Terkini

Monday, 21 January 2008

Biaya beli motor berlandas syariah


AZMI & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd (ANNHSB), pemilik cop dagangan Putrabikes melangkah setapak lagi ke depan dengan menjadi perintis kepada pembiayaan pembelian motosikal berlandaskan prinsip syariah melalui skim Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ (Aitab).ANNHSB yang 100 peratus milik Bumiputera menjadi satu-satunya syarikat penjual pelbagai jenis motosikal baru dan terpakai selain penyedia khidmat baik pulih lepas jualan yang menggunakan pembiayaan Islam dalam jual beli.Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata pengenalan pembiayaan pembelian motosikal berlandaskan syariah oleh ANNHSB adalah satu perkembangan membanggakan dalam industri motosikal negara.“Penawaran produk kewangan berlandaskan syariah seperti Aitab ini selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa.
“Apa yang diperkenalkan ANNHSB satu perkara baru dalam industri motosikal dan diharap sebagai akan berjaya dan diikuti lebih banyak penjual motosikal seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran pembiayaan motosikal Aitab dan pembukaan bilik pameran serta penjenamaan Putrabikes ANNHSB di Rantau Panjang, Klang, semalam.


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil. Nor Mohamed berkata, kejayaan negara mewujudkan sistem kewangan Islam yang lengkap seiring dengan sistem kewangan konvensional kini menjadi rujukan kepada banyak negara.Sementara itu, Pengarah Urusan ANNHSB, Azmi Ismail, berkata walaupun 70 peratus hingga 80 peratus daripada pembeli motosikal terdiri daripada golongan beragama Islam, pembiayaan berlandaskan prinsip syariah seperti Aitab tidak pernah diperkenalkan wakil pengedar motosikal di pasaran.“Tidak wujud jumlah bayaran pampasan lewat bayar (add on) seperti diamalkan perjanjian konvensional iaitu faedah lewat bayar akan ditambahkan kepada jumlah pinjaman asal dalam pembiayaan berlandaskan syariah.“Skim Aitab yang pertama di negara ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hub kewangan Islam sedunia selain mengelakkan syarikat dan pembeli daripada riba,” katanya.Azmi berkata, pihaknya yakin melalui pelbagai strategi pemasaran dan jualan selain pengenalan Aitab, sasaran menjual sehingga 2,800 unit motosikal tahun ini mampu dicapai.Mereka yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan Aitab sehingga 80 peratus dengan kelulusan segera perlu mengemukakan beberapa dokumen di mana-mana cawangan Putrabikes.“Dokumen diperlukan adalah kad pengenalan, lesen memandu, slip gaji untuk tiga bulan, dokumen sokongan untuk bukti pendapatan, penyata bank, bil telefon, air atau elektrik yang terkini,” katanya. ANNHSB berkecimpung dalam industri motosikal sejak 1996 dengan menjadi wakil pengedar Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) selain jenama Yamaha dan mempunyai beberapa cawangan di Kamunting dan Simpang, Perak dan terbaru di Rantau Panjang, Klang.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment