Terkini

Monday 21 January 2008

Malapetaka ekonomi kerana riba


OLEH DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
SEPANJANG minggu lalu, media massa antarabangsa sibuk melaporkan kemungkinan krisis besar ekonomi bakal melanda gergasi ekonomi dunia Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu laporan, Ben Bernanke iaitu bos tertinggi institusi mengawal selia sistem ekonomi dan kewangan AS (Federal Reserve), menjangkakan tahun 2008 bakal menyaksikan tahun terburuk sejarah ekonomi AS.
Kekalutan ekonomi AS yang bermula dengan krisis hutang perumahan subprima yang mencecah kerugian ratusan bilion dolar tampak semakin meruncing hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara itu. Untuk makluman, hutang subprima ialah hutang perumahan yang diberikan pihak bank kepada golongan peminjam yang tidak mempunyai kelayakan kewangan yang baik.
Lazimnya bank hanya memberikan pinjaman berpandukan kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.
Hutang
Hutang-hutang daripada pembiayaan perumahan ini kemudiannya diperdagangkan di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan pulangan lumayan kepada para pelabur. Apatah lagi jika yang menjual sijil-sijil hutang ini adalah dari kalangan bank-bank ternama AS. Penyimpangan persepsi bahawa bank-bank AS tidak mungkin rugi juga meningkatkan kepercayaan pelabur untuk membeli sijil-sijil hutang subprima yang berkualiti rendah ini.
Namun keadaan ini tidak bertahan lama. Peningkatan hutang lapuk lantaran kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian sijil hutang subprima ini tidak terkecuali daripada mengalami kerugian besar.
Natijahnya, kita lihat betapa seriusnya krisis hutang subprima ini sehingga menimbulkan malapetaka yang maha hebat bukan sahaja ke atas ekonomi AS bahkan terhadap ekonomi dunia. Peningkatan harga minyak yang mencecah AS$100 setong kerana kemerosotan mendadak nilai dolar akibat krisis ekonomi ini turut memberi kesan kenaikan harga pasaran komoditi dunia yang lain.
Pengguna seperti kita juga tidak ketinggalan merasai bahang kejatuhan ekonomi AS dengan peningkatan mendadak harga barang kegunaan asas termasuklah kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah.
Tidak sukar menelah punca kepada segala malapetaka ini. Malah bekas Pengerusi tersohor bank pusat AS (Federal Reserve) iaitu Alan Greenspan telahpun menjangkakan malapetaka ini dalam bukunya yang baru diterbitkan bertajuk The Age of Turbulence.
Sesungguhnya malapetaka ekonomi yang sedang melanda ini merupakan suatu natijah daripada kebobrokan sistem kapitalis berasaskan manipulasi kadar faedah atau lebih tepat lagi ekonomi berasaskan riba. Kerakusan manusia mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa termasuklah pelbagai keuntungan atas angin yang diperoleh melalui spekulasi ke atas kadar faedah menambahkan lagi masalah ekonomi yang sedia parah.
Hakikat
Menyedari hakikat inilah, Islam sejak dari awal lagi mengharamkan urus niaga ekonomi berasaskan riba yang amat terkait dengan unsur-unsur ketidakadilan, penindasan dan ekploitasi. Sistem ekonomi kapitalis berorientasikan riba dan manipulasi kadar faedah ini merangsang kegiatan mencari untung atas angin yang kadangkala tidak terkait dengan sektor pengeluaran mahupun perkhidmatan sebenar yang disebut istilah ‘real economy’.
Malah sistem ekonomi sebeginilah yang amat sensitif kepada krisis dan manipulasi hingga boleh memudaratkan seluruh umat manusia. Sebab itulah Allah menegaskan secara khusus bahawa urus niaga berasaskan riba tidak akan sesekali mendapat barakah malah boleh membawa kepada kecelakaan dan kesengsaraan.
Prinsip
Dalam al-Quran disebutkan: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (al-Baqarah: 276)
Apa yang pasti sistem ekonomi Islam menitikberatkan prinsip keadilan dan bebas daripada unsur-unsur penindasan. Keuntungan atas angin tidak dibenarkan dalam Islam. Sebaliknya setiap keuntungan yang dijana mestilah ada unsur ‘iwad atau pertukaran nilai (counter-
values) sama ada dari segi usaha (al-kasb), risiko (al-ghurm) dan tanggungan (al-dhaman).
Sebagai contoh, apabila Allah mengharamkan riba, Dia memberi alternatif jual-beli (al-Baqarah: 275). Keuntungan yang dihalalkan melalui jual-beli (al-bai‘) ialah apabila adanya usaha kerana penjual harus membeli barangan daripada pembekal sebelum menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada kos asal. Penjual juga mesti bersedia menanggung kerugian (al-dhaman) dan risiko (al-ghurm) lain sekiranya barangan yang dijual itu rosak atau tidak terjual. Inilah sebahagian daripada elemen ‘iwad yang membezakan keuntungan dalam jual beli dengan faedah berupa riba dalam kontrak hutang.
Justeru tiba masanya umat kembali kepada sistem ekonomi Islam yang bukan sahaja bebas daripada unsur riba tetapi yang lebih utama menjunjung prinsip keadilan dan kebajikan dalam urus niaga, bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Keuntungan yang diperoleh melalui jalan halal akan menambah keberkatan. Sebaliknya keuntungan atas angin melalui urus niaga riba hanya menjerumus umat manusia kepada kecelakaan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment