Terkini

Tuesday 29 May 2007

Kuwait jadikan Malaysia pangkalan perbankan Islam

SHAH ALAM 29 Mei – Kerajaan Kuwait mahu menjadikan Malaysia sebagai pangkalan utamanya bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan perbankan Islam di rantau Asia, kata Menteri Kewangannya, Bader Mishari Al-Humaithi.
Sehubungan itu, katanya, Kuwait Finance House Malaysia Berhad (KFHM) iaitu bank asing pertama yang diberi lesen perbankan Islam di negara ini dilihat mampu memainkan peranan itu selain berfungsi sebagai bank alternatif kepada pelanggan melalui produk inovatif dan perkhidmatannya.
Menurut beliau, antara pendorong utama pertumbuhan KFH di rantau ini adalah sokongan dan komitmen kerajaan Malaysia dalam menjadikan negara ini sebagai pusat perbankan Islam.
‘‘Dalam pada itu, pelaburan Kuwait di Malaysia terutamanya yang datangnya daripada sektor swasta adalah amat baik dan kita juga ingin melihat pelabur, kontraktor dan usahawan di negara ini datang ke Kuwait dan terlibat dengan pembangunan dalam pelbagai sektor di sana,” katanya kepada pemberita semasa majlis pembukaan cawangan kedua KFHM di Wisma sunwaymas, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan KFHM, K. Salman Younis berkata, KFH telah memainkan peranannya dalam membawa pelabur-pelabur dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke Malaysia.
GCC dianggotai oleh Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
‘‘Kami akan teras memainkan peranan dalam membawa pelabur dari GCC ke sini dan Malaysia ke GCC,” katanya.
Beliau juga berkata, KFHM akan membuka lima lagi cawangannya di negara ini pada tahun ini.
“Kita mahu membuka cawangan di Johor, Pulau Pinang dan selebihnya di Lembah Klang,” jelasnya.
Cawangan pertamanya di Malaysia terletak di tingkat bawah bangunan MNI Tower 2, di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
KFH yang diperbadankan di Kuwait pada tahun 1977, telah disenaraikan di Bursa Saham Kuwait.
Ia merupakan peneraju dalam industri perbankan Islam di Kuwait dan terbabit dalam bidang korporat dan pelaburan, perbankan komersial dan peruncitan.
(Utusan)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday 28 May 2007

Takaful keluarga jadi alternatif insurans nyawa berlandaskan Islam

TAKAFUL KELUARGA
PADA 15 Jun 1972, keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa “Insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu;
a. Mengandungi gharar (ketidaktentuan)
b. Mengandungi unsur judi.
c. Mengandungi muamalah riba.”
Sehubungan itu, apakah alternatif yang ada bagi umat Islam di Malaysia, selain daripada insurans nyawa? Jawapannya ialah takaful keluarga. Apakah itu takaful keluarga? Takaful keluarga dapat memberikan perlindungan serta memperoleh simpanan jangka panjang. Istilah perlindungan bermaksud sekiranya berlaku kematian atau keilatan (hilang keupayaan) dan lain-lain musibah ke atas anda ataupun keluarga anda, maka anda akan mendapat pampasan (biasanya dalam bentuk kewangan) yang bersesuaian dengan bentuk musibah dan perlindungan serta sumbangan yang anda pilih. Yang dimaksudkan dengan simpanan pula adalah anda boleh mendapat semula wang sumbangan anda setelah kontrak perlindungan anda matang dan juga mendapat manfaat mudharabah, iaitu perkongsian keuntungan antara syarikat dan anda. Ini kerana sebahagian sumbangan anda akan di masukkan ke dalam perlindungan sekiranya anda ditimpa musibah, manakala sebahagian lagi akan didepositkan sebagai simpanan dan pelaburan, dan anda berhak menikmati pulangan pelaburan daripada sumbangan simpanan. Berikut adalah skim-skim yang terdapat di dalam takaful keluarga :-
SKIM TAKAFUL KELUARGA INDIVIDU (PERSEORANGAN)
Merupakan satu skim perlindungan bercirikan tabungan yang biasa ditawarkan kepada peserta individu untuk melindungi diri atau ahli keluarga mereka. Skim Takaful Keluarga Individu termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan rider. Rider atau manfaat tambahan memberi perlindungan tambahan daripada takaful keluarga asas seperti manfaat hospital dan pembedahan. Pelan pelajaran atau lebih dikenali sebagai Skim Takaful Pendidikan bertujuan mewujudkan tabungan bagi pendidikan anak-anak. Keistimewaan skim ini ialah ia boleh memberi manfaat tambahan kepada peserta dan juga anak tanpa melibatkan pembayaran sumbangan tambahan. Di sesetengah syarikat, peserta di benarkan mengeluarkan sebahagian daripada simpanan tabungan untuk tujuan pendidikan anak-anak ketika mereka berusia 15 atau 18 tahun.
SKIM TAKAFUL GADAIJANJI (MRTA)
Skim Takaful Gadai janji atau MRTA ialah pelan takaful keluarga yang melindungi baki pembelian rumah seseorang individu semasa tempoh pembayaran ansuran kepada pembiaya (institusi kewangan atau pihak bank). Skim ini tiada unsur simpanan dalam perlindungannya. Skim ini akan menyelesaikan baki pembiayaan perumahan peserta sekiranya peserta meninggal dunia atau mengalami keilatan kekal. Apabila pembiayaan perumahan telah ditebus, kediaman tersebut akan ditukar milik kepada peserta atau Waris peserta. Peserta hanya membayar sumbangan sekali sahaja bagi takaful gadai janji apabila mengambil pembiayaan perumahan. Kadar sumbangan bergantung kepada umur peserta, jumlah pembiayaan perumahan, kadar keuntungan dan tempoh pembiayaan tersebut. Peserta layak mendapat balik sumbangan takaful secara pro rata ke atas tempoh takaful yang belum lupus, sekiranya peserta menjual rumah tersebut atau membuat penebusan awal pembiayaan perumahan mereka.
SKIM TAKAFUL KELUARGA BERKUMPULAN
Merupakan skim yang direka khas untuk disertai oleh peserta dalam bentuk berkumpulan seperti Koperasi, Persatuan, Pertubuhan, Kesatuan atau mana-mana organisasi yang ingin memberikan perlindungan kepada ahli mereka. Peserta akan menerima manfaat perlindungan daripada keilatan menyeluruh, manakala waris peserta akan mendapat manfaat apabila berlakunya kematian.
SKIM TAKAFUL ANUITI
Merupakan pelan yang memberi pendapatan tetap selepas peserta bersara.
SKIM TAKAFUL BERKAITAN PELABURAN
Merupakan satu skim di mana sebahagian daripada sumbangan peserta akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti yang diluluskan syariah dan bakinya pula adalah untuk perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal. Bagaimana untuk mendapatkannya? Polisi atau sijil takaful biasanya dibeli melalui khidmat perantara yang dipanggil agen atau wakil yang dilantik oleh pengendali-pengendali takaful untuk berkhidmat bagi pihak mereka. Namun pengguna juga boleh menyertai produk takaful secara langsung daripada pengendali takaful yang tidak menggunakan khidmat perantara. Perkembangan teknologi, perubahan nilai dan cita rasa masyarakat serta kemajuan ekonomi negara telah memberi impak yang besar terhadap perkembangan industri takaful seterusnya kepelbagaian pelan-pelan takaful keluarga masa kini. Sebagai pengguna, anda bebas dan harus bijak memilih perlindungan yang lebih baik terutamanya dari segi keperluan, kos mahu pun kualiti perkhidmatan yang diingini. Kebebasan memilih ini selaras dengan kehendak dan tuntutan Islam yang mengutamakan prinsip adil dan ihsan dalam setiap urusan. - (IBFIM siri)

Thursday 17 May 2007

Bank Negara, Hollandi Bank meterai perjanjian Murabahah Komoditi

KUALA LUMPUR 17 Mei (Utusan)– Bank Negara Malaysia (BNM) telah menandatangani satu perjanjian Murabahah Komiditi dengan Saudi Hollandi Bank yang berpangkalan di Dubai, institusi perbankan Islam pertama di luar Malaysia berbuat demikian dengan bank pusat itu.


BNM dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, ia telah memperkenalkan Program Murabahah Komoditi (CMP) dalam bulan Mac tahun ini sebagai sebahagian daripada instrumen dasarnya yang pelbagai dalam menguruskan kecairan jangka pendek dalam pasaran wang sesama bank Islam Malaysia.


“Murabahah Komoditi ialah produk deposit tunai berasaskan konsep Islam yang diterima di seluruh dunia mengenai transaksi komoditi untuk memudahkan pengurusan dan pelaburan kecairan,” katanya.


CMP adalah transaksi berasaskan komoditi yang menggunakan kontrak berasaskan minyak sawit sebagai pendasar asetnya.


Awal tahun ini, BNM telah melaksanakan perjanjian induk dengan lapan institusi perbankan Islam di Malaysia.


Institusi itu ialah Kuwait Finance House, Al-Rajhi Bank, Bank Muamalat, Bank Islam, Asian Finance Bank, RHB Islamic Bank, CIMB Islamic Bank dan EON CAP Bank.


Program itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan BNM untuk merangsang inovasi produk bagi memudahkan pengurusan kecairan institusi kewangan Islam.


Dengan adanya penyertaan institusi kewangan Islam asing, ia akan mengukuhkan lagi sesama hubungan rentas sempadan serta aliran pelaburan antara pusat-pusat kewangan Islam, kata BNM.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 15 May 2007

Khidmat kewangan Islam perlukan tumpuan

DUBAI 15 Mei – Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, lebih banyak tumpuan perlu diberikan ke arah mencapai matlamat bersama mengenai masa depan industri khidmat kewangan Islam.
Beliau berkata, penjelasan mengenai skop dan kedudukan aktiviti perniagaan institusi kewangan dan pasaran kewangan penting untuk mencapai kestabilan kewangan.
Bagaimanapun, dalam khidmat kewangan Islam semasa, wujud ketaksamaan serta kurangnya penjelasan mengenai skop dan keadaan khidmat kewangan Islam yang dibenarkan dalam setiap pusat masing-masing, kata Zeti.
Beliau berkata demikian dalam pembentang menerusi video pada pembukaan Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) keempat, bertema “Perlunya pendekatan merentas sektor dalam kawal selia khidmat kewangan Islam”, di sini.
Zeti meninggalkan Dubai kerana urusan keluarga yang perlu disegerakan.
Zeti berkata, cabaran untuk pengawal selia ialah untuk merangka kerangka kawal selia yang menyeluruh yang dapat menangani sepenuhnya pendedahan risiko oleh institusi kewangan Islam.
Perbankan kewangan Islam di Malaysia mungkin, sebagai contoh, mempunyai parameter mengenai skop perniagaan dan aktiviti yang dibenarkan berbanding institusi perbankan Islam di tempat lain, katanya.
“Ini mungkin menimbulkan ketaksamaan dalam pemahaman di kalangan pengawal selia sektor dan peserta industri serta skop aktiviti perniagaan Islam dalam institusi kewangan Islam di tempat lain,” katanya.
Oleh itu, perlu ada pendapat yang sama mengenai keadaan dan skop aktiviti perniagaan bagi sesebuah institusi kewangan Islam, operator takaful atau peserta pasaran modal Islam untuk memberi panduan dalam membangunkan industri itu dengan sempurna, kata Zeti.
“Pendeknya, pembangunan berstruktur industri itu yang mampu memenuhi permintaan baru dalam persekitaran itu serta untuk menangani cabaran-cabaran yang baru muncul, penting dalam memastikan pembangunan mampan industri khidmat kewangan Islam,” katanya kepada lebih 300 peserta yang menghadiri sidang kemuncak itu.
– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com