Terkini

Saturday 23 June 2007

CIMB, Bank Pelaburan Islam Eropah jalin kerjasama

KUALA LUMPUR 20 Jun (Utusan) – Institusi kewangan kedua terbesar Malaysia, CIMB Group, memeterai perjanjian Komoditi Murabahah dan Perjanjian Hadapan-Pertukaran Asing (FX) dengan Bank Pelaburan Islam Eropah (EIIB) yang berpangkalan di London.
Kerjasama dengan EIIB itu dijangka dapat menyokong matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menggalakkan bank-bank Malaysia untuk memperkenal dan mengembangkan aktiviti perbankan Islam mereka di pasaran luar negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abdul Ghani, hari ini.
Majlis permeterian itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Sukuk London dan disaksikan oleh Gabenor BNM Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Abdul Aziz Mohammed.
“Lesen kami di UK membenarkan kami menjalankan pelbagai perniagaan perbankan Islam dan kami sentiasa meningkatkan tawaran perkhidmatan ini untuk menyediakan kepada pelanggan kami, termasuk mereka yang berada dalam Majlis Kerjasama Teluk,” kata Badlisyah.
Perkembangan terbaru ini mengukuhkan lagi kedudukan CIMB Group dalam perbankan Islam di UK, terutamanya dalam segmen pasaran wang Islam dan pertukaran asing, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Badlisyah berkata, inisiatif kerajaan UK itu berkaitan dengan perbankan Islam membolehkan peserta-peserta seperti CIMB Islamic menjalankan banyak perniagaan di UK dan menawarkan kepada pelanggan pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan Islam.
“Majoriti urus niaga perbankan Islam di UK berpusat kepada skim pembiayaan rumah. Kerjasama kami dengan EIIB akan membolehkan kami membawa lebih banyak produk ke pasaran UK,” katanya.
Terdahulu CIMB Group memeterai perjanjian dengan BNM untuk menyertai Program Komoditi Murabahah (CMP).
CMP merupakan instrumen yang berfungsi sebagai skim pengurusan mudah tunai bagi deposit semalaman dan jangka pendek bank Islam, menggunakan minyak sawit mentah sebagai perdagangan komoditi asas bagi pelaburan.
BNM telah melaksanakan perjanjian CMP dengan lapan institusi perbankan untuk memperkenalkan penggunaan instrumen bagi pengurusan mudah tunai.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment