Terkini

Tuesday 31 March 2015

Caj minimum bagi perbankan Islam

KUALA LUMPUR - Kesan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas fi dan caj perbankan adalah minimum, kata Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) hari ini.
   
AIBIM dalam satu kenyataan berkata bank Islam dan bank perdagangan akan melaksanakan pengendalian yang sama bagi GST.
   
Persatuan itu berkata ia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kewangan, Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Malaysia untuk menambah baik pelaksanaan GST bagi perkhidmatan dan produk kewangan.
   
Kerjasama itu akan memastikan proses peralihan lancar bagi pengguna.     

"Walaupun terdapat jangkaan kenaikan fi dan caj, bank-bank Islam akan berusaha untuk mewujudkan nilai dan meningkatkan kecekapan bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka," kata Presiden AIBIM Datuk Haji Mohd Redza Shah.


(Sinar Harian / 30 March 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday 28 March 2015

Konsep kafalah dalam perbankan Islam

KAFALAH menurut Islam membawa maksud jaminan dan tanggungan. Ia juga disebut sebagai dhamanah. Secara jelasnya, kafalah membawa maksud sebarang bentuk jaminan yang diberikan oleh pemberi/penanggung jaminan (kafil) kepada pihak ketiga atas kewajipan yang harus ditunaikan pihak yang ditanggung/dijamin (makful anhu). Menurut ulama terdahulu, jaminan boleh melibatkan harta dan diri pihak penjamin.
Sebagai contoh jaminan yang melibatkan harta si penjamin seperti dalam konteks berhutang. Kebiasaannya, pihak lain boleh menjamin penghutang dalam membayar hutangnya kepada pemiutang.
Dalam kes kemungkiran oleh pihak penghutang, maka pihak penjamin hendaklah membayar hutang tersebut bagi pihak penghutang.
Jaminan yang tidak melibatkan harta tetapi diri si penjamin adalah seperti dalam konteks pendakwaan iaitu si tertuduh dengan jaminan orang lain. Sekiranya, beliau tidak hadir dalam perbicaraan maka si penjamin hendaklah bertanggungjawab.
Amalan kafalah dianjurkan oleh Islam sebagai salah satu perbuatan yang mulia.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam beberapa ayat al-Quran Surat Yusuf ayat 66 berbunyi:
“Bapa mereka berkata: ‘Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh.’
Maka, ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah dia: ‘Allah jualah yang menjadi saksi dan pengawas atas apa yang kita semua katakan itu’.”
Hutang
Jabir RA telah meriwayatkan bahawa: “Seorang lelaki meninggal dunia dan kami telah memandikannya dengan bersih, kemudian mengkafankan lalu dibawa kepada Rasulullah SAW. Kami bertanya kepada beliau: “Apakah Rasulullah akan mengerjakan solat jenazah ke atasnya?”
Rasulullah bertanya: “Apakah beliau mempunyai hutang?” Kami menjawab: “Ya, sebanyak dua dinar.” Kemudian Rasulullah berlalu dari situ. Maka, berkatalah Abu Qatadah: “Hutangnya sebanyak dua dinar itu menjadi tanggungjawabku.”
Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menunaikan hak orang yang memberi hutang dan si mati akan terlepas daripada tanggungjawabnya (hutang).”
Rasulullah lalu mengerjakan solat ke atas jenazah tersebut. Maka, pada keesokan harinya Rasulullah bertanyakan kepada Abu Qatadah tentang dua dinar itu dan Abu Qatadah menjelaskan bahawa beliau telah melangsaikan hutang jenazah tersebut.
Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang kulitnya telah menjadi sejuk.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)
Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas dapat dirumuskan bahawa amalan kafalah adalah dituntut dalam Islam kerana ia boleh meringankan beban pihak yang tidak mampu melangsaikan tanggungjawab seperti hutang.
Fuqaha-fuqaha terdahulu mengkategorikan kafalah sebagai salah satu kontrak tabbaru`at (kebajikan) seperti hibah dan wakalah.
Kategori kontrak sedemikian bertujuan untuk menolong dan meringankan kesusahan pihak tertentu tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Dalam sistem perbankan Islam, kebiasaannya konsep ini digunakan oleh pihak bank untuk menjamin hutang atau prestasi pelanggannya kepada pihak lain.
Sekiranya pelanggan gagal memenuhi hutangnya atau mencapai prestasi sebagaimana dijanjikan, pihak bank akan bertanggungjawab bagi pihak pelanggan tersebut.
Satu kelainan yang terhasil di sini adalah kerana pihak pelanggan terpaksa membayar jumlah tertentu untuk memperoleh jaminan daripada pihak bank.
Ini kerana, bank tidak mampu menanggung risiko untuk menjamin pelanggan membayar atau memenuhi obligasi tertentu maka, bayaran dalam konsep kafalah dikenakan.
Kebajikan
Justeru, telah timbul isu syariah apabila konsep kafalah berasaskan kebajikan tetapi mempunyai balasan tertentu seperti bayaran untuk mendapatkan jaminan.
Sebagaimana maklum, fuqaha terdahulu bersepakat bahawa konsep kafalah tidak boleh dikenakan sebarang bayaran atau balasan atas dasar berbuat kebaikan dan taqarrub kepada Allah.
Namun, terdapat sebahagian fuqaha kontemporari seperti Sheikh Nazih Hammad yang mengharuskan pengenaan bayaran kepada jaminan.
Di samping itu, pandangan itu disokong oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang membenarkan praktis mengenakan bayaran pada sebarang jaminan.
Ini berdasarkan maslahah dan keperluan semasa serta kesukaran untuk memperoleh jaminan daripada pihak lain secara sukarela dalam konteks semasa kecuali menerusi cara pengenaan bayaran.
Keharusan ini boleh diqiyaskan kepada keharusan mengenakan bayaran untuk rawatan perubatan dengan menggunakan kaedah Islam (ruqyah Syar’iyyah) iaitu menerusi bacaan ayat-ayat al-Quran.
Justeru, memandangkan tujuan kedua-dua konsep ini adalah sama iaitu berbuat baik kepada orang lain dan taqarrub kepada Allah, maka mengambil kira keharusan ini, pengenaan bayaran untuk jaminan juga adalah diharuskan dalam syariah.
Pada masa kini, dalam memenuhi tuntutan pelanggan terdapat jaminan, pihak institusi kewangan Islam telah menawarkan beberapa produk jaminan berdasarkan konsep kafalah antaranya, produk Jaminan Bank dan Jaminan Penghantaran.

(Kosmo Online / 28 March 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wakaf Korporat Perkasa Ekonomi Umat Islam

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Konsep 'wakaf korporat' dapat memperkasakan ekonomi umat Islam dan menjayakan jihad bisnes, kata Pengerusi Awqaf Holdings Bhd (Awqaf) Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Muhammad Ali yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berkata konsep wakaf tidak terhad kepada aspek kebajikan seperti tanah perkuburan, madrasah atau masjid semata-mata, sebaliknya turut sesuai dimanfaatkan untuk mengatasi cabaran ekonomi.

"Orang Melayu khasnya dan umat Islam amnya, lemah dalam perniagaan dan rendah penguasaan korporat, menyebabkan mereka terpinggir dalam arus ekonomi global yang diteraju korporat gergasi antarabangsa.

"Wakaf korporat yang bercirikan pengekalan hak miliknya paling sesuai untuk menangani masalah kebocoran dan ketirisan harta kekayaan. Ia berupaya membanteras kemerosotan hak milik korporat Melayu dan umat Islam, sekali gus menegakkan keadilan ekonomi negara," katanya pada majlis memeterai perjanjian jual beli tanah antara Awqaf dan Putrajaya Holdings Bhd (PjH), di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara matlamat utama DPIM memperjuangkan wakaf korporat.

"Kami akui usaha untuk menjayakan wakaf korporat ini bukan suatu yang mudah," katanya yang turut menyeru umat Islam di negara ini menghidupkan semula budaya wakaf termasuk ahli korporat dan perniagaan Melayu yang berjaya dengan berwakaf dan berinfak menerusi Awqaf.

Katanya dana wakaf yang diterima akan diusahakan oleh Awqaf dalam bentuk perniagaan yang akan memberi manfaat kepada umat Islam.

"Semua keuntungan bersih tahunan akan menjadi aset tambahan tanpa diagihkan kepada mana-mana pihak iaitu 70 peratus untuk pelaburan semula dan 30 peratus lagi bagi program fisabilillah," katanya.

Perjanjian hari ini melibatkan pembelian tanah seluas 2.24 hektar berharga RM35 juta di Presint 3 yang akan dimanfaatkan sebagai taman korporat dan Kompleks AWQAF.

Muhammad Ali serta Timbalan Pengerusi Awqaf, Mohamad Sahar Mat Din mewakili syarikat itu manakala PjH pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azlan Abdul Karim dan Pengurusan Besar Jabatan Undang-undang dan Perkhidmatan Korporat Aminah Baba.



(Bernama.Com / 26 March 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 4 March 2015

Kewangan Islam terus tumbuh

Kuala Lumpur: Kewangan Islam dijangka terus meningkatkan penguasaan dalam industri perkhidmatan kewangan dunia memandangkan ia mencapai kematangan dan keteguhan yang diperlukan.

Pengarah Urusan RHB Islamic, Ibrahim Hassan berkata, peserta industri Malaysia perlu melengkapi diri dan memperkukuh kecekapan mereka dalam membangunkan kewangan Islam menjadi barisan hadapan industri kewangan.

Beliau berkata, kehebatan Malaysia dalam industri kewangan Islam atas usaha sendiri oleh agensi berkaitan yang mungkin tidak mudah untuk ditiru negara lain.

“Berbanding bidang kuasa lain, kita beruntung kerana pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama agensi kerajaaan dan peserta pasaran membangunkan industri kewangan Islam yang dikawal selia dengan baik,” katanya dalam ucapan khas pada Persidangan Perbankan Islam dan Undang-undang Kewangan Antarabangsa 2015, di sini, semalam.

Persidangan dua hari itu dianjur oleh Badan Peguam Malaysia dan Malaysian Current Law Journal.
Ibrahim berkata, setakat ini Malaysia menguasai 60 peratus daripada pasaran sukuk dan hampir 25 peratus aset perbankan Islam dunia.

Cabaran industri kewangan Islam hari ini untuk terus membangunkan standard yang berpaksikan prinsip asas Islam.

“Jika mahu kekal relevan secara kompetitif, pasaran kewangan dan undang-undang yang mentadbir industri mesti dinamik,” katanya sambil menambah penubuhan jawatankuasa pengharmonian undang-undang di bank pusat akan memastikan kejayaan pelan induk dan rangka tindakan sektor kewangan.

(MyMetro / 04 March 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com