Terkini

Showing posts with label Gharar. Show all posts
Showing posts with label Gharar. Show all posts

Saturday, 26 July 2008

Program kutu wang pos dari sudut fiqh Islam

Program kutu secara wang pos sudah agak menular dan popular pada masa ini. Mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan melihat program ini dapat membantu menyelesaikan kemelut kewangan mereka.
Bagi pihak yang berwang pula, berhasrat untuk membantu sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang berada dalam kesusahan dengan menamakan mereka sebagai penerima wang pos berkenaan.
Persoalannya, adakah program ini berjalan tanpa terdapat apa-apa unsur haram sehingga program ini benar-benar menjamin kebaikan sebagaimana yang dijanjikan. Tetapi jika program ini mengandungi unsur-unsur haram, maka kegelapan dan kerugian pastinya akan menemui peserta-pesertanya atau sebahagian daripada peserta-pesertanya.
Unsur-unsur haram yang dapat dikesan
Setelah meneliti perjalanan beberapa bentuk program wang pos, didapati ia mengandungi beberapa unsur haram. Antaranya:
1. Unsur Gharar
Jika dikaji berkenaan program ini didapati asas kepada pembinaan dan perjalannya adalah 'auto placement' yang menjadikan orang bawah atau peserta baru mangsa yang tidak mendapat apa-apa pulangan apabila program 'auto placement' ini berhenti berpusing.
Oleh itu, setiap yang menjadi peserta yang peringkat awalnya mengharapkan pulangan apabila sampai gilirannya kehilangan wang apabila program ini terhenti.
Setiap sesuatu pastinya ada permulaan dan pastinya juga ada titik penamatnya. Pada waktu tersebut, pastinya sesiapa yang masih berada di bawah akan menjadi mangsa apabila wangnya diperolehi oleh orang atasan sedangkan orang bawahannya belum wujud.
Gharar yang terdapat disini ialah gharar fil husul (tidak tentu dapat) dan gharar fil miqdar (tidak tentu kadar).
2. Riba
Program ini sebenarnya bersifat 'money game' yang mendedahkan pesertanya kepada riba. Ini kerana, setiap yang menyertai program ini atau sebahagiannya berhasrat mendapatkan pulangan.
Jika ia menaja dengan mengeluarkan wang sebanyak RM100, maka ia mengharapkan pulangan lebih.
Jika ia benar-benar mendapat pulangan yang lebih banyak, maka ia adalah riba kerana tiada transaksi perniagaan atau khidmat di dalam program ini.
3. Judi
Dalam program ini terdapat unsur judi kerana sepastinya ada pihak yang mendapat untung dan ada pihak yang pasti mengalami kerugian.
Untung dan rugi ini boleh berlaku apabila program ini berhenti. Jika ia berlaku, maka mereka yang berada di line atas akan mendapat keuntungan manakala mereka yang berada di line bawah mendapat kerugian.�
Beberapa jawapan kepada kekeliruan
Mereka yang menyertai program ini melihat ia adalah harus dari sudut syariat dengan alasan-alasan berikut:
1. Sumbangan atas alasan hibah
Antara alasan yang sangat luas dijadikan hujah membolehkan ialah sumbangan setiap peserta adalah hibah.
Sebenarnya alasan ini adalah alasan yang tidak boleh diterima syariat kerana hibah tidak mensyaratkan keuntungan dan tidak mensyaratkan pulangan.
Tetapi program ini jelas berbentuk permainan wang (money game) dalam bentuk pusingan 'auto placement'.
Justeru itu, hibah bersyarat jika tidak kena caranya boleh menjerumuskan kepada riba sebagaimana sabda Nabi�Muhammad s.a.w. yang maksudnya: "Setiap pinjaman yang mensyaratkan manfaat (faedah) adalah riba."
Pada masa yang sama bayaran yang dianggap hibah tersebut adalah dalam bentuk tetap dan dijanjikan pulangan sebagaimana dalam iklan yang disiarkan.
Maka setiap transaksi syariat bukan dilihat kepada lafaz dan binaan kalimah tetapi ia melihat kepada hakikat dan perjalanannya.
Kaedah fiqh menyebut yang bermaksudnya: "Yang diambil kira pada akad transaksi ialah maksud dan makna, bukan lafaz dan susunan kalimat."
2. Sumbangan mestilah ikhlas membantu.
Alasan kedua yang biasa digunakan ialah sumbangan itu ikhlas membantu sahabat-sahabat seagama yang susah.
Menurut syariat, apabila sesuatu transaksi di dapati haram, maka ikhlas tidak akan merubahnya menjadi halal. Sebagaimana tiga orang berjudi dan setiap seseorang mempertaruhkan wang RM10. Sekalipun setiap seseorang berniat derma ikhlas untuk si pemenang ia tetap haram kerana ia adalah judi dan ikhlas tersebut tidak boleh mengharuskan perkara yang haram.
Ikhlas atau lebih tepat tidak dipaksa adalah syarat sah jual beli dan segala jenis transaksi yang harus. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa� ayat 29 yang maksudnya: "Melainkan ia adalah perniagaan yang berlaku secara reda meredai antara kamu."
Ayat ini menunjukkan reda dan ikhlas menyertai perniagaan yang halal, bukan menjadi syarat sah kepada transaksi yang haram.
3. Kias kepada belanja kawan makan atau minum di kedai.
Kias tersebut adalah kias yang salah kerana ia mempunyai perbezaan yang sangat ketara. Antaranya, belanja kawan di kedai makan tidak melibatkan pusingan wang. Dalam program ini ia melibatkan wang dengan wang yang sepastinya mendedahkan kepada riba. Tambahan pula setiap pesertanya disyaratkan menaja dan ditaja.
Penutup dan kesimpulan
Sememangnya setiap transaksi hukum asalnya adalah harus sehinggalah ia dicemari oleh unsur-unsur haram.
Setelah diteliti program wang pos ini, didapati program ini adalah haram disebabkan unsur-unsur yang disenaraikan di atas.
Justeru itu, umat islam digesa supaya tidak terlibat dengan program ini kerana ia membazirkan wang disamping keharaman yang disebutkan.- tajdid _

(
Majlis Perundingan Dan Penyelidikan Hukum (MPPH), Dewan Ulama PAS Pusat)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 18 December 2007

Gharar sebagai suatu elemen negatif dalam transaksi Islam

TERIMA kasih kepada para pembaca yang mengikuti ruangan kewangan Islam ini dan juga kepada yang menghantar soalan-soalan menerusi e-mel kepada kami.
Isu dan jawapan yang dikongsi diharap dapat membantu para pembaca sekalian memahami lagi industri ini.
Yang sempat dimuatkan minggu ini adalah seperti berikut:
SOALAN: Saya ada terbaca dalam risalah-risalah ringkas mengenai transaksi kewangan dan perbankan Islam mengenai elemen-elemen yang menyebabkan sesuatu transaksi itu dilarang atau diharamkan. Antaranya ialam elemen gharar. Walaupun di dalam risalah-risalah berkenaan diterangkan secara ringkas makna gharar iaitu ketidaktentuan atau ketidakjelasan namun saya masih kurang memahami maksud sebenar konsep gharar. Boleh pihak IBFIM perincikan sedikit tentang maksud elemen gharar ini?
Sebelum menjawab soalan saudara, pihak IBFIM terlebih dahulu ingin memaklumkan bahawa perincian jawapan terhadap makna gharar dalam ruangan ini juga adalah bersifat ringkasan. Hal ini demikian memandangkan perbincangan dan perincian tentang konsep gharar begitu besar dan meluas skopnya sehinggakan terdapat tesis-tesis dan disertasi- disertasi akademik yang secara langsung membahaskan topik gharar ini.
Walau bagaimanapun secara yang sederhana, pihak IBFIM boleh perincikan konsep ini sebagaimana berikut iaitu asas hukum kepada kedudukan pengharaman gharar adalah hadis Nabi yang bermaksud “sesungguhnya Nabi S.A.W melarang daripada jual beli gharar”. (riwayat Imam Muslim)
Isu hukum yang timbul daripada hadis berkenaan ialah tentang definisi atau maksud gharar yang dilarang dalam hadis berkenaan. Justeru jika disorot karya- karya fiqh klasik tentang makna gharar, boleh dikatakan bahawa terdapat pelbagai pendefinisian daripada para fuqaha‘ tentang konsep gharar. Antaranya ialah gharar yang bermaksud jahalah (tidak maklum) tentang barangan yang ditransaksikan. Antara alim ulama yang berpendapat sedemikian ialah al-Sarakhsi di dalam karyanya al-Mabsut dan al-Zaila‘ie di dalam karyanya Tabyiin al-Haqa‘iq. Al-Sarakhsi misalnya telah mendefinisikan gharar sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya.
Terdapat juga mereka yang menyatakan bahawa gharar itu bermaksud syak atau keraguan. Maksud gharar yang sedemikian didukung oleh beberapa fuqaha‘ antaranya ialah al-Kasani di dalam kitabnya Bada‘ie’ al-Sana‘ie’, Ibn ‘Abidin di dalam kitabnya Hasyiah Ibn ‘Abidin dan al-Dusuqi. Al-Kasani misalnya telah menghuraikan makna gharar sebagai suatu keadaan risiko seimbang yang akan ditempuhi oleh seseorang berkenaan dengan sesuatu barangan yang dikehendaki itu akan wujud atau tidak dalam sesuatu transaksi.
Terdapat juga para fuqaha’ yang melakukan sintesis antara kedua-dua makna gharar di atas. Misalnya al-Syarqawi dan al-Qalyubi menyatakan bahawa gharar itu bermaksud sesuatu yang tidak diketahui akibatnya dan mempunyai dua kemungkinan; sama ada kemungkinan positif ataupun negatif tetapi kemungkinan akibat negatif adalah lebih kuat.
Berdasarkan definisi-definisi klasik di atas, boleh dikatakan bahawa konsep gharar berkisar kepada makna ketidaktentuan dan ketidak jelasan sesuatu transaksi yang dilaksanakan. Ketidaktentuan dan ketidakjelasan berkenaan timbul khususnya daripada aspek-aspek berikut:
* sama ada sesuatu barangan yang ditransaksikan itu wujud atau tidak;
* sama ada sesuatu barangan yang ditransaksikan itu mampu diserahkan ataupun tidak;
* kaedah transaksi itu dilaksanakan secara yang tidak jelas tetapi menarik perhatian sehinggakan mungkin wujud elemen penipuan bagi menarik pihak-pihak untuk bertransaksi;
* akad atau kontrak yang mendasari sesuatu transaksi itu sendiri sifatnya tidak jelas.
Dalam memahami makna gharar dan kaitannya dengan aspek-aspek yang disebutkan di atas, perlu juga dinyatakan bahawa terdapat kategori-kategori gharar yang perlu diketahui iaitu gharar fahish (ketidakjelasan yang keterlaluan); gharar yasir (ketidakjelasan yang minimum) dan gharar mutawassit (ketidakjelasan yang sifatnya sederhana). Dari segi hukum, pemahaman tentang kategori ini sangat penting kerana sekiranya sesuatu transaksi itu mempunyai elemen gharar fahish maka transaksi berkenaan adalah dilarang. Sebaliknya sekiranya sesuatu transaksi itu hanya mengandung elemen gharar yasir, maka transaksi itu dibenarkan kerana elemen gharar yang wujud adalah dimaafkan. Sekiranya elemen gharar mutawassit wujud, maka biasanya wujud khilaf dikalangan fuqaha’ dalam memberi penilaian dan status hukum khususnya jika transaksi berkenaan melibatkan perkara yang sangat diperlukan oleh masyarakat dan gharar tersebut adalah daripada jenis yang tidak mampu dielakkan melainkan dengan cara yang sangat menyusahkan.
Perlu juga dinyatakan di sini bahawa perbincangan tentang gharar sebenarnya bukanlah perbincangan yang bersifat statik serta dogmatik. Kenyataan ini bermaksud sesuatu penghukuman haram atau tidak diharuskan tentang transaksi yang mengandungi gharar khususnya gharar fahish tidak bermakna bahawa akad atau transaksi berkenaan akan selama-lamanya haram atau tidak diharuskan. Hal ini demikian memandangkan, pada hemat pihak IBFIM, perkaitan gharar dengan arus perkembangan sains dan teknologi adalah sangat rapat dan perlu diambil kira dari semasa ke semasa. Secara yang lebih lanjut hal ini bermaksud elemen gharar dan ketidakjelasan serta ketidaktentuan boleh berubah sehingga menjadi perkara yang tidak lagi mengandungi unsur ketidakpastian akibat daripada wujudnya pelbagai alatan,instrumen dan teknologi canggih yang boleh mengurangkan atau menghapuskan elemen ketidakpastian berkenaan.
Dalam konteks yang tertentu, syarat transparensi dan ketelusan sesuatu kontrak moden dalam transaksi-transaksi yang tertentu umpamanya adalah antara perkara yang mungkin sesuatu dijadikan contoh. Begitu juga dalam menjalankan transaksi e-dagang dan seumpamanya, hal perkaitan gharar dan perkembangan teknologi semasa boleh dijadikan sampel. --(Utusan Malaysia, 3 Dis 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com