Terkini

Sunday 25 November 2007

Krisis ekonomi dari perspektif Islam

Sepanjang beberapa minggu lalu, masyarakat dihebahkan mengenai harga barangan di pasaran yang berpotensi untuk terus meningkat naik. Peningkatan harga di pasaran bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan merupakan fenomena global yang sedang dan bakal dihadapi oleh seluruh warga dunia.
Umum maklum bahawa fenomena peningkatan harga barangan yang berlaku amat terkait dengan malapetaka ekonomi yang melanda Amerika Syarikat ketika ini. Malapetaka ekonomi yang dimaksudkan ialah kejatuhan luar biasa pasaran jual beli hutang atau dikenali sebagai ‘subprime mortgage’ yang setakat ini telah mencecah kerugian sebanyak AS$400 bilion. Nilai mata wang Amerika Syarikat (AS) juga turut menerima kesan apabila jatuh pada kadar terendahnya minggu lalu ke paras 1.444 berbanding mata wang Euro.
Dalam realiti ekonomi global, malapetaka ekonomi yang disebabkan oleh krisis pasaran hutang AS secara langsung mahupun tidak akan memberi kesan kepada ekonomi dunia. Kejatuhan berterusan nilai mata wang AS yang menjadi mata wang asas dalam perdagangan antarabangsa pastinya akan mempengaruhi kenaikan harga pasaran komoditi-komoditi utama dunia. Buktinya, harga minyak minggu lalu sahaja telah mencecah ke paras AS$95 (RM316) setong manakala komoditi lain seperti emas mencecah paras tertinggi sejak 1980 iaitu AS$800 seounce.
Senario yang penulis ungkapkan ini sebenarnya memberikan isyarat jelas bahawa masyarakat bakal berhadapan dengan bencana ekonomi pada bila-bila masa. Sekarang ini pun kita semakin merasai kenaikan harga barangan di pasaran. Namun situasi ini tidaklah pula bermakna kita harus pasrah sahaja dengan apa jua keadaan yang bakal melanda. Amat malang lagi kiranya kita hanya berpeluk tubuh mengharapkan keajaiban agar masalah mampu selesai tanpa sebarang usaha.
Sikap sebegini pastilah bertentangan dengan fitrah dan prinsip Islam sejati. Walhal, Islam mengajar kita agar sentiasa bersiap siaga dan merencana untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuklah dalam isu ekonomi.
Inilah yang diisyaratkan oleh Al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dalam perancangan lima belas tahun yang dilakukannya sebagai jalan keluar daripada krisis yang melanda negara. Salah satu langkah yang diambilnya dalam perancangan itu ialah mengurangkan aspek kepenggunaan dalam tahun- tahun kemakmuran, di samping menyediakan bahan-bahan makanan yang dapat disimpan untuk menghadapi tahun-tahun kemarau. Kisah ini dinukilkan oleh Al-Quran: Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan (Yusuf: 47).
Seterusnya ketika menghadapi tempoh krisis, pendekatan penjimatan dan pengagihan bekalan yang disimpan secara adil dan bijaksana turut ditekankan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah: Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (gandum) yang kamu simpan. (Yusuf: 48)
Pernyataan-pernyataan dalam Al-Quran sebagaimana yang terungkap dalam surah Yusuf di atas jelas mengisyaratkan betapa pentingnya pengurusan ekonomi secara bijaksana dalam menghadapi zaman gersang dan bencana. Ini termasuklah prinsip yang mengkehendaki setiap individu berjimat cermat dan berhemah dalam berbelanja terutamanya ketika senang bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya krisis ekonomi.
Memanglah dalam Islam, prinsip asal dalam muamalah berbelanja ialah setiap orang bebas untuk menggunakan segala kebaikan dan kenikmatan yang dihalalkan oleh Allah. Walau bagaimanapun kebebasan ini dibatasi oleh beberapa syarat yang bertujuan memastikan agar ia tidak mendatangkan kemudaratan dan kerugian kepada kepentingan awam.
Sebab itulah kepimpinan negara selaku ulil amri dibolehkan menggunakan pendekatan politik atau disebut sebagai “siyasah syariyyah” untuk mengekang dan membataskan kebebasan tersebut apabila wujud keadaan kecemasan (darurat) bagi menjaga kemaslahatan umat terbanyak.
Sebagai contoh, pernah dilaporkan oleh Ibn Jauzi dalam sirah Umar ibn al-Khattab bahawa pada masa kekhalifahannya beliau pernah melarang orang ramai untuk makan daging selama dua hari berturut-turut dalam satu minggu kerana bekalan daging sangat sedikit dan tidak mencukupi untuk semua orang di Madinah. Baginda turut menggunakan pendekatan siyasah syariyyah dengan melarang masyarakat menyembelih untuk sementara waktu sebagai langkah memastikan kepentingan rakyat terbanyak mampu dipertahankan.
Demikianlah prinsip dan nilai yang digariskan Islam agar umat sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan malapetaka. Justeru sudah tiba masanya penekanan diberikan kepada umat mengenai aspek muamalah dalam Islam sebagaimana mereka diasuh mengenai hal-ehwal ibadah. - Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI - (Utusan Malaysia, 24 Nov 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday 19 November 2007

Public Mutual lancar dana Islam labur di China

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual Bhd. (Public Mutual) akan melancarkan dana Islam China pertamanya, Public Dana China Ittikal (PCIF) esok.
Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, dana tersebut akan dilaburkan di rantau China.
‘‘PCIF akan mengambil manfaat daripada prospek pertumbuhan yang kukuh di rantau tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PCIF ialah sebuah dana ekuiti Islam yang bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam sebuah portfolio pelaburan yang memenuhi kehendak Syariah.
Menurut kenyataan itu, minimum 70 peratus nilai aset bersih (NAB) dana akan dilabur di rantau China iaitu di pasaran Hong Kong, China dan Taiwan.
Harga terbitan/NAB PCIF ialah sebanyak RM0.2500 seunit di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 20 November hingga 10 Disember ini.
Di sepanjang tempoh tawaran permulaan PCIF, bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit akan dikenakan ke atas pembelian unit PCIF oleh para pelabur.
Para pelabur yang memilih untuk melabur dengan Arahan Debit Terus dengan PCIF semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif.
Pelaburan permulaan minimum dana ini ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100.
Pelabur yang berminat boleh menghubungi mana-mana perunding unit amanah Public Mutual atau dail Talian Perkhidmatan Pelanggan 03-6279 5252 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana ini.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday 12 November 2007

Malaysia perkukuh kedudukan peneraju perbankan Islam global

TEHERAN 9 Nov. – Malaysia akan mengamalkan pendekatan pragmatik dalam usaha-usahanya untuk terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang perbankan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

“Malaysia telah pun mendahului dalam perbankan Islam di dunia dan kami berhasrat menjadikannya satu daripada misi kukuh kami,” katanya dalam satu wawancara dengan media asing di Dubai.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara pragmatik, terutamanya dalam menguruskan soal-soal ekonomi.

“Kami telah memberikan kelulusan kepada beberapa peserta asing (dalam perbankan Islam). Kami akan mempertimbangkan untuk memberikan lebih banyak lesen jika perlu berbuat demikian.

“Apa sahaja yang akan memperkukuhkan kedudukan kami, kami akan melihatnya secara positif,” tegasnya.

Mohd. Effendi mengetuai perwakilan yang dianggotai 40 pegawai kerajaan dan wakil-wakil syarikat swasta dalam lawatan ke Emiriyah Arab Bersatu dan Iran.

Misi itu bertujuan mengenal pasti peluang-peluang perniagaan berpotensi bagi syarikat-syarikat Malaysia.

Ia juga bertujuan mencari peluang perkongsian bagi syarikat-syarikat Malaysia dengan rakan niaga mereka di Asia Barat serta menarik pelabur-pelabur bagi pembangunan koridor ekonomi.

Proton Holdings Bhd., Petroliam Nasional Bhd., Khazanah Nasional Bhd., Multimedia Development Corp., UEM Group Bhd., Zaid Ibrahim & Co. dan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar adalah antara yang menghantar wakil bagi menyertai misi itu.

Sementara itu, beliau berkata, sistem pendidikan rendah dan tinggi sedang diubahsuai dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah hab pendidikan global.

“Kami sedang melakukan reformasi secara besar-besaran, termasuk mendapatkan kerjasama universiti-universiti bertaraf dunia seperti Cambridge. Kami juga merancang untuk menubuhkan sekolah pengurusan dan perniagaan bertaraf dunia,” katanya.

– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 8 November 2007

Riba di sebalik caj perkhidmatan PTPTN

KESEDIAAN kerajaan untuk meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi awal minggu ini pastilah mampu mengukir senyuman di kalangan penuntut menara gading yang kebanyakannya merupakan peminjam PTPTN. Ketika ini PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus berasaskan jumlah pinjaman pada setiap tahun kepada para pelajar yang meminjam daripada tabung tersebut.
Penulis turut berkongsi kelegaan dan kegembiraan dengan jaminan tersebut. Apatah lagi harapan penulis selama ini agar tabung pendidikan yang ditubuh khas kerajaan untuk memberi bantuan pinjaman kepada para pelajar bebas daripada unsur-unsur riba tampak semakin menjadi kenyataan.
Sejak awal diperkenalkan, isu caj perkhidmatan ini sememangnya tidak sunyi daripada polemik perdebatan di kalangan massa. Isu ini kembali menjadi tumpuan lebih-lebih lagi ketika kerajaan dilihat begitu serius dalam usaha memperhebatkan perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini. Pelbagai kempen yang dijalankan tampak semakin berjaya meningkatkan kesedaran rakyat mengenai halal haram dalam urusniaga muamalah khususnya berkaitan riba.
Sememangnya pembangunan sistem alternatif yang bebas riba amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah:278).
Kecelakaan riba ini turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan dalam satu hadis: “Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seseorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri.” (At-Tabrani, 7/158; Riwayat Al-Hakim).
Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.
Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulama banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah umat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.
Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis: “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba”.
Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyataka bahawa, “semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba”.
Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.
Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.
Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.
Demikianlah perincian yang dilakukan oleh para ulama dalam memperhalusi isu riba dalam urusniaga kewangan khususnya dalam aspek pemberian pinjaman yang sudah menjadi asam garam kehidupan hari ini. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.
Justeru, amat bertepatanlah langkah kerajaan untuk menilai kembali kaedah caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar. Ia sekaligus menggambarkan kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin dalam memartabatkan sistem kewangan Islam berteraskan prinsip syarak yang sebenar.

Oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Utusan Malaysia, 28 Oct 2007)

Soal-Jawab Kewangan Islam - Tawarruq

KAMI mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang mengikuti ruangan kewangan Islam ini dan juga kepada yang menghantar soalan-soalan menerusi e-mel kepada kami. Diharap melalui isu dan jawapan yang dikongsi dapat membantu para pembaca sekalian memahami lagi industri ini.

Yang sempat dimuatkan minggu ini adalah seperti berikut:

Soalan:

Mutakhir ini, didapati bermacam-macam produk kewangan Islam yang memakai prinsip-prinsip atau kontrak-kontrak Syariah yang jarang didengari sebelum ini. Dalam hal ini saya ingin bertanya tentang kontrak tawarruq yang diterima pakai dalam sesetengah produk perbankan Islam semasa?

Jawapan:

Kemusykilan saudara tentang hal berkenaan sebenarnya bukanlah suatu fenomena yang eksklusif yang dialami atau dirasai oleh saudara, malah fenomena ini turut dirasai oleh majoriti pengguna produk kewangan Islam di negara ini khususnya semenjak dasar liberalisasi dan keterbukaan polisi perbankan di negara kita mula diperkenalkan.

Untuk pengetahuan saudara, dalam menangani cabaran sistem kewangan yang begitu dinamik dan pesat perkembangannya, semacam persetujuan di kalangan para ulama dalam industri kewangan Islam di negara ini untuk mengamalkan sikap keterbukaan dalam menerima pandangan mazhab. Hal ini demkian khususnya disebabkan keperluan untuk menjaga maslahah sistem kewangan Islam supaya senantiasa kekal kompetitif dan berdaya saing serta senantiasa terkehadapan. Justeru, dewasa ini, kelihatan banyak produk dan instrumen yang di dasarkan diatas prinsip dan kontrak Syariah yang berasal atau terdapat dalam mazhab-mazhab lmuktabar yang lain selain daripada mazhab Syafie.

Secara ringkas mengenai kontrak tawarruq yang saudara tanyakan, ia sebenarnya adalah suatu kontrak yang melibatkan penjualan sesuatu barang kepada seseorang pembeli secara harga tertangguh. Pembeli tersebut kemudiannya menjual barang tersebut kepada orang ketiga secara tunai pada harga kurang daripada harga tertangguh dengan tujuan mendapatkan wang tunai..

Dari aspek bahasa, al-tawarruq dikatakan bahawa ia berakar dari perkataan Arab iaitu al-wariq, yang bermaksud wang perak, dirham atau logam perak Ia dinamakan tawarruq kerana ketika membeli barang tersebut secara bayaran bertangguh, pembeli tidak berniat menggunakan atau memanfaatkannya, tetapi hanya ingin menjadikannya laluan ke arah memperoleh wang tunai.

Kontrak al-tawarruq boleh digambarkan dalam pelbagai formasi. Namun secara kasarnya terdapat dua formasi al-tawarruq. Dalam formasi pertama , al-tawarruq berlaku dalam keadaan pembeli pertama membeli barangan secara ansuran dan menjualnya kepada pihak ketiga secara tunai dengan harga yang rendah. Dalam formasi sebegini, pihak ketiga tidak mempunyai kaitan langsung dengan penjual barangan pertama. Dalam kes sedemikian, penjual barangan pertama tidak boleh dikaitkan dengan jualan tunai yang dilakukan oleh pihak pembeli barangan selepas itu. Situasi ini diistilahkan sebagau al-tawarruq al-fardi oleh sesetengah sarjana mualamat semasa.

Walaupun pada prinsipnya al-tawarruq al-fardi dianggap harus oleh majoriti para ulama, tetapi setelah proses tawarruq menjadi satu kaedah untuk mendapatkan pembiayaan wang, para ulama telah berbeza pendapat tentang hukumnya.

Formasi kedua ialah formasi yang melibatkan amalan al-tawarruq yang digunakan dalam sesebuah sistem kewangan yang menjadikannya sebagai satu medium pembiayaan yang sistematik. Dalam hal ini, dalam kebanyakan keadaan, pembeli barangan terakhir tadi bertindak sebagai wakil kepada penjual barangan pertama ataupun penjual pertama akan mewakili pembeli terakhir dalam menguruskan kontrak. Menurut sesetengah penyelidik muamalat kontemporari, kaedah al-tawarruq sedemikian layak diistilahkan sebagai al-tawarruq al-munazzam atau al-tawarruq al-masrafi. Kebanyakan sistem perbankan moden mengamalkan tawarruq masrafi atau munazzam untuk memudahkan para pelanggan mendapatkan tunai (cash) tanpa perlu mencari pembeli barangan yang dibeli daripada bank.

Dalam konteks perbandingan secara kasar antara kontrak bay’ al-‘inah dengan kontrak al-tawarruq, kedua-duanya adalah sama dari sudut matlamat, iaitu untuk mendapat wang tunai menerusi transaksi jualan, dan berbeza dari dua sudut yang lain. Pertama, bal’ ‘inah tidak melibatkan pihak ketiga sebagai pembeli barangan jualan, tetapi tawarruq pula sebaliknya.. Kedua, bai’ ‘inah memerlukan barang jualan kembali semula kepada penjualnya atau barang belian kembali semula kepada pembelinya sedangkan tawarruq pula tidak beroperasi sedemikian.


Perspektif Hukum Berkenaan Kontrak al-Tawarruq

Oleh sebab kedudukan al-tawarruq hampir sama dengan bay’ al-‘inah, maka kebanyakan perbincangan berkenaan dengan al-tawarruq di bawah tajuk bay’ al-‘inah. Justeru dalil-dalil atau hujah kepada transaksi al-tawarruq telah dirumus oleh kebanyakan fuqaha’ bersama-sama hujah transaksi bay’ al-‘inah kecuali segolongan fuqaha’ khususnya daripada mazhab Hambali.

Secara ringkas, menyentuh berkenaan hukum al-tawarruq ini, boleh dikatakan bahawa terdapat tiga pola penghukuman terhadap kontrak ini jika ditinjau kepada perbendaharaan hukum para fuqaha’ dari pelbagai mazhab. Pola penghukuman yang pertama ialah pandangan yang mengatakan transaksi al-tawarruq adalah haram kerana ia menyerupai bay’ al-‘inah yang yang dipersepsikan haram kerana digunakan sebagai hilah kepada riba.

Pola kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh kerana konsepnya yang hampir sama dengan bay’ al-‘inah.. Pola penghukuman ketiga ialah pendapat yang mengatakan ia adalah diharuskan, berasaskan prinsip bahawa semua urus niaga jual beli adalah diharuskan dan kerana terdapat perbezaan struktur yang nyata antara al-tawarruq dengan bay’ al-‘inah.

Oleh sebab masih terdapat keraguan berkenaan dengan “objektif riba" yang wujud dalam kontrak ini, sestengah sarjana hukum muamalat telah meletakkan beberapa syarat dalam mengharuskan kontrak al-tawarruq. Antara syarat-syarat berkenaan ialah ketiadaan institusi yang menawarkan pinjaman secara al-qard al-hasan, tidak menzahirkan akad seolah-olah menyerupai kontrak pinjaman dan jualan barangan oleh pembeli hendaklah setelah benar-benar berlaku perolehan milik.

Dalam arena hukum tempatan, konsep al-tawarruq diterima pakai khususnya dalam konteks peningkatan kualiti dan mutu keputusan Syariah serta dengan pengambilkiraan proses penyeragaman keputusan hukum dengan pusat-pusat kewangan Islam lain pada paras antarabangsa. Hal ini boleh dilihat dalam keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-51 bertarikh 28 Julai 2005 bersamaan 21 Jamadil Akhir 1426 yang memutuskan bahawa produk deposit dan pembiayaan berdasarkan kontrak al-tawarruq atau lebih popular sebagai murabahah komoditi diharuskan. (Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, Bank Negara Malaysia, Mac 2007, hal. 23-25) - (Utusan Malaysia, 5 Nov 2007)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Soal-Jawab Kewangan Islam - pembiayaan perumahan secara Islam

KAMI mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang mengikuti ruangan kewangan Islam ini dan juga kepada yang menghantar soalan-soalan melalui e-mel kepada kami. Kami berharap melalui isu dan jawapan yang disediakan dapat membantu para pembaca sekalian memahami lagi industri ini.
Yang sempat dimuatkan minggu ini adalah seperti berikut:

Soalan: Bolehkah pihak IBFIM menjelaskan dengan ringkas produk pembiayaan perumahan secara Islam yang ditawarkan oleh industri perbankan Islam di negara ini?


Jawapan: Pembiayaan perumahan secara Islam atau pembiayaan perumahan-i ialah kemudahan pembiayaan berdasarkan Syariah bagi pemilikan semua jenis harta kediaman seperti rumah, rumah pangsa, pangsapuri atau kondominium. Ia juga boleh digunakan untuk membiayai semula kemudahan sedia ada yang diambil sama ada secara pinjaman perumahan konvensional atau skim pembiayaan perumahan secara Islam yang lain.
Secara ringkas, produk pembiayaan perumahan secara Islam di negara ini merangkumi pembiayaan rumah siap dan pembiayaan rumah dalam pembinaan.
Pembiayaan perumahan secara Islam yang terdapat dalam pasaran pada masa ini, sebahagian besarnya adalah distrukturkan berdasarkan kontrak BBA. BBA sebagaimana diamalkan di Malaysia pada hakikatnya merupakan aplikasi kontrak bay’ al-‘inah. Justeru, memandangkan bay’ al-‘inah merupakan kontrak yang kontroversial, terdapat kecenderungan semasa sekarang ini di kalangan pemain-pemain industri untuk beralih kepada kontrak-kontrak Syariah lain yang kurang menimbulkan khilaf dan kontroversi hukum serta konflik persepsi.
Pembiayaan Rumah Siap dan Rumah dalam Pembinaan dengan kontrak musyarakah mutanaqisah
Pembiayaan berdasarkan kontrak Musyarakah Mutanaqisah dibentuk dengan kontrak syirkah sebagai kontrak utama dan disokong oleh beberapa kontrak lain iaitu ijarah,jual beli dan wa‘d. Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke 56 pada Februari 2006 telah memutuskan bahawa produk pembiayaan berdasarkan kontrak musyarakah mutanaqisah diharuskan. Dalam melaksanakan kontrak musyarakah mutanaqisah, harus bagi pihak yang berkontrak:
i- menggabungkan dua kontrak musyarakah dan ijarah dalam satu dokumentasi perjanjian, selagi kedua-dua kontrak dimeterai secara berasingan dan jelas tidak bercampur aduk antara satu sama lain;
ii- mengenakan gadaian atas bahagian yang dimiliki oleh pelanggan kerana hak milik benefisial ialah sesuatu yang diiktiraf oleh Syariah.
(Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, BNM, hal.22)
Pembiayaan Rumah dalam Pembinaan dengan konsep Istisna’
Penstrukturan pembiayaan berdasarkan konsep istisna’ melibatkan kontrak istisna’ sebagai kontrak utama dan disokong oleh kontrak-kontrak seperti jual beli, ijarah dan wa‘d.
Kesimpulan:
Apa yang diharapkan adalah masyarakat Islam di Malaysia khasnya dapat memberikan dukungan dan sokongan tanpa berbelah-bagi terhadap produk-produk pembiyaan perumahan secara Islam dari masa ke semasa sehinggalah ia dapat mencapai tahap yang ideal. Tidak dinafikan masih terdapat pelbagai kelemahan dikenalpasti tetapi hal-hal sedemikian tidak sepatutnya menyebabkan berlaku penolakan dan penafian ke atas produk-produk berkenaan. Mungkin sebagai sebahagian daripada jalan keluar kepada halangan-halangan berkenaan dengan pembiayaan perumahan secara Islam yang ditawarkan sekarang ini ialah melalui penerobosan institusi selain bank seperti syarikat takaful atau sektor koperasi dalam segmen pembiyaan perumahan secara Islam.
(Kandungan jawapan di atas banyak bersumberkan kepada kertas kerja Suhaimi Mohd Yusof & Ahmad Hazim Alias berjudul “Kedudukan Mazhab Syafie Dalam Produk Kewangan Islam Semasa” yang dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa V, 22-23 Ogos 2007.)
(Utusan Malaysia, 22 Okt 2007)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com