Terkini

Showing posts with label Pengurusan kewangan. Show all posts
Showing posts with label Pengurusan kewangan. Show all posts

Sunday, 3 August 2008

Bank perlu berhemah dalam tindakan

KESAN suasana ekonomi dunia yang tidak menentu sedang dirasakan oleh penduduk dunia tidak terkecuali di Malaysia.
Keadaan diburukkan lagi dengan kenaikan harga minyak dunia sehingga memaksa negara-negara bertindak menaikkan harga petrol dan diesel di peringkat domestik.
Semestinya apabila harga bahan bakar terpaksa dinaikkan maka kesannya melimpah ke pelbagai sektor kehidupan rakyat di sesebuah negara.
Rantaian kesannya ialah rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga barangan keperluan manakala para peniaga dirundung kerunsingan kerana aktiviti ekonomi yang semakin lembap.
Bagi para peniaga yang terikat dengan pinjaman bank, kebimbangan mereka adalah berganda.
Perjalanan ekonomi yang tidak lancar semestinya menyebabkan sumber pendapatan para peniaga terjejas. Apabila itu terjadi, akan timbul kesulitan di pihak para peniaga untuk melunaskan pinjaman bank.
Oleh kerana institusi perbankan amat berpegang kepada prosedur serta syarat-syarat yang mereka cipta sendiri, kemudahan pinjaman kepada peniaga yang gagal membuat pembayaran akan ditarik balik.
Tindakan seperti ini semestinya tidak membezakan antara peniaga bumiputera dan bukan bumiputera.
Akibatnya, dalam suasana ekonomi yang semakin tidak menentu, ada kalangan peniaga terpaksa gulung tikar. Dalam tempoh ini jugalah ada peniaga yang diisytiharkan muflis, menambahkan lagi ketidaktentuan dalam gelombang ekonomi yang tidak kenal pasang surutnya.
Sebab itu dalam hal ini semua bank mesti bersikap rasional seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebagaimana manisnya mulut bank-bank ketika menawarkan pinjaman begitu juga mereka mesti bersikap waras tatkala timbulnya perkiraan untuk menarik balik kemudahan pinjaman.
Banyak perkara yang mesti diambil kira sebelum tindakan yang boleh menekan para peniaga dilaksanakan. Kajian misalnya mesti dibuat sama ada kegagalan peniaga membayar balik disebabkan persekitaran ekonomi yang tidak menentu atau kerana faktor lain.
Jika ia berpunca daripada kelalaian atau kecuaian peniaga menguruskan bisnes mereka terutama dari sudut pengurusan kewangan, maka tidak salah jika tindakan seumpama itu dikenakan ke atas mereka.
Tetapi jika peniaga yang mencatatkan rekod baik dari segi membayar balik pinjaman tiba-tiba mengalami kesulitan disebabkan faktor tulen - kemelut ekonomi yang tidak menentu - maka berilah peluang kepada mereka.
Tindakan drastik bank terhadap kumpulan peniaga seperti ini bukan sahaja menyebabkan golongan berkenaan terpaksa menanggung kerugian malah tekanan yang terpaksa dihadapi mereka juga amat besar.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak bank supaya berhemah dengan tidak mengambil tindakan keterlaluan terutama berkaitan dengan kepentingan peniaga kita.

(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Lemah urus kredit punca gagal lunas pembayaran

Oleh Kamarulzaidi Kamis (Berita Harian)

3,413 tampil ke AKPK setiap bulan dapat khidmat nasihat

HAMPIR separuh punca kegagalan pembayaran balik pinjaman individu yang dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ketika ini membabitkan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan pengurusan kewangan yang lemah.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata faktor lain ialah perbelanjaan perubatan yang tinggi (19 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus) dan kehilangan pekerjaan (sembilan peratus).


Sehingga akhir bulan lalu, katanya, agensi itu menguruskan sehingga RM520 juta hutang tidak berbayar (NPL), membabitkan 7,298 peminjam berbanding RM478 juta NPL dan 3,616 peminjam pada akhir Disember 2007.

Beliau berkata, peningkatan jumlah peminjam yang bermasalah itu, umumnya disebabkan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan kesedaran pengguna mengenai kewujudan pusat ini.

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, purata kira-kira 3,413 individu tampil ke AKPK setiap bulan untuk mendapat khidmat nasihat dan bantuan, meningkat berbanding purata 2,110 sebulan sepanjang tahun lalu," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Mengenai masalah NPL kad kredit yang tinggi, Mohamed Akwal menjelaskan, pengguna secara umumnya mengorbankan pembayaran kad kredit terlebih dulu berbanding pinjaman lain termasuk kenderaan dan hartanah, sekiranya menghadapi masalah kewangan.

Katanya, mereka berpendapatan kurang RM3,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili 66 peratus daripada 9,113 individu yang menyertai program pengurusan hutang (DMP) tahun ini, diikuti individu berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 sebulan (17.2 peratus) dan isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 sebulan (16.7 peratus).

Beliau menambah, kenaikan harga bahan api dan makanan memberi kesan ketara terhadap individu berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah, khususnya di kawasan bandar.

Namun, katanya, masalah itu boleh ditangani jika golongan terbabit menilai semula kemampuan masing-masing dan bersedia mengubah gaya hidup.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com