Terkini

Showing posts with label Hadis. Show all posts
Showing posts with label Hadis. Show all posts

Tuesday, 14 May 2019

Galakkan Mencari Rezeki Yang Halal



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”

(Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani)


Pengajaran Hadis:

i) Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak ia berada di dalam perut ibunya lagi.

ii) Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa sahaja. Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga yang ada pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelajaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar yang perbuatan itu adalah terkutuk, tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya.

iii) Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana rahmat Allah S.W.T adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.


iv) Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah satu ujian daripada Allah S.W.T namun begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) yang banyak tetapi melalaikan. Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat.

Sunday, 16 March 2008

Apakah dalil yang mewajibkan zakat pendapatan?

Soalan:


Mutakhir ini kita didedahkan dengan zakat pendapatan. Soalnya, apakah dalil yang mewajibkan zakat pendapatan ini?


Jawapan:


Zakat ke atas pendapatan adalah wajib dikeluarkan sebagaimana yang telah di fatwakan oleh kebanyakan ulama mutaakhirin termasuk Prof. Dr. Yusof Qardhawi dan Dr. Hussein Shahatah, demikian juga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.


Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan zakat pendapatan ini, antaranya firman Allah:


Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang telah Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
(al-Baqarah: 267)



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,


“Jika kamu memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (zakat) 5 dirham, dan tidak takwa ke atas kamu sesuatu iaitu di dalam emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar.” (Riwayat Abu Daud)


Di samping itu, berdasarkan catatan sejarah, pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz (meninggal 72M) baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya.


Ulama mutakhir menyatakan, secara perbandingan zakat pendapatan ini adalah seperti zakat pertanian (kerana hasil pertanian itulah pendapatan para petani). Jika para petani diwajibkan berzakat sebanyak lima hingga 10 peratus setiap kali musim menuai, bagaimana pula dengan mereka yang memperolehi gaji pada setiap bulan. Logik akal menyatakan, sudah pastilah zakat juga turut wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.--(UtusanMalaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com