahun 2003 bagi memperkukuh peranan Majlis Penasihat Syariah BNM serta memberikan pengiktirafan undang-undang sebagai badan yang mempunyai kuasa mengenai perkara-perkara Syariah yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam. Di samping itu, status Majlis Penasihat Syariah BNM telah dinaik taraf sebagai tempat rujukan oleh mahkamah dan penimbang tara dalam apa-apa pertikaian yang melibatkan isu Syariah mengenai kes-kes yang melibatkan perbankan dan kewangan Islam. Jawatankuasa Syariah: Pengendali takaful dikehendaki di bawah undang-undang untuk menubuhkan Jawatankuasa Syariah sebagai sebahagian daripada tadbir urus dalaman bagi memastikan pematuhan terhadap Syariah. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan mengenai Tadbir Urus Jawatankuasa Syariah bagi Institusi Kewangan Islam untuk terus memperkukuh tadbir urus Syariah bagi institusi kewangan Islam. Garis Panduan ini dikeluarkan untuk meningkatkan keseragaman keputusan Syariah dengan caramenyelaraskan fungsi dan kewajipan Jawatankuasa Syariah dalam industri dengan Majlis Penasihat Syariah. Garis Panduan ini juga menetapkan tahap kompetensi setiap ahli Jawatankuasa Syariah sebagai usaha menambah ahli Syariah yang kompeten dalam perbankan Islam dan takaful. Selain daripada rangka kerja Syariah, beberapa inisiatif lain telah dilancarkan untuk memperkukuh daya tahan industri takaful, dan dengan itu mempersiapkan Malaysia untuk menjadi pusat takaful dan takaful semula antarabangsa. Inisiatif ini, yang antara lain menekankan peningkatan keefisienan operasi, pengukuhan tadbir urus korporat dan pengurusan risiko, serta memperbaik amalanamalan pasaran dan kesedaran pelanggan, telah menjadikan industri takaful Malaysia lebih teguh sebagaimana yang dicerminkan oleh prestasi lebih mantap sektor takaful keluarga dan takaful am. Pembangunan dan pengembangan perkara-perkara teras berkenaan telah membantu memperkenal serta mengukuhkan industri takaful pada peringkat nasional. Justeru, boleh dikatakan bahawa industri takaful telah mengalami pertumbuhan dan transformasi pesat sejak ia mula diperkenalkan 23 tahun lalu. Daripada sebuah industri yang mempunyai hanya satu pengendali takaful dengan produk asas yang terhad, ia berkembang menjadi industri yang berdaya maju yang telah diintegrasikan ke dalam arus perdana sistem kewangan. Secara yang lebih lanjut, dalam konteks perkembangan semasa, perkembangan positif ini dapat dilihat berdasarkan fakta yang menunjukkan bahawa dalam separuh pertama tahun ini, jumlah aset keseluruhan dana takaful adalah sebanyak RM7.6 billion (bersamaan dengan USD2.2 billion). Jumlah ini mewakili 6.3 peratus daripada jumlah aset keseluruhan dana industri takaful dan insurans; dan jumlah berkenaan merupakan peningkatan sebanyak 11% berbanding dengan nilai aset keseluruhan dana industri berkenaan pada penghujung tahun 2006. Dari segi jumlah caruman sumbangan bersih takaful (net contributions), sejumlah RM1.2 billion telah dicatatkan dalam separuh pertama tahun ini; dan ia merupakan peningkatan sebanyak 36 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lepas. (Statistik dipetik dari ucapan pembukaan YBhg Dato’ Zamani Abdul Ghani, Timbalan Gabenor BNM pada Konvensyen Antarabangsa ke 3 mengenai Takaful dan Retakaful pada 29 Ogos 2007 lepas).
(Utusan Malaysia, 24 Sep 07, IBFIM-Soal Jawap 1)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Maybank mahu eksport model perbankan Islam


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Malayan Banking Bhd. (Maybank) mahu mengeksport model perbankan Islam yang diperkenalkan di peringkat tempatan sejak tahun 2000 menerusi cawangan serta anak-anak syarikatnya di luar negara. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Amirsham A. Aziz berkata, langkah itu selaras dengan usaha bank perdagangan terbesar di Malaysia itu untuk memperbaiki kedudukannya dalam sektor perbankan Islam serantau. Pada masa ini, Maybank memiliki cawangan di Bahrain, Brunei, Kemboja, China, Hong Kong, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam di samping mempunyai anak syarikat di Labuan, Jakarta di Indonesia, Papua New Guinea dan Filipina dan firma bersekutu di Tashkent, Uzbekistan. “Walaupun sedar berhadapan dengan suasana persaingan yang sengit dalam sektor perbankan Islam di peringkat serantau, Maybank akan mengambil kesempatan menerusi faedah yang diraih daripada fleksibiliti yang ditawarkan,” kata beliau dalam Laporan Tahunan 2007 bank itu yang bertemakan Kukuh, Mudah. Pada awal tahun ini, Maybank muncul sebagai penyedia perkhidmatan perbankan Islam terbesar di rantau ini dengan menguasai lebih AS$6.4 bilion (RM22.4 bilion) aset yang mematuhi prinsip Syariah melalui kaunter perbankan Islamnya. Menurut Asian Banker Research dalam tinjauan sulungnya mengenai institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik, Malaysia menerajui pakatan itu dengan 17 buah institusinya menguasai 73 peratus daripada jumlah aset 40 buah bank. Maybank baru-baru ini mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.36 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, peningkatan 9.4 peratus berbanding RM3.98 bilion pada tempoh yang sama pada tahun lalu. Amirsham berkata, pada masa yang sama, Maybank akan turut memulihkan penguasaan di pasaran pinjaman dari sektor gadai janji, kad kredit, pembiayaan industri kecil dan sederhana serta korporat, melibatkan produk perbankan Islam dan juga konvensional. Sementara itu, mengenai kadar pertumbuhan ekonomi semasa yang menghadapi risiko kemerosotan ekoran krisis subprima di AS, beliau berkata, pihaknya yakin ia akan mengalami kepesatan secukupnya untuk menyokong peluasan perniagaan. “Namun begitu, kami tetap mengambil sikap berhati-hati terhadap pertumbuhan perlahan di luar negara yang kini terjejas oleh kebimbangan kemungkinan berlakunya kemerosotan ekonomi AS,” katanya.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday 9 September 2007

Menelusuri status janji dalam muamalah

JANJI atau dalam istilah Arabnya wa‘ad merupakan satu prinsip penting dalam sistem muamalah Islam. Malah status janji menempati kedudukan yang tinggi dalam Islam sehinggakan seseorang yang memungkiri janji dianggap munafik dan mengundang malapetaka Allah di akhirat kelak. Dari segi syarak, janji atau wa‘ad membawa maksud komitmen seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu pada masa depan. Di sini wa‘ad hanya bersifat sehala dan mengikat orang yang berjanji itu sahaja. Ia berbeza dengan perjanjian berbentuk kontrak atau ‘aqad yang bersifat dua hala dan mengikat kedua-dua belah pihak yang berakad dan telah menandatangani kontrak perjanjian tersebut. Sebagai contoh, ‘Ammar berjanji untuk menjual keretanya kepada ‘Affaf pada harga RM20,000. Janji yang dilakukan ‘Ammar untuk menjual keretanya ini masih bersifat satu hala dan tidak mengikat ‘Affaf untuk menerima tawaran tersebut. Hanya apabila ‘aqad pembelian (‘aqad al-bai‘) termeterai barulah ia mengikat kedua-dua belah pihak untuk mematuhi segala syarat jual-beli yang ditetapkan syarak. Perbahasan di kalangan ulama muktabar turut berkisar seputar status wa‘ad dari aspek perundangan sama ada ia boleh dikuatkuasakan sebagaimana kontrak biasa. Polemik yang sering tercetus adalah berkenaan persoalan apakah tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas seseorang yang mengingkari janjinya. Dalam konteks ini wujud perbezaaan pandangan di kalangan ulama-ulama terdahulu dan kontemporari mengenai status keterikatan dan nilai perundangan sesuatu janji yang dilakukan. Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie, Imam Ahmad dan sebahagian ulama dari mazhab Maliki berpandangan bahawa penunaian janji adalah suatu yang kudus dari perspektif Islam tetapi tidaklah wajib atau boleh dikuatkuasakan melalui perundangan sebagaimana akad kontrak. Bagi ulama-ulama seperti Samurah bin Jundub, Umar bin Abdul Aziz, Hassan al-Basri, Said bin al-Ashwa’, Ishaq bin Rahwaih, Imam Bukhari dan sebahagian ulama Maliki pula berpendapat menunaikan janji adalah wajib dan orang yang berjanji mempunyai tanggungjawab dari segi moral dan perundangan untuk mematuhi janji yang dibuat. Polemik berkaitan janji ini lebih terserlah dalam realiti muamalah di zaman moden. Amalan dan penggunaan prinsip janji atau wa‘ad sebenarnya semakin meluas dalam operasi urusniaga kewangan dan perbankan Islam masa kini. Hampir semua kontrak yang diguna pakai dalam perbankan Islam mempunyai elemen janji bagi menjamin kelancaran operasi kewangan dan perbankan. Sebagai contoh, bank yang menggunakan kontrak jual-beli secara murabahah dalam pembiayaan bagi membeli sesuatu komoditi atau barangan turut mendapatkan surat janji (undertaking letter) daripada pembeli. Surat janji ini penting bagi memastikan pelanggan yang memohon pembiayaan tersebut membeli barangan yang dihajatinya itu setelah pihak bank mendapatkannya daripada pengeluar. Ini kerana akad jual-beli antara bank dan pelanggan hanya boleh termeterai apabila bank sudah memiliki komoditi tersebut sebelum menjualnya kepada pelanggan. Ini sejajar dengan saranan Rasulullah: Tidak dibolehkan berjual beli sesuatu benda yang tidak wujud di sisi kamu. (Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Persoalannya apakah bank boleh mengambil tindakan mahkamah sekiranya pelanggan ingkar terhadap janjinya untuk membeli barangan tersebut daripada bank. Menyedari realiti dan kekangan yang dihadapi oleh perbankan Islam inilah maka ulama kontemporari melakukan ijtihad dengan mengeluarkan fatwa baru mengenai status perundangan surat janji atau prinsip wa‘ad. Sebuah resolusi telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Tertinggi di peringkat OIC (Pertubuhan Negara-Negara Islam) mengenai status janji yang dibuat dalam urusniaga muamalah. Menurut resolusi tersebut, seseorang yang mungkir janji boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya terbukti bahawa ada pihak yang mengalami kerugian dan kemudaratan. Walau bagaimanapun pampasan hanya terbatas kepada tahap kerugian sebenar yang dialami oleh pihak menuntut dan tidak termasuk nilai keuntungan yang dinafikan. Demikianlah sebahagian daripada isu kontemporari yang menyentuh amalan muamalah khususnya berkaitan dengan operasi perbankan dan kewangan Islam yang semakin rancak berkembang bukan sahaja di negara-negara Islam malah negara-negara bukan Islam seantero dunia. Ia membuktikan bagaimana kayanya khazanah syariat Islam dalam mengatur dan memperincikan urusan kehidupan manusia agar terhindar dari sebarang penyelewengan dan kemudaratan. Ini sekali gus menafikan tanggapan segelintir yang sering menyempitkan ruang lingkup Islam kepada urusan peribadatan dan ritual semata-mata. Walhal ulama-ulama muktabar telah membincangkan secara terperinci isu-isu muamalah termasuklah berkenaan dengan urusniaga kewangan. Semua ini menzahirkan betapa Islam agama syumul yang menjamin kebahagiaan dan keselesaan hidup bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. - (Dr. Asyra Wajdi Dusuki, 9 Sep 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday 7 September 2007

Bank Islam Malaysia jual RM2b pembiayaan tak berbayar

BANK Islam Malaysia Bhd yang mencatatkan rekod keuntungan sebelum cukai dan zakat tertinggi berjumlah RM255.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, kini dalam proses menjual pembiayaan tidak berbayar (NPF) berjumlah kira-kira RM2 bilion.Penjualan NPF itu adalah sebahagian langkah memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan bank itu yang sedang dalam proses pemulihan semula selepas mencatatkan kerugian kira-kira RM1.3 bilion pada tahun kewangan lalu. Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Zukri Samat, berkata jumlah NPF yang tinggi kurang baik bagi operasi bank kerana ia tidak memberi sebarang sumbangan kepada pendapatan bank.“Sehubungan itu, proses penjualan NPF penting bagi memperkemaskan lagi imbangan pembayaran bank ini,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan Bank Islam bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007 di Kuala Lumpur, semalam.Zukri berkata, Bank Islam sudah menemui pembeli NPF berkenaan sedang menjalankan kajian kemungkinan bagi pembelian berkenaan.“Kami memilih satu pihak yang berminat membeli NPF berkenaan dan mereka sedang membuat kajian pembelian,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, Bank Islam juga sedang dalam proses menjual aset bukan teras miliknya bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan bank itu.Antaranya, ia telah menjual anak syarikat yang terbabit dalam perniagaan perisian dan kini sedang meninjau kemungkinan menjual pegangannya dalam sebuah bank pelaburan di Sri Lanka.“Kami mempunyai 10 peratus saham dalam syarikat berkenaan dan penjualan itu adalah wajar kerana Bank Islam tidak mempunyai kawalan dalam perniagaannya.“Penjualan itu juga sejajar matlamat bank untuk hanya memberi tumpuan dalam perniagaan terasnya iaitu perbankan Islam,” katanya.Mengulas mengenai prestasi kewangan Bank Islam bagi tahun kewangan dikaji, Zukri berkata, keuntungan itu hasil daripada pelaksanaan program pemulihan semula yang dibuat secara agresif sejak September tahun lalu.Pelan pemulihan itu termasuk pelaksanaan strategi perubahan bagi meningkatkan perniagaan baru dan program pemulihan semula pinjaman tertunggak.Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, Bank Islam mencatatkan pendapatan RM1.03 bilion, yang menandakan pemulihan sepenuhnya bank itu daripada kerugian sejak dua tahun lalu.Dalam tahun kewangan lalu, ia mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai RM1.28 bilion bersandarkan pendapatan RM948.87 juta. - (BH, 6 Sep 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Kewangan Islam Malaysia terus kukuh

MALAYSIA adalah salah sebuah negara Islam yang sentiasa komited bukan saja membangunkan sistem perbankan Islam, malah dalam melaksanakan sistem kewangan Islam secara menyeluruh di dalam struktur kewangan negara. Oleh itu, negara kita, pelaksanaan sistem kewangan Islam dibuat secara selari dengan sistem kewangan konvensional sedia ada. Pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia secara rasmi bermula dengan penubuhan bank Islam yang pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), pada tahun 1983. Walaupun Lembaga Tabung Haji yang termasuk di dalam kategori institusi kewangan Islam diwujudkan pada 1963, peranannya berbeza kerana ia bukan bank. Ia ditubuhkan untuk memenuhi objektif masyarakat Islam di negara ini untuk menyimpan dan melabur bagi tujuan mengerjakan haji di Makkah. Namun, secara tidak langsung, kewujudan institusi Lembaga Tabung Haji ini menunjukkan perkembangan negara ke arah kewangan Islam tanpa riba yang bermula seawal 1963. Seterusnya, kewujudan BIMB sebagai bank Islam yang pertama itu diikuti dengan penubuhan syarikat insurans Islam pertama iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad pada 1984. Kerajaan menerusi Bank Negara juga memperkenalkan konsep Islamic Window iaitu skim perbankan tanpa faedah di bank konvensional sedia ada di Malaysia, bertujuan memperkenalkan produk perbankan Islam kepada pelanggan bank berkenaan. Konsep Islamic Window yang diperkenalkan pada Mac 1993 ini, pada awalnya menawarkan 21 produk kewangan Islam membabitkan tiga bank utama, sudah berkembang dan membabitkan semua institusi kewangan pada Julai, tahun sama. Sehingga akhir tahun 2000, sistem perbankan Islam semakin berkembang dan diwakili dua bank Islam sepenuhnya, 17 bank perdagangan tempatan, lima bank saudagar dan tujuh rumah diskaun serta empat bank cawangan asing yang menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam.Seterusnya pada Jun 2001, jumlah institusi perbankan dan kewangan yang terbabit dengan perbankan Islam bertambah kepada 33 dengan 2,200 cawangan di seluruh negara. Sehingga kini, perkembangan institusi perbankan dan kewangan Islam semakin pesat dengan hampir semua bank dan institusi kewangan yang ada di Malaysia menawarkan produk kewangan dan perbankan Islam. Langkah pembangunan kewangan Islam ini juga turut disusuli dengan perkembangan di dalam pasaran kewangan Islam membabitkan pasaran wang dan pasaran modal. Pasaran wang secara Islam bermula pada Januari 1994 dan satu pasaran wang Islam pertama di dunia pada ketika itu.Pada 2000, nilai dana yang didagangkan di dalam pasaran ini berjumlah RM302. bilion, manakala pasaran modal Islam pula sebenarnya bermula lebih awal daripada pasaran wang Islam apabila kerajaan memperkenal dan mengeluarkan bon Islam yang pertama pada 1983. Seterusnya selepas itu, sekuriti hutang swasta Islam (IPDS) diperkenalkan. Sehingga akhir 2000, daripada RM22,935 billion sekuriti yang dikeluarkan, RM6,278 billion adalah sekuriti hutang swasta Islam dan bon Islam. Dengan penubuhan BIMB Securities pada 1994, iaitu syarikat pembrokeran Islam pertama di Malaysia, maka bermulalah era baru ke arah pembangunan pasaran modal Islam khususnya dalam pasaran ekuiti dengan pengenalan kepada kaunter dan saham patut syariah. Sehingga Julai 1996, didapati 364 saham daripada jumlah 633 saham yang diniagakan di Bursa Malaysia (dulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur) dikategorikan sebagai pematuhan Syariah. Pada 17 April 1999 pula, Bursa Malaysia merasmikan Indeks syariah Bursa Malaysia bagi tujuan memenuhi hasrat pelabur yang ingin melabur dalam instrumen pematuhan syariah. Pasaran IPDS ini turut dikenali dengan nama ‘sukuk’ terus berkembang dan membangunkan dengan pesatnya di Malaysia daripada RM3.1 bilion (9.7 peratus daripada jumlah terbitan bon) pada 1998 kepada RM31 bilion (40.1 peratus) pada 2006. Pertumbuhan yang mantap ini meningkatkan lagi permintaan terhadap sukuk di negara kita dan di pasaran global. Sekitar 2000-an pasaran sukuk yang diterbitkan memberi peluang kepada pelabur seperti penanggung takaful, kumpulan wang pencen, syarikat pengurusan aset dan pelabur institusi lain mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka yang sepadan dengan profil liabiliti dan pulangan atas risiko. Malah, Malaysia adalah negara pertama menerbitkan sukuk global berdaulat dengan nilai nominal AS$600 juta pada 2002. Daripada jumlah itu, 15 peratus dilanggani pelabur Eropah dan Amerika.Landskap operasi yang menggalakkan juga menarik organisasi pelbagai hala yang disegani seperti International Financial Corporation dan International Bank For Reconstruction and Development untuk menerbitkan sukuk dalam Ringgit Malaysia. Pada peringkat domestik pula, sektor swasta memainkan peranan penting dalam menerbitkan sukuk yang menyaksikan peningkatan dalam terbitan sukuk swasta terkumpul, meningkat lebih sekali ganda dari segi peratusan berbanding jumlah bon swasta terkumpul iaitu daripada 22.5 peratus pada akhir 2001 kepada 47.1 peratus pada akhir 2006. Melihat kepada sejarah dari 1945 hingga 1995, Asia sebenarnya sudah beralih daripada kemiskinan kepada kemewahan dan kekayaan. Pada 1990-an, misalnya Asia Timur dilihat sebagai model ekonomi The East Asian Miracle yang sering disebut sebagai contoh kejayaan sistem ekonomi berasaskan kepada campur tangan kerajaan yang tersusun dan dasar ekonomi makro kukuh meningkat taraf hidup rakyat. Malaysia juga tidak terkecuali kerana ketika itu negara ini turut mewakili kelompok negara `harimau Asia' yang dilambangkan sebagai sebuah negara yang begitu kukuh dan terserlah kepada dunia sama ada dari segi kemajuan ekonomi, politik dan budaya sehingga digambarkan seolah-olah berada pada zaman Asia Baru ‘Renaissance Asia’. Namun kegemilangan dan kemegahan itu tidak bertahan lama. Ia lenyap begitu cepat sekali tanpa sebarang petunjuk dan amaran jelas. Tahun 1997 menyaksikan satu peristiwa baru dalam krisis kewangan iaitu krisis kewangan Asia Timur. Serangan spekulasi ke atas Thailand yang bermula pada pertengahan 1997, merebak ke seluruh rantau menyebabkan penyusutan nilai baht, nilai peso dan rupiah berikutan pengapungan tanpa kawalan. Kedudukan nilai ringgit dan dolar Singapura pula menghadapi tekanan jualan mata wang. Tekanan itu terus merebak dan mengancam nilai won Korea, dolar Hong Kong dan dolar Taiwan. Pada ketika itu, mengikut anggaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nilai bersih pengaliran modal ke rantau Asia pada 1997 jatuh kepada AS$34.2 bilion daripada nilai AS$101.2 bilion pada 1996. Malaysia menerima kesan krisis itu, ekoran penurunan nilai baht pada 2 Julai 1997. Ringgit mula diserang tekanan spekulasi menyebabkan pada akhir Ogos 1998, nilai ringgit susut sebanyak 40 peratus berbanding dolar AS secara relatif berasaskan nilai ringgit pada akhir Jun 1997. Berasaskan kepada sumber Bank Negara, indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur pada ketika itu turut jatuh dari nilai tertinggi 1,271.57 mata pada Februari 1997 kepada nilai serendah 262.70 mata pada 1 September 1998, iaitu kejatuhan sebanyak 79.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya sejak 13 tahun sebelum itu. Keadaan menjadi semakin gawat kerana petunjuk ekonomi sedia ada seperti kekukuhan struktur ekonomi domestik tidak mendatangkan sebarang kesan. Malah keadaan juga semakin buruk apabila sistem pemantauan ekonomi yang tidak sistematik dan kegagalan pakar ekonomi menyarankan tindakan segera membawa mudarat begitu besar. Keadaan turun naik ini akhirnya memaksa negara di Asia termasuk Malaysia menjalankan dasar jimat cermat, malah sampai ke satu tahap, rakyat disaran untuk menyumbang sesuatu dalam bentuk emas kepada negara. Selepas sepuluh tahun berlalu sejak krisis 1997-1998, kini ekonomi Malaysia, khususnya peringkat domestik mengalami perkembangan yang begitu rancak dan berkembang maju selaras dengan peningkatan ekonomi di peringkat global. - (BH, 6 Sep 07)
Penulis: Fadillah Mansor (tenaga akademik Universiti Malaya)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 6 September 2007

Perbankan Islam dunia perlu 150,000 profesional

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Perbankan Islam di serata dunia memerlukan kira-kira 150,000 tenaga kerja profesional dalam tempoh lima tahun akan datang ekoran pertumbuhan pesat yang sedang dialami oleh sektor itu. Ketua Pegawai Akademik dan Dekan Fakulti Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Dr. Malik Muhammed M. Al-Awan berkata, ketika ini tenaga kerja profesional dalam bidang itu di seluruh dunia adalah kurang daripada 1,000 orang sahaja. Menurutnya, statistik semasa itu tidak dapat memenuhi permintaan sektor perbankan Islam memandangkan bank-bank konvensional dan bank asing yang telah membuka sayap perbankan turut memerlukan tenaga kerja tersebut. “Masalah ini bukan sahaja dirasai oleh negara-negara Islam yang sudah sedia ada tetapi juga negara-negara baru yang berminat untuk menjadi pusat perbankan Islam utama seperti Singapura dan London,” katanya di sini baru-baru ini. Kata beliau, Malaysia turut tidak ketinggalan menghadapi kemelut itu meskipun perniagaan perbankan Islam telah mula berkembang di negara ini sejak tahun 1963. ‘‘Tenaga kerja profesional ini bukan boleh diperoleh dalam tempoh satu atau dua hari sahaja tetapi ia mengambil