Terkini

Friday 18 July 2008

Tabung Haji disaran beri pinjaman mengikut kaedah "Qardhul Hassan" kepada golongan muda tunai haji

KUALA LUMPUR 17 Julai — Seorang senator hari ini menyaran Lembaga Tabung Haji (TH) dan insitusi-institusi kewangan Islam memberikan pinjaman tanpa faedah mengikut kaedah “Qardhul Hasan” kepada golongan muda untuk menunaikan fardhu haji ke tanah suci.
Senator Mumtaz Md Nawi berkata, pinjaman itu wajar diberikan kepada umat Islam yang layak sebagai usaha menggalakkan mereka menunaikan haji atau umrah semasa usia masih muda.
“Sekiranya mereka dibenarkan untuk meminjam 40 peratus daripada pendapatan mereka untuk membiayai kos melancong ke luar negara, membiayai rumah dan kereta mewah, jadi amat wajar agar pihak institusi kewangan Islam dan pihak swasta membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos umrah atau haji ini,” katanya.
Kaedah Qardhul Hasan merupakan satu kaedah di mana peminjam hanya perlu membayar balik wang dipinjamnya tanpa sebarang faedah atau riba.
Beliau mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada persidangan Dewan Negara di sini.
“Masalahnya rakyat kita akan menabung dan mendaftar haji di TH setelah berusia lanjut.
“Ini akan memberikan kesan ketika menunaikan haji kerana ibadah itu memerlukan stamina yang kuat dan akan menyukarkan mereka yang telah berusia berbanding jika menunaikan haji semasa muda,” kata Mumtaz.
Selain itu, katanya bagi pendeposit dan pendaftaran haji pada tahun ini, mereka hanya layak menunaikan haji pada 2021. - Bernama
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment