Terkini

Tuesday 29 January 2008

MyETF-DJIM25 mantapkan hab kewangan Islam

Oleh AISHAH RAZAK
Utusan Malaysia

ALIRAN negara-negara Islam atau institusi swasta untuk menubuhkan kemudahan produk bank dan dana pelaburan berlandaskan kepada ajaran Islam kian meningkat dan diminati oleh pelabur di Malaysia, begitu juga di Asia Barat dan Eropah.
Pelancaran MyETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25 (MyETF-DJIM25) oleh i-VCAP Management Sdn. Bhd., pada 21 Januari lalu adalah bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri pada Persidangan Invest Malaysia yang diadakan pada 23 Mac 2007.
Dalam ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, beliau mengumumkan penubuhan Dana Dagangan Bursa (Exchange Traded Funds atau ETFs) untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. Kata beliau, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menukarkan pegangan saham dalam sesetengah syarikat pelaburan, terutama sekali dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi melanggan unit ETF.
ETF secara kolektif mempunyai saiz permulaan dana sekurang-kurangnya RM3.5 bilion. Oleh itu, Perdana Menteri yakin ETF akan membantu menambah kecairan dan menggalakkan penyertaan peruncit yang lebih besar dalam pasaran ekuiti.
Hasrat itu terlaksana pada Isnin minggu lalu. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika melancarkan MyETF-DJIM25 berkata, sekarang adalah masa terbaik bagi GLIC untuk berbuat demikian, memandangkan prestasi kebanyakan GLC semakin baik selepas mengikuti program transformasi.
Menurut beliau, Kumpulan G20 yang merupakan 20 syarikat utama GLC telah mencatat peningkatan dalam modal pasaran sebanyak 83 peratus kepada RM276 bilion sehingga 31 Disember lalu, berbanding RM145 bilion pada 14 Mei 2004, ketika program transformasi GLC mula dilancarkan.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Rusinah Siron berpendapat MyETF-DJIM25 memenuhi keperluan pelaburan untuk masyarakat Malaysia yang terdiri pelbagai kaum di mana kini semakin ramai bukan Islam mengguna perkhidmatan kewangan Islam.
PelaksanaanBeliau menambah, dengan pelbagai pelaksanaan ekonomi Islam oleh kerajaan, maka akan meningkatkan kecenderungan rakyat tanpa mengira kaum untuk menyertai skim-skim pelaburan secara syariah.
"Bangsa-bangsa lain tidak takut melabur dalam pelaburan Islam kerana sekuritinya dijamin oleh kerajaan," kata Dr. Rusinah yang merupakan Pensyarah Utama, Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, Universiti Tenaga Nasional.
Dalam aspek peranan GLC dan GLIC dalam MyETF-DJIM25, beliau yakin ia akan menambahkan keyakinan pelabur untuk memasuki pasaran baru ini.
"Reputasi GLC dan GLIC adalah baik dan ini dapat meyakin bukan sahaja kepada pelabur Melayu tetapi juga meningkatkan perpaduan kaum kerana skop pelaburan adalah luas.
"Kalau saya sebagai pelabur, saya tidak ada rasa curiga terhadap ETF yang ditunjangi oleh GLC. Tinggal lagi MyETF-DJIM25 perlu memberi tumpuan pada kepimpinan, kreativiti mempromosikan produk, tingkatkan keyakinan masyarakat dengan dividen dan harga saham yang menarik, keselamatan pelaburan dan komunikasi," komen Dr. Rusinah.
Pelancaran ETF ini menunjukkan satu lagi langkah ke hadapan kerajaan yang tepat masanya sekarang dan melonjakkan lagi pasaran modal negara, kata penganalisis dan pengurus dana.
"Langkah ini sudah tentu baik untuk pasaran modal dan memberi lebih pilihan pelaburan kepada para pelabur. Saya yakin ETF akan menjadi perolehan pelaburan yang baik kepada pelabur tempatan dan juga asing.
"Bagaimanapun penyertaan pelabur kecil mungkin kecil disebabkan kekurangan pemahaman cara ETF diurusniagakan," kata Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan.
Beliau menjangkakan ETF akan menjadi tarikan pelabur terutama dari Asia Barat yang mencari produk pelaburan berlandaskan syariah.
Pakar industri pelaburan juga menjangkakan sudah tiba masa ETF dilancarkan dan perlu mengambil kesempatan keperluan yang meningkat daripada pelabur Asia Barat untuk melabur lebihan dana mereka berikutan peningkatan pendapatan daripada kenaikan harga minyak dunia.
ETF menurut eksekutif firma pelaburan tempatan, suatu yang menarik apabila melihat syarikat yang melabur di bawahnya turut terdiri daripada saham blue chip GLC. Beliau turut menjangkakan ETF akan menerima sambutan yang baik daripada para pelabur Asia Barat.
"Kepelbagaian pilihan dalam pasaran saham akan memberi lebih cita rasa kepada pelabur terutama Asia Barat. Bagi institusi dana tempatan, mereka juga berminat kerana ia memberi nilai kepada pelaburan mereka," tambah beliau.
Dalam konteks ETF, perkembangan ini mendorong i-VCAP yang mengurus MyETF-DJIM25 untuk memperkenalkan Dana Dagangan Bursa ini di pasaran tempatan.
MyETF-DJIM25 yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 31 Januari ini membolehkan pelabur mendapat pendedahan kepada pelaburan dalam 25 syarikat utama di Bursa Malaysia yang mematuhi syariah.
MyETF-DJIM25 akan menjejak prestasi penanda arasnya, iaitu Indeks Pasaran Islam Dow Jones Malaysia Titans 25 yang meliputi 25 syarikat utama di Bursa Malaysia dengan kegiatan merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, telekomunikasi, minyak dan gas, pembinaan, infrastruktur dan pengangkutan.
Sepuluh syarikat utama dalam indeks itu ialah Sime Darby Bhd, IOI Corporation Bhd, DiGi.Com Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd, MISC Bhd, Gamuda Bhd, PPB Group Bhd, KNM Group Bhd, PLUS Expressways Bhd, dan SP Setia Bhd.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment