KUALA LUMPUR 23 Sept. - Malayan Banking Bhd. (Maybank) mahu mengeksport model perbankan Islam yang diperkenalkan di peringkat tempatan sejak tahun 2000 menerusi cawangan serta anak-anak syarikatnya di luar negara. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Amirsham A. Aziz berkata, langkah itu selaras dengan usaha bank perdagangan terbesar di Malaysia itu untuk memperbaiki kedudukannya dalam sektor perbankan Islam serantau. Pada masa ini, Maybank memiliki cawangan di Bahrain, Brunei, Kemboja, China, Hong Kong, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam di samping mempunyai anak syarikat di Labuan, Jakarta di Indonesia, Papua New Guinea dan Filipina dan firma bersekutu di Tashkent, Uzbekistan. “Walaupun sedar berhadapan dengan suasana persaingan yang sengit dalam sektor perbankan Islam di peringkat serantau, Maybank akan mengambil kesempatan menerusi faedah yang diraih daripada fleksibiliti yang ditawarkan,” kata beliau dalam Laporan Tahunan 2007 bank itu yang bertemakan Kukuh, Mudah. Pada awal tahun ini, Maybank muncul sebagai penyedia perkhidmatan perbankan Islam terbesar di rantau ini dengan menguasai lebih AS$6.4 bilion (RM22.4 bilion) aset yang mematuhi prinsip Syariah melalui kaunter perbankan Islamnya. Menurut Asian Banker Research dalam tinjauan sulungnya mengenai institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik, Malaysia menerajui pakatan itu dengan 17 buah institusinya menguasai 73 peratus daripada jumlah aset 40 buah bank. Maybank baru-baru ini mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.36 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, peningkatan 9.4 peratus berbanding RM3.98 bilion pada tempoh yang sama pada tahun lalu. Amirsham berkata, pada masa yang sama, Maybank akan turut memulihkan penguasaan di pasaran pinjaman dari sektor gadai janji, kad kredit, pembiayaan industri kecil dan sederhana serta korporat, melibatkan produk perbankan Islam dan juga konvensional. Sementara itu, mengenai kadar pertumbuhan ekonomi semasa yang menghadapi risiko kemerosotan ekoran krisis subprima di AS, beliau berkata, pihaknya yakin ia akan mengalami kepesatan secukupnya untuk menyokong peluasan perniagaan. “Namun begitu, kami tetap mengambil sikap berhati-hati terhadap pertumbuhan perlahan di luar negara yang kini terjejas oleh kebimbangan kemungkinan berlakunya kemerosotan ekonomi AS,” katanya.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment