Terkini

Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Friday, 23 January 2009

Mengejar keadilan ekonomi

RANGKA sosial agama Islam memberikan tempat yang istimewa terhadap dimensi ekonomi, menurut Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Nik Mustapha Nik Hassan.
"Islam percaya bahawa kestabilan keseluruhannya bergantung kepada kesejahteraan kebendaan dan kerohanian seseorang. Islam menganggap kedua-dua aspek itu berpadu sebagai satu bentuk integrasi di dalam setiap tindakan dan keperluan manusia dan ini bertentangan dengan konsep dominasi kebendaan di dalam sistem sekular," kata Nik Mustapha dalam artikelnya yang dihantar kepada Bernama.
Nik Mustapha berkata, keraguan terhadap kedua-dua aspek dalam kehidupan manusia menyebabkan orang Islam menjauhi asceticism iaitu tidak mementingkan hal keduniaan dan yang juga bermaksud penafian diri, merasa malu dan sebagainya.
Katanya, umat Islam dituntut supaya aktif, kreatif dan produktif dalam mengejar kemakmuran ekonomi.
Malah, beliau berkata, ada hubung kait yang positif di antara sifat kewarakan dan produktiviti di dalam Islam.
Hapus kemiskinan tegar
Nik Mustapha berkata, dari awal lagi Islam telah menyatakan bahawa perkara yang paling asas dalam prinsip kedudukan sosial di dalam agama adalah keadilan ekonomi.
Keadilan ekonomi bermakna pencapaian beberapa objektif termasuk penghapusan kemiskinan tegar yang merupakan satu matlamat utama.
Setiap individu hendaklah melibatkan diri untuk mencari keadilan ekonomi dan menyumbang bagi keperluan diri serta keperluan tanggungan diri.
Kata Nik Mustapha, peluang ekonomi perlulah tersedia untuk disertai semua individu dan sekiranya seseorang itu diperlukan mempunyai daya kreatif dan imaginasi, masyarakat keseluruhannya harus memberi sokongan.
Sementara itu, keadilan ekonomi menganggap kekayaan seseorang adalah miliknya, yang harus diletak ke dalam pusingan untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi.
Membina lebih banyak peluang serta aktiviti ekonomi adalah selari dengan kehendak keadilan sosial kerana ini memberi peluang kepada individu untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.
Menurut Nik Mustapha lagi, keadilan ekonomi juga bererti merujuk kepada potensi ekonomi yang dioptimumkan sebaik mungkin pada bila-bila masa.
Bila keperluan ekonomi seseorang telah tercapai dan diperbaiki, personaliti individu itu akan bertukar menjadi lebih kreatif, bijaksana serta bermoral.
Bebas buat pilihan
Nik Mustapha juga berkata, kebebasan untuk membuat pilihan dengan melibatkan diri dalam pencapaian ekonomi yang berpandukan prinsip-prinsip agama merupakan pra-syarat bagi keadilan ekonomi.
Menurutnya, kerajaan menyediakan garis panduan secara umum dan membataskan amalan yang tidak sihat untuk membolehkan ekonomi berkembang bebas dan bertindak balas terhadap keperluan masyarakat.
Al-Quran juga memberi fokus yang tinggi terhadap aspek kehidupan ekonomi dan kebendaan.
"Konsep kekayaan dinyatakan secara positif, antaranya ialah 'khayr' (yang baik), fadl Allah (kurniaan Allah) dan rezeki.
"Oleh itu, umat Islam yang terlibat dalam pengeluaran dan penjanaan kekayaan juga boleh dianggap sebagai mengerjakan ibadah kepada Allah," kata Nik Mustapha.
Kerjasama ekonomi
Menurutnya, sistem ekonomi Islam perlu mengusahakan keadilan ekonomi dan membina suasana bagi kerjasama ekonomi yang diwujudkan antara individu.
Dengan tidak mengasingkan kewujudan sekular dan kesucian, Islam meletakkan seluruh usaha manusia dan aktiviti mereka di bawah penelitian kerohanian dan rasional.
Katanya, pembentukan rohani dan moral dalam individu serta aktiviti ekonomi yang kolektif akan menggalakkan keadilan dan kerjasama ekonomi.
Hasilnya, aktiviti ekonomi boleh menyumbang terhadap kecekapan, produktiviti, pertumbuhan dan kestabilan negara. (Berita Harian)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 1 March 2008

Bank Danamon terus ekspansi syariah

JAKARTA : PT Bank Danamon Indonesia Tbk resmikan cabang syariah Danamon baru di Jl. Merdeka, Bandung, dan tujuh lokasi layanan office channeling Syariah di wilayah Jabar.Layanan office channeling ini akan memberikan pilihan dan kemudahan para nasabah untuk mengakses dan memenuhi kebutuhan layanan perbankan syariah melalui cabang-cabang konvensional Danamon.

Hendarin, Direktur Danamon Syariah, mengatakan adanya minat dan kebutuhan masyarakat yang besar akan produk dan layanan perbankan syariah di Jawa Barat. "Bandung sebagai pintu gerbang provinsi ini dan juga kota dengan tingkat pertumbuhan ekonomi serta populasi penduduk yang cukup besar, merupakan strategis bagi Danamon Syariah untuk melayani besarnya potensi yang ada," ujarnya dalam pernyataannya hari ini.

Kantor cabang Danamon Syariah yang baru berlokasi di area strategis di pusat kegiatan perdagangan dan perekonomian Bandung di Jl. Merdeka No. 40, lokasi yang sama dengan Bank Danamon Kantor Wilayah 2 Jawa Barat.Sementara itu tujuh lokasi cabang office channeling syariah berada di titik-titik pusat perdagangan dan pertokoan di Buah Batu, Setiabudi, Ahmad Yani, Merdeka, Juanda, Kopo Sayati, dan Kopo 26. --(BC)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 26 February 2008

Kewangan Islam tingkatkan penyertaan sektor ekonomi

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Malaysia telah membuktikan kewangan Islam bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan kewangan tetapi turut membolehkan lebih banyak sektor ekonomi menyertai sistem kewangan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pembabitan secara meluas kewangan pembiayaan Islam telah memberi manfaat khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembiayaan mikro, kata Dr Zeti pada Simposium Kewangan Islam Nikkei 2008 yang berlangsung di Tokyo pada hujung minggu lepas.
"Ini telah menyaksikan sistem kewangan yang lebih pelbagai yang telah meningkatkan daya ketahanannya secara keseluruhan. Keduanya, ia turut meningkatkan hubungan antarabangsa," kata beliau.

Beliau berkata, kewangan Islam telah menjadi bidang pertumbuhan baru yang begitu rancak menjana pendapatan, kekayaan dan pekerjaan.

Selain itu, ia juga mempunyai peranan dari segi mengeratkan lagi hubungan kewangan dan proses integrasi kewangan serantau, tegas beliau.

Mengenai potensi penyertaan Jepun dalam kewangan Islam, Dr Zeti turut bercakap bagaimana institusi kewangan, pihak berkuasa dan perbadanan Jepun boleh mendapat faedah dan manfaat daripada kewangan Islam, terutamanya dalam pasaran-pasaran modal Islam.

Menyedari akan hubungan dagangan dan pelaburan kukuh Jepun di rantau Asia dan Malaysia khususnya, beliau berkata kewangan Islam boleh mengukuhkan lagi hubungan kewangan yang berkaitan.

Infrastruktur untuk hubungan telah pun tersedia ada seperti memorandum persefahaman BNM dengan Japan Bank for International Cooperation dan pakatan strategik antara salah sebuah kumpulan insurans terbesar Jepun dengan syarikat insurans di Malaysia yang menyaksikan penubuhan sebuah syarikat takaful.

"Mengukuhkan lagi rantaian baru dalam hubungan ini dan prospek bagi integrasi yang lebih hebat akan menyumbang ke arah merungkai peluang-peluang berpotensi bagi kemakmuran bersama rantau ini.

"Usaha-usaha juga boleh ditumpukan kepada mempermudahkan penyenaraian bersilang sukuk (bon-bon Islam) dalam pelbagai bidang kuasa. Jepun juga boleh menggunakan Malaysia sebagai wadah untuk inovasi dan penyelidikan dalam kewangan Islam.

"Oleh itu, adalah diharapkan yang penyertaan Jepun dalam pasaran-pasaran kewangan Islam boleh menyumbang ke arah integrasi kewangan antarabangsa seterusnya dan sekaligus mencapai peruntukan sumber sempadan bersilang yang lebih cekap dan berkesan," katanya.
- Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 18 February 2008

Realiti Ekonomi Umat Islam

Oleh Mazilan Bin Musa

Kelemahan pencapaian ekonomi merupakan suatu masalah yang sering dikaitkan dengan umat Islam, di dunia umumnya mahu pun di Malaysia khususnya. Bagaimanakah umat Islam boleh begitu terbelakang pencapaian ekonomi mereka sehinggakan Islam dan kemiskinan itu menjadi sinonim? Di dalam artikel ini penulis cuba menghuraikan permasalahan ini secara objektif. Senario ekonomi umat Islam.Di Malaysia, perangkaan menunjukkan bahawa setakat ini umat Islam yang mewakili lebih kurang 60 peratus penduduk negara ini hanya menguasai lebih kurang 20 peratus sahaja daripada ekonomi. Walaupun ini menunjukkan satu peningkatan di mana kita hanya menguasai lebih kurang 5 peratus sahaja ekonomi negara pada tahun 1970, penguasaan kita masih rendah berbanding kaum Cina yang menguasai 60 peratus daripada ekonomi. Oleh itu, umat Islam di Malaysia masih belum boleh berpuas hati dan berbangga sepenuhnya dengan pencapaian ekonomi mereka setakat ini. Umat Islam di negara ini perlu sentiasa diingatkan tentang kedudukan ekonomi mereka yang masih terbelakang.Dalam konteks ekonomi dunia pula, kebanyakan negara Islam jatuh ke dalam kategori negara kurang membangun. Walau pun negara Islam menghasilkan 44.5 peratus daripada pengeluaran minyak mentah dunia (1989 ¨C 1995), secara keseluruhannya pencapaian ekonomi negara-negara Islam masih rendah. Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Islam hanya 4.7 peratus daripada KDNK dunia. Pada tahun 1996, ekspot negara Islam hanya mewakili 7.7 peratus daripada ekspot dunia (USD 396 billion / USD 5,141 billion). Begitu juga dengan impot negara Islam yang hanya 7.43 peratus daripada impot dunia ( USD 395.318 billion / USD 5,313.50 billion).Kadar kemiskinan di Malaysia.Secara umumnya kadar kemiskinan di negara ini adalah rendah dan semakin menurun (lihat Jadual 1).Jadual 1: Kadar Kemiskinan Di Malaysia1997 2000Jumlah Bandar L/bandar Jumlah Bandar L/bandarKadar kemiskinan 6.1% 2.1% 10.9% 5.5% 1.9% 10.0%Bil. isi rumah termiskin 294.4K 55.4K 239.0K 276.0K 53.2K 222.8K(Sumber: Laporan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh).Jadual 1 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan adalah lebih tinggi (2 angka) di kalangan penduduk luar bandar. Seperti mana yang kita ketahui, penduduk luar bandar ini majoritinya ialah orang Melayu yang beragama Islam. Begitu juga jika statistik kadar kemiskinan ini dilihat mengikut negeri. Masih terdapat beberapa buah negeri di Malaysia ini yang mana kadar kemiskinan penduduknya masih tinggi (lihat Jadual 2).

Jadual 2: Kadar Kemiskinan Negeri Pilihan (1997).
Negeri / Kadar Kemiskinan
1 Kelantan 19.2%
2 Terengganu 17.3%
3 Sabah 16.5%
4 Kedah 11.5%
5 Perlis 10.7%
Bagi negeri-negeri ini, majoriti penduduknya adalah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.Punca kelemahan ekonomi umat Islam dan cara mengatasinya.Pada pandangan saya terdapat beberapa faktor yang membawa kepada kelemahan ekonomi orang Islam. Di antara yang paling ketara ialah:a) Kelekaan dengan status pribumi,Umat Islam di negara ini masih hanyut dengan ¡°keistimewaan¡± mereka sebagai bumiputera. Sikap yang selalu diambil ialah menyalahkan orang lain, termasuk penjajah, dan menyakini bahawa kerajaan akan sentiasa membantu mereka. Amat sedikit usaha yang diambil untuk menilai kesilapan diri sendiri. Sikap seperti ini menyebabkan umat Islam:i) Kurang tabungan.Dalam dunia serba moden hari ini, modal kewangan merupakan penggerak kepada kebanyakan aktiviti. Dikatakan bahawa umat Islam di negara ini lazimnya ghairah untuk berbelanja tanpa keperluan dan mempunyai kadar tabungan yang rendah.Oleh itu, umat Islam mesti mengamalkan budaya menabung jika mereka ingin meningkatkan kedudukan ekonomi mereka. Kita mesti jadikan menabung sebagai satu disiplin hidup. Ini adalah asas yang paling penting sekali. Hasil tabungan yang terkumpul boleh digunakan sebagai modal untuk memulakan pelbagai kegiatan ekonomi seperti berniaga, melabur, dan sebagainya. Oleh itu, agar mampu menabung, kita mesti mengamalkan sikap tidak boros. Sebagaimana sabda Rasullulah s.a.w.,¡°Barangsiapa melakukan pemborosan (pembaziran) maka Allah akan mencegahnya dari perolehan (rezekinya).¡± (HR. Ash Shihaab).Namun begitu tidak pula sampai menjadi bakhil yang mana juga tidak disukai oleh Allah s.w.t., sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.,¡°Jauhilah kebakhilan. Sesungguhnya kebakhilan itu telah membinasakan (umat-umat) sebelum kamu.¡± (HR. Muslim).Jika semua orang mengamalkan sifat bakhil, ekonomi setempat tidak dapat digerakkan. Hasil tabungan juga boleh digunakan sebagai modal pelaburan untuk memilikki saham di dalam perniagaan orang lain. Sebenarnya melalui proses pelaburan saham kita melibatkan diri dengan sebuah perniagaan di mana kita hanya bertindak sebagai penyedia modal tetapi tidak terlibat di dalam pengurusan perniagaan tersebut. Proses pelaburan saham boleh dilakukan melalui dua cara ¨C melabur terus di dalam saham yang disenaraikan di BSKL atau melalui unit amanah (contoh: ASN, ASB, dan ASM). Kaedah pertama boleh dilakukan sekiranya kita mempunyai modal seperti yang diperlukan dan juga pengetahuan. Kaedah kedua lebih sesuai digunakan sekiranya modal kita agak terhad serta tidak mempunyai kepakaran untuk melakukannya sendiri.ii) Keciciran dalam pendidikan.Kelekaan mereka juga menyebabkan umat Islam lalai dalam pelajaran. Di zaman ¡°k-ekonomi¡± sekarang ini, ilmu (knowledge) merupakan komponen penting dalam pembangunan ekonomi. Sebagai orang Islam, keperluan seperti ini bukanlah sesuatu yang asing. Islam sentiasa menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan. Rasulullah s.a.w. ada bersabda bahawa,¡°Menuntut ilmu, wajib atas tiap muslim.¡± (HR. Ibnu Majah).Maknanya, Islam telah kehadapan dalam mempelopori budaya mencari ilmu ini. Cuma kita sahaja yang agak ketinggalan oleh kerana kurang menghayati agama itu sendiri.
Sejarah negara ini dalam tempoh 3-4 dekad yang lepas menampakkan bagaimana keperluan terhadap pendidikan mengalami perubahan. Sebagai contoh, lulusan SPM (Senior Cambridge) pada tahun 70an akan mendapat pekerjaan dengan mudah sahaja. Apatah lagi graduan universiti. Sekarang ini, tidak semudah itu lagi. Begitu juga sekiranya ingin menceburi bidang ekonomi. Seorang peniaga hari ini perlu melengkapkan diri dengan pelbagai jenis kemahiran e.g.: komputer dan perakaunan, sekiranya mahu bersaing. Kita melihat bidang perniagaan itu ke tahap yang lebih besar, bukan setakat perniagaan kecil-kecilan sahaja.Dalam konteks ini, ilmu tidak semestinya dalam bentuk yang diperolehi secara formal dengan menghadiri kuliah di universiti. Ilmu yang diperolehi secara tidak formal, seperti melalui pembacaan, kursus jangka-pendek, latihan amali, pendidikan jarak jauh adalah sama pentingnya dengan pendidikan formal.Era globalisasi juga menekankan kepada keupayaan kita menawarkan sesuatu kelebihan untuk memenangi persaingan. Ini termasuk keupayaan menawarkan harga yang lebih rendah, kualiti yang lebih baik, perkhidmatan yang lebih cekap, dsb. Ini, di antaranya, memerlukan kita meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan atau yang lebih dikenali sebagai R&D. Kegiatan R&D ini akan membawa kepada penemuan produk baru, penjimatan kos dan sebagainya. Umat Islam mesti menguasai bidang ini jika ingin bersaing dengan penganut agama lain.b) Rendah tahap penerimaan risiko,Perlu difahami bahawa risiko yang rendah akan hanya memberikan pulangan yang rendah, begitu juga sebaliknya. Seseorang itu perlu menanggung risiko jika ingin menceburi bidang perniagaan. Sebaliknya, orang Melayu (Islam) dikatakan mempunyai tahap penerimaan risiko yang rendah (risk-averse). Itu sebabnya mengapa kita lebih selesa makan gaji kerana risikonya rendah. Sedari kecil kita telah diasuh supaya belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjawat pekerjaan yang baik. Berbanding dengan kebanyakan penduduk keturunan Cina, mereka menjadikan penanggungan risiko sebagai satu amalan hidup yang membolehkan mereka menceburi bidang perniagaan. Keberanian menanggung risiko sahaja tidak semestinya menjanjikan kejayaan sesuatu usaha perniagaan. Ada faktor lain yang perlu diambil kira, seperti kemahiran teknikal, pengurusan, kewangan, dan sebagainya. Ahli peniagaan yang berjaya, sama ada Islam atau bukan Islam, biasanya menempuh proses jatuh-bangun sebelum mencapai kejayaan.Namun begitu, tidak pula bermakna bahawa sebagai satu bangsa, orang Melayu (Islam) di Malaysia merupakan satu bangsa yang asalnya rendah daya penerimaan risiko. Kajian menunjukkan bahawa budaya berani menanggung risiko (risk-taker/risk-lover) dan kecenderungan untuk berniaga bukannya terhad kepada sesuatu bangsa sahaja. Tetapi budaya seperti ini merupakan ciri yang dimilikki oleh golongan pendatang. Proses penghijrahan itu sendiri memerlukan mereka mengambil tahap risiko yang tinggi. Itulah sebabnya mengapa kita dapati bahawa ciri ini dimilikki oleh kaum penghijrah seperti Cina dan juga Yahudi. Orang Yahudi, diusir daripada tanah air mereka dan bertaburan di serata dunia. Ini menjadikan mereka lebih cekal dan berani mengambil risiko perniagaan kerana kegagalan yang mungkin akan diterima tidaklah seburuk pengalaman hidup mereka. Dalam konteks yang sama, orang Melayu yang berhijrah juga terbukti mampu memperbaikki taraf ekonomi mereka berbanding jika terus kekal duduk di Malaysia. Ini tidak pula bererti kita ingin menggalakkan orang Melayu untuk berhijrah ke negara lain untuk berjaya. Dalam masa yang sama, janganlah pula menunggu sehingga diusir keluar daripada negara sendiri (seperti orang Yahudi) baru mula mengorak langkah untuk memajukan ekonomi sendiri.c) Kurang perpaduan sesama sendiri.Umat Islam tidak bersatu dan tidak saling menyokong di antara satu sama lain. Ini adalah di antara punca kegagalan kebanyakan usaha niaga milik pengusaha Islam. Kita tidak menyokong bangsa sendiri dan yang paling malang sekali ialah kita iri hati dengan kejayaan mereka. Kita lazimnya sangat sensitif dengan kurang layanan oleh peniaga bangsa sendiri. Dalam masa yang sama rela pula ditipu dan ditengking oleh peniaga lain.Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara Islam mesti sepakat dalam membangunkan kegiatan ekonomi sesama mereka sekali gus meningkatkan ekonomi umat Islam. Buat masa ini, kebanyakan negara Islam kaya melaburkan dana mereka di barat. Terdapat banyak negara Islam yang masih mundur. Menarik minat pelabur negara maju ke negara seperti ini adalah sukar memandangkan kemudahan infrastruktur (pendidikan, pengangkutan, sistem kewangan, dsb.) yang amat terhad. Oleh itu, negara-negara Islam kaya mungkin boleh membantu dalam membiayai pembangunan infrastruktur tersebut. Dengan cara ini negara-negara Islam miskin tersebut lebih bersedia untuk menarik pelaburan daripada pelabur-pelabur negara maju.Penutup.Sebagai kesimpulannya, umat Islam perlu meningkatkan taraf ekonomi mereka agar menjadi suatu umat yang disegani dan didengar pandangan mereka. Pembangunan ekonomi ummah perlu bermula dengan peningkatan taraf ekonomi individu. Sekiranya ini dilakukan, maka secara kolektif, ekonomi umat Islam akan maju. Insya Allah.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 21 January 2008

