Terkini

Monday 25 June 2007

Pembiayaan peribadi secara Islam paling popular di kalangan pelanggan

SETIAP individu memerlukan wang untuk menjalani kehidupan sehariannya. Namun kebanyakannya tidak mempunyai wang yang cukup untuk memiliki keperluan seperti perumahan dan kenderaan. Oleh itu individu terlibat terpaksa mendapatkan pembiayaan bagi memiliki keperluan tersebut. Selain itu, individu juga memerlukan wang tambahan untuk kegunaan peribadi yang lain seperti membiayai pengajian anak, mengubahsuai rumah, membeli komputer dan sebagainya. Pembiayaan bagi maksud di atas boleh didapati di bank-bank Islam dan bank-bank di bawah Skim Perbankan Islam. Sehingga kini terdapat lebih 20 produk pembiayaan secara Islam yang ditawarkan oleh bank-bank tersebut bagi memenuhi keperluan peribadi masing-masing. Statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sehingga Jun 2007 menunjukkan bahawa Pembiayaan Peribadi secara Islam merupakan pembiayaan paling popular di kalangan pelanggan. Pembiayaan peribadi ini telah meningkat sebanyak 36 peratus daripada RM4.2 bilion pada April 2006 kepada RM5.7 bilion pada April 2007. Kadar ini merupakan lebih dua kali ganda berbanding pertumbuhan kemudahan Kad Kredit Islam (18.9 peratus) dan lebih tiga kali ganda berbanding pertumbuhan pembiayaan Islam keseluruhannya (9.8 peratus) bagi tempoh yang sama. Pertumbuhan yang pesat ini disebabkan kempen yang giat dijalankan oleh bank-bank serta permintaan yang tinggi terhadap kemudahan tersebut. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merupakan bank pertama yang menawarkan Pembiayaan Peribadi secara Islam pada tahun 1997. Kemudahan ini ditawarkan bagi memenuhi keperluan peribadi individu terutama selepas berlakunya kegawatan ekonomi. Had maksimum yang ditawarkan oleh BIMB ketika itu adalah RM25,000 untuk tempoh bayaran balik sehingga lima (5) tahun. Dengan pembiayaan yang disediakan itu, BIMB telah dapat sedikit sebanyak membantu pelanggan menikmati kehidupan yang lebih baik selain memenuhi tuntutan fardu kifayah. Ketika itu, tidak banyak bank yang bersedia menawarkan pembiayaan sedemikian kerana tanggapan negatif akan risiko yang bakal dihadapi. Kini, situasinya berbeza sekali di mana didapati hampir kesemua bank di Malaysia, termasuklah bank-bank besar yang dahulunya kurang berminat, kini berlumba-lumba menawarkan Pembiayaan Peribadi secara Islam dengan ciri-ciri yang menarik seperti had pembiayaan yang tinggi, kadar keuntungan yang kompetitif dan tanpa penjamin bagi kes-kes tertentu. Terkini, salah sebuah bank Islam asing yang beroperasi di Malaysia telah menawarkan Pembiayaan Peribadi secara Islam sehingga RM150,000 di mana status kelulusannya dapat diketahui dalam tempoh yang sangat singkat (dilaporkan mengambil masa hanya satu jam) jika semua syarat dipenuhi. Ini merupakan satu lagi sumber pembiayaan peribadi yang boleh diperolehi oleh individu di samping yang telah disediakan oleh bank-bank lain. Syarat-syarat yang dikenakan oleh bank-bank bagi mendapatkan Pembiayaan Peribadi secara Islam didapati agak sama, antaranya: pemohon mestilah warganegara Malaysia; berumur 18 tahun ke atas; bekerja dan berpendapatan tetap; telah disahkan dalam jawatan dan mengemukakan penjamin yang boleh diterima bank. Pemohon juga dikehendaki mengemukakan beberapa dokumen seperti borang permohonan, salinan kad pengenalan, surat pengesahan majikan dan penyata gaji. Kebanyakan bank ketika ini menawarkan Pembiayaan Peribadi secara Islam menggunapakai kontrak Bai ‘Inah. Secara ringkasnya, di bawah kontrak tersebut, bank akan menjual asetnya kepada pelanggan secara tangguh dan kemudian membeli semula aset tersebut daripada pelanggan secara tunai dengan harga yang lebih rendah daripada harga jualan bank tadi. Sebagai contoh transaksi di bawah kontrak Bai ‘Inah di mana pelanggan ingin mendapatkan pembiayaan sebanyak RM20,000 selama lima (5) tahun pada kadar keuntungan 5.8 peratus. Transaksi bermula dengan bank menjual asetnya kepada pelanggan dengan harga tangguh sebanyak RM25,800. Pelanggan dikehendaki membayar balik RM430 sebulan selama 60 bulan. Seterusnya, bank akan membeli balik aset yang dijualkannya tadi daripada pelanggan dengan harga RM20,000 tunai. Bank kemudiannya akan membayar pelanggan RM20,000. Dengan selesainya transaksi ini, kedua-dua pihak iaitu pelanggan mendapat wang yang diperlukannya sebanyak RM20,000 dan bank pula mendapat bayaran daripada pelanggan sebanyak RM25,800 termasuk keuntungannya berjumlah RM5,800. Kontrak Bai ‘Inah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Perkara penting yang perlu diteliti dan diberi perhatian dalam menyempurnakan aqad Bai ‘Inah adalah pematuhan segala prosedur termasuklah semua rukun dan syarat seperti yang digariskan oleh Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan, Bank Negara Malaysia. - (Utusan, 25 Jun 07, IBFIM-Siri 17)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment