Terkini

Showing posts with label Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Show all posts
Showing posts with label Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Show all posts

Tuesday, 13 May 2014

IFSA kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global

KUALA LUMPUR 13 Mei - Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang diperkenal tahun lepas, mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, dengan negara ini sudah menerbitkan dua pertiga daripada sukuk dunia.

Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) berkata akta berkenaan yang berkuat kuasa pada 30 Jun tahun lepas, akan menyediakan kelengkapan teras bagi tadbir urus dan mengikut prinsip Syariah untuk industri kewangan Islam di Malaysia.

“Untuk itu, IFSA akan berperanan sebagai premis undang-undang bagi pembangunan rangka kerja pengawalseliaan berasaskan kontrak yang menggambarkan perincian khusus pelbagai jenis kontrak berprinsip Syariah," katanya dalam Laporan Tahunan 2013 Program Transformasi Ekonomi yang dikeluarkan semalam.
Kata Pemandu, akta ini akan menyokong penyampaian pelbagai cadangan nilai kewangan Islam dengan memastikan penggunaan berkesan kontrak Islam dalam menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam, merangkumi kaedah-kaedah pemindahan dan perkongsian risiko.

Katanya Malaysia juga akan meneruskan laluan pertumbuhan sektor kewangan Islam dengan menumpukan fokus kepada tiga bidang penting - kepakaran, tadbir urus dan amalan Syariah, serta rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan.

Menurut Laporan Sukuk Global 2013 yang dikeluarkan oleh KFH Research Ltd, Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam penerbitan sukuk, mewakili 67.8 peratus, atau RM132.1 bilion bon Islam baharu yang diterbitkan secara global dalam setengah tahun pertama 2013.

Kata Pemandu, dengan tahap kecairan yang tinggi dalam pasaran sukuk Malaysia pada 2013, penerbit asing semakin berminat untuk memanfaatkan sektor domestik ini.

Katanya, Bursa Malaysia meraih kedudukan sebagai bursa teratas dalam penyenaraian sukuk yang berjumlah RM102 bilion sehingga Ogos tahun lalu.

Antara penyenaraian utama tahun lepas ialah syarikat gadai janji nasional, Cagamas Bhd, berjumlah RM3.8 bilion iaitu penawaran sukuk komoditi Murabahah terbesar bagi 2013.

Penyenaraian lain ialah sukuk Syarikat Prasarana Negara Bhd berjumlah RM1 bilion untuk membiayai pengembangan rangkaian pengangkutan awam negara.

Mengenai transformasi Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), Pemandu berkata beberapa inisiatif dan garis panduan berhemat yang diperkenalkan mengukuhkan lagi keupayaan dan kemampuan DFI telah meningkatkan jumlah pembiayaan tertunggak DFI.

Katanya, dalam lapan bulan pertama tahun lepas, jumlah pembiayaan tertunggak DFI meningkat 8.5 peratus kepada RM117 bilion berbanding tempoh sama tahun 2012.

“Pencapaian tersebut adalah hasil pembiayaan yang lebih tinggi yang diberikan untuk kredit penggunaan, sektor maritim dan industri berorientasikan eksport," katanya.

Katanya, kredit penggunaan sebahagian besarnya disalurkan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan Bank Simpanan Nasional, yang mencatat pertumbuhan pinjaman 11 peratus kepada RM60.8 bilion pada akhir Ogos 2013.

(Utusan Malaysia / 14 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 1 July 2013

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 Berkuat Kuasa pada 30 Jun 2013