Malapetaka ekonomi kerana riba

OLEH DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
SEPANJANG minggu lalu, media massa antarabangsa sibuk melaporkan kemungkinan krisis besar ekonomi bakal melanda gergasi ekonomi dunia Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu laporan, Ben Bernanke iaitu bos tertinggi institusi mengawal selia sistem ekonomi dan kewangan AS (Federal Reserve), menjangkakan tahun 2008 bakal menyaksikan tahun terburuk sejarah ekonomi AS.
Kekalutan ekonomi AS yang bermula dengan krisis hutang perumahan subprima yang mencecah kerugian ratusan bilion dolar tampak semakin meruncing hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara itu. Untuk makluman, hutang subprima ialah hutang perumahan yang diberikan pihak bank kepada golongan peminjam yang tidak mempunyai kelayakan kewangan yang baik.
Lazimnya bank hanya memberikan pinjaman berpandukan kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.
Hutang
Hutang-hutang daripada pembiayaan perumahan ini kemudiannya diperdagangkan di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan pulangan lumayan kepada para pelabur. Apatah lagi jika yang menjual sijil-sijil hutang ini adalah dari kalangan bank-bank ternama AS. Penyimpangan persepsi bahawa bank-bank AS tidak mungkin rugi juga meningkatkan kepercayaan pelabur untuk membeli sijil-sijil hutang subprima yang berkualiti rendah ini.
Namun keadaan ini tidak bertahan lama. Peningkatan hutang lapuk lantaran kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian sijil hutang subprima ini tidak terkecuali daripada mengalami kerugian besar.
Natijahnya, kita lihat betapa seriusnya krisis hutang subprima ini sehingga menimbulkan malapetaka yang maha hebat bukan sahaja ke atas ekonomi AS bahkan terhadap ekonomi dunia. Peningkatan harga minyak yang mencecah AS$100 setong kerana kemerosotan mendadak nilai dolar akibat krisis ekonomi ini turut memberi kesan kenaikan harga pasaran komoditi dunia yang lain.
Pengguna seperti kita juga tidak ketinggalan merasai bahang kejatuhan ekonomi AS dengan peningkatan mendadak harga barang kegunaan asas termasuklah kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah.
Tidak sukar menelah punca kepada segala malapetaka ini. Malah bekas Pengerusi tersohor bank pusat AS (Federal Reserve) iaitu Alan Greenspan telahpun menjangkakan malapetaka ini dalam bukunya yang baru diterbitkan bertajuk The Age of Turbulence.
Sesungguhnya malapetaka ekonomi yang sedang melanda ini merupakan suatu natijah daripada kebobrokan sistem kapitalis berasaskan manipulasi kadar faedah atau lebih tepat lagi ekonomi berasaskan riba. Kerakusan manusia mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa termasuklah pelbagai keuntungan atas angin yang diperoleh melalui spekulasi ke atas kadar faedah menambahkan lagi masalah ekonomi yang sedia parah.
Hakikat
Menyedari hakikat inilah, Islam sejak dari awal lagi mengharamkan urus niaga ekonomi berasaskan riba yang amat terkait dengan unsur-unsur ketidakadilan, penindasan dan ekploitasi. Sistem ekonomi kapitalis berorientasikan riba dan manipulasi kadar faedah ini merangsang kegiatan mencari untung atas angin yang kadangkala tidak terkait dengan sektor pengeluaran mahupun perkhidmatan sebenar yang disebut istilah ‘real economy’.
Malah sistem ekonomi sebeginilah yang amat sensitif kepada krisis dan manipulasi hingga boleh memudaratkan seluruh umat manusia. Sebab itulah Allah menegaskan secara khusus bahawa urus niaga berasaskan riba tidak akan sesekali mendapat barakah malah boleh membawa kepada kecelakaan dan kesengsaraan.
Prinsip
Dalam al-Quran disebutkan: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (al-Baqarah: 276)
Apa yang pasti sistem ekonomi Islam menitikberatkan prinsip keadilan dan bebas daripada unsur-unsur penindasan. Keuntungan atas angin tidak dibenarkan dalam Islam. Sebaliknya setiap keuntungan yang dijana mestilah ada unsur ‘iwad atau pertukaran nilai (counter-
values) sama ada dari segi usaha (al-kasb), risiko (al-ghurm) dan tanggungan (al-dhaman).
Sebagai contoh, apabila Allah mengharamkan riba, Dia memberi alternatif jual-beli (al-Baqarah: 275). Keuntungan yang dihalalkan melalui jual-beli (al-bai‘) ialah apabila adanya usaha kerana penjual harus membeli barangan daripada pembekal sebelum menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada kos asal. Penjual juga mesti bersedia menanggung kerugian (al-dhaman) dan risiko (al-ghurm) lain sekiranya barangan yang dijual itu rosak atau tidak terjual. Inilah sebahagian daripada elemen ‘iwad yang membezakan keuntungan dalam jual beli dengan faedah berupa riba dalam kontrak hutang.
Justeru tiba masanya umat kembali kepada sistem ekonomi Islam yang bukan sahaja bebas daripada unsur riba tetapi yang lebih utama menjunjung prinsip keadilan dan kebajikan dalam urus niaga, bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Keuntungan yang diperoleh melalui jalan halal akan menambah keberkatan. Sebaliknya keuntungan atas angin melalui urus niaga riba hanya menjerumus umat manusia kepada kecelakaan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 7 December 2007

Krisis ekonomi dari perspektif Islam

Oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Sepanjang beberapa minggu lalu, masyarakat dihebahkan mengenai harga barangan di pasaran yang berpotensi untuk terus meningkat naik. Peningkatan harga di pasaran bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan merupakan fenomena global yang sedang dan bakal dihadapi oleh seluruh warga dunia.

Umum maklum bahawa fenomena peningkatan harga barangan yang berlaku amat terkait dengan malapetaka ekonomi yang melanda Amerika Syarikat ketika ini. Malapetaka ekonomi yang dimaksudkan ialah kejatuhan luar biasa pasaran jual beli hutang atau dikenali sebagai ‘subprime mortgage’ yang setakat ini telah mencecah kerugian sebanyak AS$400 bilion. Nilai mata wang Amerika Syarikat (AS) juga turut menerima kesan apabila jatuh pada kadar terendahnya minggu lalu ke paras 1.444 berbanding mata wang Euro.

Dalam realiti ekonomi global, malapetaka ekonomi yang disebabkan oleh krisis pasaran hutang AS secara langsung mahupun tidak akan memberi kesan kepada ekonomi dunia. Kejatuhan berterusan nilai mata wang AS yang menjadi mata wang asas dalam perdagangan antarabangsa pastinya akan mempengaruhi kenaikan harga pasaran komoditi-komoditi utama dunia. Buktinya, harga minyak minggu lalu sahaja telah mencecah ke paras AS$95 (RM316) setong manakala komoditi lain seperti emas mencecah paras tertinggi sejak 1980 iaitu AS$800 seounce.

Senario yang penulis ungkapkan ini sebenarnya memberikan isyarat jelas bahawa masyarakat bakal berhadapan dengan bencana ekonomi pada bila-bila masa. Sekarang ini pun kita semakin merasai kenaikan harga barangan di pasaran. Namun situasi ini tidaklah pula bermakna kita harus pasrah sahaja dengan apa jua keadaan yang bakal melanda. Amat malang lagi kiranya kita hanya berpeluk tubuh mengharapkan keajaiban agar masalah mampu selesai tanpa sebarang usaha.

Sikap sebegini pastilah bertentangan dengan fitrah dan prinsip Islam sejati. Walhal, Islam mengajar kita agar sentiasa bersiap siaga dan merencana untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuklah dalam isu ekonomi.

Inilah yang diisyaratkan oleh Al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dalam perancangan lima belas tahun yang dilakukannya sebagai jalan keluar daripada krisis yang melanda negara. Salah satu langkah yang diambilnya dalam perancangan itu ialah mengurangkan aspek kepenggunaan dalam tahun- tahun kemakmuran, di samping menyediakan bahan-bahan makanan yang dapat disimpan untuk menghadapi tahun-tahun kemarau. Kisah ini dinukilkan oleh Al-Quran: Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan (Yusuf: 47).

Seterusnya ketika menghadapi tempoh krisis, pendekatan penjimatan dan pengagihan bekalan yang disimpan secara adil dan bijaksana turut ditekankan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah: Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (gandum) yang kamu simpan. (Yusuf: 48)

Pernyataan-pernyataan dalam Al-Quran sebagaimana yang terungkap dalam surah Yusuf di atas jelas mengisyaratkan betapa pentingnya pengurusan ekonomi secara bijaksana dalam menghadapi zaman gersang dan bencana. Ini termasuklah prinsip yang mengkehendaki setiap individu berjimat cermat dan berhemah dalam berbelanja terutamanya ketika senang bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya krisis ekonomi.

Memanglah dalam Islam, prinsip asal dalam muamalah berbelanja ialah setiap orang bebas untuk menggunakan segala kebaikan dan kenikmatan yang dihalalkan oleh Allah. Walau bagaimanapun kebebasan ini dibatasi oleh beberapa syarat yang bertujuan memastikan agar ia tidak mendatangkan kemudaratan dan kerugian kepada kepentingan awam.

Sebab itulah kepimpinan negara selaku ulil amri dibolehkan menggunakan pendekatan politik atau disebut sebagai “siyasah syariyyah” untuk mengekang dan membataskan kebebasan tersebut apabila wujud keadaan kecemasan (darurat) bagi menjaga kemaslahatan umat terbanyak.

Sebagai contoh, pernah dilaporkan oleh Ibn Jauzi dalam sirah Umar ibn al-Khattab bahawa pada masa kekhalifahannya beliau pernah melarang orang ramai untuk makan daging selama dua hari berturut-turut dalam satu minggu kerana bekalan daging sangat sedikit dan tidak mencukupi untuk semua orang di Madinah. Baginda turut menggunakan pendekatan siyasah syariyyah dengan melarang masyarakat menyembelih untuk sementara waktu sebagai langkah memastikan kepentingan rakyat terbanyak mampu dipertahankan.

Demikianlah prinsip dan nilai yang digariskan Islam agar umat sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan malapetaka. Justeru sudah tiba masanya penekanan diberikan kepada umat mengenai aspek muamalah dalam Islam sebagaimana mereka diasuh mengenai hal-ehwal ibadah.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 25 November 2007

Demikianlah prinsip dan nilai yang digariskan Islam agar umat sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan malapetaka. Justeru sudah tiba masanya penekanan diberikan kepada umat mengenai aspek muamalah dalam Islam sebagaimana mereka diasuh mengenai hal-ehwal ibadah. - Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI - (Utusan Malaysia, 24 Nov 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com