masa yang lama. ‘‘Namun begitu, saya memuji usaha kerajaan negara ini yang mewujudkan INCEIF untuk melahirkan tenaga kerja profesional baru yang terdiri daripada generasi muda untuk menguasai perbankan Islam pada masa depan,’’ jelasnya. Kini bank-bank tempatan menggunakan tenaga kerjanya secara maksimum bagi menyelesaikan masalah kekurangan profesional. Namun apa yang dibimbangkan oleh Dr. Malik ialah kecenderungan penghijrahan pekerja daripada bank-bank Islam tempatan kepada bank asing yang telah membuka sayap perbankan Islam mereka atau bank Islam asing yang telah meluaskan cawangan di Malaysia. Menurutnya, bank-bank asing itu mampu menawarkan gaji dan faedah yang lebih tinggi daripada bank Islam sedia ada dan ini akan menggalakkan lebih banyak penghijrahan tenaga kerja profesional ke cawangan-cawangan bank-bank asing berkenaan pada masa depan. ‘‘Jika ini terus berlarutan, ia akan memberi kesan negatif kepada industri perbankan tempatan dan saya berpendapat bank-bank tempatan perlu memantau perkembangan tersebut dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut itu,’’ ujar beliau lagi. Dr. Malik memberitahu antara strategi yang boleh dilaksanakan untuk mengekalkan tenaga kerja profesional sedia ada ialah dengan mengkaji semula pembayaran gaji bulanan mereka agar setanding dengan pasaran semasa. Selain itu, jelasnya, para majikan juga perlu menyediakan persekitaran kerjaya yang lebih berdaya saing dan pelbagai faedah kerjaya yang lebih baik.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

50 peratus masyarakat Islam sedunia dijangka menyimpan dalam institusi perbankan Islam

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Sebanyak 50 peratus masyarakat Islam di seluruh dunia dijangka membuat simpanan di institusi perbankan Islam menjelang tahun 2015. Pada tempoh yang sama, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam Antarabangsa turut meramalkan pengurusan aset institusi itu akan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada AS$2.38 trilion (RM8.34 trilion) di peringkat global. Pengerusi Kewangan dan Perakaunan Universiti Monash Malaysia, Prof. Bala Shanmugam berkata, perkembangan tersebut menggambarkan potensi besar yang ditawarkan oleh perbankan dan kewangan Islam di rantau ini. “Pihak berkuasa dijangka menguruskan pasaran dengan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus terdiri daripada jumlah simpanan masyarakat Islam di seluruh dunia. “Ia merupakan peningkatan sehingga 10 kali ganda iaitu anggaran kadar pertumbuhan sebanyak 10 peratus pada masa sekarang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa Ke-5 di sini, hari ini. Turut berucap pada majlis itu ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Malaysia (IBFIM), Datuk Dr. Adnan Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bank- Bank Malaysia (IBBM), Dr. Mohd. Kamal Khir. Mengulas lanjut, katanya, industri kewangan Islam akan membangun dengan identiti sendiri tanpa perlu bergantung kepada perbankan konvensional lagi pada masa depan. “Lebih banyak produk kewangan Islam yang inovatif dijangka akan muncul di pasaran setiap tahun,” ujarnya. Malah kata Shanmugam, instrumen kewangan Islam seperti sukuk telah memperlihatkan perkembangan jualan yang luar biasa, iaitu meningkat sembilan kali ganda lebih pantas berbanding korporat bon konvensional. “Anggaran Standard & Poor’s menyatakan pasaran sukuk akan mencecah AS$70 bilion (RM245.26 bilion) dan melonjak kepada AS$160 bilion (RM560.52 bilion) pada akhir dekad ini,” tambahnya. Mengenai pasaran kewangan Islam di Malaysia katanya, negara kini memasuki satu lagi fasa perkembangan apabila berada pada kedudukan yang kukuh bagi menghadapi cabaran globalisasi kewangan dunia. Sementara itu, Adnan yang hadir pada persidangan itu turut melancarkan buku berjudul ‘Islamic Banking A Practical Perspective hasil tulisan Shanmugam, Mohd. Kamal dan Lokesh Gupta.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com