Rangka kerja pengawalan dan penyeliaan mencapai tahap baharu dalam perkembangannya apabila Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) berkuat kuasa pada 30 Jun 2013.
FSA dan IFSA merupakan kemuncak bagi  usaha untuk memodenkan undang-undang yang mengawal selia perlakuan dan penyeliaan institusi kewangan di Malaysia bagi memastikan undang-undang ini terus relevan dan berkesan untuk mengekalkan kestabilan kewangan, menyokong pertumbuhan inklusif dalam sistem kewangan dan ekonomi di samping menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pengguna. Undang-undang ini juga memberi Bank Negara Malaysia kuasa pengawasan pengawalan dan penyeliaan yang perlu untuk mencapai mandatnya yang luas dalam persekitaran yang lebih kompleks dan saling berhubung memandangkan perkembangan kewangan yang bersifat serantau dan antarabangsa. Ini termasuk peningkatan tumpuan terhadap langkah-langkah pencegahan awal untuk menangani isu yang berbangkit dalam institusi kewangan yang mungkin memberikan kesan kepada kepentingan pendeposit dan pemegang polisi, dan keberkesanan dan kecekapan fungsi pengantara kewangan.
Sistem pengawalan dan penyeliaan Malaysia perlu dilengkapi dengan baik untuk menangani dengan berkesan risiko baharu dan yang baru muncul supaya keyakinan dalam sistem kewangan dipelihara dan aktiviti pengantaraan kewangan yang kritikal serta penting kepada ekonomi terhindar daripada gangguan. FSA dan IFSA menggabungkan beberapa undang-undang yang berasingan untuk mengawal selia sektor kewangan di bawah rangka kerja perundangan tunggal masing-masing untuk sektor kewangan konvensional dan Islam, iaitu, Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Bank Islam 1983, Akta Insurans 1996, Akta Takaful 1984, Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang dimansuhkan pada tarikh yang sama.
Ciri-ciri utama undang-undang baharu termasuk:
  • Kejelasan dan ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang ini. Ini termasuk objektif pengawalseliaan yang jelas tafsirannya dan akauntabiliti Bank Negara Malaysia bagi melaksanakan matlamat utamanya untuk memelihara kestabilan kewangan, keadaan yang jelas yang membolehkan tindakan diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk melaksanakan kuasa dan fungsi di bawah undang-undang ini, dan kriteria penilaian yang telus bagi institusi yang diberikan kuasa untuk terus mengawal selia perniagaan kewangan, dan untuk kesesuaian pemegang syer;
  • Tumpuan yang jelas terhadap pematuhan dan tadbir urus Syariah dalam sektor kewangan Islam. Secara khususnya, IFSA menyediakan rangka kerja undang-undang yang menyeluruh, yang selaras sepenuhnya dengan Syariah dalam semua aspek pengawalan dan penyeliaan, dari pelesenan hingga pembubaran sesebuah institusi;
  • Peruntukan bagi keperluan pengawalseliaan berbeza yang mencerminkan  aktiviti pengantaraan kewangan dan risiko masing-maisng kepada sistem kewangan secara keseluruhan;
  • Peruntukan untuk mengawal selia syarikat pemegangan kewangan dan entiti tidak dikawal selia perlu mengambil kira risiko sistemik yang boleh muncul daripada interaksi antara institusi yang dikawal selia dengan tidak dikawal selia, aktiviti dan pasaran.  Menteri Kewangan boleh meletakkan institusi yang menjalankan aktiviti pengantaraan kewangan tertakluk kepada pengawalan dan penyeliaan yang berterusan oleh Bank Negara Malaysia sekiranya institusi tersebut menyebabkan atau boleh mendatangkan risiko kepada kestabilan kewangan secara keseluruhan;
  • Memperkukuh perlakuan perniagaan dan keperluan perlindungan pengguna untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan dan produk kewangan;  
  • Peruntukan yang lebih kukuh bagi penguatkuasaan dan campur tangan penyeliaan yang berkesan dan awal;
Undang-undang baharu ini akan meletakkan sektor kewangan Malaysia, yang merangkumi sistem perbankan, sektor insurans/takaful, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan pengantara kewangan lain, pada platform untuk terus maju ke hadapan sebagai satu sistem kewangan yang kukuh, bertanggungjawab dan progresif.  Ini khususnya penting bagi membolehkan sistem kewangan memenuhi tuntutan baharu terhadap pembiayaan yang dikaitkan dengan program transformasi ekonomi Malaysia pada dekad akan datang dan seterusnya, perubahan demografi penduduk, dan integrasi ekonomi Malaysia yang semakin pesat dengan rantau ini dan juga di dunia.  
Senaskhah FSA dan IFSA boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia. Sebarang pertanyaan berhubung dengan FSA dan IFSA boleh diajukan melalui FSAandIFSA@bnm.gov.my.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com